Browsing Category

Istimewa Panggilan Baitullah

Haji
Istimewa Panggilan Baitullah,

Haji, perjalanan seorang hamba menuju takwa

IBADAH haji merupakan tindakan keseluruhan bagi perjalanan seorang hamba menuju takwa. Ia memerlukan persiapan fizikal, mental, spiritual dan kewangan yang mantap dalam menghadapi pelbagai ujian untuk mendapat haji mabrur dan menjadi insan abrar.

Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA), Ustaz Fahrur Rozi Jalaluddin dari Zahafiz Travel & Tours sebagai panelis bagi program Road To Arafah #QuranHour Episod 1 berkata, Rukun Islam kelima ini memerlukan pengorbanan besar untuk disempurnakan. Hal ini kerana, ia merupakan proses ibadah yang membentuk ketakwaan dalam diri.

Baca juga Arab Saudi keluarkan garis panduan fotografi, ini yang jemaah haji patut tahu

Katanya, ALLAH SWT meletakkan bahawa bukan mudah bagi melengkapkan proses haji. Kita perlu korbankan keselesaan diri dari segi fizikal, mental dan kewangan sepanjang berada di Tanah Haram.

“Mungkin kita rasa sudah membuat segala persiapan, namun diri masih terdedah dengan pelbagai ujian yang tidak dijangkakan sepanjang perjalanan ibadah tersebut seperti pengangkutan, tempat penginapan dan makanan.

“Pada masa sama, para jemaah haji dalam ihram perlu mematuhi beberapa perkara larangan ihram. Ini termasuk tidak boleh melakukan hubungan seksual, mukadimah hubungan intim, tidak bermaksiat, tidak membunuh binatang dan tidak bertelagah.

“Sebenarnya ALLAH SWT meminta Muslimin yang berada dalam ihram untuk bersabar dan bertahan dengan pelbagai ujian tersebut. Di Padang Arafah ibarat di Padang Mahsyar. Para jemaah berkumpul di satu tempat tanpa mengira pangkat atau gelaran mereka yang ada di negara masing-masing. Tiada apa yang boleh dibanggakan, meskipun perasaan riak dan bangga diri menjadi fitrah kejadian manusia,” katanya.

Baca juga Labbaikallah…’bererti menyahut seruan ILAHI, maksimumkan rasa kehambaan kepada-NYA

Tambah beliau, berpandukan Surah al-Insan, ayat 2 menceritakan bagaimana ALLAH menciptakan manusia daripada tiada apa-apa dan tidak dikenali kepada ada melalui percampuran benih lelaki dan wanita dan mengujinya dalam kehidupan mereka.

Haji

DARI kiri, Fazrul, Ustaz Fahrur Rozi dan Ustaz Mohamad Husaini memberi pengirisan pada program Road to Arafah #QuranHour Episod 1 yang bersiaran pada 15 Jun lalu.

Sementara ayat awal Surah al-Hajj menceritakan bagaimana kegoncangan hari kiamat berlaku, di mana ibu yang menyusukan anak ditinggalkan, wanita yang hamil keguguran dan manusia dalam keadaan mabuk. Dua surah tersebut menjadi panduan kepada kita untuk latihan dalam perjalanan haji.

Proses mengenal hakikat diri

Pada Hari Arafah, para jemaah memberi tumpuan kepada wukuf selepas matahari tergelincir (waktu Zohor) pada 9 Zulhijah. Ketika itu, mereka memfokuskan diri sendiri dengan MAHA PENCIPTA dengan bermuhasabah, berdoa, membaca al-Quran dan berzikir.

Berwukuf di Padang Arafah adalah proses mengenal hakikat diri sebagai hamba ALLAH. Selain itu, Arafah merupakan tempat Malaikat Jibrail AS mengajar Nabi Adam AS dan Nabi Ibrahim AS mengenai manasik haji.

“Berikan fokus sepenuhnya akan urusan kita dengan ALLAH SWT. Bermunajat dan berdoalah sepenuh jiwa kepada-NYA tanpa menghiraukan orang lain. Ia merupakan perkara paling besar ketika wukuf. Oleh itu, kita perlu mengetahui lima elemen doa agar memberi kesan kepada kita.

Baca juga Ramai salah faham waktu mustajab doa pada Hari Arafah

“Pertama, doa didahului dengan memuji ALLAH, kemudian diikuti dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, mengiktiraf nikmat ALLAH, mengakui dosa-dosa kita dan hadirkan permintaan kita dengan penuh harap dan cemas.

“Jika seseorang itu faham kaedah berdoa, dia akan berasa tidak cukup masa untuk berdoa. Doa untuk mohon jalan kebaikan dan ketaatan bukan hanya untuk diri sendiri, malah untuk anak, keluarga, jiran, masyarakat, negara dan ummah Islam keseluruhannya.

“Doa memberi kesan besar kepada kita kerana tiada siapa pun yang boleh diharapkan selain ALLAH SWT. Ia sebagai simbol kebergantungan kepada ALLAH untuk memohon keampunan, diberi nikmat dan dijauhi daripada bala,” ujarnya.

Road to Arafah #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) merupakan siri pengisian ilmu ibadah haji dalam menuju Arafah #QuranHour ke-8 yang diadakan di Padang Arafah, Makkah pada 9 Zulhijah 1444H bersamaan 27 Jun 2023.

Haji

WUIF mengajak semua jemaah haji, bakal haji, dan alumni untuk mengikuti program Road to Arafah #QuranHour secara atas talian di platform Facebook World Quran Hour dan Sinar Islam Plus pada 9 pagi setiap hari bermula 15 Jun 2023.

Setiap episod tersebut menampilkan moderator, qari dan panelis jemputan yang terdiri daripada wakil agensi umrah dan haji untuk mengupas tajuk dengan berpandukan surah al-Insan dan surah al-Hajj. Pada episod pertama, Ustaz Fahrur Rozi bersama qari, Ustaz Mohamad Husaini Mahmur dan moderator, Fazrul Ismail memberi pengisian panduan haji.

Para jemaah haji, bakal haji dan alumni haji dialu-alukan bersama pihak Tabung Haji atau agensi swasta (secara individu atau berkumpulan) untuk menyertai Arafah #QuranHour dengan mendaftarkan penyertaan di hotspot https://bit.ly/HOTSPOTAQH Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan bahan Arafah #QuranHour 1444H, sila klik di https://bit.ly/AQH2023.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Artikel ditulis oleh Fouziah Amir daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas

fotografi jemaah haji
Istimewa Panggilan Baitullah,

Arab Saudi keluarkan garis panduan fotografi, ini yang jemaah haji patut tahu

Arab Saudi keluarkan garis panduan fotografi, ini yang jemaah haji patut tahu

JEMAAH haji yang ingin mengambil gambar atau video sepanjang beribadah di Tanah Suci perlu menuruti garis panduan baru yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Terbaharu, Kementerian Haji dan Umrah mengumumkan garis panduan berkenaan fotografi dan videografi di Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah bagi jemaah haji.

Menerusi kenyataan dikeluarkan di Twitter, pihaknya memberitahu, peraturan tersebut diwujudkan untuk menambah baik pengalaman haji serta memastikan persekitaran kondusif buat para jemaah.

Baca juga Bersederhana ketika melakukan kenduri haji kerana ia hanya sunat

fotografi jemaah haji

ARTIKEL BERKAITAN:

Menurut Kementerian Haji, umat Islam perlu menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap amal ibadah untuk melengkapkan haji.

Sehubungan dengan itu, jemaah haji diminta supaya mematuhi adab yang sepatutnya semasa mengambil gambar agar tidak menyusahkan pengunjung lain.

Dalam garis panduan diketengahkan kerajaan Arab Saudi, orang ramai diingatkan agar tidak berdiri terlalu lama di kawasan sesak untuk memastikan kelancaran pergerakan jemaah di tapak-tapak suci.

Jemaah haji turut dinasihatkan supaya tidak bergambar di laluan khas dan menghalang lalu lintas pengunjung lain.

fotografi jemaah

ELAKKAN bergambar di kawasan sesak yang boleh mengganggu lalu lintas jemaah lain. Foto: Pexels

Baca juga Jemaah haji Malaysia meninggal dunia, ini tatacara uruskan jenazah di Makkah atau Madinah

Turut disyorkan Mengapa jenazah meninggal di Makkah, wajah tidak bertutup dan diselimut kain berbeza warna?

Selain itu, garis panduan tersebut turut menekankan kepentingan menghormati privasi sesama jemaah.

Justeru, para Muslimin disarankan bergambar secara berhemat dan elakkan mengambil foto yang mengganggu privasi jemaah lain.

Jelas Kementerian Haji, garis panduan yang dikeluarkan memainkan peranan penting dalam menjaga ketenteraman dan memudahkan kelancaran pelaksanaan ibadah haji.

“Dengan mematuhi garis panduan tersebut, jemaah haji membantu mewujudkan suasana harmoni selain menunjukkan rasa hormat terhadap kesucian Dua Masjid Suci,” tulis kenyataan itu.

Sumber: Samaa

Foto: Google & Pexels

LABAIKALLAH
Istimewa Panggilan Baitullah,

Labbaikallah…’bererti menyahut seruan ILAHI, maksimumkan rasa kehambaan kepada-NYA

Labbaikallah…’bererti menyahut seruan ILAHI, maksimumkan rasa kehambaan kepada-NYA….

Ucapan “Labbaikallah” merupakan simbol seseorang itu menyahut panggilan ALLAH SWT untuk mengerjakan ibadat haji atau umrah.

Dari segi bahasa pula, “Labaikka” bermaksud “Kami datang kepada-MU atau Kami menyahut seruan-MU ”.

Orang yang mengerjakan haji atau umrah dilarang melakukan rofas (yang bermaksud perbuatan keji dari segi perkataan dan perbuatan). Oleh sebab untuk menjaga pertuturan, jemaah digalakkan mengucapkan “Labbaikallah”.

Untuk rujukan lebih mendalam, Mufti Wilayah Persekutuan di laman Bayan Li Al-Haj Siri 25 : Pengertian Talbiah Dan Waktunya, menjelaskan ucapan talbiah atau “Labaikka” ini dilaungkan setelah berihram ketika berada di Tanah suci.

Maksud yang dikehendaki dari laungan talbiah ini ialah menyahut seruan ALLAH SWT, pembuka ucapan dan pengakuan atau ikrar, iltizam serta komitmen perjanjian dan kata-kata langsung atau berdialog dengan ALLAH SWT.

Lafaz talbiah adalah seperti berikut:

لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيْكَ. لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ. اِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَاْلملْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ

Maksudnya: “Hamba-MU datang menyahut panggilan-MU YA ALLAH. Hamba-MU datang menyahut panggilan-MU. Hamba-MU datang menyahut panggilan-MU. Tuhan yang tiada sekutu bagi-MU. Hamba-MU datang menyahut panggilan-MU. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan-MU, tiada sekutu bagi-MU.”

“LABAIKKA” bermaksud “Kami datang kepada-MU atau Kami menyahut seruan-MU ”.

Waktu disunatkan membaca “Labaikkallah”

Sunat membaca laungan talbiah ini dimulai daripada berniat ihram hingga permulaan tawaf bagi yang mengerjakan umrah dan hingga mulai melontar jamrah al-Kubra atau mulai tawaf atau bercukur mengikut amalan mana yang didahulukan bagi yang mengerjakan haji.

Dalam hadis As-Sa’ib bin Khallad, Rasulullah SAW bersabda “Telah datang kepadaku Jibril AS, maka dia memerintahkan aku untuk memerintahkan sahabat-sahabatku agar mengangkat suara-suara mereka ketika berihlal atau bertalbiah” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

ARTIKEL BERKAITAN 

Bacaan talbiah disunatkan bagi lelaki untuk menyaringkan dan meninggikan suara dan tidak pula disunatkan bagi wanita. Justeru, bacaan talbiah akan berterusan, berulang-ulang dan bergema di seluruh tanah haram Mekah dimana berkumpulnya semua jemaah haji.

Firman ALLAH SWT “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Surah al-Hajj ayat 27)

ORANG yang mengerjakan haji atau umrah dilarang melakukan rofas (yang bermaksud perbuatan keji dari segi perkataan dan perbuatan). -Foto: MadaniNews

Talbiah sememangnya digalakkan oleh Nabi SAW bagi setiap jemaah haji. Bahkan, perkara ini dianggap sunat (mustahab).

Walau bagaimanapun, jika seseorang jemaah haji itu meninggalkan perbuatan talbiah, haji yang dilakukannya tetap sah namun mereka tidak mendapat pahala fadilat talbiah tersebut. Ini jelas berdasarkan hadis di bawah:

Daripada Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA, bahawa Nabi SAW telah ditanya “Apakah haji yang paling afdal? Baginda menjawab: “Menyaringkan ucapan talbiah dan menyembelih binatang korban” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Tuntasnya, Mufti mengingatkan para jemaah haji bahawa ibadah haji yang dilakukan adalah satu peluang yang harus digunakan dengan sebaik-baiknya.

Oleh itu, gunakanlah kesempatan itu untuk memperbanyakkan lagi amalan-amalan yang mampu mendekatkan diri kepada haji yang mabrur.

masjidil haram hotel
Istimewa Panggilan Baitullah,

Imam di Masjidil Haram, makmum ikut dari bilik hotel, sah atau tidak solatnya?

Imam di Masjidil Haram, makmum ikut dari bilik hotel, sah atau tidak solatnya?

SABAN tahun, Masjidil Haram di Makkah sesak dengan jutaan umat Islam yang datang berkunjung untuk menunaikan ibadah haji dan umrah.

Angka itu sememangnya bukan calang-calang. Maka tidak hairan boleh timbul amalan dalam kalangan jemaah Malaysia yang tidak turut serta solat berjemaah di dalam masjid, tetapi sebaliknya mendirikannya di surau-surau hotel yang berdekatan dengan Masjidil Haram.

Barangkali pendekatan solat berjemaah di tempat berbeza itu diambil kerana faktor kesihatan atau mungkin bimbang terpaksa berhimpit dalam lautan manusia untuk mencari ruang solat di Masjidil Haram.

Namun, apakah hukum sebenar melaksanakan solat berjemaah di tempat berbeza, misalnya imam berada di masjid manakala makmum berada di bangunan berdekatan Masjidil Haram?

Baca juga Bolehkah makmum wanita menyebut ‘aamiin’ dengan kuat ketika solat berjemaah?

masjidil haram hotel

ARTIKEL BERKAITAN:

Syarat sah solat berjemaah

Kata ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed, dalam mazhab Syafie, ada beberapa syarat perlu ditepati untuk memastikan solat berjemaah sah:

1. Makmum mengetahui pergerakan imam.
2. Jarak antara akhir bangunan masjid dan makmum tidak melebihi 300 hasta.
3. Tiada halangan yang menghalang makmum untuk sampai kepada imam.
4. Tiada halangan untuk makmum melihat imam, atau melihat salah seorang makmum yang boleh melihat imam.
5. Jika makmum tidak dapat melihat imam, disyaratkan ada ‘rabitah’ (orang perantaraan) penghubung antara kedua-duanya.
6. Ada kemampuan untuk sampai kepada imam tanpa perlu membelakangkan tubuh badan dari arah kiblat (izwirar dan in’itaf).

(Rujuk: al-Qawl al-Tām Fī Aḥkām al-Imām Wa al-Maʾmūm & al-Taqrīrāt al-Sadīdat)

Hukum solat berjemaah dalam bangunan berbeza

“Oleh itu, solat berjemaah antara imam dan makmum yang berkedudukan bangunan berbeza, contohnya imam berada di masjid, manakala makmum melaksanakan solat di rumahnya berdekatan masjid adalah tidak sah kerana tidak menepati syarat-syarat tersebut,” kongsi Dr Syed Shahridzan di laman sosial miliknya.

Beliau turut menjelaskan, dalam situasi seperti di Tanah Suci yang mana makmum tidak mendirikan solat berjemaah di masjid, bahkan mendirikannya di surau-surau hotel berdekatan dengan Masjidil Haram. Konsep solat berjemaah sebegitu adalah tidak sah di sisi mazhab Syafie dan jumhur ulama.

Cara solat berjemaah itu bagaimanapun adalah sah dalam mazhab Maliki dengan syarat makmum dapat mendengar suara dan pergerakan imam.

Pun begitu, pendakwah bebas tersebut tidak menyarankan amalan itu kerana ia termasuk perkara makruh yang boleh mengurangkan fadilat solat berjemaah.

“Walaupun solat berjemaah dalam bangunan berbeza dianggap sah di sisi mazhab Maliki, akan tetapi hukumnya makruh yang mengurangkan pahala solat berjemaah,” ucapnya.

Tambahnya, seseorang yang mengerjakan solat berjemaah tetapi tidak masuk ke dalam saf yang bersambung adalah satu perbuatan yang tidak digemari oleh Rasulullah SAW, apatah lagi saf yang terputus jauh.

Hal itu berdasarkan teguran Baginda terhadap Abu Bakrah RA, sepertimana yang dinyatakan dalam hadis sahih:

Abu Bakrah RA meriwayatkan bahawa beliau tiba ketika Nabi SAW keadaan rukuk, lalu beliau rukuk (setelah takbiratul ihram) sebelum masuk ke dalam saf, kemudian berjalan masuk ke dalam saf. Setelah itu ada seseorang memberitahu perkara ini kepada Rasulullah lalu baginda bersabda: “Semoga ALLAH menambahkan lagi semangat kamu, tetapi jangan ulangi (perbuatan ini).” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Mengakhiri ulasannya, Dr Syed Shahridzan mengingatkan jemaah agar tidak mengambil jalan mudah dalam beribadah. Sebaliknya, peluang keemasan berada di Tanah Suci seharusnya digunakan sebaik-baiknya dengan menggarap sebanyak mungkin ganjaran pahala.

Sumber: Fitrah Islami Online

Foto: Google

Zulhijah
Istimewa Panggilan Baitullah,

Pesta kedua umat Islam selepas Ramadan, 10 pertama Zulhijah

“RIBUAN tahun dahulu pesta kedua umat Islam selain Ramadan adalah sepuluh awal Zulhijah”

Demikian antara inti pati yang dikongsi oleh Ustaz Wadi Annuar dalam satu ceramah beliau baru-baru ini.

“Siapa yang pernah hidup sehingga hari ini dan tidak peduli satu sehingga 10 Zulhijah, saat inilah kembali sedar dan banyakkan amal soleh kerana sepuluh hari ini merupakan rutin pecutan amal seperti dilakukan golongan salafussoleh,” kongsinya.

Apabila masuk sahaja awal bulan Zulhijah, antara hadis ya ng paling masyhur mengenai kelebihan Zulhijah ini, ia digambarkan dengan hari yang lebih baik dari jihad.

Baca Juga Kelebihan berpuasa pada 10 hari pertama Zulhijjah, antara hadis palsu dan sahih

Akademi Darul Iftak menerusi satu hantaran di laman Facebook, berkongsi, mengenai makna di sebalik hadis 10 hari pertama dari bulan Zulhijah yang dapat memberikan pahala yang lebih besar dari Jihad.

Daripada Ibn Abbas dia berkata, Rasulullah SAW bersabda “ Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh ALLAH untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memaksudkan: 10 hari terawal Zulhijah-.”Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda,”Walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali (menemui syahid). (Hadis Riwayat Abu Daud) Status: Hadis Sahih

WALAUPUN ada antara kita yang tidak berkesempatan untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci, namun, kita masih berpeluang untuk beribadah pada bulan istimewa ini.

Pengajaran hadis:

1. ALLAH menyukai orang yang melakukan amal soleh pada 10 hari pertama dari bulan Zulhijah.

2. Orang yang melakukan amal soleh dalam tempoh ini dapat memberikan pahala yang lebih besar dari Jihad kecuali orang yang pergi berjihad itu gugur syahid.

3. Al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan: Yang jelasnya, antara sebab keistimewaan 10 hari awal Zulhijah ini berbanding hari lain ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah, korban dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain (Fath al-Bari).

ARTIKEL BERKAITAN 

4. Justeru peluang kita yang menemui 10 hari pertama Zulhijah ini perlu direbut untuk mempertingkatkan pelbagai amalan harian kita.

5. Amal soleh pada hari-hari awal 10 Zulhijah tidak terbatas. Ia meliputi solat, puasa, sedekah, bacaan al-Quran, zikir, berdoa, bertaubat, tahmid, takbir, tahlil, amar makruf nahi mungkar, tolong-menolong untuk kebaikan, menyebarkan ilmu, menyantuni anak yatim, membantu orang yang kesusahan, memberikan makan kepada fakir miskin dan seumpamanya.

DOA yang dianjurkan sepanjang bulan Zulhijah.

Doa di bulan Zulhijah

Selain melaksanakan ibadah sunat lain, antara perkara yang dituntut juga sepanjang bulan ini adalah dengan memperbanyakkan doa.

Seperti dikongsi oleh Ustaz Amirul Amin atau lebih dikenali sebagai PU Amin di laman TikTok, berikut merupakan doa yang dianjurkan sepanjang awal zulhijah ini.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya “Ya ALLAH, sungguh aku memohon kepada-MU ilmu yang bermanfaat (bagi diriku dan orang lain), rezeki yang halal dan amal yang diterima (di sisi-MU dan mendapatkan ganjaran yang baik).” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

“Kerana bulan Zulhijah ini ALLAH himpunkan semua amalan, ibadah haji, solat, puasa, arafah dan wakuf, semuanya berhimpun di satu bulan yang mulia.

“Amat rugilah jika kita mensia-siakan peluang untuk menambahkan pahala berlipat ganda ini.

Wukuf di Arafah
Istimewa Panggilan Baitullah,

Arab Saudi umum hari wukuf jemaah haji 27 Jun ini

KERAJAAN Arab Saudi mengumumkan hari wukuf yang merupakan kemuncak haji, adalah pada Selasa, 27 Jun ini sementara Hari Raya Aidiladha akan disambut pada Rabu, 28 Jun di sana.

Perkara itu dinyatakan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta turut dilaporkan media tempatan termasuk Saudi Gazette.

Wukuf dilakukan dengan berada di padang Arafah mulai tergelincirnya matahari (waktu Zohor) pada 9 Zulhijjah (27 Jun) sehingga sebelum fajar pada 10 Zulhijjah.

Kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia akan menyertai kira-kira tiga juta umat Islam seluruh dunia akan bergerak ke Arafah untuk melaksanakan rukun haji itu.

Baca Juga Elak ditipu ‘scammer’, fahami apa itu visa furada dan Jemaah Haji Pengelola (JPH)

Syed Saleh dalam sidang media, semalam, berkata tahap kesediaan khemah di Arafah dan Mina bagi operasi masyair untuk jemaah haji Malaysia kini telah mencapai tahap 80%.

Menurutnya dengan berbaki lapan hari lagi menjelang hari wukuf, pihak pengurusan di sembilan maktab penginapan akan mengadakan sesi taklimat bagi menerangkan antaranya mengenai pergerakan bas dan kemudahan di Arafah dan Mina kepada jemaah haji.

DATUK Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Ketua Rombongan Haji Malaysia.

Syed Saleh berkata, semua sektor telah membuat persediaan sewajarnya bagi memastikan operasi masyair berjalan dengan jayanya, termasuk mengadakan taklimat pada peringkat maktab berhubung pergerakan jemaah ketika kemuncak ibadah haji nanti.

“Setiap jemaah Malaysia juga akan diberikan nombor khemah dan tempat khusus untuk mereka di dalam khemah masing-masing di Arafah dan Mina. Ia akan dikeluarkan dalam waktu terdekat dan diedarkan kepada semua jemaah haji untuk diletakkan pada lencana pengenalan diri mereka,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN

Syed Saleh turut memaklumkan, hampir 300 khemah di Arafah dan Mina tersedia buat jemaah haji negara dengan beberapa penambahbaikan dilakukan tahun ini termasuk khemah berdinding PVC, bekalan elektrik di Arafah terus dari pencawang dan bekalan makanan keseluruhannya dibekalkan syarikat Malaysia.

“Sejumlah 139 khemah masyair untuk jemaah Malaysia disediakan di Arafah dengan setiap satu akan memuatkan purata 180 hingga 300 orang, bergantung pada saiz sesebuah khemah terbabit. Bilangan khemah di Mina juga adalah lebih kurang sama.

KESEMUA 31,600 jemaah haji Malaysia akan menyertai kira-kira tiga juta umat Islam seluruh dunia akan bergerak ke Arafah untuk melaksanakan rukun haji itu. Foto: REUTERS/Mohammed Salem

“Musim ini merupakan tahun kedua jemaah muassasah akan dibekalkan kemudahan tilam di dalam khemah Malaysia di Arafah dan Mina nanti.

“Penambahbaikan lain ialah penggunaan ‘wheeled litter carrier’ di lapangan masyair bagi membolehkan penghantaran pesakit secara lebih cekap dan efisien, antara lain lebih mudah dibawa melalui lorong kecil antara khemah jemaah, berbanding menggunakan pengusung biasa.

Baca Juga Persiapan Masya’ir haji capai 60%, jemaah siap sedia ke Arafah

“Selain itu, elektrik di Arafah akan dibekalkan 100 peratus secara terus daripada pencawang berbanding generator sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saleh berkata setakat ini, seramai 29,212 daripada 31,600 jemaah haji negara telah berada di Mekah.

Mengenai laporan kesihatan jemaah haji pula, setakat ini 56 jemaah haji berada di wad pusat rawatan Tabung Haji (TH), manakala lapan orang di fasiliti kesihatan Arab Saudi.

Bagaimanapun, tambahnya, kesemua mereka yang mengalami jangkitan paru-paru, masalah jantung dan sistem pencernaan, sakit kulit dan sendi berada dalam keadaan stabil.

Haji / Hajah
Istimewa Panggilan Baitullah,

Persiapan Masya’ir haji capai 60%, jemaah siap sedia ke Arafah

PERSEDIAAN untuk operasi Masya’ir, yang melibatkan pergerakan jemaah haji Malaysia ke Arafah, Muzdalifah dan Mina telah mencapai 60% menjelang hari wukuf pada 9 Zulhijjah atau 27 Jun ini.

Masya’ir adalah nama yang diberikan untuk hari-hari kemuncak ibadah haji yang meliputi ibadah wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan melontar di Mina.

Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman selaku Ketua Rombongan Haji Malaysia, menyatakan keyakinannya bahawa semua persiapan seperti khemah, bekalan elektrik, bekalan, dan bilik air akan siap sepenuhnya sebelum jemaah haji tiba di Arafah pada 8 Zulhijjah.

Seperti dilaporkan BERNAMA, Syed Saleh juga mengingatkan 31,600 jemaah haji negara untuk bersiap sedia menghadapi cuaca panas dan ruang khemah yang terhad.

Namun, Tabung Haji (TH) telah menyediakan kemudahan seperti penyaman udara dan klinik untuk memastikan keselesaan jemaah dalam melaksanakan ibadah haji.

OPERASI Masya’ir merupakan tahap puncak dalam operasi haji yang melibatkan perjalanan jemaah haji Malaysia ke Arafah, Muzdalifah, dan Mina. 

Sementara itu, TH juga mengadakan majlis bacaan Yasin, solat hajat, dan munajat bersama petugas haji di Ibu Pejabat TH Makkah, Abraj Janadriyah, semalam bagi memohon kelancaran operasi masyair.

Operasi Masya’ir merupakan tahap puncak dalam operasi haji yang melibatkan perjalanan jemaah haji Malaysia ke Arafah, Muzdalifah, dan Mina selama 5 hari bermula dari 8 hingga 13 Zulhijjah.

ARTIKEL BERKAITAN 

Tahap kesediaan operasi yang mencapai 60% ini memberikan keyakinan kepada jemaah Haji Malaysia bahawa segala persiapan akan selesai dengan baik menjelang perjalanan ke tempat-tempat suci tersebut.

Cuaca panas kering di Mekah dijangka cecah 43 darjah Celsius pada musim haji

Sementara itu, dalam laporan lain, Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi semalam mendedahkan ramalan keadaan cuaca di kota suci Mekah dan Madinah semasa musim haji akan datang.

Pusat tersebut menjangkakan iklim di Mekah agak panas dan kering pada waktu siang manakala sederhana pada waktu malam semasa tempoh berkenaan.

NCM menyatakan bahawa iklim di Madinah dijangka agak panas dan kering pada waktu siang dan sederhana pada waktu malam. 

Memetik portal Saudi Gazette, purata suhu maksimum ialah 43.6 darjah Celsius dan minimum ialah 29.6 darjah Celsius.

NCM menegaskan, kelajuan angin purata pula antara empat dan 10 kilometer (km) sejam dalam arah utara-barat laut, menyebabkan ribut debu dan mengakibatkan penurunan jarak penglihatan.

Baca Juga Elak ditipu ‘scammer’, fahami apa itu visa furada dan Jemaah Haji Pengelola (JPH)

Pada masa sama NCM menyatakan bahawa iklim di Madinah dijangka agak panas dan kering pada waktu siang dan sederhana pada waktu malam.

Purata suhu maksimum semasa musim haji ialah 43 darjah Celsius dan minimum ialah 29.3 darjah Celsius.

Pusat itu juga meramalkan bahawa kelajuan angin purata ialah 12 km sejam, manakala angin akan aktif pada masa-masa ke arah barat ke barat laut mendorong ribut debu dan mengakibatkan penurunan jarak penglihatan mendatar.

jemaah haji
Istimewa Panggilan Baitullah,

Anak naik haji di usia muda, ibu ini kongsi rahsia

Anak naik haji di usia muda, ibu ini kongsi rahsia…

KETIKA masih ramai yang menunggu panggilan haji di usia senja, bayangkan ketika berusia belasan tahun nama kita sudah dipanggil untuk menunaikan haji, pasti keterujaan itu sukar diungkapkan.

Kesedaran untuk menabung di tabung haji seharusnya dipupuk sejak awal lagi dan ia sebenarnya perlu bermula dari ibu ayah untuk melihat anak-anaknya dapat menunaikan rukun Islam kelima itu.

Seperti kisah dikongsi oleh seorang ibu yang penuh dedikasi dan konsisten berusaha membina hubungan yang rapat dengan Tabung Haji (TH) serta menetapkan matlamat tinggi untuk anak-anaknya dalam soal haji.

Baca Juga Wanita yang masih dalam idah, bolehkah tunai haji?

Keberhasilan seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Noor Azihan Sulaiman dalam membimbing anak-anaknya untuk menunaikan ibadah haji pada usia muda, tanpa disangka, telah menarik perhatian banyak orang.

Ramai yang bertanya kepada beliau, bagaimana anak-anaknya dapat menunaikan haji pada usia yang begitu muda.

Bermula dengan komitmen dirinya sendiri yang telah membuka akaun Tabung Haji (TH) ketika berusia 15 tahun semasa pameran di sekolah dan dari situlah hubungan eratnya dengan TH bermula.

NOOR Azihan Sulaiman, seorang ibu yang penuh dedikasi dan konsisten berusaha membina hubungan yang rapat dengan Tabung Haji (TH) serta menetapkan matlamat tinggi untuk anak-anaknya dalam soal haji.

Dimulai dengan hanya RM5, beliau telah menyimpan wang tersebut di TH Gerik. Cara ini dipraktikkan sepanjang zaman sekolah hingga beliau memulakan kerjaya sebagai guru dan memulakan potongan gaji secara tetap.

Sebelum menikah dan mempunyai anak, beliau telah membantu membuka akaun TH untuk murid-murid Tahun 1 beliau. Ketika itu, kaunter TH dibuka setiap hari Sabtu di bangunan Arkeb MARA Lenggong.

Beliau membentuk tabung simpanan untuk murid-murid beliau. Jika mereka masih ingat, setiap hari mereka akan menabung wang lebihan dari belanja sekolah mereka.

ARTIKEL BERKAITAN

Apabila simpanan murid-muridnya mencukupi RM5 atau lebih, Azihan akan membawanya ke kaunter TH. Usaha ini diteruskan hingga murid-muridnya menamatkan Tahun 6 dan kemudian memulangkan buku akaun TH kepada mereka.

Jika pada masa itu ibu bapa murid-muridnya teliti dan mendaftarkan haji anak-anak mereka, mungkin sekarang mereka semua sudah mengerjakan haji lebih awal daripada anak-anak beliau.

Jadi, tidak menghairankan jika beliau membuka akaun TH untuk anak-anaknya ketika mereka berusia dua minggu, sebaik saja mereka mendapatkan surat beranak dan kemudian mendaftarkan haji mereka.

NOOR Azihan sentiasa mendoakan agar anak-anaknya tetap istiqamah dalam melaksanakan ibadah, mencintai rumah ALLAH dan mencintai agama ALLAH.

Sasarannya adalah menabung RM100 sebulan, setahun RM1200, sepuluh tahun RM12,000 simpanan bersih tanpa bonus. Ini bermakna pada usia 10 tahun, mereka sudah memiliki cukup wang untuk mengerjakan haji.

Anaknya dapat panggilan haji pada usia 16 tahun

Azihan turut berkongsi, hasil daripada kesedaran menabung sejak kecil itu, anak lelakinya pada usia 16 tahun telah mendapat panggilan untuk menunaikan haji.

Baca Juga Jemaah haji Malaysia meninggal dunia, ini tatacara uruskan jenazah di Makkah atau Madinah

Anak-anaknya memang sejak kecil sangat giat belajar mengaji dan ingin khatam al-Quran secepat mungkin kerana beliau berjanji untuk membawa mereka umrah jika mereka semua telah khatam Quran.

Beliau tidak memaksa mereka, tetapi motivasi itu juga membuat mereka lebih bersemangat belajar mengaji dan mengkaji.

Ibu tersebut berdoa agar anak-anaknya tetap istiqamah dalam melaksanakan ibadah, mencintai rumah ALLAH dan mencintai agama ALLAH.

TREN MEKAH-MADINAH
Istimewa Panggilan Baitullah,

Tren Mekah-Madinah tingkat perkhidmatan sepanjang musim haji

SAUDI Railways meningkatkan perkhidmatannya di laluan Ekspres Haramain sepanjang musim haji tahun ini.

Agensi media Saudi pada Isnin, melaporkan, lebih 3,400 perjalanan disediakan yang akan menawarkan 1.5 juta tempat duduk untuk jemaah haji.

Ini bermakna perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi berkenaan yang membolehkan jemaah haji melakukan perjalanan antara Mekah dan Madinah dalam masa hanya dua jam 20 minit itu akan menjalankan 126 perjalanan sehari di laluan tersebut.

Baca Juga Waspada pakej visa furada yang meragukan – TH

Naib Presiden Haramain, Rayan Al-Harbi mengesahkan semua operasi kereta api untuk musim haji mengikut perancangan yang ditetapkan.

“Pada bulan Ramadan tahun ini, perkhidmatan Ekspres Haramain telah membawa lebih 818,000 penumpang dengan jarak 2,540 perjalanan.

“Penggunaan khidmat kerata api berkelajuan tinggi dilihat meningkat sebanyak 265 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.

PADA bulan Ramadan tahun ini, perkhidmatan Ekspres Haramain telah membawa lebih 818,000 penumpang. 

Kereta api berkelajuan tinggi Haramain

Terdahulu, Arab Saudi turut melaporkan, kerajaan negaranya komited akan memberikan khidmat terbaik kepada jemaah berdasarkan Wawasan 2030.

Antaranya, pembangunan projek Kereta Api Ekspres Haramain Mekah-Madinah memudahkan pergerakan pengunjung dari dalam dan luar Arab Saudi untuk sampai ke tapak suci, telah menyaksikan perkembangan ketara daripada segi infrastruktur dan organisasi.

Baca Juga Wanita yang masih dalam idah, bolehkah tunai haji?

Baca Juga Sampai ke Tanah Suci selepas setahun berjalan kaki 8,640 km

Projek yang turut dikenali sebagai ‘Kereta Api Barat’ atau ‘Kereta Api Berkelajuan Tinggi Mekah-Madinah’ itu merangkumi jarak sejauh 453km.

Ia menghubungkan Madinah dan Mekah menerusi Bandar Raya Ekonomi Raja Abdullah (KAEC) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, merangkumi laluan utama sepanjang 449.2km dan jajaran penghubung 3.75km ke lapangan terbang.

Kereta Api Berkelajuan Tinggi Haramain atau Laluan Barat serta Kereta Api Berkelajuan Tinggi Makkah-Madinah (HHSR) merupakan sistem pengangkutan kereta api berkelajuan tinggi antara bandar sepanjang 453 kilometer di Arab Saudi

Perkhidmatan itu dijangka memanfaatkan sehingga 60 juta penumpang setahun, termasuk jutaan jemaah haji dan umrah. Pembinaannya dimulakan pada Mac 2009.

Dengan kelajuan operasi 300km sejam, kereta api itu akan mengurangkan masa perjalanan antara Mekah dan Madinah kepada kurang dua jam, berbanding enam jam menaiki bas.

Turut Disyorkan Malaysia negara pertama wujudkan mesin ATM bebas fi

Baca Juga Elak ditipu ‘scammer’, fahami apa itu visa furada dan Jemaah Haji Pengelola (JPH)

Terdapat lima buah stesen yang terdiri daripada:

1.Stesen Madinah
2.Stesen Bandar Ekonomi Raja Abdullah
3.Stesen Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz
4.Stesen Jeddah
5.Stesen Makkah

Wanita dalam idah tunaikan haji
Hukum, Istimewa Panggilan Baitullah,

Wanita yang masih dalam idah, bolehkah tunai haji?

Wanita yang masih dalam idah, bolehkah tunai haji?

TATKALA hati masih dirundung kesedihan akibat kematian suami, wanita dalam idah tersebut menerima perkhabaran gembira. Permohonan dirinya untuk menunaikan ibadah haji akhirnya diterima.

Namun begitu, memikirkan ‘tempoh menunggunya’ masih belum berakhir, hasrat tersebut mungkin terpaksa dilupakan begitu sahaja.

Masakan tidak, wanita itu masih dalam waktu ‘berkabung’. Begitupun, pendirian balu tadi menjadi goyah apabila mengenangkan haji merupakan ibadah yang diwajibkan oleh syarak apabila adanya kemampuan.

Sebenarnya, bolehkah wanita dalam idah pergi haji?

Baca juga Wanita dalam idah tak boleh beraya walaupun pergi rumah anak sendiri, ini penjelasan agamawan…

Menjawab persoalan itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberikan huraian panjang lebar dalam Maktabah Albakri.

DR ZULKIFLI

Jelas agamawan itu, wanita yang sedang dalam idah akibat kematian suami tidak boleh mengerjakan haji.

Beliau bersandarkan kepada fatwa daripada Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah yang menyatakan, kaum Hawa yang beridah kematian suami tidak boleh untuk bermusafir bagi melaksanakan waima ibadah haji mahupun umrah.

“Ini kerana tidak boleh baginya untuk keluar rumah semasa dalam tempoh idah berkenaan melainkan adanya hajat atau keperluan.

“Apatah lagi, haji sebenarnya termasuk dalam jenis ibadah yang diwajibkan ke atas orang Islam secara tarakhi (boleh ditangguhkan) selepas memenuhi syarat istita’ah, dan bukannya mesti secara faur (langsung dan segera).

“Ketahuilah, wanita dalam idah tersebut tidak dikira berdosa jika menangguhkan ibadah hajinya pada tahun berikutnya hingga dia selesai menjalani idahnya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #1646: Wanita dalam Iddah Menunaikan Haji.

Pandangan tersebut dikukuhkan lagi dengan fakta yang turut dikemukakan dalam Kitab Mughni al-Muhtaj.

Baca juga Jemaah haji Malaysia meninggal dunia, ini tatacara uruskan jenazah di Makkah atau Madinah

Dr Zulkifli kemudian menukilkan pandangan Ibn Hajar al-Haitami dalam Kitab al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir yang menyatakan, wanita idah yang keluar dari rumahnya sebelum selesainya tempoh berkenaan tanpa sebarang alasan diizinkan syarak, ia adalah termasuk dalam dosa-dosa besar.

Wanita dalam idah

WANITA dalam idah kerana kematian suami tidak boleh untuk bermusafir untuk tunaikan ibadah haji mahupun umrah. -Foto: Unsplash

“Ini kerana menjadi kewajipannya untuk berada di rumah sebagaimana ditetapkan oleh ALLAH SWT bagi memelihara nasab dan selainnya,” katanya.

Ujar mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu, pendapat itu juga selari dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkaitan wanita beridah kerana kematian suami.

Jakim menyenaraikan beberapa perkara yang mesti dipatuhi iaitu:

– Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.

– Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Andai pernikahan dilangsungkan juga semasa dalam tempoh tersebut, ia tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.

– Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk bermusafir kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja.

Wanita dalam idah

HARAM wanita dalam idah menerima pinangan atau berkahwin dengan lelaki ajnabi. -Foto: 123rf

Antara keperluan penting yang membolehkan kaum Hawa keluar dari rumah adalah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang keperluan asasi (andai tiada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak.

Ia dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab sebagaimana disyariatkan. Bagaimanapun, keharusan itu hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam.

Begitupun, pengecualian diberikan kepada individu tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya.

Termasuk dalam larangan bermusafir adalah menunaikan ibadah fardu haji dan umrah.

– Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya sepanjang tempoh perkahwinan.

– Wajib berkabung sepanjang tempoh idah.

– Memakai pakaian berwarna terang atau berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang yang memandang.

– Memakai barangan kemas walaupun sebentuk cincin, gelang, rantai dan barang-barang perhiasan lain yang diperbuat daripada emas, perak dan permata.

Wanita dalam idah

WANITA dalam idah tidak boleh memakai perhiasan termasuk emas. -Foto: 123rf

– Memakai wangi-wangian pada anggota badan, rambut dan pakaian.

– Bersolek, memakai celak, berinai dan memakai minyak rambut serta perbuatan-perbuatan lain yang dianggap sebagai berhias pada pandangan masyarakat setempat.

Bagi wanita yang kematian suami ketika dirinya sudah pun berada di Makkah dan sukar serta payah untuknya pulang ke tanah air bagi membolehkannya menjalani iddah di rumah, Dr Zulkifli berpandangan, tidak mengapa dia berada di sana dan menyelesaikan ibadah hajinya.

“Ia dengan syarat sepanjang tempoh tersebut, dia hendaklah meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan (iaitu semasa dalam berkabung) sekalipun ia tidak termasuk dalam larangan ihram haji.

“Pada masa sama, jangan tinggalkan perkara-perkara lain yang diwajibkan ke atas wanita beridah sedaya mungkin. Kemudian, segera pulang selepas menunaikan ibadah haji andai mampu berbuat demikian,” ungkapnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.