Isu sensitif kesihatan perlu diulas dengan teliti dari sudut sains dan agama
JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju bahawa segala isu kesihatan dan agama perlu dibincang secara holistik dengan mengambil kira data sains dan pandangan agamawan.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan dua kementerian itu berkata, perkara tersebut penting agar segala keputusan yang dicapai memberi manfaat yang murni kepada rakyat merentas kaum dan agama.
Persetujuan itu dicapai selepas pertemuan KKM bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) semalam (25/01/2023) bagi mencapai titik temu keselarian dasar dan polisi kedua-dua kementerian untuk bekerja sebagai satu pasukan.
“Perbincangan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa banyak menyentuh mengenai isu-isu kesihatan dan agama.
“Hal ini berikutan, terdapat beberapa isu kesihatan yang menyentuh sensitiviti agama sehingga menimbulkan persepsi tidak baik disebarkan dalam kalangan masyarakat,” kata kenyataan tersebut.
Turut hadir dalam pertemuan hari ini Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
BACA JUGA Amalan seks songsang dorong peningkatan penghidap HIV baharu
Isu PrEP antara kesihatan atau maksiat
Sejak timbulnya isu pemberian ubat PrEP kepada golongan berisiko tinggi (biseksual/homoseks), ramai agamawan dan para doktor lantang mengemukakan hujah seolah-olah isu ini tiada penghujungnya.
Minggu lalu, satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor berkata pengambilan ubat itu adalah diharuskan kepada pasangan suami isteri sahaja.
“Yang mana salah seorang daripada mereka telah dijangkiti oleh HIV apabila mereka melakukan hubungan suami isteri.
“Adapun pemberian kepada mereka yang diketahui mengamalkan cara hidup homoseksual adalah dilarang kerana ia dianggap sebagai bersubahat di dalam perkara dosa dan kemaksiatan,” kata jabatan itu dalam ruangan soal jawab agama di portal Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar turut berpandangan haram ubat Pre-exposure prophylaxis (PrEP) diberikan kepada pengamal homoseksual yang negatif HIV sekiranya semata-mata ingin mencegah mereka dijangkiti penyakit itu.
Beliau berkata pemberian ubat PrEP kepada golongan itu juga bercanggah dengan maqasid syariah dan dasar-dasar Islam yang menghalang membantu kemungkaran.
BACA JUGA Pendakwah di Malaysia tolak sokongan yang diberikan WHO kepada golongan LGBT
Bagaimanapun, kenyataan itu adalah pandangan peribadi beliau selaku mufti di negeri bawah bayu memandangkan kajian masih dijalankan dan sebarang fatwa berkenaannya bakal dikeluarkan kelak.
“Perkara ini adalah dilarang oleh agama kerana kita asas kepada membantu kemungkaran sedangkan ayat al-quran jelas mengatakan jangan kamu bertolong-tolongan perkara-perkara mungkar, termasuk menolong orang dalam melakukan perkara dosa dan kemungkaran.
“Oleh kerana dia melakukan perkara dilarang agama maka sesuatu yang boleh membantu atau memotivasikan dia supaya terus melakukan maksiat tersebut adalah dilarang.
Beliau berkata golongan ini boleh menggunakan hujah mereka berhak mendapatkan kesihatan baik dan tidak dijangkiti HIV, namun mereka juga perlu sedar bahawa pada masa sama mereka turut menafikan hak majoriti rakyat yang membenci perbuatan songsang itu.
Mengulas pandangan sesetengah pihak yang menyifatkan isu PrEP ini bukan di bawah bidang kuasa agamawan mahupun mufti sebaliknya di bawah perubatan, Bungsu @ Aziz Jaafar berkata selaku agamawan bidang kuasa mereka adalah merangkumi semua perkara dalam memberikan panduan dan nasihat.
TURUT DISYORKAN Etika pergaulan dalam Islam elak gangguan seksual di tempat kerja
Menurutnya, Islam itu diturunkan adalah untuk mengatur seluruh kehidupan manusia jadi para mufti dan ahli-ahli agama lain perlu mengambil tahu semua perkara khususnya apabila melibatkan perkara-perkara yang boleh mengancam akidah, hukum-hakam syariat, akhlak manusia dan lain-lain.