ZULHIJJAH merupakan bulan terakhir di dalam kalendar Hijrah. Ibadat Haji dilakukan pada bulan ini dan Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidiladha disambut pada setiap 10 Zulhijjah.
Hari Raya Aidiladha dirayakan oleh seluruh umat Islam yang menunaikan ibadah haji mahupun yang tidak. Perayaan ini adalah satu simbolik dalam peristiwa penyembelihan Nabi Ismail oleh ayahandanya Nabi Ibrahim, namun ALLAH SWT telah menukarkan penyembelihannya kepada seekor kibas.
KELEBIHAN 10 HARI PERTAMA ZULHIJJAH
Daripada Ibnu Abbas RA, Nabi SAW bersabda “tiada hari dimana melakukan amalan soleh padanya paling disukai oleh ALLAH melainkan hari-hari ini pada 10 hari pertama Zulhijjah, para sahabat bertanya, “wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya?”Baginda bersabda,”Walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (Hadis Riwayat Bukhari, Abu Daud, Ibn Majah, Tirmidzi)
Firman Allah dalam surah al-Fajr 1 hingga 3 juga menyatakan;
وَلَيَالٍ عَشْرٍ
“Demi malam yang sepuluh.”
Imam at-Tobari menafsirkan “sebagai malam-malam sepuluh hari awal Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujah daripada ahli tafsir.
Baca juga Inilah ENAM persiapan rohani sebelum tunaikan haji
ALLAH telah bersumpah dengannya (malam yang sepuluh). Bersumpahnya ALLAH dengan sesuatu menjadi dalil tentang besarnya manfaat (sepuluh hari tersebut).
AMALAN YANG PERLU DIPERBANYAKKAN
1. Puasa
2. Tahlil, Takbir & Tahmid.
Daripada Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW baginda bersabda “tidak ada hari yang lebih besar di sisi ALLAH SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh ALLAH dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid. (Musnad Ahmad)
• Mula puasa sunat daripada (1 hingga 8 Zulhijjah)
Niat puasa harian bulan Zulhijjah
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ ذِيْ الْحِجَّةِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَ
(Sahaja aku berpuasa sunat bulan Zulhijjah kerana ALLAH Taala)
• Puasa sunat Arafah (9 Zulhijjah)
نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِلّهِ تَعَلٰى
(Sahaja aku berpuasa sunat hari Arafah kerana ALLAH Ta’ala)
• Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah)
ALLAH berfirman di dalam surah Al-Kauthar ayat 1 “sesunguhnya KAMI telah memberikan kurnia yang sangat banyak kepadamu, maka solatlah untuk Tuhanmu dan sembelihlah korban (sebagai tanda kesyukuran)
• Hari Tasyrik (11 hingga 13 Zulhijjah)
ALLAH berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 203 “dan sebutlah kamu akan ALLAH dalam beberapa hari yang tertentu bilanganya”
Hari Tasyrik iaitu hari ke-11,12, dan 13 Zulhijjah adalah diharamkan berpuasa.
Bagi mereka yang sedang melakukan ibadah Haji dan sedang berwukuf di Arafah, hari ke-9 Zulhijjah juga dilarang melakukan ibadah puasa. Namun bagi mereka yang bukan berada dalam ihram, disunatkan berpuasa pada hari wukuf.
Baca juga Tak sempat sembelih haiwan korban hari ini, boleh ke buat hari lain?
Perkongsian mengenai tarikh-tarikh penting bulan Zulhijjah tahun ini dikongsi oleh seorang pengguna Facebook Umar Aziz. Semoga setiap perkongsian membawa manfaat dan berguna kepada setiap lapisan masyarakat dan umat Islam.