Labbaikallah…’bererti menyahut seruan ILAHI, maksimumkan rasa kehambaan kepada-NYA….
Ucapan “Labbaikallah” merupakan simbol seseorang itu menyahut panggilan ALLAH SWT untuk mengerjakan ibadat haji atau umrah.
Dari segi bahasa pula, “Labaikka” bermaksud “Kami datang kepada-MU atau Kami menyahut seruan-MU ”.
Orang yang mengerjakan haji atau umrah dilarang melakukan rofas (yang bermaksud perbuatan keji dari segi perkataan dan perbuatan). Oleh sebab untuk menjaga pertuturan, jemaah digalakkan mengucapkan “Labbaikallah”.
Untuk rujukan lebih mendalam, Mufti Wilayah Persekutuan di laman Bayan Li Al-Haj Siri 25 : Pengertian Talbiah Dan Waktunya, menjelaskan ucapan talbiah atau “Labaikka” ini dilaungkan setelah berihram ketika berada di Tanah suci.
Maksud yang dikehendaki dari laungan talbiah ini ialah menyahut seruan ALLAH SWT, pembuka ucapan dan pengakuan atau ikrar, iltizam serta komitmen perjanjian dan kata-kata langsung atau berdialog dengan ALLAH SWT.
Lafaz talbiah adalah seperti berikut:
لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيْكَ. لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ. اِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَاْلملْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ
Maksudnya: “Hamba-MU datang menyahut panggilan-MU YA ALLAH. Hamba-MU datang menyahut panggilan-MU. Hamba-MU datang menyahut panggilan-MU. Tuhan yang tiada sekutu bagi-MU. Hamba-MU datang menyahut panggilan-MU. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan-MU, tiada sekutu bagi-MU.”
Waktu disunatkan membaca “Labaikkallah”
Sunat membaca laungan talbiah ini dimulai daripada berniat ihram hingga permulaan tawaf bagi yang mengerjakan umrah dan hingga mulai melontar jamrah al-Kubra atau mulai tawaf atau bercukur mengikut amalan mana yang didahulukan bagi yang mengerjakan haji.
Dalam hadis As-Sa’ib bin Khallad, Rasulullah SAW bersabda “Telah datang kepadaku Jibril AS, maka dia memerintahkan aku untuk memerintahkan sahabat-sahabatku agar mengangkat suara-suara mereka ketika berihlal atau bertalbiah” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
ARTIKEL BERKAITAN
- Arab Saudi umum hari wukuf jemaah haji 27 Jun ini
- Persiapan Masya’ir haji capai 60%, jemaah siap sedia ke Arafah
- Anak naik haji di usia muda, ibu ini kongsi rahsia
- Tren Mekah-Madinah tingkat perkhidmatan sepanjang musim haji
- Sampai ke Tanah Suci selepas setahun berjalan kaki 8,640 km
- Jemaah haji Malaysia meninggal dunia, ini tatacara uruskan jenazah di Makkah atau Madinah
Bacaan talbiah disunatkan bagi lelaki untuk menyaringkan dan meninggikan suara dan tidak pula disunatkan bagi wanita. Justeru, bacaan talbiah akan berterusan, berulang-ulang dan bergema di seluruh tanah haram Mekah dimana berkumpulnya semua jemaah haji.
Firman ALLAH SWT “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Surah al-Hajj ayat 27)
Talbiah sememangnya digalakkan oleh Nabi SAW bagi setiap jemaah haji. Bahkan, perkara ini dianggap sunat (mustahab).
Walau bagaimanapun, jika seseorang jemaah haji itu meninggalkan perbuatan talbiah, haji yang dilakukannya tetap sah namun mereka tidak mendapat pahala fadilat talbiah tersebut. Ini jelas berdasarkan hadis di bawah:
Daripada Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA, bahawa Nabi SAW telah ditanya “Apakah haji yang paling afdal? Baginda menjawab: “Menyaringkan ucapan talbiah dan menyembelih binatang korban” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Tuntasnya, Mufti mengingatkan para jemaah haji bahawa ibadah haji yang dilakukan adalah satu peluang yang harus digunakan dengan sebaik-baiknya.
Oleh itu, gunakanlah kesempatan itu untuk memperbanyakkan lagi amalan-amalan yang mampu mendekatkan diri kepada haji yang mabrur.