ADA tiga benda yang tidak boleh ditunjuk di media sosial. Harus diingat, media sosial ibarat mata pisau, ada kebaikan dan keburukanya. Pisau jika digunakan untuk keperluan seharian seperti memotong sayuran akan dilihat berguna akan tetapi jika tidak berhati-hati menggunakanya akan membawa kepada luka yang parah.
Ada pepatah mengatakan “bijak lah dalam bermedia sosial”. Maksudnya sebelum berkongsi sesuatu fikirlah dahulu akan kesannya sama ada ianya memberi manfaat atau sebaliknya kerana kata-kata di media sosial kita adalah cerminan diri kita yang sebenarnya.
Menerusi satu program bual bicara yang menampilkan Rosyam Noor sebagai pengacara dan Imam Muda Asyraf sebagai tetamu jemputan, mereka mengulas sedikit sebanyak mengenai tiga perkara yang tidak sepatutnya dikongsi di media sosial.
- JANGAN BERCERITA MENGENAI UMUR
Umum sedia maklum, umur merupakan salah satu urusan peribadi seseorang individu. Berbicara mengenai umur pasti akan ada yang menggangap ia merupakan hal yang sangat privasi.
Mengapa umur tidak sepatutnya dikongsi terutama di media sosial adalah kerana dibimbangi ada sebahagian orang yang melihat begitu suka menghukum umur seseorang itu berdasarkan kredibiliti dan kemampuan dalam mencapai sesuatu sehingga menjatuhkan kepercayaan orang lain terhadapnya.
Imam Malik pernah menasihati Imam Syafie , kamu boleh bercerita mengenai hidup kamu dan tidak haram di sisi islam, akan tetapi jika boleh dielakkan untuk tidak bercerita itu akan lebih bagus dan lebih terjaga.
Di dalam Al-Quran ALLAH SWT berfirman “dan dari kejahatan orang yang dengki apabila dia dengki”. (Al Falaq ayat 5)
Baca juga 6 ciri dalam aplikasi Muslim Pro ini bakal bantu jemaah haji
Oleh itu, kita sebagai manusia harus sentiasa berhati-hati dalam memaparkan sesuatu kerana kita tidak akan pernah tahu sifat orang di sekeliling kita walaupun kawan rapat sendiri, bahkan di media sosial pun apa yang kita kongsikan bukan semua orang boleh menerimanya, jika ada 100 orang yang suka ‘posting’ kita pasti akan ada dua orang yang tidak menyukainya.
- JANGAN CERITA MENGENAI KEBAHAGIAAN RUMAH TANGGA
Menerusi perkongsian daripada Abdi Suardin seorang ‘YouTuber’ terkenal mengenai rumah tangga adalah seorang yang profesional akan berfikir banyak kali sebelum berkongsi sesuatu di media sosial agar perkongsianya itu membawa manfaat dan bukan hanya semata-mata untuk mengejar jumlah ‘followers’ dan ‘like’ yang banyak.
Katanya lagi, di aplikasi TikTok kini ramai yang berkongsi mengenai masalah rumah tangga yang dihadapi tanpa menyedari sebenarnya ia menjurus kepada membuka aib dan kelemahan pasangan masing-masing sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan masyarakat.
Jika perkara yang dikongsi itu hanya untuk sebuah ‘content’ dan kepentingan diri sendiri maka ianya hanya mengundang dosa tanpa disedari.
Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda “orang yang menutup aib orang lain di dunia, nescaya ALLAH menutup aibnya pula kelak di hari kiamat.”(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
- JANGAN TERLALU MENUNJUKKAN KEKAYAAN
Setiap rezeki dan nikmat yang diberikan ALLAH SWT adalah pemberian yang tidak ternilai dari-NYA. Kemiskinan dan kekayaan adalah ujian untuk setiap hamba yang bergelar khalifah di bumi ini.
Bila diberikan nikmat harta dan kekayaan janganlah kita melampaui batas dan terlalu menunjuk di media sosial yang mana pada akhirnya hanya membawa padah dan penyesalan dalam diri seseorang.
Banyak keburukan jika kita sering memaparkan kekayaan yang kita ada antaranya seseorang akan lebih ‘obses’ untuk terus berkongsi setiap hari di media sosial dan lebih cenderung untuk boros tanpa memikirkan antara keperluan dan keinginan seharian.
Imam Muda Asyraf berkongsi lagi, jika niat kita memaparkan kekayaan semata-mata untuk memberi inspirasi dan semangat kepada orang lain maka itu dibolehkan. Sebagai contoh berkongsi perjalanan hidup kita dari bawah sehinggalah berjaya.
Tiga benda ini biarlah rahsia, tidak perlu diwar-warkan atau di tunjuk kepada umum dan di media sosial.