MALAYSIA menjadi negara pertama yang menyediakan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) di bangunan penginapan jemaah haji.
Syed Saleh yang merasmikan ATM Alinma Bank di Abraj Janadriyyah berkata, ia bakal memberikan kemudahan kepada 8,000 jemaah haji Malaysia di bangunan itu dan lokasi sekitar.
Beliau berkata perkhidmatan kali pertama disediakan hasil rundingan TH dengan Alinma Bank dan Saudi Central Bank itu bagi memudahkan jemaah haji membuat pengeluaran wang tanpa perlu berjalan jauh mencari mesin ATM di kawasan lain.
Baca Juga Haji, klimaks manifestasi pengabdian manusia
Katanya, jarak paling dekat antara ATM sedia ada dan hotel ialah 750 meter di Menara Safwah berhampiran Masjidil Haram.
“Kemudahan ini khusus untuk jemaah haji Malaysia bagi membolehkan mereka mengeluarkan wang dalam jumlah sedikit-sedikit untuk berbelanja tanpa perlu berjalan jauh. Penggunaannya amat mudah seperti ATM yang ada di Malaysia.
“ATM itu terletak dalam kawasan hotel dan berdekatan pengawal keselamatan. Jika ada orang luar yang ingin menggunakannya, kemasukan mereka akan dihadkan dan tidak melepasi kawasan mesin untuk menjaga keselamatan jemaah,” katanya.
Tambahnya lagi, TH dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) juga telah bersetuju untuk setiap transaksi, ditanggung BIMB bagi semua jemaah haji Malaysia.
Artikel Berkaitan
- Elak ditipu ‘scammer’, fahami apa itu visa furada dan Jemaah Haji Pengelola (JPH)
- Waspada pakej visa furada yang meragukan – TH
- Aura ibadah haji – Seruan jihad ke jalan ALLAH
- Pusat Rawatan TH Madinah miliki fasiliti lengkap sedia berkhidmat untuk jemaah
- Amaran hujan lebat, ribut petir tidak jejas aktiviti jemaah haji
Malah, Syed Saleh berkata, pihak TH dan Bank Islam sudah berunding serta mencapai persetujuan bersama bahawa jemaah haji tidak perlu membayar fi 10 riyal yang dikenakan terhadap setiap transaksi pengeluaran wang menggunakan mesin ATM itu, sebaliknya ia akan ditanggung oleh Bank Islam pada musim haji.
Beliau sekali gus menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Bank Alinma, SAMA dan pemilik bangunan Abraj Al-Janadriyah yang membenarkan mesin ATM itu beroperasi di premis berkenaan.
Sementara itu, seorang jemaah haji, Ahmad Nizam Saupi, 57, dari Kota Bharu, Kelantan berkata, dia teruja apabila dapat mengeluarkan wang dari ATM tersebut selepas menunggu beberapa hari.
“Sebelum ini saya ada nampak ATM itu tetapi masih belum boleh digunakan. Saya sanggup menunggu majlis ini selesai supaya boleh cucuk (keluarkan duit) beberapa ratus riyal untuk berbelanja.
“Penggunaannya mudah sama seperti ATM di Malaysia. Saya bersyukur kerana tidak perlua lagi berjalan jauh hingga ke Menara Safwah untuk mengeluarkan wang,” ujar Nizam yang gembira kerana pengeluaran dikecualikan fi.
Mengulas isu berasingan pula, Syed Saleh berkata, keadaan semasa nilai ringgit dilihat tidak memberi kesan negatif terhadap perbelanjaan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.
“Kita juga tidak mendengar aduan atau permintaan daripada jemaah haji mengenai sebarang masalah terputus kewangan untuk menampung perbelanjaan mereka di sini,” katanya seperti dilaporkan di laman berita tempatan.