DARI jauh, kelihatan kepulan awan hitam berarak. Tiada gumpalan awan putih dan langit tidak kebiru-biruan seperti selalu. Ciri-ciri itu merupakan petanda jelas hujan bakal membasahi bumi.
Tatkala hujan, persepsi setiap manusia berbeza-beza. Sesetengahnya begitu gembira tidak terkata. Pun demikian, tidak keterlaluan untuk disebut, lebih ramai yang merungut.
Alasan yang sering diucapkan cukup mudah. Takut jalan sesak, segala urusan yang direncanakan akan tertangguh, namun yang paling menakutkan adalah ‘amukan’ bah yang boleh hadir sekelip mata.
Perasaan itu ‘semakin menjadi-jadi’ sejak kebelakangan ini apabila beberapa negeri di Malaysia dilanda banjir hujung 2021. Bencana alam itu begitu mengerikan kerana disifatkan paling buruk sejak dua dekad lalu.
Paling menyayat hati pastinya melihat mangsa banjir di Selangor dan Pahang. Setakat akhir Disember tahun lalu, 48 kematian dicatatkan dan angka itu sesuatu yang amat mendukacitakan.
Apabila rata-rata daripada kita mengeluarkan kata-kata bahawa fenomena alam itu membebankan, ia adalah satu ungkapan yang perlu diperhalusi semula.
Sesungguhnya, dalam kitabullah sudah tertulis bahawa di sebalik hujan, terselit rahmat dan keberkatan yang tidak terhingga.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda-NYA (adalah) bahawa kau lihat bumi kering dan gersang, maka apabila KAMI turunkan air di atasnya, nescaya ia bergerak dan subur…” (Surah Fussilat, ayat 30)
Berdasarkan kalimah mulia itu, apakah definisi rahmat yang ingin disampaikan kepada manusia sekalian alam? Benarkah setiap titisan hujan akan datang bersama malaikat?
Bukti kekuasaan ALLAH SWT
Bagi membicarakan lebih lanjut tentang keberkatan hujan, Sinar Islam Plus merujuk Pegawai Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Naemah Hamzah.
Dr Naemah menjelaskan, hujan merupakan antara salah satu bukti kekuasaan ALLAH SWT. Malahan, sejak 1,400 tahun yang lalu, al-Quran telah pun menceritakan tentang proses kejadiannya.
“Hal itu banyak disebutkan dalam kitab suci umat Islam sebagai pelajaran bagi orang berakal yang ingin menambahkan kecintaan kepada ALLAH SWT menerusi kejadian alam semesta.
“Menurut pendakwah Mohd Sukki Othman, sebanyak 12 perkataan yang menggambarkan hujan secara hakiki dalam kalam ALLAH SWT. Semantik hujan dalam al-Quran, antaranya menggunakan perkataan Matar, Soiyib, al-Ma’, Ghayth, ad-Thal, al-Wadq, al-Husban dan Wabil.
“Konteks situasi hujan dalam kitabullah terbahagi kepada dua iaitu azab dan kekuasaan ALLAH SWT. Erti kata hujan secara amnya digunakan sebagai pengajaran untuk menunjukkan kekuasaan ALLAH SWT,” katanya ketika ditemubual secara maya baru-baru ini.
Baca juga Syukurilah Alam Anugerah ALLAH Yang Tak Ternilai
Firman ALLAH SWT: “ALLAH jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu mengerakkan awan, kemudian ALLAH menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendaki-NYA dan menjadikannya berkelompok-kelompok lalu engkau melihat hujan keluar dari celahnya.” (Surah ar-Rum, ayat 48)
Dalam ayat yang lain berkaitan kejadian angin yang membantu proses turunnya hujan, ALLAH SWT berfirman: “Dan KAMI hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu KAMI menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian KAMI berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya.” (Surah al-Hijr, ayat 22)
Berdasarkan kedua-dua dalil berkenaan, Dr Naemah berkata, ia sekali lagi menunjukkan kekuasaan ALLAH YANG MAHA HEBAT.
“Selain itu, disebutkan juga di dalam al-Quran bahawa hujan yang turun sebagai membawa khabar gembira dan rahmat bagi alam dalam mengekalkan ekosistem yang baik, waima kepada manusia, tumbuhan dan air,” ujarnya.
Tanda peringatan
Kepada satu soalan, pendakwah itu menjawab: “Apabila membicarakan tentang hujan didatangkan dengan ribut dan taufan, ia megingatkan kita kepada kisah yang berlaku kepada Kaum ‘Aad. Mereka menentang dakwah dan peringatan dibawa oleh Nabi Hud AS.
“ALLAH SWT sangat murka kepada golongan manusia yang melawan kebenaran dan bersifat melampau sehingga menyebabkan kerosakan berlaku di muka bumi.
“Lantas, pemilik kerajaan langit dan bumi itu telah memusnahkan mereka dengan angin ribut yang dingin, terlalu kencang dan mengerikan sehingga lapan hari tujuh malam lamanya. Musibah ini berlaku sehingga menyebabkan kaum ini akhirnya musnah sebagaimana yang dirakamkan dalam Surah al-Haqqah, ayat 6-8.”
Pegawai agama itu turut ditanya tentang isu viral yang menyaksikan keterdesakan mangsa banjir memecah masuk premis untuk mendapatkan makanan.
Ujar beliau, sebaiknya berusahalah mendapatkan sumber yang halal terlebih dahulu, sebelum mengambil hak dan barang kepunyaan orang lain secara haram atau tanpa izin tuannya.
“Andai begitu terdesak untuk kelangsungan hidup dan ia adalah jalan terakhir, pastikan barang yang diambil adalah sekadarnya sahaja untuk keperluan pada saat darurat (banjir) demi menyelamatkan nyawa, bukan untuk simpanan jangka panjang.”
Kenyataan yang dilontarkan oleh Dr Naemah turut dipersetujui oleh pendakwah Nourul Iman Nia’mat.
Beliau mengakui bahawa hujan sebenarnya mengandungi 1,001 rahmat atau rahsia yang tersimpan di dalamnya.
“Masakan tidak, tatkala titisan air turun dari langit, terdapat di dalamnya doa-doa yang dimakbulkan oleh ALLAH SWT kerana ia merupakan waktu mustajab bermunajat kepada-NYA.
“Bahkan, ketika bumi basah dengan siraman air dari langit, ia membawa kenyamanan kepada seluruh penghuni bumi dengan udaranya yang bersih, di samping membasuh kotoran-kotoran di atas muka bumi,” katanya kepada Sinar Islam Plus.
Baca juga Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir
Begitupun, ujar pendakwah itu lagi, adakalanya fenomena alam tersebut juga boleh bertukar kepada musibah iaitu peringatan daripada ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA yang barangkali ingkar, lalai dan terlupa pada alam akhirat.
“Oleh sebab itu Rasulullah SAW mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah para nabi terdahulu. Antaranya kisah kaum ‘Aad yang diazab dengan angin ribut.
“Cerita tersebut mengingatkan kita agar tidak boleh terlalu gembira, leka, alpa dan seronok ketika hujan membasahi bumi.
“Sebaliknya, kita kena sedar, insaf dan sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT agar menjadikan hujan sebagai sumber kehidupan dan bermanfaat kepada diri. Bahkan, membawa ketakwaan yang lebih kepada ALLAH SWT atas kurniaan-NYA,” pesannya.
Dihitung malaikat
Benarkah setiap titisan hujan akan dihitung oleh para malaikat? Menjawab persoalan berkenaan, Nourul Iman terus mengiyakannya.
Lantaran itu, beliau mengajak seluruh umat Islam supaya mengenyahkan jauh-jauh persepsi yang menganggap hujan sebagai satu bentuk bebanan.
“Ya, mutakhir ini ada sebahagian dalam kalangan kita dilanda dengan bencana banjir asbab titisan hujan yang ALLAH SWT berikan kepada kita.
“Tidak kiralah waima rintik air yang turun itu berupa rahmat atau musibah, percayalah bahawa tanpa kita sedari, hujan itu sebenarnya membawa kebaikan kepada makhluk yang lain.
“Apa yang pasti, sewajarnya kita berasa syukur atas nikmat hujan kerana terdapat dalil yang memerihalkan bahawa malaikat ditugaskan untuk menghitung setiap titisan air yang turun dari langit,” ungkapnya. Buktinya, terdapat sebuah hadis mauquf (yang disandarkan kepada sahabat sahaja) dalam al-Mustadrak Syeikh an-Nuri, jilid 5 berkaitan perkara itu.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Pada suatu malam aku diperjalankan untuk mikraj ke langit, lalu aku melihat malaikat yang mempunyai 1,000 tangan, dan setiap tangan mempunyai 1,000 jari-jemari. Malaikat itu menghitung dengan jari-jemarinya. Lalu, aku bertanya kepada Jibril: “Siapakah malaikat itu dan apa yang sedang dihitungnya?” Jibril menjawab: “Dia adalah malaikat yang ditugaskan untuk menghitung setiap titisan hujan, ia menghafal setiap titisan hujan yang diturunkan dari langit ke bumi.” Kemudian, aku bertanya kepada malaikat itu: “Apakah kamu mengetahui berapa titisan hujan yang diturunkan dari langit ke bumi sejak ALLAH menciptakan dunia?” Ia menjawab: “Ya Rasulullah! Demi ALLAH yang mengutusmu membawa kebenaran kepada makhluk-NYA, aku tidak hanya mengetahui setiap titisan hujan yang turun dari langit ke bumi, tetapi aku juga mengetahui secara rinci berapa jumlah titisan hujan yang jatuh di lautan, di daratan, di bangunan, di kebun, di tanah yang bergaram, dan yang jatuh di kuburan…”
Melihat ungkapan tersebut, ujar Nourul Iman, jelaslah bahawa dalam setiap rintik hujan yang jatuh ke setiap inci muka bumi, terdapat juga satu malaikat turun bersamanya membawa rahmat.
“Ia bukan sahaja untuk satu-satu makhluk, tetapi sekalian makhluk yang ada di alam ini. Subhanallah, begitu besarnya rahmat terselindung di sebalik penurunan hujan,” ungkapnya.
ANEKDOT
AMALAN yang dianjurkan ketika hujan
- Berdoa kepada ALLAH SWT.
Waktu hujan adalah saat mustajabnya berdoa. Bermunajatlah memohon doa yang baik-baik kepada YANG MAHA ESA supaya diturunkan rahmat daripada hujan yang turun.
Antara doa yang dianjurkan dibaca ketika hujan ialah Allahumma sayyiban nafi’an (Ya ALLAH, jadikan hujan ini hujan yang bermanfaat).
Selain itu, apabila angin bertiup kuat, boleh sahaja kita mengungkapkan doa sebagaimana yang diucapkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Doa itu berbunyi: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku memohon kepada-MU kebaikannya, kebaikan yang terdapat padanya, dan kebaikan apa yang dihembuskan bersamanya. Dan aku berlindung kepada-MU daripada kejahatannya, kejahatan yang terdapat padanya dan kejahatan yang dihembuskan bersamanya.” (Hadis Riwayat Muslim)
- Bersyukur ke hadrat ILAHI.
Jangan lupa untuk memanjatkan kesyukuran ke hadrat ILAHI dengan nikmat hujan. Ketahuilah bahawa orang yang bersyukur itu akan ditambahkan lagi nikmat kepada mereka.
Ini kerana dengan adanya setiap rintik-rintik air dari langit itu, ia sebenarnya dapat memberikan kesuburan ke atas tanaman di atas tanah yang kering-kontang dan menjadikan alam sekitar lebih nyaman.
- Mengenakan sedikit tubuh badan kita dengan air hujan.
Terdapat ulama menyatakan bahawa perbuatan itu adalah sunnah Rasulullah SAW.
Diceritakan oleh Anas bin Malik RA bahawa: “Kami pernah kehujanan bersama Rasulullah SAW, lalu baginda mengikat bajunya sehingga tersiram hujan. Lalu, kami bertanyakan: “Wahai Rasulullah, mengapa engkau melakukan demikian?” Kemudian Rasulullah bersabda: “Kerana hujan ini baru sahaja ALLAH SWT ciptakan.”
Perlakuan itu adalah demi mengambil keberkatan atas makhluk yang baru sahaja dicipta oleh-NYA.
Sumber Pendakwah Nourul Iman Nia’mat & Pegawai Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Naemah Hamzah
Foto: Bernama, Pexels, Pixabay & Unsplash