Bersendirian di saf belakang atau berada lebih tinggi dari imam, antara posisi makruh makmum perlu elak ketika solat berjemaah…
SESIAPA sahaja yang menghadiri solat berjemaah pastinya mengharapkan kebaikan penuh daripada ibadah itu, antaranya seperti meraih pahala sebanyak 27 darjat, dibebaskan daripada azab api neraka dan sebagainya.
Namun, untuk mendapatkan fadilat solat berjemaah paling sempurna, ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan oleh para Muslimin, antaranya posisi makmum dalam saf solat.
Ilmuwan Islam, Syeikh Syamsuddin ar-Ramli berkata, seseorang yang mengikuti solat berjemaah tetap akan mendapat kebaikan utama ibadah itu. Pun begitu, fadilat yang diraih mungkin tidak begitu sempurna jika ada kecacatan pada solat seperti kedudukan saf.
Baca juga [Video] Perlukah buka tabir tempat muslimat ketika solat berjemaah?
Turut disyorkan Lepas takbiratul ihram kepala mula melayang entah ke mana, Dr Hadi kongsi 5 formula khusyuk solat
Justeru dalam artikel kali ini, Sinar Islam Plus memetik portal NU Online tentang beberapa kedudukan saf yang dianggap makruh lantas perlu dielakkan oleh para jemaah dalam solat berjemaah:
1. Posisi makmum sama dengan imam.
Makmum tidak boleh menyamai kedudukan imam, contohnya posisi tumit jemaah selari dengan tumit imam dalam saf solat. Hukumnya adalah makruh dan dia tidak akan mendapat fadilat penuh solat berjemaah.
2. Makmum berdiri di sebelah kiri imam.
Makruh jika jemaah berada di sebelah kiri imam atau terlalu jauh di belakang imam. Sepatutnya makmum berdiri di sebelah kanan imam melainkan ada sebab yang tidak membenarkan dia berada di bahagian tersebut.
Baca juga Bila imam terkurang atau terlebih rakaat, makmum kena lakukan ini…

MAKMUM tidak boleh menyamai kedudukan iman dalam solat berjemaah. Foto: Google
3. Makmum kedua berdiri di sebelah kanan imam.
Selain itu, hukumnya makruh jika makmum kedua berdiri di sebelah kanan jemaah pertama yang sudah berada di sebelah kanan imam. Dalam erti kata lain, apabila datang makmum baru dan dia orang yang kedua, maka dia perlu berdiri di sebelah kiri imam ketika solat.
4. Makmum pertama berundur sebelum takbiratul ihram.
Jika jemaah pertama berdiri di sebelah kanan imam, kemudian makmum kedua datang ke kiri, barulah imam boleh maju ke hadapan atau yang lebih baik, kedua-dua jemaah itu berundur sedikit.
Jika makmum pertama berundur sebelum takbiratul ihram kedua, atau tetap berdiri tanpa berundur, atau berundur tetapi tidak berdiri, maka itu adalah makruh.
Baca juga Sebut ‘amin’ selepas imam baca al-Fatihah, akan berguguranlah dosa yang telah lalu

IKUTI turutan saf yang betul ketika mendirikan solat berjemaah untuk meraih pahala berganda. Foto: 123RF
Baca juga Perbetulkan posisi saf solat berjemaah bersama keluarga, raih pahala berganda
5. Tidak mengikut turutan saf betul jika ada ramai jemaah.
Jika ada dua jemaah lelaki, maka kedua-duanya berada di belakang imam. Begitu juga, jika ada makmum wanita dan imamnya lelaki, maka kedudukan mereka adalah di belakang imam, bukan di kanan atau kirinya.
Seterusnya, dalam hal seorang lelaki dewasa bersama seorang kanak-kanak lelaki, kanak-kanak itu hendaklah berada bersebelahan makmum lelaki dewasa di belakang imam. Makmum wanita pula perlu berada di belakang jemaah kanak-kanak lelaki tersebut. Dalam masa sama, jemaah kanak-kanak perempuan akan berada bersama jemaah wanita yang lain.

SOLAT yang dilakukan dalam posisi saf berhukum makruh, tetap sah, namun fadilat yang diterima mungkin tidak sempurna.
6. Berdiri berseorangan di saf belakang.
Yang paling utama, makmum memenuhi saf hadapan jika ada kekosongan.
Namun, jika tidak ada kekosongan di saf hadapan dan makmum berseorangan di saf baru, dia disunatkan menarik salah seorang jemaah dari hadapan untuk berdiri bersamanya bagi mendapatkan fadilat berjemaah. Syaratnya, makmum itu hendaklah mengangkat takbiratul ihram terlebih dahulu.
Walau bagaimanapun, makmum yang berseorangan itu dilarang menarik jemaah berada di hadapan, sebelum takbiratul ihram.
Turut disyorkan Jangan biarkan saf kosong, ini sebab-sebabnya
7. Kedudukan imam lebih tinggi daripada makmum.
Ia dianggap makruh juga sekiranya imam berada di posisi lebih tinggi daripada jemaah dan sebaliknya, melainkan jika ada keperluan.
Berikut adalah posisi-posisi makruh bagi makmum dalam solat berjemaah. Jika tidak dituruti, solat yang didirikan tetap sah, namun akan mengurangkan pahala berjemaah.
Sumber: NU Online
Foto: Pexels, Google & 123RF