Browsing Tag

Hujan

GAMBAR PORTAL FB - 2023-05-31T155914.320
Istimewa Panggilan Baitullah,

Amaran hujan lebat, ribut petir tidak jejas aktiviti jemaah haji

AMARAN hujan lebat dan ribut petir di kebanyakan wilayah di Arab Saudi termasuk Kota Mekah tidak menjejaskan aktiviti ibadah yang diatur untuk jemaah haji Malaysia.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata keadaan cuaca berkenaan berlaku hanya seketika dan tidak dikategorikan sebagai bencana.

“Kita telah mengadakan perancangan dan jadual untuk segala aktiviti mengikut ketibaan penerbangan (jemaah haji), dalam masa sama kita mengambil maklum tentang suasana (cuaca) dari semasa ke semasa”.

Baca Juga Teruja jadi muzawwir haji, pelajar Malaysia timba pengalaman baru

“Kita mempunyai prosedur operasi standard (SOP) jika berlaku bencana, bagaimanapun setakat ini apa yang berlaku tidaklah ditakrifkan sebagai bencana, ia hanya gangguan biasa yang mudah diubah suai waktu dan ketikanya untuk kita menganjurkan aktiviti tersebut,” katanya dalam sidang media semalam.

KEADAAN cuaca berkenaan berlaku hanya seketika dan tidak dikategorikan sebagai bencana. -Foto: The Holy Mosques

Media sebelum ini melaporkan, Direktorat Pertahanan Awam Arab Saudi menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ekoran amaran hujan lebat berterusan selama lima hari selain ribut petir disertai ketulan air batu dan banjir kilat di kebanyakan wilayah di negara itu, mulai Jumaat hingga esok.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) itu melaporkan Kota Mekah yang menempatkan masjid paling suci umat Islam iaitu Masjidil Haram akan turut terkesan berikutan fenomena itu.

Baca Juga Jemaah haji fokus 4 amalan ini sebelum berangkat ke Mekah

Baca Juga 22,000 pekerja baharu diambil bantu lancar ibadah haji tahun ini

Dalam pada itu, Syed Saleh berkata amaran hujan lebat dan ribut petir itu telah dikongsi dalam kumpulan WhatsApp serta dimuat naik di aplikasi THhujjaj yang membekalkan maklumat penting dan panduan ibadat haji kepada para jemaah.

Beliau turut menasihatkan jemaah haji supaya berhati-hati dan kekal berada di tempat penginapan atau masjid sekiranya berlaku hujan lebat, ribut petir atau angin kencang berdebu.

dd

Terdahulu, hujan lebat kira-kira 10 minit membasahi bumi Mekah pada 5 pagi tadi waktu tempatan dan menyejukkan sedikit suhu di Tanah Suci yang ketika ini mengalami cuaca panas mencecah hingga 40 darjah Celsius.

Seorang penduduk, Ahmad Amin, 47, melahirkan rasa syukur dan seronok kerana kali terakhir hujan pada ingatannya ialah awal bulan ini, namun hanya hujan renyai.

Turut Disyorkan Buat jemaah haji, ini pengumuman miqat haji yang wajib diambil tahu

“Alhamdulillah, ini rahmat untuk dhuyufurrahman (tetamu ALLAH),” katanya yang lahir di sini tetapi keluarganya berasal dari Sumatera, Indonesia.

sunnah basahkan badan
Isu,

Jangan lari ketika hujan, sunnah basahkan badan dengan air ramai tak tahu

SUNNAH basahkan badan ketika hujan adalah antara amalan Rasulullah SAW yang jarang dipraktikkan oleh masyarakat pada hari ini.

Hakikatnya, tatkala guruh berdentum dan titisan air mula menampakkan kesan di tanah, setiap manusia ada perasaan berbeza.

Ada yang bersyukur dengan rahmat ALLAH SWT. Tidak kurang juga mereka yang menarik wajah masam kerana ada rancangan terpaksa ditundakan gara-gara hujan yang turun itu.

Tahukah anda, kita digalakkan membasahkan sedikit dari bahagian badan dengan air hujan yang turun daripada langit sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Nabi.

sunnah basahkan badan

MANA-MANA bahagian anggota badan boleh dibasahkan selagi mana ia tidak memperlihatkan aurat anda.

Perkara ini ada diceritakan oleh Anas bin Malik RA, seperti mana yang dirakamkan di dalam sebuah hadis, katanya:
Hujan turun dan kami pada ketika itu bersama dengan Rasulullah SAW. Lalu baginda menyelak baju baginda sehinggalah hujan menimpa badan baginda. Kemudian kami bertanya: ‘Wahai Rasulullah, mengapakah anda melakukan ini?’
Maka jawab baginda SAW: “Kerana ia baru sahaja datang (turun) dari Tuhannya yang Maha Tinggi.” (Hadis riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menjelaskan senario ini di dalam Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim, “hujan merupakan rahmat ALLAH kepada sekalian alam. Maka, Rasulullah melakukan sedemikian untuk mengambil berkat darinya”.

Baca juga Jangan mengeluh ketika hujan

ALLAH SWT berfirman di dalam Surah Qaaf, ayat 9,
Dan KAMI telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu .”

Sebahagian ulama menyatakan bahawa bahagian anggota yang dibasahkan air hujan adalah kepala. Manakala ada yang berpendapat ia merujuk kepada badan.

sunnah basahkan badan

HUJAN merupakan kurniaan ALLAH bagi menghidupkan kembali bumi. Ia dihargai oleh makhluk-makhluk Tuhan yang lain daripada haiwan sehingga tumbuh-tumbuhan.

Meninjau pandangan daripada pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pula, mana-mana anggota badan, asalkan ia bukan termasuk bahagian aurat, disunatkan dibasahkan dengan air hujan.

Jadi, untuk mengambil pahala sunat, anda boleh sahaja membasahkan tangan atau muka. Yang penting, jangan memperlihatkan aurat anda.

Baca juga Masjid al-Ghamamah, tempat terakhir Nabi SAW solat raya

Selain itu, tiada zahir nas yang menunjukkan waktu hujan tertentu untuk membasahkan anggota sama ada pada awal turunnya, di pertengahan atau di penghujung.

Namun, seeloknya amalkanlah pada awal waktu turunnya hujan kerana ia disifatkan sebagai nikmat yang baru turun daripada ALLAH SWT.

Sunnah basahkan badan ketika hujan

Foto: Pexels & Unsplash

 

al-ghamamah
Antarabangsa,

Masjid al-Ghamamah, tempat terakhir Nabi SAW solat raya

MASJID al-Ghamamah yang terletak di bahagian barat daya, 500 meter jauhnya dari Masjid Nabawi merupakan salah satu tapak bersejarah terkenal di Kota Madinah. Masjid ini dikenali sebagai tempat terakhir Nabi Muhammad sembahyang hari raya dan sembahyang sunat istisqa’ (meminta hujan).

Sejak ia dibina pada era khalifah Umar bin Abdulaziz sekitar tahun 86 Hijrah dan 93 Hijrah, masjid berkenaan telah melalui proses pembaikan dan pemulihan beberapa kali, menurut sebuah laporan berita oleh Arab News.

Kerja pembaikan yang pertama dilakukan sewaktu zaman pemerintahan Sultan Hassan bin Muhammad bin Qalawun al-Salihi pada tahun 761 Hijrah. Pengubahsuaian yang terbaharu dilaksanakan oleh Raja Salman yang tertarik dengan reka bentuk masjid al-Ghamamah.

Masjid al-Ghamamah

RUANG dalam masjid dicat putih berbeza dengan keadaan luar masjid yang berwarna hitam.

Dari segi reka bentuk, masjid al-Ghamamah berbentuk segi empat sama dan mempunyai gaya seni bina Uthmaniyah. Dinding luarnya dilitupi batu-batu basalt berwarna gelap berbeza dengan kubah serta ruang dalam masjid yang serba putih.

Selain itu, masjid berkenaan memiliki sistem bunyi khas supaya bunyi yang dikeluarkan tidak bercanggah dengan Masjid Nabawi ketika solat berlangsung.

Pohon-pohon palma yang menghiasi kawasan halaman masjid pula melengkapkan keseluruhan penampilan masjid yang indah.

al-ghamama

POHON-POHON palma menghiasi halaman luar masjid melengkapkan penampilan tempat ibadah tersebut.

Menurut laman web ila Mecca, Rasulullah SAW melaksanakan solat Hari Raya yang terakhir pada 10 Hijrah. Malah, sepanjang empat tahun terakhirnya, baginda mendirikan solat tersebut di situ.

Bukan itu sahaja, Nabi SAW juga pernah mengadakan solat meminta hujan di situ seperti yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA dalam sebuah hadis,

Pada suatu ketika di zaman Nabi, terjadi musim kemarau. Ketika Nabi SAW membaca khutbah Jumaat, tiba-tiba seorang Arab dusun berdiri dan berkata: Ya, Rasulullah! Harta benda telah binasa dan rakyat kelaparan. kerana itu mendoalah kepada ALLAH SWT untuk kita semua.”

Maka, Nabi pun berdoa dengan mengangkat kedua belah tangannya. Ketika Nabi mula berdoa kami tidak menampak awan sedikit pun di langit.

Baca juga Tak boleh merungut bila hujan, haram kita mencelanya

Demi ALLAH yang diri ku dalam kekuasaan-NYA, belum sampai Nabi menurunkan tangannya, awan mendung telah kelihatan bergulung-gulung seperti bukit. Nabi SAW belum turun dari mimbar, namun hari telah hujan, sehingga kelihatan air hujan bertitikan dari janggut baginda.

Hujan lebat turun pula hari itu, esok, lusa dan seterusnya beberapa hari berikutnya sampai hari Jumaat pula. Arab dusun itu atau mungkin juga Arab yang lain berdiri dan berkata pula: “Ya, Rasulullah! Bangun-bangunan telah roboh dan harta benda telah habis tenggelam. kerana itu mendoalah kepada Allah (mohon diselamatkan).

Baca juga Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir

Nabi mengangkat kedua belah tangannya dan mendoa: “Ya, ALLAH! Di sekitar kami saja dan jangan di atas kami.” Beliau menunjuk dengan tangannya ke suatu penjuru berawan, maka kelihatan, awan itu menyingkir.

Di atas kota Madinah kelihatan lingkaran-lingkaran seperti lubang yang bundar. Lembah-lembah padang pasir mengalirkan air selama sebulan. Setiap orang yang datang dari segenap penjuru memberitakan kemurahan yang melimpah-ruah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Peristiwa ini berlaku apabila penduduk Madinah mengeluh kepada baginda atas sebab bekalan air yang berkurangan gara-gara ketiadaan hujan di bandar itu.

al-ghamama

KEPADA yang berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci, ambillah peluang menziarahi masjid al-Ghamamah.

Masjid al-Ghamamah adalah antara masjid tertua di Madinah dan suatu tinggalan sejarah yang sangat penting bagi bandar tersebut.

Sumber: Arab News

Foto: Madain Project, Hajj & Umrah Planner, Ashraf Alhujaili & Abdul Rahman

Hujan
Isu, Pilihan Editor,

Jangan mengeluh ketika hujan, setiap titisan ada malaikat membawa rahmat

DARI jauh, kelihatan kepulan awan hitam berarak. Tiada gumpalan awan putih dan langit tidak kebiru-biruan seperti selalu. Ciri-ciri itu merupakan petanda jelas hujan bakal membasahi bumi.

Tatkala hujan, persepsi setiap manusia berbeza-beza. Sesetengahnya begitu gembira tidak terkata. Pun demikian, tidak keterlaluan untuk disebut, lebih ramai yang merungut.

Alasan yang sering diucapkan cukup mudah. Takut jalan sesak, segala urusan yang direncanakan akan tertangguh, namun yang paling menakutkan adalah ‘amukan’ bah yang boleh hadir sekelip mata.

Perasaan itu ‘semakin menjadi-jadi’ sejak kebelakangan ini apabila beberapa negeri di Malaysia dilanda banjir hujung 2021. Bencana alam itu begitu mengerikan kerana disifatkan paling buruk sejak dua dekad lalu.

Hujan

HUJAN bukanlah satu bebanan kerana terdapat 1,001 rahmat yang terselit di sebalik fenomena alam ciptaan ALLAH SWT.

Paling menyayat hati pastinya melihat mangsa banjir di Selangor dan Pahang. Setakat akhir Disember tahun lalu, 48 kematian dicatatkan dan angka itu sesuatu yang amat mendukacitakan.

Apabila rata-rata daripada kita mengeluarkan kata-kata bahawa fenomena alam itu membebankan, ia adalah satu ungkapan yang perlu diperhalusi semula.

Sesungguhnya, dalam kitabullah sudah tertulis bahawa di sebalik hujan, terselit rahmat dan keberkatan yang tidak terhingga.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda-NYA (adalah) bahawa kau lihat bumi kering dan gersang, maka apabila KAMI turunkan air di atasnya, nescaya ia bergerak dan subur…” (Surah Fussilat, ayat 30)

Berdasarkan kalimah mulia itu, apakah definisi rahmat yang ingin disampaikan kepada manusia sekalian alam? Benarkah setiap titisan hujan akan datang bersama malaikat?

Bukti kekuasaan ALLAH SWT

Bagi membicarakan lebih lanjut tentang keberkatan hujan, Sinar Islam Plus merujuk Pegawai Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Naemah Hamzah.

DR NAEMAH

Dr Naemah menjelaskan, hujan merupakan antara salah satu bukti kekuasaan ALLAH SWT. Malahan, sejak 1,400 tahun yang lalu, al-Quran telah pun menceritakan tentang proses kejadiannya.

“Hal itu banyak disebutkan dalam kitab suci umat Islam sebagai pelajaran bagi orang berakal yang ingin menambahkan kecintaan kepada ALLAH SWT menerusi kejadian alam semesta.

“Menurut pendakwah Mohd Sukki Othman, sebanyak 12 perkataan yang menggambarkan hujan secara hakiki dalam kalam ALLAH SWT. Semantik hujan dalam al-Quran, antaranya menggunakan perkataan Matar, Soiyib, al-Ma’, Ghayth, ad-Thal, al-Wadq, al-Husban dan Wabil.

“Konteks situasi hujan dalam kitabullah terbahagi kepada dua iaitu azab dan kekuasaan ALLAH SWT. Erti kata hujan secara amnya digunakan sebagai pengajaran untuk menunjukkan kekuasaan ALLAH SWT,” katanya ketika ditemubual secara maya baru-baru ini.

Baca juga Syukurilah Alam Anugerah ALLAH Yang Tak Ternilai

Firman ALLAH SWT: “ALLAH jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu mengerakkan awan, kemudian ALLAH menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendaki-NYA dan menjadikannya berkelompok-kelompok lalu engkau melihat hujan keluar dari celahnya.” (Surah ar-Rum, ayat 48)

Dalam ayat yang lain berkaitan kejadian angin yang membantu proses turunnya hujan, ALLAH SWT berfirman: “Dan KAMI hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu KAMI menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian KAMI berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya.” (Surah al-Hijr, ayat 22)

Berdasarkan kedua-dua dalil berkenaan, Dr Naemah berkata, ia sekali lagi menunjukkan kekuasaan ALLAH YANG MAHA HEBAT.

“Selain itu, disebutkan juga di dalam al-Quran bahawa hujan yang turun sebagai membawa khabar gembira dan rahmat bagi alam dalam mengekalkan ekosistem yang baik, waima kepada manusia, tumbuhan dan air,” ujarnya.

Hujan

TITISAN hujan mengekalkan ekosistem yang baik bukan sahaja kepada manusia, tetapi juga haiwan dan tumbuhan.

Tanda peringatan

Kepada satu soalan, pendakwah itu menjawab: “Apabila membicarakan tentang hujan didatangkan dengan ribut dan taufan, ia megingatkan kita kepada kisah yang berlaku kepada Kaum ‘Aad. Mereka menentang dakwah dan peringatan dibawa oleh Nabi Hud AS.

“ALLAH SWT sangat murka kepada golongan manusia yang melawan kebenaran dan bersifat melampau sehingga menyebabkan kerosakan berlaku di muka bumi.

“Lantas, pemilik kerajaan langit dan bumi itu telah memusnahkan mereka dengan angin ribut yang dingin, terlalu kencang dan mengerikan sehingga lapan hari tujuh malam lamanya. Musibah ini berlaku sehingga menyebabkan kaum ini akhirnya musnah sebagaimana yang dirakamkan dalam Surah al-Haqqah, ayat 6-8.”

Pegawai agama itu turut ditanya tentang isu viral yang menyaksikan keterdesakan mangsa banjir memecah masuk premis untuk mendapatkan makanan.

Ujar beliau, sebaiknya berusahalah mendapatkan sumber yang halal terlebih dahulu, sebelum mengambil hak dan barang kepunyaan orang lain secara haram atau tanpa izin tuannya.

“Andai begitu terdesak untuk kelangsungan hidup dan ia adalah jalan terakhir, pastikan barang yang diambil adalah sekadarnya sahaja untuk keperluan pada saat darurat (banjir) demi menyelamatkan nyawa, bukan untuk simpanan jangka panjang.”

Kenyataan yang dilontarkan oleh Dr Naemah turut dipersetujui oleh pendakwah Nourul Iman Nia’mat.

NOURUL IMAN

Beliau mengakui bahawa hujan sebenarnya mengandungi 1,001 rahmat atau rahsia yang tersimpan di dalamnya.

“Masakan tidak, tatkala titisan air turun dari langit, terdapat di dalamnya doa-doa yang dimakbulkan oleh ALLAH SWT kerana ia merupakan waktu mustajab bermunajat kepada-NYA.

“Bahkan, ketika bumi basah dengan siraman air dari langit, ia membawa kenyamanan kepada seluruh penghuni bumi dengan udaranya yang bersih, di samping membasuh kotoran-kotoran di atas muka bumi,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Baca juga Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir

Begitupun, ujar pendakwah itu lagi, adakalanya fenomena alam tersebut juga boleh bertukar kepada musibah iaitu peringatan daripada ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA yang barangkali ingkar, lalai dan terlupa pada alam akhirat.

“Oleh sebab itu Rasulullah SAW mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah para nabi terdahulu. Antaranya kisah kaum ‘Aad yang diazab dengan angin ribut.

“Cerita tersebut mengingatkan kita agar tidak boleh terlalu gembira, leka, alpa dan seronok ketika hujan membasahi bumi.

“Sebaliknya, kita kena sedar, insaf dan sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT agar menjadikan hujan sebagai sumber kehidupan dan bermanfaat kepada diri. Bahkan, membawa ketakwaan yang lebih kepada ALLAH SWT atas kurniaan-NYA,” pesannya.

Dihitung malaikat

Benarkah setiap titisan hujan akan dihitung oleh para malaikat? Menjawab persoalan berkenaan, Nourul Iman terus mengiyakannya.

Lantaran itu, beliau mengajak seluruh umat Islam supaya mengenyahkan jauh-jauh persepsi yang menganggap hujan sebagai satu bentuk bebanan.

“Ya, mutakhir ini ada sebahagian dalam kalangan kita dilanda dengan bencana banjir asbab titisan hujan yang ALLAH SWT berikan kepada kita.

“Tidak kiralah waima rintik air yang turun itu berupa rahmat atau musibah, percayalah bahawa tanpa kita sedari, hujan itu sebenarnya membawa kebaikan kepada makhluk yang lain.

Hujan

SETIAP rintik-rintik hujan yang turun akan dihitung oleh malaikat dan setiap titisannya pula, terdapat satu malaikat turun bersamanya membawa rahmat.

“Apa yang pasti, sewajarnya kita berasa syukur atas nikmat hujan kerana terdapat dalil yang memerihalkan bahawa malaikat ditugaskan untuk menghitung setiap titisan air yang turun dari langit,” ungkapnya. Buktinya, terdapat sebuah hadis mauquf (yang disandarkan kepada sahabat sahaja) dalam al-Mustadrak Syeikh an-Nuri, jilid 5 berkaitan perkara itu.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Pada suatu malam aku diperjalankan untuk mikraj ke langit, lalu aku melihat malaikat yang mempunyai 1,000 tangan, dan setiap tangan mempunyai 1,000 jari-jemari. Malaikat itu menghitung dengan jari-jemarinya. Lalu, aku bertanya kepada Jibril: “Siapakah malaikat itu dan apa yang sedang dihitungnya?” Jibril menjawab: “Dia adalah malaikat yang ditugaskan untuk menghitung setiap titisan hujan, ia menghafal setiap titisan hujan yang diturunkan dari langit ke bumi.” Kemudian, aku bertanya kepada malaikat itu: “Apakah kamu mengetahui berapa titisan hujan yang diturunkan dari langit ke bumi sejak ALLAH menciptakan dunia?”  Ia menjawab: “Ya Rasulullah! Demi ALLAH yang mengutusmu membawa kebenaran kepada makhluk-NYA, aku tidak hanya mengetahui setiap titisan hujan yang turun dari langit ke bumi, tetapi aku juga mengetahui secara rinci berapa jumlah titisan hujan yang jatuh di lautan, di daratan, di bangunan, di kebun, di tanah yang bergaram, dan yang jatuh di kuburan…”

Melihat ungkapan tersebut, ujar Nourul Iman, jelaslah bahawa dalam setiap rintik hujan yang jatuh ke setiap inci muka bumi, terdapat juga satu malaikat turun bersamanya membawa rahmat.

“Ia bukan sahaja untuk satu-satu makhluk, tetapi sekalian makhluk yang ada di alam ini. Subhanallah, begitu besarnya rahmat terselindung di sebalik penurunan hujan,” ungkapnya.

ANEKDOT

AMALAN yang dianjurkan ketika hujan

  1. Berdoa kepada ALLAH SWT.

Waktu hujan adalah saat mustajabnya berdoa. Bermunajatlah memohon doa yang baik-baik kepada YANG MAHA ESA supaya diturunkan rahmat daripada hujan yang turun.

Hujan

USAH melepaskan peluang untuk berdoa ketika hujan kerana ia antara waktu mustajab berdoa. Pada masa sama, berzikirlah dengan ungkapan mulia yang dianjurkan.

Antara doa yang dianjurkan dibaca ketika hujan ialah Allahumma sayyiban nafi’an (Ya ALLAH, jadikan hujan ini hujan yang bermanfaat).

Selain itu, apabila angin bertiup kuat, boleh sahaja kita mengungkapkan doa sebagaimana yang diucapkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Doa itu berbunyi: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku memohon kepada-MU kebaikannya, kebaikan yang terdapat padanya, dan kebaikan apa yang dihembuskan bersamanya. Dan aku berlindung kepada-MU daripada kejahatannya, kejahatan yang terdapat padanya dan kejahatan yang dihembuskan bersamanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

  1. Bersyukur ke hadrat ILAHI.

Jangan lupa untuk memanjatkan kesyukuran ke hadrat ILAHI dengan nikmat hujan. Ketahuilah bahawa orang yang bersyukur itu akan ditambahkan lagi nikmat kepada mereka.

Ini kerana dengan adanya setiap rintik-rintik air dari langit itu, ia sebenarnya dapat memberikan kesuburan ke atas tanaman di atas tanah yang kering-kontang dan menjadikan alam sekitar lebih nyaman.

  1. Mengenakan sedikit tubuh badan kita dengan air hujan.

Terdapat ulama menyatakan bahawa perbuatan itu adalah sunnah Rasulullah SAW.

Diceritakan oleh Anas bin Malik RA bahawa: “Kami pernah kehujanan bersama Rasulullah SAW, lalu baginda mengikat bajunya sehingga tersiram hujan. Lalu, kami bertanyakan: “Wahai Rasulullah, mengapa engkau melakukan demikian?” Kemudian Rasulullah bersabda: “Kerana hujan ini baru sahaja ALLAH SWT ciptakan.”

Perlakuan itu adalah demi mengambil keberkatan atas makhluk yang baru sahaja dicipta oleh-NYA.

Sumber Pendakwah Nourul Iman Nia’mat & Pegawai Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Naemah Hamzah

Foto: Bernama, Pexels, Pixabay & Unsplash