10 awal Zulhijah janjikan pahala berganda..
SEMALAM, satu pengumuman rasmi telah dimaklumkan oleh Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Datuk Mohd Aseral Jusman bahawa umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun ini.
Ini menunjukkan permulaan awal Zulhijjah telah bermula dan pada bulan ini kita digalakkan untuk memperbanyakkan amal soleh terutamanya 10 hari pertama di bulan Zulhijjah.
Walaupun ada antara kita yang tidak berkesempatan untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci, namun, kita masih berpeluang untuk beribadah pada bulan istimewa ini.
Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas RA, Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh ALLAH untuk dilakukan melainkan hari-hari ini, baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijjah-.”Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya? ”Baginda bersabda,”Walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Terdapat pelbagai amalan boleh dilaksanakan untuk mendekatkan diri dan meningkatkan ketakwaan kepada ALLAH SWT di 10 hari awal Zulhijah ini seperti dikongsi oleh Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Dr Azri Bhari.
Antara amalan boleh dilaksanakan bagi meraih kelebihan dan keistimewaan di sisi ALLAH SWT adalah seperti berikut.
Pertama adalah solat. Ibadah solat adalah amalan pertama sekali dihisab pada hari akhirat kelak. Solat sunat berperanan menyempurnakan kekurangan berlaku atau terdapat pada solat fardu lima waktu. Umat Islam boleh membiasakan diri mendirikan pelbagai solat sunat antaranya solat sunat rawatib, tahajjud dan witir.
Oleh kerana 10 hari awal Zulhijjah ini hari amal ibadah dilakukan padanya paling disukai ALLAH SWT, maka amalan solat sunat wajar dipertingkatkan dan diperbanyakkan.
ARTIKEL BERKAITAN
- 10 awal Zulhijjah, hari yang lebih baik daripada jihad
- Hikmah daripada tarikh-tarikh penting sepanjang Zulhijjah 1443Hijrah
- Bersedekah, jaga silaturahim antara 10 amalan digalakkan, pada 10 hari pertama Zulhijjah
- Buat jemaah haji, ini pengumuman miqat haji yang wajib diambil tahu
Kedua, berpuasa. Ibadah puasa yang juga amalan paling utama pada hari pertama hingga sembilan Zulhijjah ini. Kelebihan berpuasa terdapat di dalam hadis qudsi bermaksud; “ALLAH SWT berfirman: Semua amal ibadah anak Adam adalah bagi dirinya sendiri kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu adalah untuk-KU dan AKU sendiri mengurniakan ganjaran pahala baginya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Berpuasa menjadi sunah Nabi SAW seperti hadis bermaksud; “Empat perkara tidak pernah ditinggalkan Rasulullah – puasa Asyura, puasa 10 hari awal Zulhijjah), puasa tiga hari setiap bulan dan dua rakaat sebelum subuh.” (Hadis Riwayat Nasai)
Ketiga, mengingati ALLAH SWT. Pada hari sangat dicintai ALLAH, amalan sangat baik dialukan umat Islam adalah berzikir, bertakbir, tahmid, tasbih dan tahlil.
Segala bentuk amalan mengingatkan kita kepada ALLAH sangat dituntut seperti maksud hadis Nabi SAW: “Tiada hari lebih agung dan disukai ALLAH untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka, banyakkan tahlil, takbir dan tahmid kepada-NYA.” (Hadis Riwayat Ahmad).
Keempat, melaksanakan ibadah korban. Ia adalah satu ibadah agung menerusi peristiwa Nabi Ibrahim diperintah mengorbankan anaknya, Nabi Ismail.
Kelima, bertaubat dan memohon keampunan (istighfar) kepada ALLAH SWT. Setiap umat Islam perlu berterusan melakukan taubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat.
Baca Juga Persiapan Masya’ir haji capai 60%, jemaah siap sedia ke Arafah
Keenam, memperbanyakkan berdoa. Hadis Nabi SAW bermaksud; “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Hadis Riwayat Malik).
Amalan terbaik pada hari wukuf di Arafah adalah berdoa kepada ALLAH SWT. Ia waktu berdoa paling mustajab dan paling dekat untuk dimakbulkan.
Selain amalan dinyatakan di atas, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan soleh seperti bersedekah, membaca al-Quran, menuntut ilmu dan sebagainya.
Justeru, keistimewaan dan kelebihan ALLAH SWT kurniakan pada 10 hari awal Zulhijjah ini perlu direbut umat Islam meraih cinta dan kasih sayang ALLAH SWT.