RUPANYA ramai yang salah faham waktu mustajab doa pada Hari Arafah
Dalam kita sibuk melakukan persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha akan tiba, jangan lupa bahawa esok adalah 9 Zulhijjah yang merupakan Hari Wukuf atau Hari Arafah bagi mengerjakan ibadah haji.
Amalan terbaik pada hari wukuf adalah berdoa kepada ALLAH SWT. Ia merupakan waktu berdoa yang paling mustajab sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW:
“Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah, “لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِير”. (Tidak ada yang berhak disembah selain ALLAH YANG SATU , tidak ada sekutu bagi-NYA, milik-NYA kekuasaan dan milik-NYA segala pujian, dan DIA MAHA BERKUASA atas segala sesuatu).” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Baca juga Banyakkan Berdoa Pada Hari Arafah Ini, Antara Waktu Terbaik Doa Dimakbulkan
Wukuf dan doa mustajab adalah perkara yang dikhususkan untuk jemaah haji yang berada di Arafah, namun bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, mereka juga boleh mengambil peluang dan kelebihan Hari Arafah untuk berdoa di tempat masing-masing sepanjang tempoh tersebut.
Perihal waktu mustajab berdoa pada Hari Arafah, pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli berkata, ada suatu salah faham yang berleluasa dalam umat Islam di Malaysia.
Menurut beliau, wujud segelintir masyarakat setempat yang percaya bahawa waktu paling mustajab berdoa pada hari berkenaan menyamai waktu jemaah haji sedang berwukuf di Arab Saudi.
“Masyarakat kita ada satu falsafah. Dia hendak cari waktu mustajab doa itu (dengan menyamakan) pada waktu jemaah haji wukuf di Saudi.
Dia kata waktu mustajab berdoa di Malaysia adalah 6.36 petang, contohnya, kerana pada saat itu, jemaah haji (sedang berwukuf) di Mekah,” ujarnya menerusi rancangan My #HadithTime yang disiarkan di Facebook.
Kata beliau lagi, perkara ini sering berlaku sebaik tiba sahaja Hari Arafah. Setiap tahun, pasti akan ada individu yang berkongsikan waktu spesifik yang dianggap paling sesuai untuk berdoa
“Tiap-tiap tahun viral, “Sekarang ini waktu mustajab doa. Waktu inilah jemaah haji sedang berwukuf di Arafah.” Mesti ada orang kongsi tentang waktu mustajab adalah sekian-sekian.”
Baca juga Doa Arafah ini berbeza kerana meliputi semua doa-doa yang masyhur
Bagi Fahmi, beliau tidak bersetuju amalan mengkhaskan satu waktu tertentu paling mustajab untuk berdoa pada Hari Arafah di Malaysia dengan menyamakan pada masa jemaah haji berwukuf.
“Sebenarnya tidak betul kefahaman begini kerana waktu mustajab doa adalah pada Hari Arafah. Nabi kata sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah. Hari Arafah pula adalah 9 Zulhijjah.
“Nabi tidak sebut sebaik-baik doa adalah pada hari jemaah haji berwukuf di Arafah. Nabi tidak kata secara spesifik waktu mustajab doa seolah-olah kita di Malaysia perlu ikut waktu bila jemaah haji wukuf di Arafah,” jelasnya.
Beliau mengingatkan bahawa keseluruhan tarikh 9 Zulhijjah itu dikira waktu mustajab dan rakyat Malaysia boleh berdoa pada bila-bila masa sahaja sepanjang tempoh tersebut tanpa menunggu masa tertentu.
“Jangan sempitkan benda yang luas. Tidak perlu tunggu pukul 6.36 petang baru hendak berdoa. Hari Arafah di Malaysia dan 9 Zulhijjah itu secara keseluruhannya adalah untuk berdoa,” pesan Fahmi.
Oleh itu, ambillah peluang mengisi Hari Arafah yang akan bermula esok dengan memanjatkan doa kepada ALLAH SWT memohon keampunan serta keberkatan daripada-NYA.
Foto: Freepik