Browsing Tag

undi

POLITIK
Berita Semasa,

Islam larang putuskan silaturahim hanya kerana bercanggah arus politik

ARENA permainan politik yang dilihat merunsingkan dibimbangi akan menjadikan manusia semakin rakus dengan jawatan hingga sanggup memutuskan hubungan silaturahim.

Lihat sahaja senarionya ketika ini. Ada yang sanggup mengutuk dan menghina individu yang lantang berpolitik sana dan sini tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

Tidak kurang juga yang melabelkan orang dengan pelbagai gelaran. Malahan sanggup mengkafirkan atau menerakakan individu lain gara-gara tiada titik persamaan dalam medan berkenaan.

Baca Juga Pikul amanah hingga akhirat, begitu besarnya tanggungjawab pemimpin

Ketahuilah, Islam mengharamkan penganutnya untuk memutuskan hubungan silaturahim termasuk sesama keluarga kerana perbezaan ideologi mahupun parti yang disokong.

Perkara itu ditegaskan sendiri oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang mengingatkan agar umat Islam sentiasa berhati-hati dalam gelanggang politik dan usah terlalu ekstrem sehingga sanggup memutuskan tali silaturahim.

MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor. 

Katanya, parti politik bukanlah ciptaan ALLAH yang terlepas daripada segala kesalahan dan cela, sebaliknya ia hanyalah metodologi berasaskan pemikiran manusia untuk menguasai tampuk pemerintahan dengan matlamat tertentu.

“Apa jua yang direka atas dasar pemikiran manusia tentu ada kelemahan dan kekurangan. Justeru tidak wajar perbezaan pegangan politik membawa kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam, apalagi menjadi faktor memutuskan hubungan silaturahim antara anggota keluarga, adik beradik dan kaum kerabat.

Artikel Berkaitan 

“Tindakan memutuskan silaturahim itu bukan sahaja merupakan salah satu dosa besar, malah terdapat hadis muttafaq ‘alaih iaitu kategori hadis yang disepakati kesahihannya turut menegaskan seseorang yang berbuat demikian tidak akan masuk syurga,” tegasnya.

Jika diteliti, terlalu banyak nas yang mewajibkan kita memelihara tali perhubungan tidak kiralah sama ada sesama adik beradik mahupun kaum kerabat serta mengharamkan perbuatan memutuskan silaturahim.

PENJAJAH barat sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan tanggapan bahawa hubungan Islam dengan politik atau negara tidak pernah wujud. Foto: Istock

Antaranya, ia disebutkan secara jelas dalam Surah al-Baqarah, ayat 27; Surah an-Nisa’, ayat 1; Surah ar-Ra’du, ayat 21 dan 25 serta Surah Muhammad, ayat 22 dan 23.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW juga bersabda yang membawa maksud: “Barang siapa beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, hendaklah dia hubungkan ikatan kasih sayang antara kaum kerabatnya…” (Hadis Riwayat…

Menurut Dr Wan Salim lagi, silaturahim tidak harus diputuskan walau dengan apa sebab sekalipun, hatta dengan alasan seseorang disakiti atau dianiayai oleh mana-mana adik beradik atau kaum kerabatnya.

Turut Disyorkan Rakyat wajib pilih pemimpin, berikut perinciannya

“Apa yang patut dilakukan dalam situasi sebegini adalah menegur dan memberi kata-kata nasihat yang baik, di samping teruskan hubungan yang baik dengan mereka.

“Bagaimanapun, jika ada yang melakukan maksiat secara terang dan tidak mahu menerima nasihat, maka bolehlah, malah wajib dia dipulau dengan niat semoga ini akan memberi keinsafan kepadanya,” ujarnya kepada laman berita tempatan.

Amalan lain
Berita Semasa,

Jangan sensasikan isu-isu agama demi laba politik

SEMUA calon, penyokong dan petugas parti terlibat semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diingatkan agar tidak mensensasikan isu-isu agama dan kaum untuk meraih laba politik.

Perbuatan yang boleh menyemai kebencian itu kelak berupaya menyalakan api permusuhan dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama.

Pada masa sama, kelompok berkenaan juga diingatkan supaya menjauhi budaya menyogok rasuah semata-mata demi mendapatkan sokongan undi kerana dibimbangi calon tersebut mengamalkan perangai korup apabila diserahkan amanah dan kuasa.

Isu-isu agama

JAUHI budaya menyogok rasuah semata-mata demi mendapatkan sokongan undi kerana dibimbangi calon tersebut mengamalkan perangai korup apabila diserahkan amanah dan kuasa. -FOTO: FREEPIK

Demikian antara inti pati teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak bertajuk ‘Pilihan Raya: Tanggungjawab Ummah Kepada Negara’, minggu lalu.

Di samping itu, Jabatan Agama Islam Perak turut mengingatkan agar semua pihak berkenaan tidak melakukan dosa menyebar fitnah, memaki hamun, mencerca dan mengaibkan lawan semasa berkempen.

“Paling penting, jangan memperdayakan rakyat dengan menjanjikan bulan dan matahari yang tidak dapat dikotakan dan akhirnya rakyat berasa tertipu, selain tidak melakukan perbuatan khianat, merosakkan harta benda awam, melakukan kacau-bilau atau mencetuskan sengketa mengganggu dan menggugat pihak lawan.

Baca juga Rakyat wajib pilih pemimpin, berikut perinciannya

“Selain itu, tidak menggunakan masjid, surau atau institusi agama Islam sebagai tempat berkempen. Patuhilah segala peraturan yang ditetapkan pihak-pihak berkuasa dan para petugas terlibat,” katanya .

Pelantikan pemimpin suatu kewajipan

Dalam teks khutbah itu turut ditekankan bahawa Islam adalah agama yang memandang pemilihan dan pelantikan pemimpin sebagai suatu kewajipan yang perlu dilakukan oleh ummah.

Meskipun kaedah atau cara memilih pemimpin tidak diperincikan dalam al-Quran dan hadis, namun kedua-dua sumber rujukan utama umat Islam itu dan para sarjana Muslim telah memberikan gambaran tentang siapa yang harus dipilih dan seterusnya ditaati.

Isu-isu agama

MENJADI tanggungjawab rakyat untuk mengundi dan memilih pemimpin yang kompeten dalam hal ehwal tadbir urus dan memelihara kesucian agama, keharmonian bangsa dan negara. –PEXELS

Baca juga Jangan tipu rakyat, haram syurga ke atas pemimpin bersikap sedemikian

Malah, ada syarat-syarat tertentu yang harus dimiliki oleh seorang pemimpin.

Pada PRU15 yang bakal berlangsung 19 November depan, rakyat diseru supaya memenuhi tanggungjawab untuk mengundi yang merupakan fardu kifayah.

“Ia adalah tanggungjawab kenegaraan yang sangat dituntut agar dilakukan oleh rakyat. Keengganan untuk memenuhinya bererti melakukan satu pembaziran kerana tidak menghargai kos dibelanjakan oleh kerajaan untuk mengadakan pilihan raya yang memberikan rakyat kuasa memilih kerajaan baharu.

“Para majikan turut mempunyai tanggungjawab kenegaraan, memberikan masa yang cukup, membolehkan para pekerja mereka berpeluang untuk keluar mengundi,” kata teks khutbah berkenaan.

Baca juga Hati-hati pilih pemimpin, jangan sampai ke neraka bersamanya

Renungkanlah firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah kepada yang berhak, dan apabila kamu (pemimpin) menjalankan hukum di antara manusia, jatuhkanlah hukuman secara saksama. Sesungguhnya ALLAH sebaik-baik Pemberi pedoman. Sesungguhnya ALLAH sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 58)

PRU15 bakal menyaksikan lebih 21 juta rakyat layak dan terdaftar sebagai pengundi dengan 10.7 juta daripada jumlah itu pengundi berusia di bawah 39 tahun, hampir 1.5 juta pengundi 18 ke 20 tahun dan hanya 18 peratus mereka yang berada dalam kumpulan umur atas 60 tahun.

Amanah
Isu,

Rakyat wajib pilih pemimpin, berikut perinciannya

PERIHAL pemilihan pemimpin menjadi inti pati penting memandangkan Pilihan Raya Umum ke-15 bakal berlangsung pada 19 November nanti. Ini kerana merekalah insan penting yang akan mencatur dan mengemudikan negara.

‘Kepimpinan’ sesungguhnya begitu dititikberatkan dalam Islam. Al-Quran secara jelas menyatakan aspek itu tidak dapat dipisahkan dengan agama Islam. Masakan tidak, tujuan penciptaan manusia itu sendiri adalah untuk menjadi khalifah di muka bumi ini.

Ia bertepatan dengan firman ALLAH SWT: “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya AKU hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi’…” (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Sesungguhnya, memilih ketua bukan perkara mudah. Ia tidak boleh dilakukan secara tangkap muat sahaja. Terdapat justifikasi dan indikator tertentu untuk diangkat mengepalai manusia lain.

Bagaimanakah sebenarnya urusan memilih pemimpin menurut perspektif Islam? Benarkah berdosa jika kita sengaja tidak turun mengundi tanpa sebab musabab yang jelas?

Prinsip lantik pemimpin

Berbicara lanjut tentang topik semasa itu, Sinar Islam Plus mendapatkan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor, Ustazah Nurzahidah Jaapar.

USTAZAH NURZAHIDAH

Beliau memulakan perbincangan dengan historiografi pelantikan pemimpin dalam kalangan sahabat selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Baca juga Pemimpin atau ketua yang baik perlu seimbangkan di antara kepentingan agama dan urusan duniawi

Jelas beliau, terdapat beberapa prinsip signifikan yang boleh dilihat. Antaranya secara syura atau perundingan asas utama, diikuti dengan penetapan pemimpin dan pencalonan dalam proses pengundian, ungkapnya.

“Mudah kata, ia sama seperti pendekatan pilihan raya dalam amalan sistem demokrasi yang diamalkan oleh majoriti negara pada masa kini.

“Suka saya ingatkan, prinsip syura menjadi dasar utama pemilihan pemimpin Islam berdasarkan Surah al-Syura, ayat 38,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah.” (Surah al-Qasas, ayat 26)

Menurut perspektif Islam, ujar Ustazah Nurzahidah, jelaslah bahawa aspek utama dalam urusan melantik pemimpin terletak pada prinsip al-Quwwah (kuat) dan al-Amanah.

Jelas beliau, prinsip al-Quwwah yang dimaksudkan adalah kompeten, berkelayakan, berkemahiran, berkewibawaan atau karismatik dan berkemampuan melaksanakan tugas yang diberikan dengan baik.

Baca juga Ibrah kisah Zulqarnain, pemimpin yang penuh sifat qawwam

“Tidak dilupakan juga prinsip al-Amanah yang berkait dengan soal pegangan agama atau kesolehan seseorang pemimpin. Tuntasnya, kedua-dua prinsip itu perlulah seimbang.

Pemimpin

KEPIMPINAN aspek yang dititikberatkan dalam Islam kerana ia memacu masa depan negara, pembangunan masyarakat dan tamadun bangsa. -FOTO: FREEPIK

“Namun realitinya, bagi mendapatkan keseimbangan adalah mencabar kerana sesetengah pemimpin mungkin kompeten, tetapi korup. Ada pula sebilangannya yang amanah, tetapi tidak cekap.

“Maka sebab itulah Rasulullah SAW tidak memberikan jawatan kepada sahabat-sahabat yang tidak berkemampuan sekalipun individu berkenaan orang yang soleh,” katanya.

Kewajipan mengundi

Bagi mencari titik keseimbangan tersebut, ujar ahli akademik itu, ia mestilah bermula dengan asas kekeluargaan.

Beliau berhujah, seorang pemimpin yang lahir dari sebuah keluarga menerapkan nilai kepimpinan baik bermula dari pemilihan isteri, didikan anak-anak dan dibentuk dengan kualiti yang hebat daripada ibu bapa.

“Demikian juga pandangan al-Farabi dalam kitabnya, al-Madinah al-Fadhilah bahawa kualiti pemimpin dalam organisasi makro seperti pertubuhan bukan kerajaan, komuniti, kenegaraan dan sebagainya, ia mesti bermula daripada seseorang individu dalam sesebuah keluarga yang baik,” katanya.

Baca juga Menjadi pemimpin bukan sekadar mengarah, tetapi amanahnya lebih daripada itu…

Kepada satu soalan, Ustazah Nurzahidah menjawab: “Sepertimana pesanan Sadina Abu Bakar as-Siddiq mengenai penggantinya, beliau memberi ingatan yang cukup jelas kepada semua masyarakat untuk menjalankan perintah ALLAH SWT sebagai hamba-NYA dengan memilih pemimpin yang layak.

Pemimpin

MENJADI tanggungjawab rakyat untuk mengundi dan memilih pemimpin yang kompeten dalam hal ehwal tadbir urus dan memelihara kesucian agama, keharmonian bangsa dan negara. -FOTO: PEXELS

“Sebagai seorang masyarakat yang prihatin dengan masa depan negara, setiap undian dan sokongan mereka merupakan tanggungjawab dan hak yang telah ditetapkan.

“Perlu difahami bahawa setiap warganegara yang mencukupi syarat wajib mengundi bagi memilih pemimpin yang layak sebagaimana ia dapat mengukuhkan pentadbiran negara pada masa hadapan bagi memastikan bahawa jawatan yang menentukan hala tuju masyarakat dan umat itu tidak akan jatuh melainkan ke tangan mereka yang benar-benar layak.”

Ia bertepatan dengan maksud hadis Nabi Muhammad SAW yang mana baginda bersabda: “Sesungguhnya seoarang mukmin terhadap mukmin bagaikan sebuah rumah, yang satu mengukuhkan yang lain.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Seandainya seseorang enggan mengundi sebagai tanda protes atau merosakkan undi, jelas pensyarah itu, ia bertentangan dengan semangat demokrasi Malaysia.

Baca juga Kenali 21 ciri-ciri kepimpinan Islam menurut Imam al-Nawawi

“Ketahuilah bahawa dalam konteks fiqh siyasah, mengundi bagi memilih wakil rakyat, menteri dan pemerintah adalah satu bukti pelaksanaan perlembagaan dan undang-undang kerana wakil rakyat yang undi itu merupakan pembuat dasar dan penggubal bagi maslahat negara dan rakyat,” katanya.

Begitupun, beliau mengingatkan, hukum mengundi yang pada asalnya harus boleh berubah menjadi wajib kerana ia merupakan prasyarat bagi mewujudkan kerajaan sebagaimana ulama mengatakan; ‘Apa-apa yang tidak sempurna yang wajib melainkan dengan dia, maka perkara itu menjadi wajib’.

“Jika setiap warganegara yang layak mengundi tidak mempunyai halangan syarie, menjadi satu kewajipan untuk memilih pemimpin. Perlu difahami bahawa kewajiban dalam agama ini dinilai dengan dosa dan pahala.

“Justeru, dengan melaksanakan kewajipan tadi, ia akan dapat menegakkan syiar Islam dan keadilan untuk negara. Maka proses pilihan raya itu wajib sebagaimana wajibnya hukum memberikan hak kepada rakyat.

Pemimpin

LUANGKAN masa jalankan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi demi kemaslahatan masyarakat dan negara. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: BERNAMA

“Apabila sesuatu hukum wajib ditetapkan dalam agama, dengan melaksanakannya akan mendapat pahala dan apabila ia ditinggalkan, maka berdosa.”

Kelayakan pemimpin

Bolehkah Muslim memilih orang bukan Islam sebagai pemimpin?

Menjawab persoalan itu, Ustazah Nurzahidah menjelaskan, hukum asalnya adalah harus mengundi bukan non-Muslim selagi mana mereka bersifat amanah dan pakar melaksanakan tugas.

“Di samping itu, mereka perlulah tetap menghormati agama Islam dan membantu menjaga kesucian Islam serta agama lain di Malaysia,” terangnya.

Baca juga 5 Pendekatan Didik Anak Cara Rasulullah SAW Bagi Membentuk Mereka Menjadi Pemimpin Terbaik Pada Masa Depan  

Sebelum menoktahkan bicaranya, beliau mengingatkan, Islam menentukan pensyaratan seorang pemimpin dilihat pada keperibadian yang baik, berkelayakan memimpin berasaskan kecekapan, kompeten dalam mentadbir dan menjalankan pemerintahan dalam suasana masyarakat majmuk di Malaysia, selain berpandangan jauh dalam memajukan negara.

“Tidak dinafikan, seorang pemimpin mestilah mempunyai nilai kasih sayang, bersih daripada rasuah, semangat kerjasama berpasukan dan nilai integriti tinggi dalam diri.

“Semua faktor ini haruslah diambil kira dalam membuat keputusan sebelum mengundi dan memilih agar kepimpinan negara sentiasa dipercayai dan dihormati semua pihak,” ujarnya.