Browsing Tag

Amalan bulan Zulhijah

Hari Arafah
Ibadah,

Tarikh-tarikh penting puasa Zulhijah 1444H/2023M

Tarikh-tarikh penting puasa Zulhijah 1444H/2023M…

ANTARA keistimewaan bulan Zulhijah adalah dianjurkan untuk berpuasa sunat bermula satu sehingga sembilan Zulhijah.

Tiada kelebihan khusus dari hari pertama hingga lapan Zulhijah. Namun terdapat kelebihan bagi siapa yang berpuasa pada sembilan Zulhijah.

Pada hari tersebut merupakan hari Arafah di mana seluruh umat Islam yang menunaikan haji sedang berkumpul di Padang Arafah dan terdapat waktu mustajab untuk berdoa pada hari tersebut.

Baca Juga Khutbah Arafah 2023 diterjemah ke 20 bahasa dunia

Baca Juga Bila nak puasa Arafah, kalau Aidiladha di Malaysia lewat sehari dari Mekah?

Menurut Riwayat Imam Malik, Rasulullah SAW bersabda “Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah”.

Di Malaysia, hari Tarwiyah jatuh pada 8 Zulhijah iaitu bersamaan dengan 27 Jun. Manakala hari Arafah jatuh pada 28 Jun 2023.

KESEMUA 31,600 jemaah haji Malaysia akan menyertai kira-kira tiga juta umat Islam seluruh dunia akan bergerak ke Arafah untuk melaksanakan rukun haji itu. Foto: REUTERS/Mohammed Salem

SUNAH PUASA 1-9 ZULHIJAH

1 Zulhijah = Selasa, 20.06.2023
2 Zulhijah = Rabu, 21.06.2023
3 Zulhijah = Khamis, 22.06.2023
4 Zulhijah = Jumaat, 23.06.2023
5 Zulhijah = Sabtu, 24.06.2023
6 Zulhijah = Ahad, 25.06.2023
7 Zulhijah = Isnin, 26.06.2023
8 Zulhijah = Selasa, 27.06.2023
9 Zulhijah = Rabu, 28.06.2023

HARAM PUASA :

Hari Raya Aidiladha : 10 Zulhijah = Khamis, 29/06/2023
Hari Tasyrik : 11 Zulhijah = Jumaat, 30/06/2021
Hari Tasyrik : 12 Zulhijah = Sabtu, 1/07/2023
Hari Tasyrik : 13 Zulhijah = Ahad, 2/07/2023

KEISTIMEWAAN dan fadilat 10 awal Zulhijah. Foto: JAKIM

Niat Puasa Sunat Zulhijah, Tarwiyah dan Arafah

———————————————————————————–

Niat Puasa Sunat Zulhijah (1-7 Zulhijah)

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ ذِيْ الْحِجَّةِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku puasa sunat di bulan Zulhijah kerana ALLAH Ta’ala”

————————————————————————————-

Niat Puasa Sunat Tarwiyah (8 Zulhijah)

نَوَيْتُ صَوْمَ تَرْوِيَةَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku niat puasa sunat Tarwiyah kerana ALLAH Ta’ala”

————————————————————————————

Niat Puasa Sunat Hari Arafah (9 Zulhijah)

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ مِنْ يَوْمِ الْعَرْفَةَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku niat puasa sunat hari Arafah kerana ALLAH Ta’ala”

————————————————————————————-

Perkongsian mengenai tarikh-tarikh penting bulan Zulhijah tahun ini (2023) dikongsi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Hari Arafah
Ibadah,

Bila nak puasa Arafah, kalau Aidiladha di Malaysia lewat sehari dari Mekah?

UMAT Islam di Malaysia dijangka akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 29 Jun 2023, dan hari Arafah akan jatuh pada 28 Jun.

Manakala kerajaan Arab Saudi pula mengumumkan hari wukuf yang merupakan kemuncak haji, adalah pada Selasa, 27 Jun ini sementara Hari Raya Aidiladha akan disambut pada Rabu, 28 Jun di sana.

Ini bermakna, kita akan merayakan Aidiladha lewat sehari berbanding jemaah haji di Mekah.

Walaupun telah dimaklumkan akan dua tarikh penting tersebut, namun kadang-kala timbul jua persoalan terutama pada jatuhnya hari Arafah, tarikh manakah yang lebih sesuai untuk berpuasa, adakah perlu mengikut hari di Malaysia atau di Mekah?

Baca Juga Labbaikallah…’bererti menyahut seruan ILAHI, maksimumkan rasa kehambaan kepada-NYA

Baca Juga Imam di Masjidil Haram, makmum ikut dari bilik hotel, sah atau tidak solatnya?

Barkitan hal ini, Pensyarah di Fakulti Pengajian Pengajian al-Quran dan as-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ahmad Kamil Jamilin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kamilin Jamilin telah menjelaskan lebih lanjut menerusi satu hantaran video di laman media sosial.

Ujarnya, tahun ini berlaku lagi raya Aidiladha di mekah sehari lebih awal daripada kita. Jadi hari kesembilan kita iaitu hari Arafah juga akan lewat sehari daripada jemaah hari di Mekah.

MAZHAB Syafie – Rukyah hilal (melihat anak bulan) mestilah tertakluk kepada Matla` yang menunjukkan kepada waktu terbit matahari dan bulan. 

“Mereka dah beraya, dan kita pula baru hendak berpuasa sunat hari Arafah. Sekalipun secara fekahnya kita tahu bahawa hari kesembilan ataupun hari arafah itu adalah mengikut penetapan negara masing-masing.

‘Tapi jauh di sudut hati ini, kita teringin nak hidupkan hari Arafah itu, bersama dengan para tetamu ALLAH SWT yang sedang berwukuf di Arafah. Mungkin kerana besarnya fadilat hari Arafah dan mereka yang sedang berwukuf di Arafah.

“Kita terasa sangat ingin berdoa dan berpuasa ketika mereka sedang bermahsyar di Arafah, merintihlah kepada ALLAH dan berdoalah bersungguh-sungguh.

Turut Disyorkan Khutbah Arafah 2023 diterjemah ke 20 bahasa dunia

“Tapi rahmat ALLAH itu MAHA LUAS, setiap hari pasti akan ada detik mustajabnya doa yang ALLAH sediakan kepada kita, dibuka seluasnya pintu zikir, puasa dan segala amal soleh di awal bulan Zulhijah lagi.

“Walaupun kita raya sehari lewat daripada jemaah haji di Mekah, kita haruslah mengikut penetapan ulil amri kita yang berdasarkan kepada cerapan anak bulan melainkan satu hari nanti semua negara-negara Islam bersepakat dengan teknologi yang ada untuk mengikut penepatan waktu Mekah.

PUASA hari Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan dosa setahun yang kemudian”.

 

“Tidak mengapa walaupun kita rasa tidak sedap hati dengan puasa yang berbeza dengan jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah, boleh sahaja berpuasa pada hari Selasa dan Rabu ataupun pada hari kelapan dan kesembilan.

“Manakala puasa hari kelapan itu pula adalah sangat digalakkan pada awal Zulhijah kerana bermulanya satu Zulhijah lagi, kita sudah digalakkan untuk tingkatkan amalan dan ibadah seperti puasa, zikir, baca al-Quran, sedekah dan sebagainya,” katanya.

Baca Juga “Walimah nak nampak Islamik, panggil ustaz baca doa dan ayat al-Quran sikit-sikit” – Kamilin Jamilin

Di akhir perkongsian, Ustaz Kamilin mengingatkan warga maya agar jangan tinggalkan puasa pada hari Arafah kerana fadilatnya diampunkan dosa setahun yang lalu, dan setahun yang akan datang.

Sabda Nabi SAW “Puasa hari Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan dosa setahun yang kemudian”. (Hadis Riwayat Muslim)

Zulhijah
Istimewa Panggilan Baitullah,

Pesta kedua umat Islam selepas Ramadan, 10 pertama Zulhijah

“RIBUAN tahun dahulu pesta kedua umat Islam selain Ramadan adalah sepuluh awal Zulhijah”

Demikian antara inti pati yang dikongsi oleh Ustaz Wadi Annuar dalam satu ceramah beliau baru-baru ini.

“Siapa yang pernah hidup sehingga hari ini dan tidak peduli satu sehingga 10 Zulhijah, saat inilah kembali sedar dan banyakkan amal soleh kerana sepuluh hari ini merupakan rutin pecutan amal seperti dilakukan golongan salafussoleh,” kongsinya.

Apabila masuk sahaja awal bulan Zulhijah, antara hadis ya ng paling masyhur mengenai kelebihan Zulhijah ini, ia digambarkan dengan hari yang lebih baik dari jihad.

Baca Juga Kelebihan berpuasa pada 10 hari pertama Zulhijjah, antara hadis palsu dan sahih

Akademi Darul Iftak menerusi satu hantaran di laman Facebook, berkongsi, mengenai makna di sebalik hadis 10 hari pertama dari bulan Zulhijah yang dapat memberikan pahala yang lebih besar dari Jihad.

Daripada Ibn Abbas dia berkata, Rasulullah SAW bersabda “ Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh ALLAH untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memaksudkan: 10 hari terawal Zulhijah-.”Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda,”Walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali (menemui syahid). (Hadis Riwayat Abu Daud) Status: Hadis Sahih

WALAUPUN ada antara kita yang tidak berkesempatan untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci, namun, kita masih berpeluang untuk beribadah pada bulan istimewa ini.

Pengajaran hadis:

1. ALLAH menyukai orang yang melakukan amal soleh pada 10 hari pertama dari bulan Zulhijah.

2. Orang yang melakukan amal soleh dalam tempoh ini dapat memberikan pahala yang lebih besar dari Jihad kecuali orang yang pergi berjihad itu gugur syahid.

3. Al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan: Yang jelasnya, antara sebab keistimewaan 10 hari awal Zulhijah ini berbanding hari lain ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah, korban dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain (Fath al-Bari).

ARTIKEL BERKAITAN 

4. Justeru peluang kita yang menemui 10 hari pertama Zulhijah ini perlu direbut untuk mempertingkatkan pelbagai amalan harian kita.

5. Amal soleh pada hari-hari awal 10 Zulhijah tidak terbatas. Ia meliputi solat, puasa, sedekah, bacaan al-Quran, zikir, berdoa, bertaubat, tahmid, takbir, tahlil, amar makruf nahi mungkar, tolong-menolong untuk kebaikan, menyebarkan ilmu, menyantuni anak yatim, membantu orang yang kesusahan, memberikan makan kepada fakir miskin dan seumpamanya.

DOA yang dianjurkan sepanjang bulan Zulhijah.

Doa di bulan Zulhijah

Selain melaksanakan ibadah sunat lain, antara perkara yang dituntut juga sepanjang bulan ini adalah dengan memperbanyakkan doa.

Seperti dikongsi oleh Ustaz Amirul Amin atau lebih dikenali sebagai PU Amin di laman TikTok, berikut merupakan doa yang dianjurkan sepanjang awal zulhijah ini.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya “Ya ALLAH, sungguh aku memohon kepada-MU ilmu yang bermanfaat (bagi diriku dan orang lain), rezeki yang halal dan amal yang diterima (di sisi-MU dan mendapatkan ganjaran yang baik).” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

“Kerana bulan Zulhijah ini ALLAH himpunkan semua amalan, ibadah haji, solat, puasa, arafah dan wakuf, semuanya berhimpun di satu bulan yang mulia.

“Amat rugilah jika kita mensia-siakan peluang untuk menambahkan pahala berlipat ganda ini.

berpuasa Zulhijjah
Hukum,

Kelebihan berpuasa pada 10 hari pertama Zulhijjah, antara hadis palsu dan sahih

Kelebihan berpuasa pada 10 hari pertama Zulhijjah, antara hadis palsu dan sahih

KITA sudah pun memasuki bulan haram yang kedua dalam Islam iaitu bulan Zulhijjah. Untuk pengetahuan, umat Islam digalakkan untuk melakukan amal soleh pada 10 hari pertama Zulhijjah kerana ia adalah hari yang sangat disukai oleh ALLAH.

Daripada Ibn Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Tidak ada hari yang mana amal soleh dilakukan padanya lebih dicintai oleh ALLAH daripada sepuluh hari ini (awal Zulhijjah).” Mereka berkata; Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan ALLAH? Baginda SAW berkata: “Tidak juga berjihad di jalan ALLAH melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis tersebut, umat Islam digalakkan melakukan apa jua amal soleh seperti berpuasa, bersedekah, membaca Al-Quran dan berqiamullail.

Baca juga 10 awal Zulhijjah, hari yang lebih baik daripada jihad

berpuasa Zulhijjah

UMAT Islam sangat digalakkan melakukan apa jua amal soleh pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Foto:

Pun begitu, memetik portal tzkrh.com, ada juga tersebar hadis-hadis yang menyatakan tentang kelebihan berpuasa sepanjang 10 hari terawal bulan Zulhijjah mengikut hari yang khusus.

Antaranya, daripada Ibn Abbas RA berkata, dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Pada hari pertama daripada bulan Zulhijjah, Allah telah mengampunkan Nabi Adam padanya dan barangsiapa yang berpuasa pada hari tersebut, maka Allah akan mengampunkan setiap dosanya.”

ARTIKEL BERKAITAN:

Contoh riwayat lain yang menceritakan tentang kelebihan berpuasa pada bulan Zulhijjah adalah seperti berikut:

1. Kelebihan berpuasa seperti dalam hadis di atas.

2. Kelebihan berpuasa 2 Zulhijjah seperti orang yang beribadat kepada ALLAH selama setahun dengan tidak melakukan maksiat kepada-NYA sedikitpun kerana pada hari tersebut ALLAH telah memperkenankan permintaan Nabi Yusuf AS.

3. Kelebihan berpuasa 3 Zulhijjah bahawa ALLAH akan memperkenankan setiap doanya kerana pada hari tersebut Allah telah memperkenankan doa Nabi Zakaria AS.

4. Kelebihan berpuasa 4 Zulhijjah, akan dijauhkan oleh ALLAH daripada kesempitan, kemiskinan serta akan dihimpunkan di padang mahsyar bersama para malaikat dan padanya juga lahirnya Nabi Isa AS.

5. Kelebihan berpuasa 5 Zulhijjah akan terlepas daripada sifat munafik dan azab kubur serta padanya juga lahirnya Nabi Musa AS.

6. Kelebihan berpuasa 6 Zulhijjah akan dilihat oleh ALLAH SWT dengan pandangan rahmah serta ALLAH sama sekali tidak akan mengazabnya. Pada hari tersebut juga ALLAH telah membuka bagi Nabi Muhammad SAW dengan kebaikan.

7. Kelebihan berpuasa 7 Zulhijjah akan ditutup padanya pintu neraka Jahannam dan barang siapa yang berpuasa padanya akan ditutp kepadanya 30 pintu kesusahan serta dibuka baginya 30 pintu kesenangan.

8. Kelebihan berpuasa 8 Zulhijjah iaitu pada hari Tarwiyah akan diberikan ganjaran kepadanya yang tidak diketahui oleh orang lain melainkan ALLAH sahaja.

9. Kelebihan berpuasa 9 Zulhijjah iaitu pada hari Arafah akan diampunkan dosanya setahun sebelum dan setahun selepas.

Kesemua kelebihan yang disebutkan di atas termasuk hadis yang tentang kelebihan berpuasa pada tanggal 1 Zulhijjah adalah tidak sahih dan tidak berasal daripada Nabi SAW kecuali kelebihan berpuasa pada 9 Zulhijjah.

Hal itu berdasarkan hadis daripada Abi Qatadah, bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hal berpuasa di 10 hari pertama Zulhijjah, tidak ada hadis khusus yang menceritakannya. Hanya terdapat pengkhabaran daripada beberapa riwayat bahawa baginda berpuasa pada sebilangan hari dan ada pula hari baginda tidak berpuasa (tidak berpuasa secara terus menerus sepanjang 9 hari). Manakala pada 10 Zulhijjah pula kita akan merayakan Aidiladha.

Justeru, beramal lah dengan dalil-dalil yang sahih. Usah menyandarkan sesuatu yang tidak diketahui sahih atau tidak kepada Rasulullah SAW. ALLAH telah menyatakan keumuman dalam beribadah, maka pilihlah apa jua ibadah yang dirasakan sesuai dan mampu dilakukan.

Sumber: Tzkrh 

Foto: Canva

 

Jadikan dunia sebagai lombong galian pahala bagi persiapan menuju akhirat
Gaya Hidup,

10 Amalan Soleh Yang Boleh Dilakukan Pada Bulan Zulhijah

no comment

PADA hari ini sudah masuknya 2 Zulhijah. Bulan terakhir dalam kalendar Islam itu begitu dinanti-nantikan oleh umat Islam kerana ia menjadi saksi Rukun Islam kelima dan ibadah korban dilakukan.

Walaupun umat Islam dari luar Arab Saudi tidak dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci buat tahun kedua berturut-turut, namun usahlah kita bersedih.

Sesungguhnya, niat yang baik untuk mengerjakan ibadah berkenaan tetap ada ganjarannya di sisi ALLAH SWT. Bahkan, ada banyak lagi amalan yang boleh kita lakukan sepanjang bulan istimewa ini.

Pendakwah Asma’ Harun menjelaskan, Zulhijah juga dikenali sebagai bulan haram iaitu diharamkan berperang kerana ia dianggap sebagai bulan yang suci.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika ALLAH SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada 12 bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Riwayat al-Bukhari)

Bukan itu sahaja, katanya, ALLAH SWT turut bersumpah pada 10 malam terawal bulan Zulhijah menerusi kalam-NYA.

Firman ALLAH SWT: “Demi waktu fajar, dan 10 malam (serta hari terawal Zulhijah).” (Surah al-Fajr, ayat 1-2)

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh ALLAH untuk dilakukan melainkan hari-hari ini iaitu baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (Riwayat al-Bukhari)

Melihat kepada nas-nas berkenaan, ujar Asma’, kita seharusnya mengambil kesempatan dan peluang yang diberikan agar keistimewaan pada bulan Zulhijah itu tidak disia-siakan begitu sahaja.

Baca juga Sweden Benarkan Kemasukan 11 Negara Ketiga Termasuk Kanada dan Arab Saudi

“Nikmati kesempatan yang diberi ini dengan sebaik-baiknya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Pendakwah itu kemudian berkongsi amalan soleh yang disarankan untuk dilakukan pada bulan istimewa ini.

Antara amalan tersebut adalah:

1. Anjuran tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu mahupun kuku ke atas orang yang melakukan ibadah korban.

Amalan bulan Zulhijah

KEPADA mereka yang melakukan korban, dianjurkan agar tidak memotong kuku apabila masuknya 1 Zulhijah hingga haiwan korbannya disembelih.

Kepada mereka yang melakukan ibadah korban, disunatkan untuk mengikuti anjuran berkenaan hinggalah haiwan korbannya disembelih.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.” (Riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila masuknya sepuluh (hari Zulhijah) dan seseorang itu mempunyai haiwan korban yang dia hendak menyembelihnya, maka janganlah dia memotong rambutnya dan jangan dia memotong kukunya.” (Riwayat Muslim)

Bahkan, anjuran berkenaan juga merupakan pendapat Imam Syafie berserta ashabnya yang lain.

2. Berpuasa pada hari Arafah.

Hari Arafah jatuh pada pada 9 Zulhijah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun fardu bagi umat Islam yang menunaikan ibadah haji.

Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah berkenaan, mereka dianjurkan untuk berpuasa, berzikir dan melakukan amalan sunat pada hari tersebut.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala daripada ALLAH sebagai penghapus dosa bagi setahun sebelum dan sesudahnya.” (Riwayat Muslim)

3. Banyakkan berdoa.

Amalan bulan Zulhijah

BERDOALAH kepada ALLAH SWT pada bila-bila masa terutama waktu mustajab.

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah, tidak ada yang berhak disembah selain ALLAH yang satu, tidak ada sekutu bagi-NYA, milik-NYA kekuasaan dan milik-NYA segala pujian dan DIA MAHA BERKUASA atas segala sesuatu.” (Riwayat at-Tirmizi)

4. Menghidupkan suasana Hari Raya Aidiladha denga takbir.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Kamu hiasilah hari raya dengan takbir.” (Riwayat at-Tabarani)

Dalam satu riwayat lain, al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu Umar dan Abu Hurairah RA keluar ke pasar pada 10 hari awal Zulhijah, lalu mereka bertakbir sehingga menyebabkan orang ramai turut bertakbir bersama mereka.

‘Affan turut menceritakan peristiwa ini. Beliau berkata: “Abu Hurairah dan Ibnu Umar datang ke pasar pada 10 hari terawal bulan Zuhijah, kemudian mereka bertakbir dan orang ramai turut bertakbir bersama mereka. Mereka berdua tidak datang melainkan untuk bertakbir.”

Terdapat dua jenis takbir pada hari raya iaitu:

i. Takbir Mursal atau Muthlaq – Ia bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (sama ada Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha) dan ia berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat takbir bagi menunaikan Solat Sunat Hari Raya.

ii. Takbir Muqayyad – Ia bermula bermula dari solat Subuh Hari ‘Arafah (9 Zulhijah) hinggalah selepas solat Asar pada Hari Tasyrik terakhir (13 Zulhijah).

5. Banyakkan berzikir.

Amalan bulan Zulhijah

BANYAKKANLAH berzikir tanpa mengira waktu kerana ia merupakan ibadah yang utama berbanding ibadah-ibadah sunat yang lain.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada satu hari yang pahala di hari itu lebih besar di sisi ALLAH dan beramal di hari itu lebih dicintai di sisi ALLAH daripada 10 hari ini. Oleh sebab itu perbanyaklah kalian bertahlil, bertakbir dan bertahmid.” (Riwayat Ahmad)

6. Memperbanyakkan sedekah.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang yang melakukan kebaikan akan memelihara diri mereka daripada nasib buruk. Sedekah secara rahsia menghapuskan kemurkaan Tuhan dan silaturahim pula menambahkan umur.” (Riwayat at-Tabarani)

7. Mentadabbur ayat al-Quran.

Maksud tadabbur adalah menghayati atau merenung kisah-kisah di dalam al-Quran sewaktu membacanya.

Firman ALLAH SWT: “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi ALLAH, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (Surah an-Nisa, ayat 82)

8. Melakukan ibadah korban bagi yang berkemampuan.

Amalan bulan Zulhijah

KEPADA mereka yang tidak berkemampuan, lakukanlah ibadah korban.

Daripada Aisyah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh ALLAH selain daripada menumpahkan darah (haiwan korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda ALLAH SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (Riwayat at-Tirmizi)

9. Makan daging korban dan berikan sedekah kepada asnaf dan fakir miskin.

Firman ALLAH SWT: “Maka makanlah sebahagian daripadanya (haiwan korban) dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.” (Surah al-Hajj, ayat 28)

10. Larangan berpuasa pada hari-hari Tasyrik.

Hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah merupakan amalan melontar jamrah di Mina bagi yang mengerjakan ibadah haji.

Selain itu, bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah berkenaan, digalakkan untuk melakukan ibadah korban pada tarikh tersebut. Bukan itu sahaja, kita juga dianjurkan untuk menikmati makanan dan minuman sebagai satu bentuk syukur atas nikmat kurniaan ALLAH SWT.

Bahkan, Rasulullah SAW menyebutkan Hari Tasyrik ialah hari untuk makan dan minum.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Hari Tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.” (Riwayat Muslim)

Sesungguhnya, begitu banyak amalan yang boleh dilakukan demi mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. Justeru, rebutlah peluang keemasan ini demi meraih ganjaran yang dijanjikan-NYA.

Foto: Freepik