MENUNAIKAN haji merupakan rukun Islam yang kelima. Ia ditetapkan dan disyaratkan untuk seseorang umat Islam yang mampu. Maksud mampu iaitu dari segi persediaan yang cukup untuk pergi dan persediaan bagi keluarga yang ditinggalkan selama tempoh menunaikan ibadah haji.
Hari ini, segala kemudahan dan keperluan jemaah haji hanya di hujung jari, dari awal pengangkutan sehinggalah tiba ke destinasi. Namun pernahkah terdetik di hati, bagaimana cabaran yang ditempoh oleh umat Islam era pra merdeka untuk menunaikan haji, apatah lagi jauhnya bermarhalah dari Malaya.
Umrah haji travel berkongsi di laman webnya mengenai kepayahan yang dilalui oleh jemaah haji pada zaman dahulu demi melaksanakan kemuncak rukun Islam kelima itu.
BAGAIMANA ORANG ZAMAN DAHULU MENUNAIKAN HAJI?
Menurut sejarah zaman dahulu, ibadah haji di negara ini sudah pun berlaku daripada kurun ke 15 lagi. Menurut buku tulisan Mohd Saleh bin Haji Awang, orang Melayu pertama yang menunaikan ibadah haji adalah Sultan Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah yang memerintah kesultanan Melaka dari tahun 1477 hingga tahun 1488.
Di dalam buku ‘Hikayat Hang Tuah’ pula juga ada disebutkan Hang Tuah sempat menunaikan ibadah haji di Mekah semasa dalam perjalanan ke Rom. Bagaimanapun, sistem haji pada zaman moden di negara ini bermula pada tahun 1923, selepas penjajah Inggeris yang memerintah Tanah Melayu melantik seorang individu yang bernama Haji Abdul Majid bin Zainuddin bagi menubuhkan badan dan persatuan yang akan mengendalikan urusan jemaah haji pada ketika itu.
SISTEM PERJALANAN HAJI
Pada ketika itu statistik jumlah jemaah haji dari Tanah Melayu melonjak ekoran kekukuhan dan kenaikan ekonomi masyarakat Tanah Melayu pada ketika itu, didorong oleh kekuatan harga getah yang naik mendadak. Hal ini membantu lebih ramai orang Melayu mampu memenuhi kuota ibadah haji namun pengalaman haji mereka sepertinya cukup berbeza dengan apa yang jemaah haji kita tempuhi sekarang.
Sejak kurun ke 15 lagi para jemaah haji di Tanah Melayu menggunakan perkhidmatan pengangkutan kapal untuk ke Mekah. Yang membezakan perjalanan mereka adalah teknologi yang sedia ada mengikut peredaran zaman.
Bagi jemaah haji pada kurun ke 15, mereka menempuhi dugaan dan perjalanan menggunakan kapal layar sementara, berkat teknologi yang ada pada zaman itu. Manakala, jemaah pada zaman sebelum Tanah Melayu merdeka, mereka dapat merasai perjalanan menggunakan kapal wap.
Baca juga Kerajaan Arab Saudi buat persiapan rapi sambut bakal jemaah haji, ini yang mereka lakukan…
Jemaah pada ketika itu sanggup menggadaikan harta, haiwan ternakan dan tanah yang besar untuk melunaskan hasrat menjadi tetamu ALLAH di Mekah pada zaman itu. Sehingga tahun 1970, kos untuk menunaikan haji ke Mekah agak besar bagi masyarakat Tanah Melayu pada ketika itu. Dengan kos yang dijangka RM1,150 bagi kelas 1, RM1,063 bagi kelas 2 dan RM941 bagi kelas 3.
Jika kita melihat angka ini pada ketika itu, tidak hairanlah masyarakat Tanah Melayu sanggup bergadai segalanya bagi memastikan salah satu rukun Islam ini wajib dipenuhi sebelum mereka tiada.
Selepas selesai menunaikan ibadah haji, tidak semua jemaah yang mahu pulang ke negara asal masing-masing. Ada yang lebih memilih untuk terus menetap di sana dan ada juga yang meninggal dunia dalam perjalanan pulang, sehingga memerlukan pengebumian di laut kerana masa yang diambil untuk pergi dan pulang dianggarkan setahun, jadi tidak mustahil laut adalah tempat pengebumian mereka.
Sewajarnya umat Islam zaman ini bersyukur dengan kemudahan sistem penerbangan dan penginapan yang efisien hingga membolehkan kita menunaikan ibadah haji atau umrah dengan aman lagi selesa.