JIHAD merupakan satu perkara yang paling besar jika dibahaskan secara menyeluruh dalam konteks Islam. Di dalam al-Quran banyak dalil ALLAH SWT mengenai kelebihan jihad ini.
Jika diberi peluang untuk berjihad di jalan ALLAH, pasti setiap umat Islam tidak akan melepaskannya. Namun, ada hari di dalam takwim Islam, hari yang disebut sebagai hari yang lebih baik dari jihad yakni 10 awal Zulhijjah.
Menerusi perkongsian daripada Dr. Ahmad Sanusi Azmi, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di laman Facebooknya mengenai 10 hari awal Zulhijjah.
Baca juga Hikmah daripada tarikh-tarikh penting sepanjang Zulhijjah 1443Hijrah
Terdapat banyak kelebihan sehingga Rasulullah meletakkan 10 hari terawal Zulhijjah sebagai hari yang mesti dipertingkatkan amalan harian. Baginda melihatnya sebagai hari yang sangat dicintai oleh ALLAH untuk melakukan amalan soleh.
Daripada Ibnu Abbas RA, Nabi SAW bersabda “tiada amalan yang dilakukan pada hari lain yang lebih baik daripada amalan pada 10 hari ini. Para sahabat bertanya: Walaupun Jihad? Baginda menjawab: Tidak juga jihad, kecuali jika seseorang keluar dengan nyawa dan hartanya dan tidak kembali lagi. (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Mengapa 10 hari pertama Zulhijjah ini lebih baik dari Jihad?
Menurut al-Imam Ibn Hajar “secara zahirnya, sebab yang menjadikan 10 hari pertama Zulhijjah ini lebih utama dari yang lain kerana 10 hari ini menghimpunkan semua amalan utama di dalam Islam iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain”.
Sehingga atas dasar itu al-Imam Ibn Taimiyyah menganggap 10 hari pertama ini lebih utama dari 10 hari terakhir dari bulan Ramadan. Kata beliau:
أيام عشر ذي الحجة أفضل من أيام العشر من رمضان والليالي العشر الأواخر من رمضان أفضل من ليالي عشر ذي الحجة
Sepuluh hari awal Zulhijjah lebih afdal daripada sepuluh hari akhir Ramadhan, dan malam sepuluh akhir Ramadan, lebih afdal daripada malam sepuluh awal Zulhijjah.
Rasulullah SAW bersabda “tidak ada hari yang lebih besar di sisi ALLAH dan tidak ada hari yang lebih disayangi oleh ALLAH supaya kita beramal di dalamnya melainkan pada 10 hari ini. Maka perbanyakkanlah bertahlil, bertakbir dan bertahmid” (Hadis Riwayat at-Tabrani)
Amalan-amalan sunah yang dianjurkan;
1)Anjuran untuk tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu mahupun kuku ke
atas orang yang melakukan ibadah korban
2) Berpuasa pada hari Arafah
3) Memperbanyakkan berdoa
4) Menghidupkan suasana hari raya dengan takbir
5) Memperbanyakkan berzikir
6) Memperbanyakkan sedekah
7) Mentadabbur ayat al-quran
8) Melakukan ibadah korban bagi yang mampu
9) Makan daging korban dan berikan sedekah kepada asnaf dan fakir miskin
10) Larangan berpuasa pada hari-hari tasyrik
Baca juga Pusat rawatan Malaysia di Arab Saudi bertaraf antarabangsa
Itulah antara kelebihan dan kehebatan 10 hari awal Zulhijjah, hari yang lebih baik dari jihad. Oleh itu sebagai umat Islam, rebutlah peluang yang ada ini sebagai gedung untuk menambahkan pahala dengan amalan-amalan yang bermanfaat seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi SAW.