SELEPAS 24 jam peluk Islam, seorang mualaf pergi dijemput Ilahi buat selama-lamanya meninggalkan dunia yang fana ini.
Saudara baharu yang dimaksudkan ialah seorang kakitangan di sebuah pasar raya di Birmingham, England, Anthony Mark Wainwright.
Berdasarkan ciapan Twitter @IlmFeed, lelaki berusia 60 tahun itu meninggal dunia pada 28 Julai lalu iaitu pada hari Jumaat yang penuh barakah.
Menerusi video yang dikongsikan, warga emas yang berkhidmat selama bertahun-tahun di pasar raya berkenaan tidak mempunyai keluarga.
“Namun, pekerja Islam yang bekerja di pasar raya itu melayannya seperti keluarga sendiri,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video berkenaan.
Baca juga Pernah takut berkawan dengan Muslim, wanita Jepun ini akhirnya memilih Islam sebagai pegangan hidup
Apabila mengetahui hayatnya tidak akan lama di dunia setelah didiagnosis kanser dan dirawat di hospital, Anthony berhasrat agar dia dikebumikan di masjid.
Memetik artikel Hidayatullah.com, saudara Muslimnya memberitahu, impian itu hanya boleh dipenuhi jika Anthony mengucap dua kalimah syahadah dan masuk Islam.
Lelaki berkenaan lantas meminta dirinya diajar untuk bersyahadah.
Menerusi video dikongsikan @IlmFeed, dapat dilihat Anthony yang dibantu alat pernafasan lancar mengucap kalimah Tauhid walaupun kelihatan mengah.
“Saya bersaksi bahawa tiada Tuhan disembah melainkan ALLAH dan saya bersaksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH.”
Demikian ucap Anthony sambil disambut ucapan takbir oleh insan di sekelilingnya.
Baca juga Terpaut dengan alunan merdu al-Quran di Masjid Negara, dua pelancong Jepun peluk Islam
Selepas 24 jam mengucap lafaz Tauhid itu, Anthony dilaporkan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Menerusi gambar yang dikongsikan di Twitter @IlmFeed, begitu ramai orang yang menghadiri majlis pengebumiannya di Masjid Green Lane.
“Ini menunjukkan bahawa tidak ada yang tahu bagaimana akhir hidup seseorang. Semoga ALLAH menjaga kita teguh dalam Islam dan membiarkan kita mati dengan iman dan syahadah pada bibir kita,” coret Ilmfeed.
Video yang ditonton lebih 414,000 telah ditwit semula (retweet) 2,021 pengguna laman berkenaan.
Melihat pada ruangan komen, ramai warganet mengirimkan doa dan coretan buat mualaf berkenaan.
Antaranya, pengguna akaun Twitter @Qiwaam berkata: “Masya-ALLAH, lihatlah betapa ramainya yang mendoakan solat jenazah untuknya, petanda yang sangat baik untuk ‘perjalanan’ barunya! Dan walaupun pendapat yang agak kontroversi, kami berharap kematiannya pada hari Jumaat memberi manfaat untuknya. Jannah, insya-ALLAH.”
Sementara itu, MedicineIR pula mencoretkan: “Sesuatu yang patut dicemburui. Betapa pendeknya hisab yang akan dilaluinya pada hari penghakiman.”
Baca juga Tujuh cara terbaik bantu mualaf
“Saya sangat cemburu dengan kematian seperti ini. Ya ALLAH, jadikanlah akhir hayat kami husnuh khatimah. Amin,” tulis pemilik akaun Twitter @d701ri.
Bagi @runahQuc pula, dia berkata: “Jadi pada dasarnya dia mati sesuci bayi. Hanya dosa selama satu hari (jika ada) sepanjang hayatnya. Semoga ALLAH mengurniakan jannah kepadanya.”
He died 24 hours after embracing Islam. pic.twitter.com/iwpf6mauxI
— ilmfeed (@IlmFeed) July 30, 2023