Browsing Tag

kebaikan

Buat kebaikan
Gaya Hidup,

Buat kebaikan tak semestinya dengan sesuatu yang ‘grand’

RAMAI yang menganggap sukar untuk buat kebaikan. Kebanyakan orang melihat sedekah beratus-ratus, berpuasa dan mendirikan solat sunat sebagai suatu amalan yang tidak ternilai.

Hakikatnya, ia bukanlah ukuran sebenar kebaikan tersebut. Malah, Islam sendiri merupakan agama yang tidak membebankan umatnya.

Ketahuilah bahawa buat kebaikan tidak semestinya dengan sesuatu yang grand.

Demikian kata pendakwah tersohor, Dr Fauzi Deraman ketika ditemui Sinar Islam Plus baru-baru ini di kediamannya di Kuala Lumpur.

Jelas beliau, terlalu banyak kebaikan yang boleh dilakukan walaupun ia hanyalah kecil pada pandangan mata kasar.

Figura yang faqih dalam ilmu hadis itu kemudian mengambil beberapa contoh mudah yang boleh kita jadikan amalan sebagaimana disebut dalam kitab rujukan terkemuka, Riyadus Solihin.

DR FAUZI

“Terdapat 25 hadis yang disenaraikan di dalamnya. Semuanya bukan perkara-perkara berat pun. Malah, ada perbuatan yang sangat simple,” ungkapnya.

Baca juga Lakukan apa sahaja kebaikan kerana ALLAH SWT. Rugi jika beramal, tetapi tak dapat pahala…

Salah satu hadis yang begitu masyhur Riwayat Imam Muslim iaitu Nabi Muhammad SAW terlihat seorang lelaki bersenang-lenang di dalam syurga kerana dia mengalihkan sebatang dahan yang mengganggu perjalanan orang ramai.

“Ada riwayat mengatakan sebatang pokok. Itu sahaja kebaikannya pun boleh membawanya ke syurga. Masya-ALLAH, benda yang sangat simple,” tuturnya.

Selain itu, dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Iman itu mempunyai 70 lebih atau 60 lebih cabang. Yang paling afdalnya adalah ucapan Lailaha illallah dan yang paling rendahnya adalah membuang apa yang menyakitkan dari jalan…” (Hadis Riwayat Muslim)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, Dr Fauzi menjelaskan, buang sampah yang ada di atas jalan pun berpahala.

“Malah, ia tidak semestinya dilakukan dengan tangan. Kadangkala tendang (sampah) dengan kaki pun boleh.

“Saya hendak nyatakan di sini, betapa mudahnya buat kebaikan. Tidak semestinya kena sesuatu yang besar,” katanya.

Satu lagi perkara yang tidak ramai orang terfikir adalah dengan memberi minum kepada anjing yang kehausan, ungkapnya.

Dalam sebuah hadis, kata Dr Fauzi, ada diceritakan tentang seorang lelaki sedang haus dan melalui di tempat perigi. Dia lantas turun ke bawah ambil air.

Buat kebaikan

MEMBERI anjing yang kehausan minum juga dikira sebagai satu bentuk kebaikan juga. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik

“Apabila sudah naik ke tebing, dia melihat pula ada anjing mengelilingi pergi dan jilat tebing itu kerana kehausan. Tanpa berfikir panjang, dia turun semula untuk mengambil air dan bubuh di dalam kasutnya, lalu naik ke tebing dan memberi anjing tadi minum.

“Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa perbuatan mulianya itu menyebabkan ALLAH SWT mengampunkan dosanya.

“Begitu juga halnya dengan seorang wanita pelacur yang memberi anjing kehausan minum, ALLAH SWT mengampunkan dosanya,” terangnya panjang lebar.

Baca juga Ini maksud sebenar hadis tentang wanita pelacur beri anjing dahaga minum…

Bagaimana pula andai seseorang tidak berharta boleh melakukan kebaikan dan bersedekah?

Ketika menjawab tanda tanya itu, Dr Fauzi yang juga Naib Yang Dipertua 1 Persatuan Ulama Malaysia menjelaskan, perkara tersebut pernah disebutkan ketika Abu Dzar mengadu bahawa orang miskin tidak dapat bersedekah kerana tiada harta benda.

Daripada Abu Dzar RA: “Bahawa sebahagian sahabat Rasulullah SAW berkata kepada Baginda: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah mendapat banyak pahala. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka.”

Baginda SAW bersabda: “Bukankah ALLAH SWT telah menjadikan bagi kamu sesuatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar makruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamu pun adalah sedekah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Buat kebaikan

BUAT kebaikan mudah walaupun hanya dengan bertasbih. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Bukan itu sahaja, ujar Dr Fauzi lagi, senyum juga satu sedekah sebagaimana disebutkan dalam hadis lain.

Baca juga Besarnya kuasa sedekah hingga boleh panjangkan umur, terlindung daripada bahaya

“Jelaslah betapa mudahnya untuk kita berbuat kebaikan,” ungkapnya.

Sempena tibanya tahun baharu Maal Hijrah bermula waktu Maghrib ini, apa kata sama-sama kita semai azam untuk buat kebaikan walaupun tidak sebesar mana.

Semoga semua amalan yang kita lakukan dengan ikhlas kerana ALLAH SWT boleh dituai di akhirat kelak.

zamzam
Istimewa Panggilan Baitullah,

Mengapa Zamzam dianggap penghulu segala air di muka bumi?

Mengapa Zamzam dianggap penghulu segala air di muka bumi?

BAGI umat Islam yang bertuah dapat mengerjakan ibadah umrah atau haji, pastinya antara pengalaman yang dinantikan adalah peluang untuk menikmati air zamzam di tanah haram.

Jika diikutkan dengan adanya perkhidmatan pos dan sebagainya, kita boleh sahaja menikmati air zamzam tanpa perlu menjejakkan ke tanah haram. Namun, tidak dinafikan rasanya lebih istimewa andai kita mampu merasai air suci itu di kawasan sumbernya.

Untuk pengetahuan, zamzam dari segi bahasa bererti banyak atau melimpah ruah. Air zamzam yang dianggap suci oleh umat Islam diambil dari sumur mata air yang terletak di kawasan Masjidil Haram, bersebelahan tenggara Kaabah yang mempunyai kedalaman sedalam 42 meter.

Baca juga Saintis Jepun temui rahsia dan akui keajaiban air zamzam

Turut disyorkan Jangan beli air zamzam secara runcit, mungkin tidak tulen

zamzam

JIKA menunaikan ibadah haji atau umrah di tanah haram, tidak sah rasanya andai tidak menyebut tentang air zamzam. Foto:

Baca juga Cinta Rasulullah tumpah di bukit Uhud, inilah sirah yang patut diketahui seluruh Muslim

Sejarah air zamzam

Meneliti sejarah air zamzam, portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, mata air itu muncul pada zaman Nabi Ismail AS ketika baginda ditinggalkan bersama ibunya Hajar oleh Nabi Ibrahim AS.

Pada waktu itu, Hajar mencari air bagi menghilangkan dahaganya antara bukit Safa dan Marwah.

Hal itu merupakan perintah ALLAH SWT kepada Nabi Ibrahim AS agar baginda meninggalkan zuriatnya ini di wadi (lembah) Mekah. Firman ALLAH:

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” (Surah Ibrahim, ayat 37)

Baca juga Teladani sirah bonda Nabi Musa AS yang tawakal sepenuh jiwa kepada ALLAH SWT meskipun anaknya diancam bunuh

Turut disyorkan Buat korban 7 kali pahala macam naik haji, betul ke?

zamzam

DARIPADA peristiwa Siti Hajar, umat Islam dituntut berulang alik antara Bukit Safa dan Bukit Marwah menerusi ibadah Saie ketika menunaikan haji atau umrah. Foto: Madain Project

Baca juga Hibanya Nabi Musa tatkala bertemu Rasulullah SAW pada malam Israk dan Mikraj, ini sebabnya

Selain itu juga, kisah ini juga diceritakan dalam sahih al-Bukhari, daripada Abdullah bin Abbas RA:

Maksudnya: “Ibu Ismail menyusukan anaknya (Ismail) dan meminum daripada air yang ada sehingga akhirnya air tersebut habis. Dia (Hajar) dan juga anaknya merasa kehausan (disebabkan kehabisan simpanan air). Dia melihat anaknya dalam keadaan yang cemas kerana anaknya terus menangis.

Dia pun pergi untuk mencari sumber air kerana tidak sanggup melihat anaknya kehausan. Dengan itu, dia pergi menuju ke bukit Safa kerana ia adalah bukit yang paling hampir dengannya lalu berdiri di atasnya.

Pandangannya diarahkan ke lembah di sekelilingnya, dengan harapan terdapat seseorang tetapi ternyata tiada seseorang pun. Setelah itu, dia pun turun (dari bukit Safa) dan ketika sampai di lembah, dia mengangkat hujung pakaiannya lalu berusaha keras sehingga dia sampai ke lembah iaitu bukit Marwah, lalu berdiri di atasnya sambil melihat apakah terdapat seseorang di sana? Tetapi, ternyata tiada seseorang juga.

MEKANISME telaga zamzam yang digunakan pada zaman dahulu kini dipamerkan di muzium tempatan. Foto: Arab News

Baca juga Al-Quran terkecil di dunia ini pernah melalui perang dan peristiwa bersejarah

Dia melakukan perkara sedemikian sehingga tujuh kali. Ibnu Abbas RA, bahawa Nabi SAW: “Itulah saie yang mesti dilakukan oleh manusia antara dua bukit itu.”

Ketika dia sampai di puncak bukit Marwah, dia terdengar suara lalu dia berkata kepada dirinya sendiri: “Diam!”

Dia cuba mendengarnya lagi lalu dia mendengar suara itu dengan berkata: “Engkau telah menperdengarkan suaramu, apakah bersama engkau terdapat pertolongan?”. Ternyata suara itu adalah malaikat Jibril yang berada dekat dengan tempat zamzam. Lantas, Jibril mengais tanah dengan tumitnya (atau dengan sayapnya, sebagaimana disebutkan dalam riwayat yang lain) sehingga air keluar memancar.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Turut disyorkan Agungnya mukjizat Rasulullah SAW, pohon kurma menangis dengar khutbah Baginda

zamzam

ZAMZAM berasal dari sumur mata air yang terletak di kawasan Masjidil Haram, bersebelahan tenggara Kaabah yang mempunyai kedalaman sedalam 42 meter. Foto: Canva

Baca juga Bersederhana ketika melakukan kenduri haji kerana ia hanya sunat

Turut disyorkan Usah gusar kalau ‘period’ di Mekah, cari pintu 79 Masjidil Haram teruslah bermunajat

Berdasarkan riwayat Ibnu Majah, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri turut berkata, terdapat beberapa fadilat dan kelebihan yang berkaitan dengan air zamzam, antaranya:

1. Ia mempunyai nama yang banyak dan nama yang banyak itu menandakan atau menunjukkan akan kemuliaannya. Dalam Taj al-Arus, dinukilkan daripada Ibn Birri, terdapat 12 nama bagi air zamzam.

2. Air zamzam adalah sebaik-baik air di muka bumi dan menjadi penghulu kepada semua air. Ini berdasarkan apa yang disebut oleh al-Fakihi dalam Akhbar Makkah (2/41).

3. Air zamzam dikatakan dari mata air syurga mengikut riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf. Imam Nawawi berkata: “Pendapat yang asah (lebih sahih) bahawa secara zahirnya, ia adalah dari syurga”.

4. Air zamzam adalah kurniaan daripada ALLAH yang utama kepada kekasih-Nya iaitu Nabi Ismail AS.

KILANG pembotolan air zamzam di Mekah, Arab Saudi. Foto: SPA

Baca juga Resipi air Nabeez, minuman sunah kekal bertenaga sepanjang Ramadan

5. Air zamzam juga sebagai tanda yang nyata akan kemuliaan tanah haram Mekah. Inilah adalah pendapat Imam Ibn al-Daiba’ al-Syaibani.

6. ALLAH SWT telah menjadikan air zamzam yang berkat ini sebagai antara penyebab kepada pembangunan dan kemajuan bumi Mekah. Seterusnya, kewujudan Baitullah di bumi tersebut.

7. Banyak minum air zam zam merupakan sebahagian daripada tanda keimanan dan tanda kebebasan daripada sifat munafik. (Hal ini kerana orang munafil tidak mempercayai kelebihannya).

Melihat kepada firman ALLAH SWT dan hadis di atas, Zulkifli berkata, ALLAH telah memberi nikmat kepadanya (Hajar) dan juga kepada anaknya (Ismail) dengan terpancutnya air (zam zam) dari tempat yang kering kontang dan tidak mempunyai apa-apa.

Turut disyorkan Syaaban saksi banyak peristiwa besar, antaranya arah kiblat dialih dari Baitulmaqdis ke Kaabah di Makkah

zamzam

DI Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, jemaah berpeluang menikmati air zamzam pada bila-bila masa sahaja secara percuma. Foto: Aran News

Kelebihan air zamzam

Air zamzam, kata Zulkifli lagi, merupakan penghulu bagi segala air dan sebaik-baik air di atas muka bumi ini.

Jelasnya, antara keistimewaan air zamzam adalah ia merupakan air yang diberkati, boleh mengenyangkan sesiapa yang meminumnya, di samping menjadi penawar daripada penyakit.

Daripada Abdullah bin Abbas bahawa Nabi bersabda, “Sebaik-baik air di atas muka bumi ialah air zam zam, padanya terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar daripada penyakit.” (Lihat al-Jami’ al-Saghir / 4077)

Baca juga Benarkah Rasulullah tidak menyebut “umatku, umatku” tatkala kewafatan Baginda?

Turut disyorkan Ini sebab kenapa Madinah Al-Munawwarah dilabel sebagai antara bandar paling sihat di dunia

BAGI umat Islam, zamzam dianggap sebagai air suci yang menjadi penghulu bagi segala jenis air di muka bumi. Foto: Pexels

Selain itu, ulama al-Munawi ada menyebutkan bahawa air zam zam adalah penghulu bagi segala air, merupakan air yang paling mulia, paling berharga dan paling disukai oleh manusia. Ia telah digali oleh malaikat Jibril dan diberi minum kepada Nabi Ismail AS.

“Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan bahawa air zam zam mempunyai kelebihan dan fadilat tertentu seperti mengenyangkan dan penawar bagi segala penyakit. Selain itu, ia juga merupakan sebaik-baik air di atas muka bumi dan air yang diberkati,” katanya.

Sumber: Maktabah al-Bakri

Foto: 123RF, Pexels, SPA, Arab News & Canva

Ganjaran pahala
Aqidah,

Adakah terdapat ganjaran pahala bagi orang bukan Islam? Ini penjelasannya

GANJARAN pahala menanti buat mereka yang melakukan kebaikan walaupun hanya sekecil hama. Semua itu ada kiraannya di akhirat kelak.

Malah, timbangan al-Mizan ALLAH SWT tidak sama seperti neraca kita pada kaca manusia. Setiap daripada kita akan dihisab dengan seadilnya.

Bagi orang bukan Islam dan tidak beriman dengan ALLAH, bagaimanakah amalan kebaikan mereka? Adakah terdapat ganjaran pahala buat mereka yang melakukan kebaikan ketika di dunia?

Baca juga Empat amalan kecil tetapi besar ganjarannya

Pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, orang kafir yang berbuat kebaikan akan dibalas di dalam dunia sahaja seperti dimurahkan rezekinya asbab amalan yang dilakukan.

“Pada hari akhirat kelak, dia tidak lagi mendapat sebarang balasan kebaikan melainkan azab yang berkekalan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

solat 3 kali

USTAZ AZHAR IDRUS. Foto: Google

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH tidak akan menzalimi orang mukmin pada amal baiknya. Akan diberikan kebaikan dengan sebabnya di dunia dan dibalas dengan sebab kebaikannya itu pada akhirat. Adapun orang kafir, maka direzekikannya dengan sebab segala amal baiknya yang telah dia lakukan di dalam dunia sehingga sampai di negeri akhirat nanti tidak ada lagi bagi orang kafir itu pembalasan pahala sebab amal baiknya itu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sementara itu, memetik artikel Al-Afkar #115: Adakah Orang Bukan Islam Dapat Ganjaran Kebaikan dan Pahala Jika Berbuat Baik di atas Dunia yang disiarkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, amalan orang bukan Islam di atas dunia akan dibalas dengan kebaikan di dunia juga sebagai bukti sifat ALLAH SWT yang MAHA PENYAYANG dan kasihkan hamba-NYA.

Dalam Surah al-Furqan, ayat 23, ALLAH SWT berfirman: “Dan KAMI tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenius amal (yang mereka pandang baik), iaitu KAMI jadikan ia terbuang sebagai debu yang berterbangan.”

Baca juga Kebaikan Kecil Yang ‘Berbuah Manis’, Berikut Penjelasannya

Menurut Imam al-Qurtubi dalam Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran, beliau menyatakan, ayat itu menerangkan keadaan orang kafir pada hari akhirat kelak yang mana amalan baik golongan berkenaan atau bukan Islam tidak akan dihitung oleh ALLAH SWT kerana tiada manfaat.

“Ini kerana mereka hidup dalam keadaan batil dan kafir, maka setiap amalan kebaikan akan menjadi debu seperti tanah yang asalnya kelihatan, namun apabila ditiup debunya berterbangan dan hilang begitu sahaja.

Ganjaran pahala

ANDAI seseorang hidup dalam keadaan batil dan kafir, maka setiap amalan kebaikan akan menjadi debu seperti tanah yang asalnya kelihatan, namun apabila ditiup debunya berterbangan dan hilang begitu sahaja.-FOTO: PEXELS

“Sementara itu, Prof Dr Wahbah az-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir menyatakan, amalan baik orang bukan Islam seperti memuliakan orang lain, bersedekah, membebaskan tahanan, memberi perlindungan kepada mereka yang memerlukan dan amalan kebaikan lain tidak akan dapat menyelamatkan mereka di akhirat kelak.

“Sebaliknya, jelas ulama berkenaan, ALLAH SWT menjadikan amalan-amalan tersebut hancur lebur sehingga tidak bermanfaat dan memberi kebaikan sama sekali, lantaran mereka tidak memiliki syarat secara syariat untuk diterima sesuatu amalan – iaitu mengerjakannya kerana ALLAH SWT dan sesuai dengan syariat-NYA,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web pejabat mufti berkenaan.

Bulan Ramadan
Isu,

Ayuh segarkan setiap detik dalam bulan Ramadan dengan amalan kebaikan

Oleh DR ZAIZUL AB RAHMAN

SEDAR tak kita, walaupun baru hampir separuh Ramadan dilalui, terngiang-ngiang di telinga alunan lagu raya berkumandang seperti mengucapkan selamat tinggal kepada bulan yang penuh keberkatan. Tidak berasa sayukah kita dengan senario ini umpama tidak teruja dengan keajaiban yang ada di dalam bulan Ramadan?

Sesungguhnya, selagi masih ada kesempatan dan sisa nafas, marilah kita segarkan setiap detik pada bulan ini dengan pelbagai amalan kebaikan. Ironinya, amat syahdu nian diri kita andainya inilah Ramadan terakhir dengan kefakiran amalan kerana kesibukan duniawi.

Secara tuntas, fokus utama Ramadan hanya keredaan ALLAH SWT mengatasi segalanya. Berbahagialah bagi insan yang dirinya yang asyik dalam kelazatan cintakan ALLAH melebihi segala fatamorgana isi dunia ini.

Sebagaimana dinyatakan di dalam sebuah hadis yang mafhumnya, ”Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan pahala (daripada ALLAH ’Azza Wa Jalla), nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Ramadan ibarat peluang

Segala tabiat ini sebenarnya berputik daripada kesungguhan ibadah yang berakar umbi semenjak dari kecil lagi hasil didikan ibu bapa dan guru bahawa peluang Ramadan jangan dilepaskan berlalu pergi.

Baca juga Elak melakukan perkara ini ketika Ramadan, agar tidak merugikan diri sendiri

Sebaliknya ia perlu disantuni sepenuh hati supaya apa yang dijanjikan ALLAH dapat diperoleh. Sebagaimana termaktub dalam hadis Rasulullah SAW: “Sesungguhnya bagi ALLAH, orang yang dilepaskan daripada api neraka pada setiap hari dan setiap malam (bulan Ramadan). Setiap hamba (orang) daripada mereka mempunyai doa yang mustajab.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Bulan Ramadan

JANGAN biarkan Ramadan berlalu dengan perkara sia-sia.

Rasulullah SAW juga bersabda: “ALLAH berfirman: “Setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya, kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah milik-KU dan AKU-lah yang akan membalasnya. Puasa itu perisai. Apabila seseorang daripada kamu berpuasa pada suatu hari, maka janganlah berkata perkataan yang kotor dan menjerit-jerit. Sekiranya seseorang mencelanya atau mengajaknya bergaduh, maka katakanlah: ‘Sesungguhnya aku berpuasa.’ Demi Zat yang jiwa Muhammad dalam kekuasaan-NYA, sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih wangi di sisi ALLAH daripada bau kasturi. Untuk orang yang berpuasa ada dua kegembiraan yang dia bergembira dengan kedua-duanya, iaitu apabila berbuka dia gembira dengan berbuka puasanya dan kedua bertemu dengan Tuhannya, dia gembira dengan puasanya.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Sinar Ramadan juga mendidik Muslim menjadi insan yang cakna terhadap dosa dan pahala sama ada melalui tingkah laku dan bukan sebagai keyboard warrior di media sosial dengan sentiasa cermat memberikan perkongsian mesej kebaikan.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri dari makan dan minum, tetapi menahan diri dari perkataan dan perbuatan yang tidak ada manfaatnya (laghwu) dan perbuatan yang kotor dan keji (rafath). Bahkan jika seseorang memarahi kamu, katakanlah kepadanya bahawa kamu sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Medan memugarkan diri

Ramadan juga menjadi medan memugarkan diri menjadi insan yang penuh keihsanan terhadap keperitan insan lain. ALLAH memerintahkan hamba-NYA untuk saling tolong-menolong sebagaimana firman-NYA dalam Surah al-Ma’idah, ayat 2 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada ALLAH kerana sesungguhnya ALLAH Maha berat azab seksa-NYA (bagi sesiapa yang melanggar perintah-NYA).”

Bulan Ramadan

MANFAATKAN baki Ramadan sedia ada dengan perkara yang menambahkan saham akhirat.

Rasulullah SAW juga bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Ramadan ‘Pesta’ Lakukan Ibadah, Menyulam Kesabaran, Berjihad Melawan Nafsu

Sebenarnya kita sering tersalah pandang mengenai elemen kebajikan yang dilaksanakan terhadap orang lain sepatutnya sederap dengan kebajikan yang dilakukan kepada ahli keluarga.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Bahkan bersedekah kepada kaum keluarga terdekat merupakan sedekah yang paling afdal setelah sedekah kepada kedua ibu bapa.

Keampunan ALLAH menanti

Di dalam sebuah hadis yang lain daripada Ibnu Abas bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak termasuk orang Mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan.”  (Hadis Riwayat at-Tabrani)

Bak kata lagu P Ramlee, berkorban apa sahaja, harta ataupun nyawa sebagai bukti keimanan kita kepada ALLAH SWT, juga seperti kata orang orang tua-tua ‘nangis dan tawa di bahu sahabat yang sejati’.

Bulan Ramadan

BANYAKKAN berdoa dan memohon keampunan ALLAH SWT sepanjang bulan rahmat dan barakah ini.

Di pertengahan Ramadan yang berbaki ini, marilah kita menggandakan amalan solat, membaca al-Quran, beriktikaf, berzikir, berdoa dan mendirikan malam (qiamullail).

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang bangun malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan perhitungan (muhasabah diri), akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”

Baginda juga berpesan supaya umatnya agar memperbanyakkan berdoa kepada ALLAH dengan meminta keampunan-NYA.

Daripada Aisyah RA, bahawa beliau bertanya Nabi SAW: “Wahai Nabi ALLAH, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar maka apa yang sepatutnya aku ucapkan. Nabi SAW bersabda: “Ya ALLAH Ya Tuhan kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

***Dr Zaizul Ab Rahman ialah Pensyarah Kanan dan Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Foto: 123rf & Freepik

6385611_l
Gaya Hidup,

Ustaz Abdullah Khairi berkongsi Kisah Teladan Tentang Kebaikan Bersedekah

no comment

MENERUSI Facebooknya, pendakwah Ustaz Abdullah Khairi Haroon berkongsi satu kisah teladan tentang kebaikan bersedekah.

Beliau berkata, kisah tersebut berlaku pada zaman Nabi Musa AS mengenai sepasang suami isteri yang hidup dengan kemiskinan namun mereka menghadapinya dengan penuh kesabaran.

Tulis agamawan itu lagi, mereka telah mengadu mengenai keadaan hidup dan meminta supaya Nabi Musa berdoa kepada ALLAH tentang situasi yang dihadapi.

Menurutnya, akhirnya permintaan mereka dikabulkan ALLAH dengan syarat kekayaan itu hanya kekal selama setahun sahaja dan mereka menerima khabar tersebut dengan penuh gembira.

Selang beberapa hari, rezeki pasangan itu melimpah ruah dan datang dari jalan tidak diketahui arahnya. Keadaan hidup mereka berubah sekelip mata dan menjadi orang terkaya di kawasan itu.

“Si isteri memberitahu sang suami bahawa dalam tempoh setahun ini mereka akan memberi makan kepada orang miskin dan menyantuni anak yatim selagi masih diberi kesempatan kerana setahun setahun kemudian mereka akan kembali miskin.

“Suaminya berlapang dada dan menyambut baik keputusan si isteri. Katanya, harta ini akan digunakan untuk membantu orang yang memerlukan,” ujarnya.

Cerita Ustaz Abdullah Khairi lagi, suami isteri tersebut menggunakan harta yang melimpah itu untuk membina tempat persinggahan para musafir dan menyediakan makanan secara percuma kepada fakir dan miskin.

Setahun pun berlalu dan mereka tetap sibuk menyediakan makanan sehingga terlupa bahawa sudah setahun lebih menjadi orang kaya dan semua itu bakal berakhir.

Nabi Musa berasa sangat hairan melihat keadaan mereka yang masih tetap kaya. Baginda bertanyakan ALLAH SWT, lalu dijawab: “Wahai Musa, AKU telah membuka satu pintu rezeki kepada mereka, tetapi mereka membuka beberapa pintu rezeki untuk hamba-hamba-KU.

“Wahai Musa, maka AKU akan kurniakan lebih lama kekayaan itu pada mereka.”

“Wahai Musa, AKU sangat malu jika ada hamba;KU yang lebih mulia dan lebih pemurah daripada AKU.”

Nabi Musa menjawab: “MAHA SUCI ENGKAU YA ALLAH, betapa MAHA MULIA urusan-MU dan MAHA TINGGI KEDUDUKAN-MU.”

Justeru Ustaz Abdullah Khairi berkata, kehidupan ini bukanlah satu perlumbaaan untuk menjadi yang terbaik, sebalik bagaimana untuk berbuat baik kepada insan sekeliling.

 

Perbanyakkan amalan bersedekah nescaya semakin bertambah rezeki.

“Jom perbanyakkan amalan bersedekah. Sesungguhnya jangan tunggu duit banyak untuk bersedekah tetapi mulai dengan berapa yang ada dahulu pastinya rezeki akan akan semakin bertambah-tambah,” katanya.

'Dekat' dengan ALLAH
Gaya Hidup,

4 Golongan Yang Mendapat Doa Malaikat

no comment

ALANGKAH bertuahnya jika kita sering diingati oleh orang lain, apatah lagi apabila nama kita acap kali meniti pada bibir setiap kali mereka berdoa.

Lazimnya, kita sering kali berdoa demi kesejahteraan diri, ibu bapa, ahli keluarga dan seluruh umat Islam secara keseluruhannya.

Bayangkan andai diri kita sentiasa menerima doa daripada orang lain. Betapa seronoknya kita kerana sering diingati.

Lebih bertuah lagi apabila makhluk ALLAH SWT yang paling taat kepada-NYA iaitu malaikat juga mendoakan diri kita. Sungguh, beruntunglah tuan punya badan.

Rupanya memang ada golongan tertentu yang akan mendapat doa malaikat sebagaimana yang diungkapkan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

DR AHMAD SANUSI

Jelas beliau, terdapat empat golongan yang dimaksudkan dan ia ada dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW seperti berikut:

1. Golongan yang bersedekah.

Orang yang gemar bersedekah akan menerima doa daripada para malaikat.

Sabda Rasulullah SAW: “Tiada satu pagi yang datang melainkan diutuskan dua malaikat dan salah satu malaikat tersebut berdoa: “Wahai Tuhanku, berilah pemberi sedekah gantian (yang lebih baik).” (Riwayat al-Bukhari)

Doa malaikat

AMALAN bersedekah begitu dituntut dalam agama Islam dan golongan berkenaan akan didoakan oleh para malaikat.

Baca juga Sedekah Benteng Diri Daripada Api Neraka

2. Golongan yang menunggu waktu solat.

Ketahuilah kelompok ini sangat istimewa di sisi ALLAH SWT. Ini kerana mereka seakan-akan sentiasa rindu untuk bertemu dengan ALLAH di dalam solatnya.

Golongan ini akan mendapat doa keampunan daripada para malaikat.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya para malaikat mendoakan ke atas mereka yang menunggu solat di tempat solatnya selagi mana dia berada dalam keadaan suci. Doa malaikat: “Ya ALLAH, ampunkanlah dirinya dan rahmatilah dirinya.”(Riwayat at-Tirmizi)

3. Golongan yang mengajarkan kebaikan.

Satu lagi golongan yang amat istimewa di sisi-NYA ialah mereka yang gemar mengajarkan kebaikan.

Bukan sahaja mendapat doa daripada para malaikat, bahkan, ALLAH SWT YANG MAHA AGUNG dan penduduk langit serta bumi mendoakan mereka yang termasuk dalam kelompok tersebut.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ALLAH dan para malaikat-NYA serta ahli langit dan bumi sehinggakan semut dalam batu dan ikan di lautan mendoakan orang yang mengajarkan kebaikan.” (Riwayat at-Tirmizi)

4. Golongan yang berziarah kerana ALLAH SWT.

Doa malaikat

SEANDAINYA mendengar perkhabaran kenalan kita dalam kesakitan, ziarahlah jika berpeluang berbuat demikian. Namun, dalam era pandemik kini, seeloknya bertanya khabar menerusi kemudahan teknologi yang ada dan doakanlah mereka walaupun dari jauh.

Meskipun perbuatan itu kelihatan remeh, ketahuilah bahawa imbalannya bukan calang-calang.

Bahkan, Rasulullah SAW turut menjelaskan bahawa orang yang menziarahi orang yang sakit atau menziarahi saudaranya ikhlas kerana ALLAH SWT, maka dia akan memperoleh doa daripada para malaikat.

Sabda baginda SAW: “Sesiapa yang melawat orang yang sakit atau menziarahi saudaranya kerana ALLAH, maka nanti akan diseru dengan kata-kata: “Engkau akan dapat kebaikan, perjalanan engkau akan dipermudahkan dan akan disediakan tempat untuk engkau di syurga.” (Riwayat at-Tirmizi)

Subhanallah, tidak sangka walaupun perbuatan yang kita lihat ‘biasa-biasa’ pada mata kasar, rupanya begitu bernilai di sisi ALLAH SWT dan malaikat.

Justeru, Dr Ahmad Sanusi menasihatkan kita agar merebut peluang menjadi orang yang didoakan oleh-NYA dan para malaikat.

“Semoga ALLAH SWT membimbing kita,” ujarnya.

Mudah-mudahan asbab kita melakukan kebaikan itu, ALLAH SWT akan melorongkan kita ke jalan yang diredai-NYA dan mendapat rahmat-NYA.

Usaha kebajikan
Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Jangan Remehkan Atau Kecam Usaha Kebajikan Orang Lain

no comment

BERBUAT kebaikan dan saling tolong-menolong serta memudahkan orang lain sangat dituntut dalam agama Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti ALLAH akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti ALLAH akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutup aib seorang Muslim, pasti ALLAH akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. ALLAH senantiasa menolong hamba-NYA selama mana hamba-NYA itu suka menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim)

Bahkan, dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW pernah ditanyakan kepada seorang sahabat: “Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling dicintai ALLAH dan apakah perbuatan yang paling dicintai ALLAH?”

Lantas, baginda SAW bersabda: “Manusia yang paling dicintai oleh ALLAH adalah manusia yang paling banyak bermanfaat dan berguna bagi manusia yang lain. Sedangkan perbuatan yang paling dicintai ALLAH adalah memberikan kegembiraan kepada orang lain atau menghapus kesusahan orang lain atau melunasi hutang orang yang tidak mampu untuk membayarnya, atau memberi makan kepada mereka yang sedang kelaparan dan jika seseorang itu berjalan untuk menolong orang yang sedang kesusahan itu lebih aku sukai daripada beriktikaf di masjidku ini selama satu bulan.” (Riwayat at-Tabarani)

Hadis berkenaan jelas memberi motivasi kepada kita supaya tidak jemu melakukan kebaikan dan menghulurkan bantuan jika diperlukan.

Baca juga Sama-sama Hulur Pertolongan Kepada Insan Yang Dihimpit Kesukaran Ketika Pandemik

Apatah lagi tatkala saat genting pandemik Covid-19 ketika ini. Ramai yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Malah, ada yang ‘sesak’ gara-gara hilang punca mata pencarian.

Usaha kebajikan

RAMAI yang tertekan akibat hilang mata pencarian dan terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

Meskipun begitu situasinya, alhamdulillah masih ramai yang tampil membantu golongan yang memerlukan ini.

Di sebalik usaha kebajikan itu, ada perkara kurang enak didengari apabila ada segelintir orang yang mempertikaikan cara, bentuk bantuan dan lain-lain berkaitan dengannya. Malah, ada juga individu yang tergamak mengecam orang atau pihak yang melakukan kerja-kerja mulia berkenaan.

Lebih memburukkan keadaan apabila teguran itu dibuat di media sosial secara terbuka. Perkara yang pada asalnya baik seolah-olah kelihatan ‘cacat’ dek kerana kecaman dan komentar warganet yang mengulas tentang topik berkenaan.

Dalam hal ini, ALLAH SWT berfirman: “…berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana saja kamu berada maka ALLAH tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya ALLAH MAHA BERKUASA atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Bahkan, Rasulullah SAW bersabda:  “Janganlah meremehkan kebaikan walaupun hanya berbicara kepada saudaramu dengan wajah yang tersenyum kepadanya. Amalan itu adalah sebahagian daripada kebajikan.” (Riwayat Abu Daud)

Baca juga Jangan Sesekali Ungkit Pemberian Kepada Orang Lain, Begitu Dahsyat Ancaman Yang Menanti

Menerusi ungkapan tersebut, dapat difahami bahawa kita perlulah menjaga perilaku dan sentiasa berlumba-lumba melakukan kebaikan dan pada masa sama tidak memandang enteng perbuatan berkenaan walaupun hanya sekecil-kecil kebajikan.

Andai kata kita tidak mampu berbuat kebaikan hatta membantu orang sekalipun, usahlah kita sesekali meremehkan atau mengecam usaha kebajikan yang ingin dilakukannya.

Sekalipun andai sesiapa ingin membuat teguran, Islam mempunyai adab-adab tertentu dalam memberi nasihat mahupun sebaliknya.

Memetik khutbah yang disiarkan dalam laman web Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam, antara adab ketika membuat teguran atau nasihat adalah seperti berikut:

1. Berilah nasihat atau teguran dengan bahasa dan suara yang lembut kerana kita berbuat demikian bukanlah bertujuan untuk mendedahkan aib orang.

Usaha kebajikan

JIKA ingin memberi nasihat atau teguran, lakukanlah secara berhikmah sebagaimana yang diajarkan oleh syariat.

2. Elakkan daripada menasihati dan menegur kesilapan di hadapan orang ramai. Sebaliknya, lakukanlah ketika individu itu bersendirian atau berada di tempat tertutup.

3. Gunakan perkataan-perkataan yang baik dan bermanfaat agar tidak menyinggung perasaan individu yang ditegur.

4. Orang yang menasihati dan menegur hendaklah meminta maaf selepas membuat teguran. Tujuannya adalah untuk memujuk perasaan mereka supaya tidak terasa hati dengan nasihat yang diberikan.

5. Sentiasa bersangka baik terhadap orang yang dinasihati kerana mereka mungkin tidak tahu tindakan yang dilakukan adalah satu kesalahan.

Betapa indahnya Islam sehinggakan setiap tindakan ada adab yang digariskan. Justeru, amalkanlah dalam kehidupan seharian kita, semoga kita terus hidup harmoni, sejahtera dan saling menghormati antara satu sama lain.

Sumber: Republika.co.id & http://www.kheu.gov.bn/

Foto: Freepik & Koleksi foto Sinar Harian