MENJADI kewajipan seorang anak untuk terus berbakti kepada kedua ibu bapa sehinggalah di akhir nafas mereka.
Kisah-kisah mengenai seorang anak yang membalas jasa ibu bapa dengan baik sering dipaparkan di media sosial dan pasti akan mendapat perhatian warganet kerana ia merupakan satu contoh yang baik untuk diteladani.
Namun, agak jarang kita mendengar kisah seorang menantu yang menjaga mentua seperti ibu bapa kandung sendiri.
Seperti dikongsi oleh seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Mohd Yazid Ismail mengenai kisah seorang menantu yang sanggup menjaga ibu mentuanya sehingga ke akhir hayat usia.
“Kami ada 16 adik beradik. Pada tahun-tahun akhir kehidupan mak, anak ke-15 Radiah Ismail dan suaminya Khairi Ismail balik kampung untuk jaga mak yang makin uzur.
“Tugas menjaga makan minum orang tua tidaklah sesuatu yang mudah. Banyak ujian dan kekhilafan. Nak jaga hati perasaan juga sangat mencabar. Kena banyak bersabar makan hati.
“Khairi sangat banyak jasa berkhidmat untuk mak saya dengan penuh kesabaran. Walaupun hanya menantu, tapi jasanya berkhidmat untuk mak melebihi kami anak-beranak.
“Hari-hari yang dilalui Khairi banyak tak cukup tidur. Badan mak selalu kena urut untuk melegakan kesakitan yang dihadapi. Khairi dan Radiah sentiasa bergilir. Kami adik-beradik yang lain ada buat, tapi mereka berdua paling banyak berkorban tenaga dan masa merawat mak.
“Seorang sangat penyabar dan tenang. Saya kagum. Saya selalu berdoa supaya ALLAH membalas jasanya dengan berlipat kali ganda.
“Rumah pusaka mak dah bagi kat Radiah. Sebelum ni saya yang bayarkan bil elektrik setiap bulan. Malam tadi Radiah tanya, lepas mak meninggal adakah saya akan terus bayarkan bil? Saya jawab akan tetap bayar. Untuk balas jasa Radiah dan Khairi menjaga mak. Akan bayarkan hingga Radiah jadi lebih kaya dari saya.
Baca Juga ‘Rezeki anak’ mesti diusahakan ibu bapanya, fahami erti sebenar frasa itu
“Ini menantu dari syurga. Semoga ALLAH sentiasa merahmatinya dan mengkayakannya dunia akhirat. Terima kasih Khairi dan Radiah sebab jaga mek,” kongsinya.
Tanggunjawab menantu terhadap ibu bapa mentua
Tanggungjawab menantu terhadap ibu bapa mentua adalah sama seperti tanggungjawab anak terhadap ibu bapa kita sendiri. Perkara itu sebagaimana dijelaskan oleh pendakwah bebas, Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah.
Ujarnya, lelaki bertangungjawab sepenuhnya terhadap isteri yang dikahwininya. Ini kerana lelaki tersebut telah ‘mengambil’ anak perempuan tersebut daripada ibu bapanya.
“Bermakna, perempuan tersebut telah menjadi ‘hak mutlak’ si suami. Justeru, menjadi tanggungjawab suami sepenuhnya untuk menyempurnakan segala keperluan isterinya zahir dan batin.
“Tanggungjawab suami tidak terhenti setakat isterinya, malahan terhadap kepada kedua ibu bapa kepada isteri atau mentua. Suami (menantu) tidak boleh membiarkan ibu bapa mentua setelah anaknya telah diambil.
“Sikap tidak bertanggungjawab atau lepas tangan seolah-olah kita melakukan perkara yang sama terhadap ibu bapa sendiri.
Baca Juga Kesilapan besar anak terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia
“Pendek kata, kedudukan ibu bapa sendiri dan mentua adalah sama tidak kira sama ada mentuanya beragama Islam atau tidak. Sama seperti tanggungjawab anak yang telah memeluk Islam terhadap ibu bapanya yang belum memeluk Islam,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi antara tanggungjawab menantu lelaki dan perempuan mengikut keutamaan di sisi Islam;
1.Menantu lelaki
ALLAH SWT
Rasulullah SAW
Ibu/Ibu mentua
Bapa/Bapa mentua
Isteri
Anak-anak
Lain-lain
2.Menantu perempuan
ALLAH SWT
Rasulullah SAW
Suami
Anak-anak
Ibu/Ibu mentua
Bapa/Bapa mentua
Lain-lain
Ikuti kami juga di Telegram