TANAH suci Mekah dan Madinah akhirnya dibuka sepenuhnya kepada jemaah luar negara oleh kerajaan Arab Saudi baru-baru ini setelah mengehadkan kemasukan pelawat asing susulan penularan Covid-19 pada tahun 2020.
Setelah pengumuman itu dibuat oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, ramai yang tertanya-tanya tentang proses pelaksanaan haji tahun ini.
Malaysia juga tidak terkecuali apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mengadakan pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Taufiq Fawaan Al-Rabiah atas jemputan menghadiri Persidangan dan Pameran Haji dan Umrah di Jeddah minggu lalu.
Antara isu yang dibincangkan antara kedua-dua pihak termasuk perkara berkaitan haji sekaligus memberikan harapan bahawa jumlah rakyat Malaysia yang dibenarkan untuk melaksanakan ibadah haji musim 1443 H/2022 bakal meningkat.
Sebagai rekod, kuota rasmi jemaah haji negara setakat ini adalah seramai 31,600 selepas pertambahan sebanyak 10,000 yang diumumkan bekas Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac tahun lalu
Walau bagaimanapun, Senator Idris Ahmad berkata, belum ada jaminan diberi kerajaan negara itu mengenai pertambahan kuota jemaah haji, bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga negara lain.
“Masih tiada kuota yang khusus yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Saudi kepada semua negara yang bakal menghantar jemaah haji pada tahun ini,
Baca juga Wanita 45 tahun ke atas dibenarkan tunai umrah tanpa mahram
Namun pelaksanaan ibadah haji akan tetap diteruskan dan pastinya ianya adalah berita gembira buat umat Islam di seluruh dunia.” jelas beliau menerusi sebuah hantaran di Facebook semalam.
Tambah beliau lagi, Arab Saudi kini berdepan dengan masalah tempat penginapan, terutamanya hotel yang banyak lagi belum dibuka ekoran Covid-19 lantas mungkin antara penyebab mengapa masih tiada kata putus daripada pihak kerajaan berkenaan.
Apa-apa pun, pihak Lembaga Tabung Haji (TH) akan kekal mengikuti perkembangan daripada kerajaan Arab Saudi dan sebarang perubahan bakal dimaklumkan kelak kepada rakyat Malaysia, ujar Datuk Idris Ahmad.
Terbaharu, kerajaan Arab Saudi sudah melonggarkan segala sekatan terhadap kemasukan jemaah luar negara yang ingin menjalani ibadah umrah di tanah suci.
Selain tidak perlu mengambil ujian RT-PCR, jemaah juga tidak dikehendaki untuk menjalani kuarantin dan lakukan penjarakan sosial.
Namun, untuk mendapatkan visa dan memasuki Raudhah, jemaah perlu menggunakan aplikasi atas talian oleh pihak kerajaan Arab Saudi, Eatmarna.
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Foto: Pexels