Browsing Tag

semasa

terlupa baca doa makan
Berita Semasa,

Terlupa baca doa makan? Gantikan dengan bacaan ini

JIKA terlupa baca doa makan, jangan terus tinggalkan begitu sahaja. Sebenarnya, Islam ada solusi bagi menggantikan lafaz doa yang ‘terlajak’ tanpa disengajakan.

Ketahuilah bahawa Nabi Muhammad SAW begitu mementingkan adab dalam setiap tindak-tanduk yang dilakukan. Malah, baginda sering kali mengingatkan umatnya supaya melakukan semua perkara kerana ALLAH dan memuji-NYA.

Sabda Rasulullah SAW: “Setiap perkara yang tidak dimulai dengan memuji ALLAH, makan amalan tersebut akan terputus.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Baca juga Sunnah tutup makanan dan minuman walaupun dengan sebatang kayu, ini sebab-sebabnya

Melihat ungkapan hadis berkenaan, kita diingatkan untuk memulakan setiap perbuatan yang dilihat penting dengan kalimah ALLAH SWT terlebih dahulu.

Maka, tidak hairanlah apabila tiba waktu bersantap, doa makan akan didahului sebagai pembukaan aktiviti oleh umat Islam.

Namun, tahukah anda bahawa asal usul doa sebelum makan sebenarnya adalah doa yang dibaca selepas makan? Ini kerana ia mengandungi pujian kepada ALLAH SWT berkenaan nikmat dan rezeki yang dikecapi. Demikian fakta yang dipetik menerusi portal Tzkrh.

Seperti yang disiarkan oleh laman web berkenaan, para ulama mengatakan bahawa sanad daripada riwayat doa itu adalah sahih, namun ia adalah doa yang lebih sesuai dibaca selepas makan kerana ucapan pujiannya lebih sesuai dibaca selepas menjamah makanan. (Rujuk Ibnu ‘Abd al-Barr, Al-Istizkar, jilid 8, hlm. 387)

Sebenarnya, baginda SAW tidak pernah memberatkan umatnya untuk membaca doa khusus sebelum makan. Bahkan, memadailah dengan hanya membaca basmalah (Bismillahir Rahmanir Rahim).

Baca juga Makan berlebihan menyerupai orang kafir dengan 7 perut. Otak lemah, malas beribadah

Hal ini ada disebutkan dalam beberapa riwayat, contohnya Nabi SAW pernah bersabda, “Bacalah Bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang paling hampir denganmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu pun, tidak salah untuk mengamalkan bacaan doa makan sebagaimana yang biasa dilafazkan kerana ia mengandungi maksud yang baik.

Paling penting, kita mendahulukan perbuatan makan itu dengan nama ALLAH yang mengurniakan rezeki tersebut.

Baca juga Organ dalaman haiwan tidak boleh dimakan? Ini hukumnya yang wajib kita tahu

Pun demikian, bagaimana jika anda terlupa membaca basmalah ataupun doa makan? Apa yang boleh dilakukan?

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Sekiranya seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama ALLAH (Bismillah). Sekiranya dia terlupa (menyebut nama ALLAH) pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (Dengan nama ALLAH pada awal dan akhirnya).” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Jadi, melalui hadis di atas, dapat difahami bahawa ungkapan yang boleh diganti jika anda tertinggal doa makan atau basmalah sedangkan anda sudah makan hampir separuh daripada hidangan tersebut, bolehlah membaca:

بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ

Maksudnya: “Dengan nama ALLAH aku memulakannya dan mengakhirinya.”

terlupa baca doa makan

SEBAGAI umat Islam, ALLAH SWT perlu sentiasa ada dalam ingatan dalam apa jua urusan yang sedang dijalankan.

Baca juga Apabila penghantar makanan hantar sajian tidak halal…

Oleh itu, jangan lupa membaca basmalah sebelum makan sebagai tanda pujian kepada Tuhan YANG MAHA PEMBERI REZEKI di samping menjauhkan syaitan daripada makan bersama-sama kita.

Diceritakan oleh salah seorang sahabat, “Rasulullah SAW pernah duduk dan ada seorang lelaki sedang makan tetapi tidak membaca nama ALLAH sehinggalah tidak tinggal daripada makanannya melainkan satu suapan sahaja.

Kemudian, tatkala dia mengangkat suapan terakhir tersebut ke dalam mulutnya, dia membaca, ‘Bismillahi Awwaluhu wa Akhiruhu’ (Dengan nama ALLAH pada awal dan akhirnya).

Nabi Muhammad SAW ketawa dan kemudiannya bersabda : “Syaitan terus makan bersamanya, kemudian apabila dia menyebut nama ALLAH, syaitan itu memuntahkan semula apa yang ada di dalam perutnya (yang dimakan).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Sumber: Tzkrh & Irsyad al-Fatwa Siri ke-381: Memadaikah membaca basmalah al-Rahman al-Rahim sebelum makan?

Foto: Pexels & Freepik

jemaah haji malaysia
Istimewa Panggilan Baitullah,

Jemaah haji Malaysia mula pulang ke tanah air

JEMAAH haji Malaysia telah mula pulang ke tanah air bermula semalam dan pastinya kenangan melaksanakan ibadah itu akan terus kekal dalam ingatan.

Memetik laporan Bernama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata penerbangan terakhir dijangka pada 12 Ogos iaitu selepas kumpulan jemaah terbabit selesai menziarahi Madinah.

“Seramai 14,305 jemaah negara telah mengerjakan haji dan mereka terdiri daripada 85 peratus di bawah pakej muassasah dan 15 peratus di bawah pakej Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang berlesen di bawah Lembaga Tabung Haji (TH).

Bagi petugas Lembaga Tabung Haji (TH) di Mekah dan Madinah, operasi menyantuni tetamu ALLAH masih belum berakhir sehingga semua jemaah selamat sampai ke tanah air.

Baca juga Cabaran umat Islam era pra-merdeka menunaikan ibadah haji.

Sepanjang musim haji 1443 Hijrah ini, petugas TH diibaratkan sebagai tulang belakang kepada jemaah haji, sentiasa memberi perkhidmatan terbaik malah ada ketikanya melebihi bidang tugas mereka.

Bersama matlamat memastikan jemaah dapat melaksanakan ibadah rukun Islam kelima itu, semua petugas termasuk bahagian pentadbiran, operasi, media serta perubatan akan berganding bahu agar setiap perancangan dapat dilaksanakan.

Mengimbau perjalanan membawa kesemua jemaah ke Arafah, petugas perubatan pastinya antara yang tidak menang tangan, apatah lagi ada antaranya perlu diuruskan dengan teliti kerana tidak berupaya bergerak.

jemaah haji

PELBAGAI perkhidmatan yang disediakan oleh pihak TH kepada jemaah haji Malaysia termasuk rawatan pergigian dan penjagaan spiritual.

Petugas Perubatan, Luqman Chong Abdullah Chong berkata pada 8 Zulhijjah, beliau telah mula bertugas seawal 4 pagi dan mengejutkan pesakit lelaki supaya bersiap dan memakai ihram.

Beliau yang berpeluang bertugas sebanyak tiga kali pada musim haji berkata momen memakaikan ihram pada pesakit sentiasa menyentuh perasan kerana rata-rata akan menangis dan meluahkan perasaan mengenai musibah yang menimpa sedangkan mereka datang ke Tanah Suci dalam keadaan sihat.

Baca juga LIMA amalan yang nilainya seperti menunaikan haji

“Tahun ini di wad saya bertugas ada sembilan pesakit iaitu lima lelaki dan empat wanita yang perlu menaiki bas atau Safari Wukuf.

“Majoriti pesakit mengalami masalah jantung, ada juga yang mengalami masalah buah pinggang, jangkitan kuman serta sakit belakang yang kronik sehingga tidak boleh bergerak sendiri dan hanya terlentang di katil. Pesakit ini memang perlu bantuan sepenuhnya untuk berjalan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Luqman Chong berkata pengorbanan dilakukan terlalu kecil berbanding ketabahan yang perlu ditanggung pesakit apatah lagi apabila mendengar doa, rintihan kesakitan dan kesedihan mereka sejurus tiba di Arafah.

jemaah haji malaysia

PENERBANGAN terakhir bagi jemaah pulang ke Malaysia dijangka pada 12 Ogos.

Seorang jemaah, Ahmad Ainullutfi Azzman, 29, berkata petugas TH terutama di tempat penginapannya iaitu Maktab 46 sentiasa memberi yang terbaik hingga ada terlupa bahawa mereka sendiri sedang sakit.

“Ada yang sampai demam. Ada juga yang sampai hilang suara… ada hari tertentu dah tak boleh nak bangun. Semua untuk memastikan jemaah haji sentiasa selesa. Ketika di Muzdalifah, saya yang jadi sukarelawan Sahabat Maktab berkawal bersama petugas dari tengah malam sampai subuh.

Baca juga Pusat rawatan Malaysia di Arab Saudi bertaraf antarabangsa

“Selepas selesai subuh di Muzdalifah, bergerak pula ke Mina, nak kena uruskan perkhemahan. Awalnya ada yang berebut tempat tetapi lepas disusun dengan kerjasama jemaah haji, banyak kosong lagi rupanya. Itulah pentingnya peranan petugas dan elak macam-macam masalah,” katanya yang bersendirian ke Tanah Suci menerusi penerbangan KT1.

Ahmad Ainullutfi yang berangkat ke tanah air semalam berkata kenangan beribadah akan terus terpahat di ingatan dan peluang membantu warga emas akan menjadi pendorongnya untuk terus berbuat kebaikan pada masa akan datang.

Sumber: Bernama

Foto: Bernama & Unsplash

hina islam
Berita Semasa, Dalam Negara,

Hati-hati, berdosa mendedahkan aib sendiri

HATI-HATI, hukumnya berdosa bagi sesiapa yang mendedahkan aib sendiri.

Kebiasaanya apabila melakukan kesalahan, seboleh-bolehnya kita ingin menyembunyikan perkara itu kerana sememangnya fitrah manusia memiliki perasaan malu.

Namun, entah apa yang berlaku pada generasi kini apabila muncul segelintir golongan yang bukan sahaja tidak kisah menzahirkan dosa yang dilakukan, malah begitu berbangga dengan perbuatan tersebut.

Lebih parah, platform media sosial digunakan untuk menayangkan kepada khalayak ramai pekung di dada yang sudah habis terbuka.

Baca juga Tiga benda yang kita tidak boleh tunjuk di media sosial

Baru-baru ini, tular di alam maya isu seorang wanita Islam yang dikatakan menghina agama Islam melalui persembahan komediri (stand-up comedy) di sebuah kelab komedi bertempat di ibu kota.

Dalam sebuah video berdurasi 54 saat, pelawak wanita berkenaan yang pada mulanya tampil lengkap berbaju kurung dan tudung bertindak menanggalkan pakaian di atas pentas selepas mengaku menghafal 15 juzuk al-Quran.

Tindakan wanita tersebut bukan sahaja menerima kecaman daripada warganet, bahkan termasuk komuniti pelawak tempatan yang mengatakan bahawa persembahan terbabit tidak peka dengan sensitiviti umat Islam.

hina islam

KEMUDAHAN internet yang ada kini menyebabkan senang berlakunya fitnah apabila perkara yang tidak sepatutnya dikongsikan bersama orang luar.

Sebagai Muslim, kita sering diingatkan supaya tidak memperlihatkan aib diri dan orang lain kerana dikhuatiri boleh membawa kepada fitnah yang akhirnya mencela diri sendiri.

Ketahuilah ALLAH sudah pun membantu menutupkan aib hamba-hamba-NYA, jadi di mana letaknya akal dan kewarasan bagi mereka yang sebaliknya berbangga menghebohkan pula perbuatan keji tersebut.

Baca juga Wajib jaga aib orang, aib sendiri apatah lagi

Rasulullah SAW bersabda: “Semua umatku akan ditutupi segala kesalahannya kecuali orang-orang yang berbuat maksiat dengan terang-terangan.

Masuk dalam kategori berbuat maksiat terang-terangan adalah apabila seorang berbuat dosa pada malam hari kemudian, ALLAH SWT telah menutupi dosanya, lalu, dia berkata (kepada temannya): Hai Fulan! Tadi malam aku telah berbuat ini dan itu.

ALLAH SWT telah menutupi dosanya ketika di malam hari sehingga dia bermalam dalam keadaan ditutupi dosanya, kemudian, di pagi hari ia sendiri menyingkap tirai penutup ALLAH SWT dari dirinya.” (Riwayat Muslim)

Baca juga Amalkan 5 cara ini untuk hindari fitnah akhir zaman

hina islam

USTAZ WADI ANNUAR

Mengulas tentang isu ini, pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar berkata, antara golongan yang sukar mendapatkan pengampunan dan rahmat ALLAH SWT termasuk mujahir, iaitu mereka yang melakukan maksiat kepada Tuhan lalu dedahkan kepada orang ramai tentang perbuatan dosa tersebut.

“Kamu sudah melakukan dosa besar dan ALLAH telah menutup aib itu, tetapi kamu pula mengumumkan di hadapan ratusan ribu orang serta dikongsi jutaan manusia yang melihatnya.

“Kamu nak cabar siapa? Kamu nak mempermainkan siapa? Apakah kamu hendak beritahu bahawa walaupun bergelumang maksiat dan dosa, tetapi hidup penuh nikmat serta kebahagiaan?” katanya.

hina islam

BERTAUBATLAH kepada ALLAH bagi mereka yang sudah terjebak dengan perbuatan keji membuka keaiban diri dan orang lain.

Bak kata pepatah Melayu, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”, wanita terbabit menerima padah gara-gara perbuatannya apabila dia didakwa oleh mahkamah di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Mengikut seksyen berkenaan, seseorang individu boleh didakwa jika cuba menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, kebencian permusuhan, niat jahat, atau menjejaskan keharmonian atau perpaduan, atas alasan agama.

Baca juga Hati-hati dengan ‘content’ persenda agama, akidah boleh runtuh kerananya

Sekiranya disabitkan atas kesalahan tersebut, mereka boleh dikenakan hukuman penjara minimum dua tahun, tetapi tidak melebihi lima tahun.

Oleh itu, berhati-hatilah dan gunakan akal yang waras disertai keimanan sebelum berbicara dan melakukan sesuatu.

Sumber: Astro Awani & Kosmo

Foto: Pexels & I Love Borneo

cinta negara
Isu,

Bukan kita sahaja, Nabi SAW sendiri pernah zahirkan rasa cinta terhadap tanah air baginda

BUKAN kita sahaja, Nabi SAW sendiri pernah zahirkan rasa cinta terhadap tanah air baginda.

Di media sosial kini sedang hangat memperkatakan tentang filem Melayu terbaharu yang berjaya mengutip RM39.2 juta hanya selepas 10 hari tayangan, iaitu ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.’

Filem epik Melayu berkenaan yang sarat dengan nilai sejarah bangsa dilihat berjaya membangkitkan semangat jati diri dalam masyarakat setempat sehinggakan ramai yang sanggup berbusana Melayu lengkap bersama tanjak pada waktu tontonannya di panggung wayang.

cinta negara

HEBATNYA penangan filem ‘Mat Kilau’ sehingga munculnya trend pemakaian tanjak pada waktu tayangannya di panggung wayang. Malah, permintaan untuk sertai kelas silat juga meningkat sejak filem tersebut diterbitkan.

Yang menariknya, semangat patriotisme yang ditampilkan oleh filem Mat Kilau turut diberikan suntikan Islamik. Pengarah Syamsul Yusof sempat menyelitkan banyak nasihat-nasihat kembali kepada agama dalam karya itu.

Semangat cintakan negara sememangnya bukan suatu perkara yang dilarang dalam Islam. Bahkan, ia selari dengan ajaran agama dan termasuk sifat terpuji yang perlu dipupuk dalam diri masyarakat.

Demikian kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin menerusi sebuah artikel di portal Harakah Daily.

Baca juga Ini Maksud Kemerdekaan Sebenar Dalam Islam,  Ramai Yang Masih Belum ‘Bebas’ Sepenuhnya

Dalam kalangan masyarakat Arab ada kata-kata masyhur yang berbunyi  ‘Hubbul watan minal iman’ (Mencintai tanah air adalah sebahagian daripada iman), sehingga ada yang mendakwa  kata-kata ini adalah daripada Nabi SAW.

Namun setelah diperhalusi secara teliti, ramai ulama hadis berpandangan sebaliknya iaitu ia bukanlah daripada sabda baginda SAW.

Ibnu Hajar al-Asqalani, ulama yang mensyarahkan Sahih al-Bukhari dengan kitabnya Fathul Bari menyebut bahawa walaupun kata-kata ini tidak ditemukan sumbernya daripada hadis baginda SAW, namun dari segi maknanya, ia sahih kerana ia diamalkan oleh baginda SAW ketika hayatnya.

Imam as-Sakhawi dan al-Ajluni juga berpandangan yang sama ‘Hubbul watan minal iman’ walaupun belum ditemukan sumber hadisnya, namun mencintai tanah air telah diamalkan oleh para sahabat RA dan Rasulullah SAW.

cinta negara

RASULULLAH SAW juga mencintai tanah airnya, Makkah sama seperti kita.

Menurut sebuah perkongsian daripada program My #HadithTime, sejarah Nabi SAW sendiri membuktikan bahawa baginda adalah warganegara yang amat menyayangi Makkah, tanah tumpah darah Baginda.

Ketika dalam perjalanan hijrah meninggalkan Makkah, baginda telah melalui satu sempadan di bahagian utara negeri Makkah.

Di sinilah baginda berpaling memerhatikan Makkah lalu bersabda:

Aku tidak temui negeri yang lebih baik daripada engkau (wahai Makkah) dan tiada negeri yang lebih aku sayangi daripada Makkah.

Kalaulah bukan kerana kaumku (iaitu Quraisy) telah menghalangku, aku tidak akan tinggalkan negeri ini.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Baca juga Lawatan ke lokasi bersejarah di Tanah Suci mampu tingkatkan takwa

Sifat cintakan tanah air ini juga dilanjutkan setelah Rasulullah berhijrah ke Madinah.

Baginda bersungguh-sungguh membangunkan Madinah, membentuk suasana harmoni dalam kalangan semua kaum serta menyemaikan rasa cintakan Madinah.

Perkara ini dapat difahami melalui doa yang pernah dibacakan oleh baginda yang menyatakan:

اللهم حبِّبْ إلينا المدينةَ كحُبِّنا مكةَ أو أشدّ

Wahai Tuhan kami, lahirkanlah rasa cinta kami kepada Madinah seperti mana kami mencintai Makkah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

cinta negara

TIDAK kira sama ada di Makkah atau Malaysia, kita semua pastinya mempunyai perasaan mendalam terhadap tempat asal usul kita.

Malah lebih menarik lagi apa yang pernah disaksikan sendiri oleh Saidina Anas bin Malik iaitu pembantu Rasulullah. Saidina Anas pernah bercerita,

Sekiranya Rasulullah pulang dari satu perjalanan yang jauh, apabila sampai sahaja di Madinah dan ternampak anak-anak tangga Madinah, (atau dinding-dinding rumah di Madinah)

Baginda akan menggesa untanya supaya berjalan cepat, seakan-akan rindu untuk sampai Madinah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

cinta negara

KECINTAAN Rasulullah SAW terhadap negara bukan sekadar pada perasaan hati sahaja, bahkan baginda juga bersungguh-sungguh membangunkan tanah airnya. Demikian sifat keperibadian Nabi yang harus kita teladani.

Namun, dalam konteks Malaysia, apa yang harus kita lakukan andainya kita mencintai negara kita?

Kata Ustaz Mohd Akmal pula, Islam menekankan aspek kerjasama dalam membangunkan negara. Oleh itu, semangat patriotisme yang dituntut agama melibatkan tiga perkara ini.

1. Membantu negara mencapai kemajuan dan keamanan.

2. Memelihara nama baik negara di mata dunia.

3. Mempertahankan negara daripada sebarang ancaman

Titip My#HadithTime, kita digalakkan sentiasa mengajar dan menyebarkan kebaikan dalam masyarakat. Malah, sebagai satu ummah, kita juga mempunyai tanggungjawab menjauhkan negara daripada unsur kejahatan seperti rasuah dan sebagainya.

Bukan kita sahaja, Nabi SAW sendiri pernah zahirkan rasa cinta terhadap tanah air baginda

Foto: Freepik & Unsplash & Himpunan Cerita Lawak

zamzam
Berita Semasa, Dalam Negara,

Jangan beli air zamzam secara runcit, mungkin tidak tulen

ORANG ramai dinasihatkan supaya tidak membeli air zamzam yang dijual secara runcit di negara ini kerana tidak dapat dipastikan ketulenannya.

Seperti yang dilaporkan Sinar Harian, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan mana-mana individu membawa keluar air zamzam dalam kuantiti yang banyak kecuali melibatkan agensi umrah dan haji.

zamzam

DATUK AHMAD MARZUK SHAARY

“Memang jemaah tidak boleh membawa pulang air zamzam melalui bagasi tetapi ada agensi yang mengendalikannya dan TH akan menguruskan bagi pihak jemaah.

“Jemaah akan mendapatkan air zamzam tersebut sebaik tiba di tanah air. Jadi, tidak timbul isu mengenai perkara ini (tidak dibenar bawa pulang),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 11 mangsa ribut dan kebakaran di Mukim Siti Manis, Kijang semalam.

Baca juga 10 awal Zulhijjah, hari yang lebih baik daripada jihad

Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan penjualan air zamzam secara runcit di Malaysia.

“Logiknya, orang perseorangan pun tak dibenarkan bawa balik sendiri dan yang berniaga ini tiada kepastian dari segi ketulenan dan sebagainya.

Kerajaan menasihatkan supaya tidak membeli air zamzam yang dijual secara runcit di Malaysia,” ujarnya.

Memetik laporan Bernama, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) pula memaklumkan, tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang telah mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zamzam.

zamzam

IKLAN yang dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM melarang penjualan air zamzam di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, “Justeru itu, air zamzam yang diiklan atau dijual di pasaran diragui ketulenannya,” katanya.

Menurut beliau, hasil daripada aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan sejak 2012 sehingga kini, nilai rampasan ke atas air zamzam di pasaran adalah berjumlah RM83,618.20.

Melalui pemantauan BKMM terhadap platform atas talian pula pada 2021 dan 2022, sebanyak 23 dan 40 iklan air zamzam masing-masing telah dipadam daripada media sosial.

Baca juga Saintis Jepun Temui Rahsia dan Akui Keajaiban Air Zamzam

Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara melebihi dua tahun.

Kata Dr Noor Hisham lagi, “KKM menasihati orang ramai agar tidak membeli air zamzam dari mana-mana kedai atau platform dalam talian terutamanya pada musim haji ini kerana dikhuatiri ia air zamzam tiruan.

Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penjualan air zamzam di kedai atau platform dalam talian ke Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau melalui laman sesawang aduan awam KKM di http://moh.spab.gov.my; atau Facebook BKKM di https://www.facebook.com/BKKMHQ.

Sumber: Sinar Harian & Bernama

Foto: Facebook

pastikan kesahihan visa furada
Istimewa Panggilan Baitullah,

Pastikan kesahihan visa furada yang ditawarkan

UMAT Islam di negara ini dinasihatkan supaya lebih teliti dan berhati-hati sebelum menggunakan khidmat mana-mana pihak yang menawarkan visa furada bagi menunaikan ibadah haji.

Memetik laporan Bernama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, ini bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menawarkan pakej haji palsu.

visa furada

DATUK IDRIS AHMAD

“Visa furada adalah visa yang tidak berkaitan dengan Tabung Haji (TH). Kita harapkan biar ‘verify’ (sahkan) elok-elok. Kita tak mahu nanti apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, bebannya nanti diletakkan pada TH.

Sebab itu kita harapkan supaya apa sekalipun, pastikan supaya visa itu memang tulen dan ada penerbangan dan penginapan di sana. Itu yang kita harapkan kepada mereka kalau ditawarkan dengan visa furada ini,” katanya kepada Bernama.

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi tanpa melibatkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

visa furada

DATUK SERI SYED SALEH

Seperti yang dilaporkan Berita Harian, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman pula berkata TH sering mengingatkan risiko haji furada, apatah lagi dengan senario musim haji tahun ini yang menyaksikan pelbagai syarat ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Saya harap kita faham situasi ini dan Kerajaan Arab Saudi juga telah menyatakan supaya kita harus berhati-hati kerana memang ada pihak tertentu yang menawarkan pakej haji palsu.

Baca juga Wanita UK ini kongsi tip, panduan haji yang beri inspirasi kepada bakal jemaah di Twitter

“Ini berlaku secara peringkat antarabangsa dan di Malaysia, kita juga dapati ada agensi yang bukan dilesenkan dan tidak diiktiraf TH yang menawarkan pakej kononnya visa furada. Jadi saya harap umat Islam di Malaysia tidak seharusnya terpedaya dengan iklan-iklan yang dikeluarkan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di bangunan Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat TH dan jemaah haji Malaysia.

visa furada

ADA juga beberapa pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menawarkan khidmat visa furada yang palsu.

Syed Saleh turut mengingatkan individu atau syarikat yang menawarkan visa furada tanpa lesen bahawa mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta TH, iaitu kesalahan mengiklan atau mengendalikan haji tanpa mempunyai lesen daripada TH.

“Kita dapati ramai yang terpedaya dengan skim dan iklan terbabit, jadi berhati-hatilah,” katanya turut menyarankan rakyat Malaysia memilih dalam kalangan 20 agensi pelancongan atau dikenali sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk mengendalikan ibadah haji secara pakej.

Syarikat PJH menyediakan pelbagai pakej dengan harga RM35,000 ke atas dan ia kuota yang sememangnya diperoleh untuk TH dan Malaysia.

Baca juga Warga Indonesia berbasikal 5000 km untuk tunaikan haji

Sebelum ini, Bernama melaporkan hasil tinjauan menerusi media sosial mendapati promosi berkaitan visa furada semakin rancak dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menjanjikan bakal jemaah berlepas pada 5 Julai.

Promosi itu agak meragukan kerana Arab Saudi telah menetapkan penerbangan terakhir bagi haji adalah pada 4 Julai apatah lagi ia semakin hampir dengan Hari Wukuf.

Sumber: Bernama & Berita Harian

Foto: Freepik

sangat biadap
Berita Semasa,

Sangat biadab, ayat al-Quran dicetak di bikini

Sangat biadab, ayat al-Quran dicetak di bikini

TINDAKAN sebuah kedai beli-belah atas talian yang menjual pakaian mengandungi kalimah ALLAH dan ayat suci al-Quran menerima kecaman seorang pengguna TikTok.

Menerusi sebuah video yang dimuat naik ke TikTok pada 19 Jun lalu, pengguna @_abu.toz_ memaparkan beberapa baju tidur dan pakaian renang di laman web, Playmate yang mempunyai frasa ayat-ayat al-Quran.

Malah, salah satu set baju tidur berkenaan dinamakan sebagai ‘Islamic Cami Pajama Set’.

“Sangat biadab. Ini adalah suatu penghinaan kepada berbilion-bilion umat Islam di seluruh dunia,” ujarnya.

Playmate mendakwa syarikatnya terletak di Paya Lebar, Singapura berdasarkan alamat pejabat yang diberikan di portal mereka.

sangat biadap

VIDEO yang dikongsikan oleh pengguna TikTok mengecam tindakan kedai atas talian tersebut sudah menerima ribuan tontonan.

Mengetahui perkara tersebut, pengguna TikTok dari Amerika Syarikat berkenaan turut mengecam negara Singapura: “Singapura, saya hilang segala rasa hormat terhadap negara anda.”

Dia juga meminta umat Islam menyebarkan video tersebut supaya Singapura bertanggungjawab ke atas isu terbabit.

Walaupun setuju dengan pandangan warga Amerika tersebut berkenaan produk itu, namun rata-rata warganet kota singa tidak berpuas hati dengan kenyataannya terhadap Singapura.

“Awak menyalahkan seluruh negara hanya kerana seorang individu menghina agama anda? (Awak sepatutnya) siasat tentang Singapura dahulu,” tulis seorang netizen di ruang komen TikTok.

Baca juga Apabila suara netizen lebih lantang..

Hasil siasatan netizen juga mendapati syarikat Playmate sebenarnya berasal dari Amerika.

Sehubungan dengan itu, pengguna TikTok tersebut memohon maaf kepada warga Singapura atas kenyataan yang dikeluarkannya terhadap negara terbabit.

“Saya dalam keadaan marah ketika membuat video tersebut. Saya tidak sepatutnya menyalahkan seluruh negara Singapura. Saya minta maaf atas hal itu,” jelasnya.

Baca juga Memaki bukan adab yang dianjurkan oleh Islam

Seorang warganet Singapura berkongsi telah menghantar emel kepada Playmate dan mendapat maklum balas daripada syarikat terbabit.

Menurutnya, pihak Playmate memohon maaf atas isu berkenaan serta telah menarik semula segala produk yang mempunyai unsur Islam dari laman webnya.

Sangat biadap

KASUT keluaran syarikat Nike yang menerima kritikan daripada umat Islam.

Ini bukan kali pertama kalimah ALLAH pernah dilihat pada barangan. Pada tahun 2019, tapak kasut model Air Max 270 keluaran syarikat terkemuka, Nike didakwa mempunyai kalimah ALLAH lantas membangkitkan kemarahan umat Islam.

Foto: Pexels & CARI Infonet

lawatan ke lokasi bersejarah
Berita Semasa, Dalam Negara,

Lawatan ke lokasi bersejarah di Tanah Suci mampu tingkatkan takwa

PROGRAM lawatan ke lokasi bersejarah di Tanah Suci yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) untuk jemaah haji Malaysia dilihat mampu mengukuhkan lagi ketakwaan mereka kepada ALLAH.

Seperti yang dilaporkan agensi berita BERNAMA, Ustaz Wafa Abdul Jabbar, mutawif yang bertanggungjawab membawa rombongan ziarah luar, berkata rata-rata jemaah yang tiba di Madinah teruja untuk menziarahi beberapa tempat bersejarah di sana.

“Kota Suci Madinah mempunyai pelbagai kelebihan dan keistimewaan di samping dapat menghayati perjuangan Rasulullah SAW serta para sahabat dengan rasa takwa dan berusaha bersungguh-sungguh menyebarkan agama Islam ke seluruh dunia,” katanya kepada pemberita di dataran Masjid Quba.

lawatan ke lokasi bersejarah

MASA lapang jemaah ketika berada di Tanah Suci bolehlah diisi dengan melawat tempat-tempat bersejarah yang ada di Mekah dan Madinah.

Selain Masjid Quba yang merupakan masjid pertama didirikan pada tahun penghijrahan Nabi Muhammad dari Makkah, jemaah haji juga dibawa menziarahi kawasan Bukit Uhud dan Makam Syuhada Uhud.

Kedua-duanya adalah tapak bersejarah mengenai peristiwa kekalahan tentera Islam ketika menentang tentera bani Quraisy.

“Tewasnya tentera Islam ketika itu disebabkan keingkaran sebahagian tentera Islam dengan arahan Nabi Muhammad yang menyaksikan baginda mengalami cedera teruk serta 70 tentera Islam gugur syahid,” ujar Wafa.

Beliau juga berkata Perang Uhud jelas menunjukkan bahawa tarikan dunia, sifat tamak dan mengingkari perintah Rasul akhirnya hanya membawa kepada kebinasaan.

Bagi pasangan suami isteri Ishak Hasan dan Siti Yulina Baharon, lawatan ke Bukit Uhud memberi kesedaran kepada mereka mengenai kewibawaan serta kehebatan Nabi Muhammad.

Baca juga Ada kemusykilan ketika tunaikan umrah, robot di Masjidil Haram boleh jawab soalan para jemaah dalam 11 bahasa

Mekah yang pernah merakam pelbagai detik penting dalam salasilah pembentukan Islam juga menjadi tumpuan pengunjung Islam seluruh dunia, kata Mahdi Nafaa al-Qurashi, seorang pemandu pelancong di Arab Saudi kepada agensi berita Arab News.

Katanya, “Bandar ini menjadi saksi kepada banyak peristiwa berkaitan Islam bermula dari zaman Nabi Ibrahim AS sehinggalah zaman Rasulullah SAW.

Semua jalan menuju ke Mekah dan Kaabah yang berada di tengah-tengah bandar, kaya dengan memori bersejarah.”

lawatan ke lokasi bersejarah

BAK pepatah Melayu, ‘Tak kenal maka tak cinta’, program lawatan ke tapak bersejarah bertujuan memperkenalkan sejarah pembentukan Islam supaya perasaan cinta terhadap agama dapat dipupuk dalam diri jemaah.

Pengarah Pusat Sejarah Mekah, Dr Fawaz al-Dahas berkata Mekah menjadi wajah mewakili umat Islam seluruh dunia dengan adanya tapak penting seperti Masjidil Haram, Kaabah dan telaga Zamzam.

Antara lokasi bersejarah lain di bandar tersebut juga termasuk Jabal Nur, Gua Hira’ dan Jabal Tsur.

Ujar Fawaz, jemaah seharusnya mengambil kesempatan melawat tapak-tapak bersejarah yang ada sekitar Mekah dan Madinah sementara berada di Tanah Suci.

Foto: Tabung Haji & Sinar Harian

model keluarga terbaik disebutkan al-Quran
Berita Semasa,

Model keluarga terbaik disebutkan dalam al-Quran

MEMILIKI keluarga bahagia dan harmoni pastinya menjadi dambaan setiap insan. Islam sendiri sangat menekankan institusi kekeluargaan yang baik dalam kalangan umatnya. Tahukah anda, terdapat model keluarga terbaik disebutkan dalam al-Quran?

Masakan tidak, keperibadian sesuatu individu bergantung kepada cara dia dibesarkan. Bak kata pepatah Melayu, ‘Bagaimana acuan, begitulah kuihnya’, lahirnya seorang insan soleh yang beriman kepada ALLAH SWT adalah hasil didikan baik daripada ibu bapa.

Dalam pencarian model keluarga yang boleh diteladani, ALLAH sudah pun memberikan contoh-contohnya menerusi kalamullah yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Model keluarga dalam al-Quran

AHMAD SANUSI AZMI

Bagi contoh keluarga yang soleh, ALLAH ada menampilkan kisah keluarga Imran di dalam al-Quran. Perkara ini dikongsikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi melalui laman sosial Facebook miliknya.

Nama diabadikan dalam al Quran

Imran adalah bapa kepada Saidatina Maryam. Menurut Ibn Asyur, beliau dilihat sebagai lelaki yang soleh dalam kalangan Bani Israel (rujuk al-Tahrir wa al-Tanwir, 3/84).

Ali Imran bukanlah seorang nabi atau rasul dan sebaliknya, hanyalah seorang hamba ALLAH yang biasa. Hebatnya beliau sehingga dimuliakan oleh ALLAH SWT dengan namanya diabadikan dalam kitab al-Quran.

Isteri beliau turut digambarkan sebagai ibu dan isteri yang solehah. Ini dapat difahami melalui dialog (doa) beliau ketika mengandungkan Maryam. Isteri Imran bernazar agar anak yang dikandungnya menjadi seorang yang melindungi agama dan mengabdikan dirinya hanya untuk ALLAH (rujuk al-Tabari, Jami’ al-Bayan).

Model keluarga dalam alquran

INSTITUSI kekeluargaan baik adalah yang mentaati ajaran agama seperti keluarga Imran yang diceritakan menerusi kalamullah.

Berkat doa ibu yang solehah serta ayah yang soleh, mereka dikurniakan anak yang solehah iaitu Maryam.

Bukan itu sahaja, atas takdir yang ditentukan oleh ALLAH, guru yang mendidik Maryam juga adalah yang soleh, iaitu Nabi Zakaria

Dalam masa sama, kisah ringkas dalam al-Quran ini juga menggambarkan kepentingan gabungan peranan ibu bapa dan guru dalam mendidik serta menghasilkan pelajar yang baik.

Baca juga 5 Pendekatan Didik Anak Cara Rasulullah SAW Bagi Membentuk Mereka Menjadi Pemimpin Terbaik Pada Masa Depan  

Walaupun Maryam diuji dengan ujian yang amat sukar apabila beliau mengandung tanpa berkahwin, beliau berjaya melalui ujian ini dengan tenang.

Kehebatan keluarga ini menjadikan nama mereka dipatrikan sebagai salah satu nama surah di dalam al-Quran, iaitu surah Ali Imran.

Yang menariknya, ALLAH turut memberikan contoh keluarga yang tidak baik, yang berlawanan dengan kisah keluarga Imran.

Model keluarga dalam alquran

ALLAH telah memberikan banyak contoh sama ada baik mahupun buruk dalam al-Quran sebagai garis panduan membina sebuah keluarga harmoni.

Kedudukan paling hina

ALLAH mengkhususkan satu surah untuk keluarga Abu Lahab, menggambarkan kedudukan mereka sebagai contoh keluarga yang teruk di dalam al-Quran.

Surah ini dimulakan dengan lafaz ‘tabbat’ (celaka) buat Abu Lahab kerana dia banyak menyakiti Rasulullah dan memusuhi Islam. Bahkan, isteri serta anaknya turut membantu dalam perkara ini.

Ummu Jamil, isteri Abu Lahad dikatakan bukan sahaja mencaci Rasulullah, malah menabur duri di jalan yang dilalui oleh Rasulullah.

Baca juga Merotan Bukan Untuk Menghukum, Sebaliknya Ia Pendekatan Akhir Didik Anak-anak Kita

Anak mereka yang berkahwin dengan puteri Rasulullah, Utbah (yang berkahwin dengan Ruqaiyah) serta Utaybah (yang berkahwin dengan Ummu Kalthum) disuruh pula menceraikan isteri mereka (iaitu anak-anak Rasulullah).

Kejahatan Abu Lahab serta ahli keluarga mereka dalam memerangi Islam diabadikan di dalam al-Quran di dalam satu surah sebagai suatu pedoman bagi Muslim.

Semoga perkongsian ini bermanfaat dalam usaha kita mewujudkan sebuah keluarga sakinah yang beriman dengan perintah-NYA.

Foto: Pexels, Freepik & Unsplash