DI antara bukti cinta seseorang kepada ALLAH dan Rasul-NYA adalah dengan menjaga solatnya terutamanya solat subuh berjemaah.
Salah satu keutamaannya adalah Rasulullah SAW sendiri mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis:
“Ya ALLAH, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya).” (Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)
Pensyarah di Fakulti Pengajian Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ahmad Kamil Jamilin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kamilin Jamilin berkongsi menerusi satu hantaran video di TikTok beliau mengenai solat subuh dan petanda orang beriman.
Katanya, kalau kita ingin melihat seorang mukmin cuba cari orang Islam yang hadir masa subuh. Di saat ramai dibuai mimpi, berapa ramai yang dalam kegelapan malam itu, dia sanggup mengatasi mengantuk dan sanggup korbankan segalanya untuk hadir solat berjemaah di masjid.

ORANG yang paling kuat adalah orang yang mampu mengalihkan selimutnya untuk bangun solat subuh -FOTO: 123RF
“Nabi SAW dalam hadis riwayat at-Tirmizi, Baginda bersabda “Berikanlah berita gembira kepada orang yang berjalan ketika dalam kegelapan”.
“Maksudnya, ketika masuk waktu solat subuh dan isyak mereka berjalan dalam kegelapan menuju ke masjid, kelak pada hari kiamat mereka akan mendapat cahaya yang sempurna daripada ALLAH SWT,” ujarnya.
Tanda cinta ALLAH kepada hamba-NYA
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka ALLAH akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan ALLAH, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia ALLAH yang diberikan-NYA kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA; kerana ALLAH MAHA LUAS limpah kurnia-NYA, lagi Meliputi Pengetahuan-NYA. (surah al-Ma’idah ayat 54)
Baca Juga Selalu tertinggal solat Subuh dan Isyak termasuk ciri-ciri orang munafik?
Berdasarkan ayat al-Quran di atas, pendakwah terkenal, Ustaz Ahmad Dusuki dalam satu ceramah berkongsi terdapat tiga tanda yang ALLAH ceritakan dalam kalamnya mengenai tanda cinta ALLAH kepada hamba-NYA.

“SESUNGGUHNYA sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk ALLAH, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”. Foto: Pexels
1. Orang yang dicintai di sisi ALLAH SWT bila mana dia ( أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ) berlemah lembut terhadap orang-orang yang beriman dan mereka yang berlaku tegas terhadap orang-orang kafir ( أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ ) sehingga membuatkan orang kafir merasa gerun, hormat dan mulia kepada orang Islam.
Orang yang dicintai ALLAH SWT itu, mereka bermegah bahawa mereka itu seorang muslim.
Baca Juga Lepak minum kopi tepi pantai cuma ‘release’ sikit saja. Masjid ialah lokasi ‘healing’ terbaik
2. Mereka yang berjuang bersungguh-sungguh pada jalan ALLAH SWT ( يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ).
3. Mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela ( وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ). Hal ini mereka tahu bahawa tujuan hidup mereka hanya semata-mata ingin mendapatkan keredaan ALLAH SWT.
ALLAH SWT berfirman:
قُلۡ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحۡيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ
Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk ALLAH, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”. (Surah Al-An’am ayat 162)