Dr Hadi kongsi 5 formula khusyuk solat….
SOLAT merupakan ibadat utama dalam Islam. Solat juga termasuk dalam rukun Islam yang membezakan antara umatnya yang patuh dan kufur.
Bahkan, dalam satu hadis Baginda SAW bahawa amalan pertama dihitung di akhirat kelak adalah solat. Jika sekiranya hitungan solat adalah baik, maka segala amalan yang lain akan baik-baik belaka. Namun, dalam melaksanakan solat tentu sekali kita mahu mencapai tahap khusyuk.
Khusyuk dalam solat merupakan salah satu ciri orang beriman sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya telah berjayalah orang Mukmin, yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1 hingga 2)
Memetik perkongsian oleh Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah mengenai solat yang dilaksanakan dengan khusyuk dapat mencegah pelakunya daripada perbuatan keji dan buruk.
Hal ini sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan buruk dan mungkar.” (Surah al-Ankabut ayat 45)
Seperti yang dikongsi oleh beliau, terdapat lima formula yang boleh diteliti dan diamalkan bagi memperoleh khusyuk dalam solat.
1. At-Tafahhum: Mengetahui serta memahami segala bacaan dalam solat serta menghayati makna-maknanya.
2. At-Takzim: Merasakan kebesaran ALLAH SWT seolah-olah diri sedang berada di hadapan-NYA.
3. Al-Haybah: Menghadirkan perasaan gerun terhadap kekuasaan dan kebesaran ALLAH SWT.
4. Ar-Raja’: Mengharapkan kerahmatan dari ALLAH SWT dengan penuh pengharapan bahawa segala ibadat diterima oleh-NYA.
5. Al-Haya’: Berasa malu akan ALLAH SWT kerana kealpaan diri dalam mengotakan janji kepada-NYA serta kekurangan diri dalam beribadat kepada-NYA.
Ujarnya lagi, perasaan malu kepada ALLAH SWT akan menjadikan kita selalu berhati-hati dalam setiap langkah dan gerak-geri seharian.
“Diriwayatkan bahawa seorang sahabat pernah meminta nasihat daripada Nabi Muhammad SAW, lalu baginda menjawab yang bermaksud: “Aku mewasiatkan kepada kamu agar kamu malu akan ALLAH SWT sebagaimana kamu malu kepada lelaki soleh dalam kalangan kamu.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)
BACA JUGA Kempen ‘Masjid Merindui Anda’ pupuk rasa cinta solat berjemaah
“Oleh itu, marilah sama-sama kita berusaha mengamalkan formula ini bagi mencapai kekhusyukan dan kesempurnaan dalam melaksanakan ibadah solat seharian,” katanya.