Browsing Tag

lgbt+

LGBTT
Berita Semasa,

Perkahwinan sejenis di Malaysia? Jangan normalisasikan amalan songsang

MAJLIS Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan melakukan siasatan atas kes perkahwinan sejenis dua wanita yang diraikan dalam sebuah majlis perkahwinan di Balik Pulau.

Isu ini timbul selepas tular beberapa foto di media sosial yang memaparkan dua wanita terdiri daripada warga tempatan dan luar negara bercumbu di sebuah premis inap persendirian di Balik Pulau.

Kata Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, jika benar ia berlaku, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang berikutan Malaysia sememangnya melarang aktiviti LQBTQ.

Baca Juga Walaupun sudah difatwakan haram, umat Islam masih dikesan sertai perarakan Thaipusam di Pulau Pinang

Difahamkan dari laporan, perkahwinan tersebut berlangsung pada bulan lalu dan hanya dihadiri oleh keluarga serta teman rapat saja.

Andai ia benar terjadi, adalah menjadi satu kebimbangan apabila perbuatan terkutuk yang dilarang oleh ALLAH berlaku dalam negara yang menjunjung Islam sebagai agama negara. Al-Quran menyifatkan kumpulan yang melakukan perbuatan songsang sebegini sebagai golongan yang melampau.

Firman ALLAH “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”. (Surah al-A’raf ayat 81)

MAINPP akan melakukan siasatan atas kes perkahwinan sejenis dua wanita yang diraikan dalam sebuah majlis perkahwinan di Balik Pulau. 

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, perbuatan ini bukan sekadar dikeji oleh ALLAH, bahkan Rasulullah SAW turut melaknat kumpulan manusia yang melakukan perlakuan songsang ini.

“Andai sekiranya ALLAH menyifatkan perbuatan songsang ini sebagai perbuatan yang terkutuk yang dibenci oleh Allah, jangan pula kita merasa selesa dan menganggap tidak mengapa sehingga menjadi satu proses normalisasi perlakuan mungkar.

Artikel Berkaitan

Sabda Rasulullah “ALLAH melaknat mereka yang mengamalkan amalan kaum Lut.” (Hadis Riwayat Ahmad)

“Perlakuan songsang sebegini bukan sahaja menyalahi agama, malah ia memberikan impak yang negatif terhadap kesihatan manusia. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, kebanyakan pengidap HIV kini berpunca dari hubungan songsang.

“Perubahan lanskap data pengidap HIV ini menunjukkan betapa seriusnya masalah yang dihadapi oleh negara dalam menangani gejala hubungan seks sejenis.

Golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender jelas bertentangan dengan  ajaran Islam.

“Barangkali inilah kebimbangan yang pernah dinyatakan oleh Baginda Nabi. Sabda Rasulullah “Antara perkara yang paling aku takuti (bimbangi) dikalangan umat aku adalah perlakuan kaum Nabi Lut.”

“Andai jelas perlakuan terkutuk ini dibenci oleh ALLAH, malah memberikan impak negatif kepada kesihatan manusia, janganlah pula kita memandang ringan perkara yang berlaku disekeliling kita,” katanya.

Baca Juga “Benarkah tempat pengamal LGBT di neraka?”, hayati jawapan Habib Umar

Doa minta diteguhkan iman

Amalkan doa ini agar hati kita sentiasa dijaga daripada perkara-perkara yang tidak sepatutnya:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah ENGKAU memesongkan hati kami sesudah ENGKAU beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-MU; sesungguhnya ENGKAU jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-NYA.” (Surah al-‘Imran ayat 8)

LGBTT
Berita Semasa, Gaya Hidup, Personaliti,

Tiada Gender Ketiga Dalam Islam!

no comment

Polemik mengenai isu gender ketiga muncul setelah pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada 14 Jun 2021 memuat naik iklan mencari penyelidik bagi  kajian “The Research on Feasibility of Having Legislation on The Recognition of a Third Gender in Malaysia”.

Ini secara tidak langsung  akan membuka satu usaha untuk memberi pengiktirafan kepada golongan gender ketiga di Malaysia.

Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh tempatan bangkit meluahkan bantahan keras ke atas tindakan Suhakam.

Ini kerana dalam terma rujukan tawaran kajian itu jelas menyebut bahawa antara hasil dapatan kajian itu bertujuan untuk membangunkan pembaharuan perundangan yang komprehensif bagi menetapkan garis panduan pengiktirafan transgender di Malaysia.

Malah, hasil dapatan itu juga untuk mencadangkan kerajaan menggubal undang-undang bagi mengiktiraf golongan transgender dalam istilah gender ketiga.

Maksud gender ketiga

 Oxford Learner’s Dictionary memberi definisi gender ketiga sebagai satu kategori kumpulan manusia yang memilih untuk dikenali sama ada sebagai lelaki dan wanita atau gabungan antara lelaki dan wanita.

Laman sesawang United Nation Human Rights Office (Pejabat Hak Asasi Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) menyatakan, gender ketiga berada di bawah definisi kumpulan transgender  iaitu golongan transeksual (orang yang mengubah jantina asal)  dan  golongan transvestites (berpenampilan bercanggah dengan jantina asal).

Oleh kerana golongan transeksual dan tranvestite ini termasuk dalam definisi transgender, ini bermaksud kertas cadangan penyelidikan Suhakam ini juga memberi pengktirafan kepada golongan berkenaan.

Persoalannya, apakah Islam mengiktiraf golongan transeksual? Apakah Islam membenarkan seorang lelaki berpenampilan wanita atau sebaliknya seperti yang termaktub dalam perbahasan gender identiti oleh Pejabat Hak Asasi Kemanusiaan?

Secara umumnya tiada gender ketiga dalam Islam! Dalam al-Quran, ALLAH menetapkan secara jelas bahawa Dia menjadikan manusia dalam kalangan lelaki dan wanita sahaja.

Firman ALLAH: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan.”  (Surah al-Hujurat: 13)

Namun,  terdapat juga manusia yang dilahirkan secara semula jadi memiliki dua alat kelamin.  Dalam hal ini, Rasulullah SAW memberikan solusi yang sangat terperinci bahawa kewujudan bayi dengan dua alat kelamin dikategorikan sebagai khunsa.

Sarjana muslim telah menegaskan bahawa khunsa bukan jantina ketiga dan bayi tersebut perlu ditentukan jantina mereka sama ada lelaki atau wanita.

Penetapan tegas ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi yang menyebut: “Mazhab kami menentukan bahawa khunsa itu hanyalah sama ada lelaki atau perempuan. Dia bukan jantina ketiga.” (al-Nawawi, Raudah al-Talibin)

Khunsa bukan transgender

 

Golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender jelas bertentangan dengan  ajaran Islam.

 Berdasarkan definisi yang diberikan oleh Pejabat Hak Asasi Kemanusiaan PBB di atas jelas menunjukkan bahawa transgender bukan khunsa.

Khunsa seperti yang dibahaskan oleh sarjana muslim adalah kelahiran semula jadi manusia yang memiliki dua jantina, lalu jantina mereka ditentukan berdasarkan sifat yang dominan berdasarkan nasihat pakar perubatan.

Khunsa dilahirkan secara semulajadi sedangkan transgender dan  transeksual adalah golongan yang berpakaian atau berpenampilan atau berperwatakan lahiriah yang bercanggah dengan jantina semulajadi mereka.

Malah ada yang melakukan perkara ditegah ALLAH dan Rasulnya iaitu mengubah alat kelamin dan anggota tubuh badan untuk kelihatan seperti jantina yang mereka kehendaki melalui cara pembedahan, suntikan hormon dan sebagainya.

Mengapa gender ketiga dilarang dalam Islam? Antara asas yang paling kukuh untuk menolak pengiktirafan gender ketiga adalah dari aspek pengubahan kejadian ALLAH. Firman ALLAH:

“Dan aku (syaitan) benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak), lalu mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku suruh mereka (mengubah ciptaan ALLAH), lalu benar-benar mereka mengubahnya. Barangsiapa yang menjadikan syaitan sebagai pelindung selain ALLAH, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata.” (Surah al-Nisa: 119)

Larangan ini dikuatkan lagi dengan tegahan dari Rasulullah SAW iaitu: “ALLAH melaknat pembuat tatu, orang yang meminta supaya dibuatkan tatu kepadanya, orang yang mencukur kening, serta menjarangkan gigi dengan tujuan untuk kecantikan, dan golongan yang mengubah ciptaan ALLAH.” (Sahih al-Bukhari)

Malah, kempen pengiktirafan gender ketiga ini sangat bercanggah dengan panduan hadis Rasulullah SAW. Baginda melarang seorang muslim berperwatakan dengan penampilan yang bertentangan dengan jantina mereka.

Imam al-Bukhari merekodkan hadis yang menyebutkan: “Rasulullah melaknat golongan mukhannath (berperwatakan wanita) daripada kaum lelaki dan kaum wanita yang berperwatakan seperti lelaki.” (Sahih al-Bukhari)

Pengiktirafan gender ketiga memberi kesan kepada perundangan syariah dan merupakan satu usaha normalisasi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)  yang jelas bertentangan dengan  ajaran Islam.

Aktiviti LGBT dan pengiktirafan gender ketiga tidak hanya melibatkan isu ketidakharmonian  dalam kalangan masyarakat, tetapi ia memberi impak sangat besar  terhadap sistem  perundangan sedia ada khususnya perundangan  syariah di bawah bidang kuasa negeri.

Pengiktirafan ini dibimbangi membawa kepada pemansuhan  perundangan sedia ada seperti  kesalahan lelaki berlagak seperti perempuan,  kesalahan perempuan berlagak seperti lelaki dan kesalahan tidak bermoral.

Dibimbangi, pengiktirafan ini juga sudah pasti akan memberi kesan kepada perundangan syariah dan agama Islam iaitu kesalahan musahaqah (Perlakuan seksual antara perempuan dgn perempuan) dan hubungan jenis antara orang yang sama jantina.

Tolak kemungkaran

 Menjadi tanggungjawab muslim di Malaysia untuk membantah cadangan pengiktirafan gender ketiga.

Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi, sebarang unsur kemungkaran yang berlaku di Malaysia  hendaklah disuarakan bersama agar gelombang bantahan berjaya mematahkan usaha kemungkaran.

Tegasnya, ini selaras dengan perintah ALLAH agar setiap muslim memainkan peranan dalam memastikan kesejahteraan negara berteraskan al-Quran dan hadis.

Rasulullah SAW turut memberikan bimbingan mengenai perkara ini dalam sabda Baginda yang berbunyi: “Tiada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada di kalangan mereka yang mampu mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya.” (HR Abu Daud).

Pada masa sama, pihak berkuasa agama berperanan memberi bimbingan  kerohanian kepada  golongan LGBT dan mereka yang mahu diiktiraf sebagai gender ketiga yang beragama Islam untuk kembali menjalani kehidupan fitrah yang diajar agama.

AFP_9D67FN
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Kedutaan Britain di UAE Kibar Bendera LGBT + Dapat Kecaman

no comment

KEDUTAAN Besar Britain di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendapat kecaman di media sosial selepas bertindak mengibarkan bendera pelangi di kediaman Duta Besarnya di Abu Dhabi sebagai memperingati Bulan Pride.

Walaupun sentiasa berusaha untuk dilihat sebagai suara Islam liberal di Timur Tengah, UAE masih menganggap homoseksual satu jenayah.

Ketika Kedutaan Besar Britain di UAE kelmarin, menyuarakan sokongannya terhadap hak LGBT + di media sosial yang disertakan gambar bendera pelangi dari kediamannya di samping bendera Union Jack, tindakan itu mendapat kritikan negatif.

Ratusan komen dari warga UAE konservatif menolak tindakan itu sebagai tidak dapat diterima, tidak sopan, menghina dan rasis, serta ramai yang mendesak kedutaan untuk segera menurunkan bendera itu.

Bendera LGBT+ di hadapan Kedutaan Besar Britain di UAE undang provokasi. Gambar: AFP/Getty Images

Ramai yang mengatakan bahawa ia bertentangan dengan Islam dan orang Inggeris cuba memaksakan pandangan mereka ke negara lain. Satu komen menyamakan langkah itu jika sebuah konsulat Britain di UK “menaikkan bendera swastika”. Sebilangan kecil yang menyokong tindakan kedutaan Britain itu hanyalah adalah ekspatriat dari negara Barat.

Walaupun terdapat penentangan yang keras terhadap sokongan secara terang terhadap hak LGBT+, beberapa penganalisis Emirat percaya langkah itu dilakukan ketika UAE bersiap untuk melucutkan status jenayah terhadap homoseksual.

Menurut sumber kerajaan, homoseksual diharapkan dapat dilucutkan sebagai perbuatan jenayah sebelum akhir tahun ini sebelum berlangsungnya Expo 2020 Dubai yang akan bermula pada bulan Oktober depan.

Sumber itu mengatakan kerajaan sering ‘memasang umpan’ membayangkan kemungkinan berlaku perubahan undang-undang untuk mengukur reaksi penduduk setempat.

Abdulkhaleq Abdulla. Gambar: Middle East Monitor

Saintis politik Emirat, Abdulkhaleq Abdulla memahami bahawa kedutaan telah meminta izin untuk mengibarkan bendera sebagai menunjukkan solidariti kepada masyarakat LGBT +.

“Mereka memang telah memaklumkan kepada Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Internasional. Katanya sebagai sokongan kepada hak LGBT +. Saya rasa jawapannya adalah lebih baik anda tidak melakukannya, tetapi ini adalah hak kedaulatan anda, oleh itu, mereka tidak mendapat lampu hijau, tetapi saya rasa mereka mendapat lampu kuning,” katanya.

Abdulla melabelkan tindakan kedutaan itu sebagai tidak sensitif dan sengaja memprovokasi. Namun, beliau mengatakan bahawa pandangan negatif datang dari masyarakat Emirat yang paling konservatif mewakili sekitar satu pertiga daripada keseluruhan populasi.

“Seramai 60 peratus rakyat tidak peduli mengenainya, sama ada orang Inggeris memasang bendera Pelangi atau tidak. Ini datang dari minoriti suara dan bukannya dari majoriti yang berdiam diri,” katanya.

Kedutaan Amerika Syarikat juga mengibarkan bendera pelangi di Abu Dhabi tahun ini, tetapi tidak mendapat kritikan yang sama.

Abdulla percaya menghalalkan homoseksual mungkin suatu permulaan yang sedang dalam proses.

“UAE adalah liberal seperti mana-mana negara dan kerajaan mungkin akan mencari masa yang tepat untuk mengatakan, semua orang yang ingin menjadi homoseksual, itu terpulang kepada anda. Saya tidak akan mendesak, sesuai dengan perkahwinan, tetapi jika anda ingin mempraktikkannya, teruskan dan jadilah tamu saya,” katanya lagi.

Undang-undang berhubung pemakaian pakaian berlainan jantna atau cross-dressing yang dilulus UAE baru-baru ini, dilihat sebagai langkah pertama dalam proses memberi hak kepada kelompok LGBT +.

Negara itu tanpa banyak publisiti meminda undang-undang terbabit pada lewat 2020, dalam pada membuat rombakan undang-undang termasuk tidak lagi menganggap sebagai jenayah kegiatan minum arak, bunuh diri dan bersekedudukan.

Ia kini hanya menjadi jenayah jika seseorang memakai pakaian berlainan jantina dengan tujuan memasuki tandas wanita.

“Ini adalah negara yang sangat revolusioner dibandingkan dengan sekitarnya. Perkara yang telah dilakukan oleh UAE adalah perintis dan merupakan keputusan yang tidak disukai oleh banyak negara di sekitar kita.

“Dunia sedang berubah, dan emirat hari ini bukan emirat semalam. UAE mesti menyesuaikan diri dengan perubahan,” katanya.

Sumber Teks dan Gambar: Independent.co.uk