Browsing Tag

perpaduan

PERPADUAN
Gaya Hidup,

Islam seru sebar keharmonian tanpa mengira kaum dan agama

Islam seru sebar keharmonian tanpa mengira kaum dan agama…

KASIH sayang yang ditunjukkan oleh seorang wanita berbangsa India yang menyuapkan makanan kepada pesakit Melayu di sebuah wad hospital, membuktikan semangat perpaduan kaum sangat tebal di Malaysia.

Menerusi perkongsian video Divyasree0605 di TikTok, dia memaklumkan, ibunya bertindak demikian berikutan pesakit wanita tersebut tidak dapat melihat.

“Makcik ‘ni alami kegagalan buah pinggang dan tak boleh melihat jadi ibu saya tolong dia makan,” katanya.

Baca Juga Meninggal selepas 24 jam peluk Islam

Perkongsian tersebut menerima respon positif orang ramai yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai bukti rakyat Malaysia sehati sejiwa dan ia sesuatu yang membanggakan.

“Terharu sangat saya tengok video ni, hati pun rasa sebak. Hidup Malaysia, Malaysia boleh! Sehati sejiwa kita sebagai adik-beradik,” ujar Padma.

Rata-rata netizen memberikan respon yang positif kerana rakyat Malaysia masih lagi mengekalkan perpaduan kaum dengan sikap saling membantu.

BARU-BARU ini, tular di media sosial apabila seorang wanita berbangsa India membantu seorang pesakit wanita Melayu di dalam wad sebuah hospital. 

“Kita semua rakyat Malaysia, seharusnya berbangga. Satu hati, satu jiwa,”

“Terima kasih, kita semua macam satu keluarga tak kira bangsa dan agama,”

“Bukti adab dan kemuliaan bukan pada warna kulit atau bangsa tapi pada hati,” demikian antara komen warganet di media sosial.

Baca Juga ALLAH bayar ‘cash’, rezeki rider bantu adik istimewa betulkan rantai basikal ke surau

Setakat video yang dikongsi telah berjaya meraih sebanyak 600 ribu jumlah tontonan dengan lebih 5 ribu komen.

Islam menyeru perpaduan rakyat dan kaum

Menerusi Mutiara Islam yang disiarkan thepatriots.asia, turut berbangga kerana uniknya di Malaysia, kita dapat hidup bersama serta meraikan kepelbagaian bangsa dan agama antara satu sama lain tanpa sebarang diskriminasi.

“Tidak mungkin bagi manusia hidup secara bersendirian tanpa melibatkan sebarang hubungan dengan masyarakat dan komuniti dalam sesebuah negara.

“Syukurlah Malaysia tidak seperti negara lain yang saban hari berperang antara kaum walaupun masih dalam negara sendiri.

MALAYSIA merupakan antara negara majmuk yang diduduki oleh pelbagai lapisan masyarakat yang berlainan bangsa, budaya dan agama namun masih mampu hidup dalam keadaan sejahtera serta makmur.

“Manusia dijadikan dengan rencam bangsa, kefahaman dan kemampuan, kerana kepelbagaian itu ada peranan tertentu bagi memakmurkan bumi melalui pembahagian tugasan mengikut kebolehan dan kedudukan masing-masing, serta wajib bersatu sebagai sebuah masyarakat madani.

“Islam sentiasa menegaskan bahawa wujudnya perbezaan, perselisihan dan pertembungan dalam kalangan manusia adalah fitrah.

Turut Disyorkan 4 darjat hamba di sisi ALLAH, harta dan jawatan tak masuk dalam senarai

“Semuanya mengandungi hikmah yang diberikan oleh ALLAH Tuhan pencipta alam kepada seluruh umat manusia,” kongsi laman berkenaan.

Firman ALLAH “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya ALLAH MAHA MENGETAHUI, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-NYA (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat ayat 13)

Artikel Berkaitan 

Solat witir
Gaya Hidup,

Umat Islam Perlu Kuat Rohani dan Fizikal Demi Penyatuan Insaniah

SEMALAM negara telah menyambut Hari Malaysia yang disambut 16 September setiap tahun. Meraikan ulangtahun penubuhan Malaysia kali ke-58 tahun ini menandakan kita telah berjaya melalui lebih separuh abad usia negara dengan keharmonian pelbagai masyarakat.

Kerajaan harus konsisten dalam menyatupadukan rakyat daripada pelbagai bangsa seperti yang kita telah lalui sebelum ini agar pembangunan negara mampu diseimbangkan dengan semangat perpaduan meskipun berlainan agama, bangsa dan budaya.

Pesanan itu juga akan disampaikan khatib menerusi khutbah Jumaat hari ini yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertajuk ‘Persamaan Dalam Perbezaan.

Menurut teks berkenaan, ALLAH SWT memerintahkan umat Islam supaya bersatu menjadi umat yang kuat dan secara spiritual dan fizikal serta menjaga hubungan kemanusiaan antara sesama umat manusia atas dasar saling menolong, bekerjasama dalam kebajikan dan menjauhkan diri daripada meninggalkan agama ALLAH SWT. Firman ALLAH SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 103 yang bermaksud:

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali ALLAH (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat ALLAH kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu ALLAH menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat ALLAH itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu ALLAH selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah ALLAH menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya”.

 Berdasarkan dalil itu, kita semua perlu menyedari bahawa hakikat manusia sebenarnya merupakan sebuah keluarga besar yang berasal daripada ibu bapa yang sama (Adam ‘Alaihissalam dan Hawa ‘Alaihassalam). Setelah itu, keadaan manusia yang bertebaran di muka bumi telah menemukan mereka untuk hidup bermasyarakat dan saling berhajat antara satu sama lain. Hal ini kerana, kebolehan setiap orang dan pemilikan sumber hasil yang berlainan tetapi masing-masing saling memerlukan.

Al-Quran telah menegaskan tentang hubungan sesama manusia yang berkonsepkan sebuah keluarga besar. Manusia menjalinkan hubungan silaturrahim dan diwajibkan berta‘aruf serta berta‘awun (berhubungan untuk saling mengenal bagi saling menolong) dalam perkara yang baik dengan semua pihak. ALLAH Maha Berkuasa untuk menjadikan seluruh manusia menjadi umat yang satu, yakni menganut satu agama, satu keyakinan, atau satu pendapat, tetapi ALLAH SWT tidak menghendaki demikian, melainkan memberikan kebebasan kepada manusia untuk memilih. Walaupun ALLAH SWT memberi mereka kebebasan memilih, mereka sentiasa tetap berselisih pendapat tentang kebenaran, lantaran mereka mengikuti hawa nafsunya. Firman ALLAH SWT dalam Surah Hud ayat 118:

“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.”

Mengenang sejarah kemerdekaan dan pembentukan negara ini akan dapat membangkitkan rasa syukur kepada ALLAH SWT dan penghargaan yang tinggi kepada generasi terdahulu. Semua kaum dan bangsa telah bersama-sama menentang penjajah dengan ideologi yang berbeza, tetapi berkongsi hala tuju yang sama iaitu mahu mencapai kemerdekaan daripada cengkaman penjajah yang zalim. Inilah titik persamaan yang menjadi faktor kepada kesepaduan masyarakat di negara ini yang berbilang agama dan bangsa.

Dalam konteks kehidupan bermasyarakat majmuk, Rasulullah SAW menggalakkan kepada umatnya supaya menimba ilmu dan mengambil pengalaman yang berfaedah walaupun daripada kaum bukan Islam dalam urusan duniawi. Ilmu dan pengalaman yang ditimba ini seterusnya akan seiring dengan ruh Islam dan akhirnya dapat mengawasi kemajuannya dari aspek positif dan menolak segala aspek yang negatif.

ALLAH SWT memerintahkan umat Islam untuk segera mencari jalan keluar sekiranya berlaku sebarang perselisihan. Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 10:

 “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada ALLAH supaya kamu beroleh rahmat.”

 

Kita tidak boleh membiarkan saudara-saudara kita berada dalam perselisihan. Hal ini kerana Rasulullah SAW telah mengingatkan bahawa, tidak akan sempurna keimanan seseorang melainkan dia dapat mencintai saudara seimannya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri. Membiarkan perselisihan tanpa ada usaha menyelesaikannya akan menghasilkan keburukan dan akibat yang bukan sahaja memberi impak negative kepada mereka yang berselisih, tetapi juga kepada seluruh umat manusia.

Maka, dalam situasi hari ini, pastinya tumpuan kepada pemulihan negara merupakan matlamat utama seluruh anggota masyarakat walaupun kita berbeza agama, bangsa, kaum dan ideologi. Titik persamaan inilah yang menjadi titik pertemuan kita semua dalam usaha membangunkan sebuah negara yang berdaulat, selamat sejahtera, dan kukuh dari segi spiritual, ekonomi, kesihatan awam, pendidikan dan sosialnya.

Justeru, marilah kita bersatu pada titik persamaan dengan semangat Keluarga Malaysia. Janganlah bertindak melampau dalam perbezaan sesama kita, tetapi sentiasa berbincang dengan penuh kebijaksanaan mencari kebenaran dalam perkara yang berbeza.

Rumusan daripada teks khutbah yang dikeluarkan JAKIM, terdapat tiga inti pati yang boleh dijadikan panduan, antaranya;

  1. : Hakikat asal manusia merupakan sebuah keluarga besar yang berasal dari ibu bapa yang sama iaitu nabi Adam ‘Alaihissalam dan Hawa ‘Alaihassalam.
  1. : Kemajmukan masyarakat di negara ini perlu disantuni dengan ta’aruf (Saling berkenalan) dan ta’awun (saling menolong dalam perkara kebaikan).
  1. : Sebarang perselisihan boleh diketepikan jika kita menumpukan kepada titik persamaan dalam perjuangan pemulihan negara.

Firman ALLAH SWT dalam Surah al-‘Asr:

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”.