Segera siasat ‘perarakan LGBTQ’, tiada kompromi sebarang perbuatan bertentangan ajaran Islam…
PADA 12 Mac lalu, berlangsung sebuah himpunan dan perarakan sempena Hari Wanita Sedunia di hadapan Sogo, Kuala Lumpur.
Difahamkan, tujuan perhimpunan itu diadakan untuk menuntut kebebasan dan memberikan hak sama rata kepada golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) di negara ini.
Perkhabaran itu menaikkan darjah amarah umat Islam. Masakan tidak, terdapat banyak hadis yang terang lagi bersuluh menerangkan tentang ancaman dan larangan perlakuan kelompok tersebut.
Isu itu memancing respons tegas beberapa pendakwah tampil supaya tindakan susulan diambil.
Antaranya pendakwah Ustazah Asmak Husin. Menerusi satu perkongsian dalam laman sosial Facebooknya, beliau menggesa agar tindakan tegas diambil kepada pihak yang menganjurkan himpunan tersebut.
Beliau mempersoalkan mengapa detik istimewa yang sepatutnya disambut oleh kaum Hawa itu dicemari dengan perarakan melibatkan perjuangan LGBTQ.

TUJUAN perhimpunan itu diadakan untuk menuntut kebebasan dan memberikan hak sama rata kepada golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) di negara ini.
“Adakah golongan wanita simbolik kepada LGBTQ?,” soalnya.
Hakikatnya, tegas bekas ahli Dewan Negara itu, wanita adalah kemuliaan agama.
“Jika dijadikan wanita sebagai simbolik kepada LGBTQ ia jelas menghina dan menjatuhkan maruah wanita.
“Lebih merisaukan lagi, perhimpunan menggesa pengiktirafan LGBTQ bukan sahaja baru, malah pernah berlaku pada tahun 2019. Ini membuktikan golongan ini konsisten menyebarkan perjuangan sonsang ini dalam masyarakat kita.
“Malaysia sebagai negara Islam yang jelas menolak pengiktirafan LGBTQ,” katanya sebagaimana dipetik menerusi media sosialnya.
Dalam satu hadis, daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang paling aku takut ditimpa kepada umatku amalan seperti kaum Luth.”
Tambahnya lagi, sepatutnya dalam meraikan Hari Wanita, kita perlu proaktif menggerakkan advokasi dan kempen kesedaran untuk membangunkan wanita, memperjuangkan hak dan kebajikan wanita. Bukannya mencemarkan sambutan Hari Wanita dengan tuntutan songsang LGBTQ.

USAHA untuk mengiktiraf golongan gender ketiga di Malaysia perlu dibanteras.
“Malah saya turut difahamkan perhimpunan ini turut disertai oleh ahli parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mahasiswa.
“(Kepada) Para ibu bapa sekalian, saya mohon kita pantau anak-anak di IPT (institusi pengajian tinggi) agar mereka tidak terjebak di dalam perjuangan songsang ini,” tegasnya.
BACA JUGA Isu sensitif kesihatan perlu diulas dengan teliti dari sudut sains dan agama
Turut memberi respons terhadap perarakan tersebut ialah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.
Dalam laman sosial Facebook miliknya, beliau menyifatkan perlakuan tersebut tidak selari dengan konsep Madani dibawa oleh kerajaan.
Menteri Agama arah JAWI kerjasama dengan polis siasat ‘perarakan LGBT’

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Dalam satu kenyataan terbaru hari ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat perhimpunan yang dikaitkan dengan kelompok LGBT.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, arahan itu dikeluarkan selepas pihaknya menerima laporan dan maklum balas masyarakat berkaitan perhimpunan dan perarakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka di ibu negara pada Ahad lalu.
BACA JUGA Isu tauliah mengajar, JAKIM tegaskan tiada campur tangan pihak Jabatan Menteri Agama
Katanya, selaku pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan, JAWI tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menasihatkan semua pihak agar akur dan menghormati kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Apa-apa usaha untuk mempromosi serta menormalisasikan gaya hidup songsang yang bercanggah dengan nilai Islam dan fitrah insan adalah tidak boleh diterima sama sekali,” tegasnya.