PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menerima kecaman banyak pihak di Malaysia selepas memuat naik status menyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
WHO menegaskan semua pihak mempunyai hak bagi menjalani kehidupan yang bebas daripada sebarang diskriminasi dan keganasan.
Mengulas perkara itu, pendakwah Islam, Firdaus Wong Wai Hung berpendapat golongan tersebut tidak dihukum atau dinafikan hak sebagai seorang manusia di negara ini.
“Malahan, mereka menjadi usahawan dan jutawan asbab populariti yang diperolehi dengan kesongsangan mereka.
“Mereka juga mendapat peluang pekerjaan dan menjawat jawatan yang tinggi dalam organisasi.
“Mereka turut memiliki akses kepada pendidikan dan perubatan walaupun golongan ini merupakan penyumbang terbanyak HIV di Malaysia,” tulisnya dalam hantaran Facebook, semalam.
Bukan itu sahaja, ujarnya, golongan songsang itu juga dibantu secara percuma untuk mendapatkan semula sifat semulajadi dan seterusnya menjalani kehidupan normal sebagai manusia yang bernafsu normal.
“WHO sendiri perlu memahami program WHO, Human Reproduction Programme (Program Reproduksi Manusia).
“WHO pastinya tahu secara saintifik bagaimana sistem reproduksi manusia berfungsi yang seterusnya membolehkan manusia membiak secara normal kan?
“Bantulah mereka kembali menjalani kehidupan normal bukannya menjustifikasi atau mempromosi kesongsangan itu,” katanya.
Baca juga Umat Islam kurang diwakili dalam televisyen walaupun membentuk satu perempat populasi dunia
Budaya LGBT, hadapilah dengan ilmu
Sesungguhnya, umat Islam adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia di muka bumi ini. Sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Al-Quran, surah Aali Imran, ayat 110: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada ALLAH. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah ia lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik”.
Namun realitinya, kita menyaksikan hari ini keadaan umat Islam di seluruh dunia sangat menyedihkan. Kemiskinan dan kesempitan ekonomi, pendidikan yang mahal, pergaulan bebas hingga terjadinya pelacuran, zina dan pengguguran bayi, LGBT dan riba bermaharajalela.
Menerusi artikel Al-Kafi #578: Budaya LGBT, Hadapilah Dengan Ilmu menerangkan sememangnya menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk mendalami isu tentang LGBTQ (Lesbian, gay, bisexual, transgender, queer individual/identiti) sehingga jelas hakikat dan pandangan alam tentang perkara ini.
“Ini termasuklah penyelidikan daripada aspek bahasa, epistemologi, ontologi, fisiologi, agama, sains mental, kesihatan dan sebagainya. Kaedah usul ada menyatakan: Hukum tentang suatu perkara dibina atas tasawwur (pandangan keseluruhan) tentang perkara itu.
Baca juga Amalan seks songsang dorong peningkatan penghidap HIV baharu
“Apabila sudah faham, barulah umat Islam boleh mengeluarkan suatu pendapat bagi isu ini, berhujah dengan debat dan merangka polisi penyelesaian dalam isu ini.
“Dengan mengambil sikap yang matang dan praktikal, budaya buruk akibat fenomena LGBT dapat dikekang melalui kefahaman yang sahih dan betul, manakala golongan yang ditimpa ujian dengan orientasi seksual yang berbeza boleh dibimbing dan diselamatkan daripada terpengaruh dengan budaya liberal agama yang merosak,” jelas artikel berkenaan.