Browsing Tag

Iftar Ala Madinah@Karangkraf

GAMBAR PORTAL FB - 2023-04-03T115629.192
Berita Semasa,

Jom buka puasa bersama Nabil Ahmad di Iftar ala Madinah@Karangkraf pada Rabu ini

IFTAR ala Madinah@Karangkraf sekali lagi menjadi tumpuan ramai apabila tahun ini masih lagi mengekalkan konsep suasana berbuka puasa seperti di Masjid Nabawi.

Program yang dianjurkan oleh Kumpulan Media Karangkraf itu sentiasa menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan umat Islam sepanjang Ramadan.

Istimewanya kali ini apabila acara itu turut diserikan dengan penampilan khas selebriti terkenal tanah air, Nabil Ahmad yang akan bersama pengunjung untuk satu sesi perkongsian dalam program iftar berkenaan pada Rabu ini (5 April 2023).

Orang ramai boleh hadir bertemu empat mata dengan pengacara, pelakon dan penyanyi kesayangan ramai itu menerusi slot khas sembang Ramadan@LZS (Lembaga Zakat Selangor) bersama Nabil Ahmad bermula jam 6 petang bertempat di pekarangan Karangkraf, Shah Alam, Selangor.

Menariknya pada hari berkenaan, sebanyak 1,000 pek kurma dan 600 kuih-muih daripada asnaf LZS bakal menanti pengunjung.

Di samping itu, orang awam juga boleh menunaikan zakat fitrah dan harta serta mendapatkan perkhidmatan zakat on wheels di tempat disediakan.

SLOT khas sembang Ramadan@LZS (Lembaga Zakat Selangor) bersama Nabil Ahmad. 

Pelbagai aktiviti menarik di Iftar ala Madinah

Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, pelbagai aktiviti menarik akan dijalankan sepanjang program berlangsung termasuk projek baju raya dan peraduan teka buah kurma.

“Orang ramai boleh menyumbang baju-baju raya yang lama, tetapi masih dalam keadaan baik untuk kami dermakan kepada golongan memerlukan. Setiap sumbangan akan diberikan satu baucar tunai daripada Grup Buku Karangkraf.

“Bagi peraduan teka kurma pula hanya terbuka untuk pengunjung. Mereka berpeluang menerima duit raya tunai sekiranya berjaya meneka jumlah tamar yang disediakan.

Baca Juga Ini kadar zakat fitrah setiap negeri pada tahun 2023

“Segala aktiviti akan bermula jam 6 petang, diikuti pengisian tazkirah sementara menunggu waktu berbuka yang akan disampaikan oleh ustaz daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan ustaz jemputan,” katanya.

Selain Nabil, Iftar ala Madinah@Karangkraf akan turut dimeriahkan dengan penampilan khas selebriti dan tokoh agamawan tanah air pada hari yang berasingan.

Antaranya pelakon, Datuk Jalaluddin Hassan, Marsha Milan Londoh, maskot program animasi Little Ammar serta Mila dan Mina termasuk pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.

Kepada mereka yang mahu menyertai Iftar Ala Madinah@Karangkraf boleh mengesahkan kehadiran di pautan
https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLScXgaP2G9Wpz0KwZKoMisnYuJ6ImFz5wrfff8sAvjImNKxhxQ/viewform.

Bagi pihak yang ingin turut serta memberi infak makanan, barangan atau wang tunai boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Sinar Karangkraf Sdn Bhd 564276 529068 (Maybank) atau melalui pautan https://info.sinarharian.com.my/tabung-infak-iftar-karangkraf/.

Ikuti kami juga di telegram

Iftar Ala Madinah@Karangkraf
Berita Semasa, Dalam Negara,

Jom Iftar Ala Madinah@Karangkraf

BAGI anda yang belum berkesempatan menjejakkan kaki ke Tanah Suci terutama di bulan Ramadan, tetapi berhasrat merasai suasana berbuka puasa seperti di sana, Program Iftar Ala Madinah@Karangkraf di Shah Alam, Selangor menjadi destinasi terbaik untuk menikmatinya.

Menerusi program naungan Sinar Harian bersama Karya Bestari dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, ia memberi peluang kepada pengunjung terutama golongan yang memerlukan untuk berbuka puasa secara percuma.

Ketua projek program berkenaan, Firdaus Hussamuddin berkata, program tersebut mampu menampung sehingga 1,000 pengunjung setiap hari, bermula 4 hingga 29 April ini.

“Begitupun, mereka perlu membuat panggilan untuk tempahan terlebih dahulu sekurang-kurangnya dua hari sebelum menyertainya.

“Ini kerana makanan akan disediakan berdasarkan kepada jumlah tempahan pada hari berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iftar Ala Madinah@Karangkraf

SUASANA ketika Program Iftar Ala Madinah@Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR (SINAR HARIAN)

Selain iftar, pengunjung turut diserikan dengan pengisian kerohanian berupa tazkirah sementara menunggu waktu berbuka puasa.

Bagi mereka yang berminat menyertainya, boleh menghubungi sekretariat di talian 019-213 3315 untuk membuat pengesahan kehadiran jam 10 pagi sehari sebelumnya.

Di sebalik iftar di Madinah dan Makkah

Sebut sahaja tentang Madinah, pasti ramai terbayangkan kota yang kaya dengan nilai sejarah Islam. Malah, ia menjadi Tanah Suci para jemaah yang menunaikan ibadah haji dan umrah.

Baca juga Ini sebab kenapa Madinah Al-Munawwarah dilabel sebagai antara bandar paling sihat di dunia

Menelusuri historiografinya, kota yang terletak di Arab Saudi itu sarat dengan pengajaran yang tiada tolok bandingnya. Di situlah Nabi Muhammad SAW memutuskan untuk berhijrah dari Makkah ke kota Madinah.

Seterusnya, Madinah yang ketika itu dikenali sebagai Yathrib dijadikan sebagai bandar tempat masyarakat Islam yang pertama kali ditubuhkan oleh baginda SAW pada 622 Masihi.

Di kota tumpuan umat Islam itu, Masjid al-Nabawi atau digelar sebagai masjid nabi sering kali menjadi tempat yang dijejaki ramai. Masakan tidak, di situlah jemaah haji dan umrah dari seluruh dunia datang untuk mencari keberkatan ALLAH SWT.

Malah, masjid itu juga, menurut laporan zamzam.com, Masjid al-Nabawi merupakan bekas rumah Rasulullah SAW sendiri, selain menjadi tempat pengebumian baginda setelah kewafatannya.

Iftar Ala Madinah@Karangkraf

BEGINILAH keadaan ketika berbuka puasa di Madinah sebelum wabak Covid-19 membadai dunia. -FOTO: ARAB NEWS

Di sebalik sarat dengan sejarah, portal berkenaan melaporkan, Madinah juga terkenal dengan momen iftarnya yang begitu meriah umpama memasuki ‘bulan perayaan’.

Malah, Masjid al-Nabawi sendiri menjadi tumpuan ramai untuk berbuka puasa. Pihak penganjur siap sedia membentangkan saprah dan menyediakan makanan berbuka buat pelawatnya.

Bayangkan kita berkumpul ramai-ramai dan beriftar bersama-sama dalam satu barisan yang panjang. Setelah itu, semua akan mengemas tempat berbuka tadi, lantas mendirikan solat Maghrib.

Begitupun, sudah dua tahun aktiviti tersebut terpaksa dihentikan. Namun pengumuman yang dibuat Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdulrahman al-Sudais membawa khabar gembira.

Pihaknya berbesar hati mengembalikan iktikaf di Haramain (dua tempat suci) pada 22 Mac lalu.

Sesungguhnya, berita baik itu begitu dinanti-nantikan oleh ramai orang. Selain program Ramadan dan keagamaan, jamuan berbuka puasa turut kembali kepada keadaan normal selepas dua tahun menyepi.

Baca juga Pelaksanaan Ibadat Haji tetap diteruskan, namun masih tiada kata putus tentang kuota jemaah

Barangkali ramai yang tidak tahu tentang di sebalik tradisi iftar beramai-ramai itu.

Memetik laporan portal berita berpengaruh Arab Saudi, Arab News melaporkan, sebanyak 2,000 permit dikeluarkan kepada mereka yang berminat dengan amal tersebut.

Sebenarnya, menyediakan juadah berbuka puasa di tempat yang sama di kawasan masjid telah diwarisi turun-temurun bagi sesetengah keluarga Arab Saudi.

Sebelum wabak Covid-19 melanda, jemaah dialu-alukan berbuka puasa di dua masjid berkenaan oleh dermawan yang menyediakan hidangan iftar di lokasi tertentu.

“Pengagihan hidangan berbuka puasa dibenarkan pada tahun lepas, namun pada 13 Januari lalu, Sheikh Abdulrahman al-Sudais mengumumkan pemulangan program iftar bersama di kedua-dua masjid suci berkenaan.

“Pengumuman tersebut membuatkan keluarga yang menerima permit (menyediakan juadah berbuka) mula membuat persiapan untuk berbuka puasa dua minggu sebelum Ramadan. Ia merupakan sebahagian daripada keseronokan yang ditunggu-tunggu,” lapor portal arabnews.com.

Jamu makan orang berpuasa

Iftar Ala Madinah@Karangkraf

KERAJAAN Arab Saudi mengembalikan iktikaf di Haramain, di samping jamuan berbuka puasa. -FOTO: ARAB NEWS

Semasa iftar di Masjid al-Nabawi, kawasan luar masjid dibahagian kepada dua tempat berasingan untuk lelaki dan wanita.

Menurut zamzam.com, makanan berbuka yang dihidangkan di dalam masjid terdiri daripada roti, kopi, kurma dan yogurt. Juadah di halaman masjid pula terdiri daripada daging, nasi, kurma, jus, kopi, teh dan air. Makanan tersebut disediakan selepas Asar.

Pada masa tersebut, lebih 300 tan air zamzam disediakan kepada masjid untuk menyediakan 1,500 bekas air di premis berkenaan.

“Selesai iftar, kawasan masjid dibersihkan dengan rapi dan disediakan ruang untuk jemaah menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih dengan penuh semangat sepanjang Ramadan,” katanya.

Antara hidangan popular ketika Ramadan di Madinah termasuklah jareesh, dukka, shireek dan Madinah Fatout, sobia dan vermicelli.

Baca juga Tersalah buka puasa awal kerana azan radio. Ini hukumnya

Adapun, berbuka di masjid bersama para jemaah yang lain mempunyai kelebihannya tersendiri.

Bukan sahaja dapat berkumpul bersama kaum muslimin, tetapi juga menyatukan hati, barisan, saling berkenalan dan mewujudkan semangat saling menyokong dan seumpamanya.

Bahkan, dalam sebuah hadis yang memerihalkan tentang kelebihan apabila kita menjamu orang berpuasa makan.

Diriwayatkan oleh Ummu Ammarah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan bersamanya orang berpuasa yang lain, maka sentiasalah para malaikat mengucap selawat ke atasnya sehingga selesai daripada makannya.” (Hadis Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan al-Baihaqi)

Dalam satu riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang berpuasa apabila makan di sisinya orang-orang yang berbuka puasa, nescaya para malaikat berselawat ke atasnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)