KERAJAAN Arab Saudi mengumumkan hari wukuf yang merupakan kemuncak haji, adalah pada Selasa, 27 Jun ini sementara Hari Raya Aidiladha akan disambut pada Rabu, 28 Jun di sana.
Perkara itu dinyatakan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta turut dilaporkan media tempatan termasuk Saudi Gazette.
Wukuf dilakukan dengan berada di padang Arafah mulai tergelincirnya matahari (waktu Zohor) pada 9 Zulhijjah (27 Jun) sehingga sebelum fajar pada 10 Zulhijjah.
Kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia akan menyertai kira-kira tiga juta umat Islam seluruh dunia akan bergerak ke Arafah untuk melaksanakan rukun haji itu.
Baca Juga Elak ditipu ‘scammer’, fahami apa itu visa furada dan Jemaah Haji Pengelola (JPH)
Syed Saleh dalam sidang media, semalam, berkata tahap kesediaan khemah di Arafah dan Mina bagi operasi masyair untuk jemaah haji Malaysia kini telah mencapai tahap 80%.
Menurutnya dengan berbaki lapan hari lagi menjelang hari wukuf, pihak pengurusan di sembilan maktab penginapan akan mengadakan sesi taklimat bagi menerangkan antaranya mengenai pergerakan bas dan kemudahan di Arafah dan Mina kepada jemaah haji.
Syed Saleh berkata, semua sektor telah membuat persediaan sewajarnya bagi memastikan operasi masyair berjalan dengan jayanya, termasuk mengadakan taklimat pada peringkat maktab berhubung pergerakan jemaah ketika kemuncak ibadah haji nanti.
“Setiap jemaah Malaysia juga akan diberikan nombor khemah dan tempat khusus untuk mereka di dalam khemah masing-masing di Arafah dan Mina. Ia akan dikeluarkan dalam waktu terdekat dan diedarkan kepada semua jemaah haji untuk diletakkan pada lencana pengenalan diri mereka,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN
- 10 awal Zulhijah janjikan pahala berganda
- Jemaah haji Malaysia meninggal dunia, ini tatacara uruskan jenazah di Makkah atau Madinah
- Anak naik haji di usia muda, ibu ini kongsi rahsia
- Sampai ke Tanah Suci selepas setahun berjalan kaki 8,640 km
- Malaysia negara pertama wujudkan mesin ATM bebas fi
Syed Saleh turut memaklumkan, hampir 300 khemah di Arafah dan Mina tersedia buat jemaah haji negara dengan beberapa penambahbaikan dilakukan tahun ini termasuk khemah berdinding PVC, bekalan elektrik di Arafah terus dari pencawang dan bekalan makanan keseluruhannya dibekalkan syarikat Malaysia.
“Sejumlah 139 khemah masyair untuk jemaah Malaysia disediakan di Arafah dengan setiap satu akan memuatkan purata 180 hingga 300 orang, bergantung pada saiz sesebuah khemah terbabit. Bilangan khemah di Mina juga adalah lebih kurang sama.
“Musim ini merupakan tahun kedua jemaah muassasah akan dibekalkan kemudahan tilam di dalam khemah Malaysia di Arafah dan Mina nanti.
“Penambahbaikan lain ialah penggunaan ‘wheeled litter carrier’ di lapangan masyair bagi membolehkan penghantaran pesakit secara lebih cekap dan efisien, antara lain lebih mudah dibawa melalui lorong kecil antara khemah jemaah, berbanding menggunakan pengusung biasa.
Baca Juga Persiapan Masya’ir haji capai 60%, jemaah siap sedia ke Arafah
“Selain itu, elektrik di Arafah akan dibekalkan 100 peratus secara terus daripada pencawang berbanding generator sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saleh berkata setakat ini, seramai 29,212 daripada 31,600 jemaah haji negara telah berada di Mekah.
Mengenai laporan kesihatan jemaah haji pula, setakat ini 56 jemaah haji berada di wad pusat rawatan Tabung Haji (TH), manakala lapan orang di fasiliti kesihatan Arab Saudi.
Bagaimanapun, tambahnya, kesemua mereka yang mengalami jangkitan paru-paru, masalah jantung dan sistem pencernaan, sakit kulit dan sendi berada dalam keadaan stabil.