Pilih pemimpin berdasarkan kekayaan atau wibawa peribadinya, tepuk dada tanya iman…
PILIHAN Raya Negeri (PRN) bakal diadakan pada 12 Ogos nanti di enam buah negeri, lebih kurang seminggu sahaja lagi dari tarikh yang dinantikan oleh setiap rakyat dan ahli politik.
Tidak kisahlah parti mana pun yang disokong, pastikan pemimpin yang kita undi itulah mampu memimpin negeri dengan penuh amanah dan dedikasi.
Jangan pula kita salah pilih dan undi pemimpin berdasarkan kekayaan semata-mata, kerana faktor tersebut tidak akan menjamin kewibawaan seseorang itu dalam memimpin.
Menurut Mufti Wilayah di laman Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-720: Memilih Pemimpin Berdasarkan Wang Harta Dan Kekayaan, menjelaskan seorang Muslim yang mahu memilih pemimpin tidak dibenarkan mengangkat seseorang calon kerana wang atau harta kekayaan.
“Hal ini kerana kewajipan syariat menerangkan supaya kita memilih calon pemimpin yang mempunyai keperibadian yang baik, serta menilai kelayakannya berasaskan kecekapan dan kompeten dalam mentadbir serta menjalankan pemerintahan.
“Nabi SAW menjelaskan antara golongan yang akan diberi azab yang pedih ketika akhirat adalah golongan yang mengangkat pemimpin kerana habuan keduniaan seperti wang, dan jika tidak diberi jawatan tersebut kepadanya pula maka dia akan marah dan meninggalkan pemimpin tersebut.
ALLAH SWT menegur sekalian umat manusia mengenai pemilihan kepimpinan berdasarkan wang harta, ini dapat dilihat melalui kisah Yahudi di dalam al-Quran: “Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya ALLAH telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya ALLAH telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), ALLAH jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA; dan ALLAH MAHA LUAS (rahmat-NYA dan pengurniaan-NYA), lagi meliputi ilmu-NYA”. (Surah al-Baqarah ayat 247)
“Syeikh Wahbah Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan ayat ini menjelaskan bahawa kepimpinan bukan berdasarkan pewarisan dan bukan juga berdasarkan kekayaan seseorang, tetapi dipilih berdasarkan kompeten kecekapan, ilmu pengetahuan, kemahiran, keperibadian yang utuh dan kemahuan yang teguh.
Artikel Berkaitan
- Calon pemimpin ini patut ditolak, perhatikan 5 ciri ini yang jelas ditegah dalam Islam
- 8 ciri pemimpin berwibawa idaman ummah
- Berkhidmat demi rakyat, antara syarat utama pemimpin
- Rakyat wajib pilih pemimpin, berikut perinciannya
- Hati-hati pilih pemimpin, jangan sampai ke neraka bersamanya
- Jangan tipu rakyat, haram syurga ke atas pemimpin bersikap sedemikian
- Pemimpin atau ketua yang baik perlu seimbangkan di antara kepentingan agama dan urusan duniawi
“Ibnu Abbas menceritakan pemilihan Talut sebagai pemimpin di kalangan bani Israel ketika itu kerana beliau merupakan orang yang paling bijak serta memiliki kekuatan tubuh badan yang sempurna, yang mana akan membuatkan musuh takut dan gentar.
“Dalam ayat ini ALLAH menjelaskan faktor pemilihan Talut adalah berdasarkan ilmunya yang luas (kekayaan sebenar manusia) dan kekuatan fizikalnya yang mampan (faktor kekuatan untuk berperang dan keyakinan ketika perjumpaan bersama manusia yang lain).
“Jadi ayat ini menjelaskan kriteria seorang pemimpin dan keadaan yang bersangkut paut dengan kepimpinan, di mana orang yang layak menjadi pemimpin adalah orang yang mempunyai ilmu, agama dan kekuatan tubuh badan. Pemimpin juga tidak harus dipilih melalui nasab keturunannya,” jelasnya.
Tiga golongan ALLAH murka
Mufti menjelaskan lagi, terdapat juga sebuah hadis yang menyebut mengenai golongan-golongan manusia di mana ALLAH benci dan murka terhadap golongan ini di akhirat kelak.
Baca Juga Ini suara anak muda Muslim terhadap kerajaan baharu
“Antara golongan yang disebut adalah mereka yang berbaiah atau mengikut pemimpin hanya jika mereka diberikan sejumlah wang harta atau pemberian.
“Nabi SAW bersabda “Tiga golongan yang ALLAH berpaling daripada mereka di akhirat kelak; golongan yang menyekat orang-orang di jalanan daripada akses air, golongan yang bersumpah atas sesuatu barang yang bermaksud pendustaan, dan golongan yang berbaiah kepada pemimpin di mana mereka mendapat habuan daripadanya, jika tidak ada habuan tersebut maka mereka tidak mentaatinya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
“Syeikh al-Azim Abadi dalam kitabnya menerangkan golongan terakhir yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah golongan manusia yang mengangkat pemimpin demi untuk habuan keduniaan.
“Imam al-Munawi pula dalam karyanya menjelaskan golongan ketiga yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah golongan yang mempunyai perjanjian dengan pemimpin dalam melaksanakan undang-undang, melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran, tetapi tujuan dia melakukan sedemikian kerana mahukan balasan dan habuan keduniaan. Jika pemimpin tersebut tidak memberikan apa yang dikehendakinya maka dia tidak akan mengikut pemimpin tersebut,” ujarnya.
Turut Disyorkan Ibrah kisah Zulqarnain, pemimpin yang penuh sifat qawwam
Berdasarkan pencerahan di atas, kita dapat mengetahui bahawa kekayaan dan harta bukan faktor utama dalam pemilihan kepimpinan, bahkan ALLAH mencela orang-orang yang mengangkat seseorang pemimpin kerana wang harta dan habuan keduniaan.
Seorang Muslim harus memperhatikan ciri-ciri seperti keilmuan, kejujuran, kecekapan bekerja, taat kepada perintah agama dan kemahuan yang benar untuk membantu orang yang dalam kesusahan.