Terpaut dengan alunan merdu al-Quran di Masjid Negara, dua pelancong Jepun peluk Islam
TIKA negara dikejutkan dengan tindakan beberapa individu Muslim yang tega mempersendakan agama kononnya atas dasar berkarya dan kreativiti, rupanya ada juga insan bertuah dipilih oleh ALLAH SWT untuk ke jalan-NYA.
Benarlah hidayah itu milik ALLAH, bayangkan dengan hanya mendengar alunan ayat suci al-Quran, dua warga Jepun terus jatuh cinta dengan Islam semasa melancong di Malaysia.
Berita baik itu disampaikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi laman Facebook mereka.
Baca juga Tujuh cara terbaik bantu mualaf
Baca juga Niat letupkan masjid, lelaki ini akhirnya peluk Islam – Dokumentari dicalonkan anugerah Oscar
Tulis hantaran tersebut, dua pelancong Jepun berkenaan sedang mengunjungi Masjid Negara apabila terdengar alunan kalam suci ALLAH sewaktu Majlis Saringan Tilawah al-Quran diadakan di situ.
Dalam masa sama, salah seorang peserta acara tilawah turut sempat menyampaikan tentang keindahan ajaran Islam kepada mereka berdua.
Semalam, kedua-dua pelawat dari negara matahari terbit itu mengambil keputusan melafazkan syahadah sebelum kembali ke Tokyo.
Perkongsian tersebut mendapat reaksi positif daripada warganet yang mendoakan saudara-saudara baru berkenaan terus kekal istiqamah mendalami agama Islam setibanya di Jepun nanti.
Turut disyorkan Bilangan penduduk Jepun peluk agama Islam semakin meningkat. Ini faktor-faktor yang menyumbang

AGAMA menganjurkan kita untuk saling berbaik-baik sesama manusia, apatah lagi saudara seislam. Foto: Pexels
Cara terbaik membantu mualaf
Sebagai orang Islam, ada beberapa cara yang boleh diusahakan untuk bantu golongan mualaf:
1. Memberi zakat.
Pemberian zakat bukan sahaja dapat mengukuhkan ekonomi para mualaf, malah ia mampu mengeratkan ikatan sesama saudara Islam.
Ini kerana faktor kemiskinan adakalanya menjadi penyebab sebahagian mualaf berputus asa dan menyalahkan agama sebagai puncanya.
2. Bimbingan pendidikan dan pengetahuan tentang Islam.
Kebanyakan mualaf tidak mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang Islam kerana masih baru dalam agama.
Bimbingan daripada Muslim lain dalam pelbagai bentuk seperti kelas dan sebagainya dapat membantu golongan saudara kita agar lebih memahami dan menghayati agama Islam dalam kehidupan mereka.

MASALAH kewangan antara yang sering dihadapi saudari baru, terutamanya mereka yang dibuang keluarga akibat memeluk Islam. Foto: 123RF
3. Perkahwinan campur.
Perkahwinan campur yang dimaksudkan adalah perkahwinan antara golongan mualaf dengan penganut Islam yang asal.
Melalui cara ini, seseorang mualaf akan lebih mudah dan cepat mendalami Islam, malah ia juga memastikannya tidak kembali lagi kepada agamanya yang asal.
Baca juga Ini Mitos-Mitos Dalam Perkahwinan Yang Perlu Diketahui
4. Dekati, sokong dan beri semangat.
Jangan menjauhkan diri daripada golongan mualaf. Sebaliknya, dekati mereka agar kita akan lebih memahami permasalahan yang mereka lalui lantas mudah untuk membantu mereka.
Berilah sokongan dan dorongan untuk mereka terus kekal dengan Islam dan tidak rasa tersisih sebagai saudara Islam baru.
5. Menyediakan bantuan keperluan asas.
Selain memberi bantuan dalam bentuk kewangan dan pinjaman modal untuk perniagaan, golongan mualaf juga boleh dibantu melalui peluang pekerjaan serta barangan keperluan asas seperti pakaian, rumah atau tempat tinggal dan sebagainya.
Ini kerana selepas memeluk Islam, ramai mualaf yang disisihkan oleh ahli keluarga, malah ada juga yang turut dipecat daripada pekerjaan mereka.
Turut disyorkan Peluk Islam ketika dalam penjara, bekas banduan kini jadi pendakwah

AMBIL peluang dekati golongan saudara baru untuk memberi galakan kepada mereka kekal dalam agama ALLAH. Foto: Pexels
Baca juga Tertarik dengan disiplin kehidupan Muslim, lelaki Thailand ini memeluk Islam
6. Menyediakan badan khas untuk rujukan.
Kewujudan badan rujukan seperti persatuan yang berfokus kepada mualaf sangat diperlukan sebagai tempat rujukan mereka mengenai Islam selain menjadi tempat mengadu serta meminta pertolongan sementara mereka dapat berdikari sendiri.
7. Galakkan masyarakat mendekati mualaf.
Selain itu, anjurkan juga pelbagai program yang bantu mendekatkan golongan mualaf dengan penganut asal Islam.
Selain bertujuan mengukuhkan semangat persaudaraan sesama Islam, program-program sedemikian juga memastikan saudara Islam baru kita tidak terasa tersisih, justeru mendorong mereka untuk kekal dalam Islam.
Sumber: Facebook JAWI
Foto: 123RF, Facebook JAWI & Pexels