KIRA-KIRA 60 pelajar Malaysia yang sedang menyambung pengajian di Universiti Islam Madinah terlibat sebagai muzawwir (pembimbing) dalam operasi Tabung Haji (TH) bagi membantu aktiviti ziarah jemaah haji di sini.
Ia merupakan kerjasama antara Persatuan Mahasiswa Malaysia-Arab Saudi cawangan Madinah dengan TH selama 17 tahun yang menjadi medan anak-anak muda dalam mengasah kemahiran berinteraksi.
Muzawwir akan diperuntukkan bagi setiap bas jemaah haji untuk menerangkan sejarah Madinah dan tempat-tempat yang dilawati seperti Masjid Quba dan lokasi peperangan Uhud.
Baca Juga Ikut 8 tip ini, anda takkan tersesat sepanjang tunaikan haji
Timbalan Ketua Pelajar Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi Cawangan Madinah (Persada) Ukail Ahmad Sanif, 26, berkata penglibatan pelajar Universiti Islam Madinah bertujuan menyampaikan dakwah kepada jemaah.
“Kami membawakan cerita dari sudut yang berbeza, kami beritahu fakta sirah yang betul serta sahih dan dalam masa sama menggunakan fakta itu untuk menjadikan kita lebih dekat dengan ALLAH SWT,” katanya ketika ditemui pemberita.

Muzawwir akan diperuntukkan bagi setiap bas jemaah haji untuk menerangkan sejarah Madinah dan tempat-tempat yang dilawati seperti Masjid Quba dan lokasi peperangan Uhud. -Foto: Bernama
Pelajar semester lima Ijazah Sarjana Muda Syariah (Fiqh Hanbali) dari Klang, Selangor itu berkata sebelum ini, pelajar melakukan inisiatif itu secara individu sebelum dijadikan acara tahunan Persada sejak beberapa tahun lepas bagi memberikan yang terbaik kepada jemaah haji Malaysia.
Bagi Ahmad Syirazi Iqbal, 22, pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Usuluddin berkata ini merupakan pengalaman pertamanya sebagai muzawwir dan berasa seronok kerana dapat berinteraksi dengan rakyat Malaysia.
“Kebanyakan pelajar di sini pulang setahun atau dua tahun sekali ke Malaysia, jadi berinteraksi dengan jemaah haji ini dapat rasa lebih dekat dengan Malaysia,” katanya.
Baca Juga Buat korban 7 kali pahala macam naik haji, betul ke?
Mutawif dalam kalangan orang muda
Selain muzawwir yang akan menjadi pembimbing jemaah haji atau umrah, terdapat satu lagi khidmat yang amat diperlukan dalam melaksanakan rukun Islam yang kelima itu.
Digelar Mutawwif, mereka adalah insan penting di sebalik perjalanan jemaah sepanjang mengerjakan umrah dan haji di Tanah Suci. Mereka ini yang membantu, memberi nasihat, sekali gus memudah serta melancarkan perjalanan ibadat jemaah di sana.

Mutawwif, mereka adalah insan penting di sebalik perjalanan jemaah sepanjang mengerjakan umrah dan haji di Tanah Suci. -Foto: Shauqi Hasan
Selain itu, mutawwif juga harus membawa para jemaah untuk melakukan ziarah sekitar Kota Makkah dan juga Kota Madinah serta perlunya ada pengetahuan untuk bercerita tentang sejarah tempat-tempat yang dilawati sebagai contoh, sejarah Bukit Uhud, Masjid Quba, Masjid Qiblatain, dan beberapa lagi tempat bersejarah yg lain.
Apabila sebut sahaja mutawwif, ramai yang lebih cenderung untuk mengambil khidmat orang yang berpengalaman, namun golongan muda juga tidak ketinggalan untuk menerajui kerjaya ini.
Baca Juga 137 ‘duyufurrahman’ hayati ibadah umrah dengan nilai syukur dan sujud daripada Surah al-Insan
Turut Disyorkan Ingin haji mabrur, amal 7 adab saranan al-Ghazali
Ketua Pegawai Eksekutif Manhajj Mutawwif Umrah & Holidays Sdn Bhd (Manhajj Mutawwif), Abdul Halim Ikhsan berkata, sebelum ini, mutawif lebih dikenali melalui pembabitan guru agama atau ustaz kerana mempunyai lebih banyak pengalaman dan selok-belok ketika menunaikan umrah.
“Namun zaman terus berlalu, tampil golongan muda yang dilihat berminat dan mempunyai aura menjadi pemimpin berwibawa untuk membawa rombongan jemaah dari tanah air sehingga selesai ibadat di Mekah.
“Usaha melahirkan golongan muda sebagai mutawif kini menjadi ‘trend’ dalam kalangan agensi pelancongan umrah sejak akhir-akhir ini. Langkah ini memberi peluang kepada generasi baru untuk membantu jemaah umrah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi satu laman berita tempatan.