BAGI sesiapa yang bekerja di bandaraya pasti tahu peritnya mengharungi jalanraya di bulan Ramadan.
Syarikat membenarkan pekerja pulang awal ditambah pula dengan warga kota yang berpusu-pusu ingin lekas sampai rumah untuk berbuka puasa akhirnya menyebabkan kesesakan lalu lintas yang lebih panjang daripada biasa.
Bagi sesiapa yang melakukan perjalanan jauh dari rumah ke tempat kerja, kadangkala puasa terpaksa dibuka dalam kenderaan sahaja apabila tersangkut di jalanraya.
Dalam hal ini, ramai yang bergantung kepada stesen radio untuk mendengarkan laungan azan tanda iftar.

PERANTI seperti telefon pintar dan jam tangan boleh digunakan untuk memastikan waktu berbuka puasa tepat.
Pada Ahad lepas, timbul isu seorang penyampai radio di Tawau yang menyiarkan azan Maghrib empat minit lebih awal dengan secara tidak sengaja. Dek kejadian ini, ramai warga Tawau yang telah berbuka awal dari waktu.
Walaupun isu yang berlaku tampak remeh, namun ada hukumnya bagi situasi sebegini.
Perkara ini pernah diulas oleh mantan mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Al-Bakri melalui laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, menerusi artikel Bayan Linnas Siri ke-97: Tersalah Berbuka Puasa Awal Kerana Azan Di Radio.
Menurut artikel tersebut, puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari. Puasa tidak berakhir dengan petanda azan oleh muazzin.
Firman Allah SWT:
“…dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian, sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib);…” (Surah al-Baqarah, ayat 187)

MANUSIA boleh membuat silap dalam masa melaungkan azan. Oleh itu, matahari juga boleh dijadikan petunjuk untuk menentukan masa berbuka.
Berhubung orang yang berbuka puasa kerana menyangka matahari telah terbenam, pendapat para ulama terbahagi kepada dua:
1. Jumhur ulama’ dari kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama’ Hanbali: Puasa tersebut batal dan wajib diqada.
2. Sebahagian mazhab Hanbali, al-Muzani dan Ibn Khuzaimah daripada ashab al-Syafie dan juga pandangan ulama’ Zahiri: Tidak batal puasa.
Menurut Dr Zulkifli, setelah menilai dan meneliti kedua-dua pendapat, bagi sesiapa yang berbuka puasa awal sedangkan matahari belum terbenam, puasanya dikira batal dan wajib diqadakan.
Keputusan ini diambil setelah mengambil kira nas beberapa perkara:
1. Umum nas al-Quran Surah al-Baqarah ayat 187.
2. Kaedah fiqh menyebut ‘Asal bagi sesuatu perkara ditentukan dengan waktu yang paling hampir’.
Berbuka puasa yang bukan pada waktunya menyebabkan batal puasa kerana waktu yang hampir dengannya ialah masih lagi belum masuk waktu berbuka yakni perlu terus berpuasa.
3. Kaedah fiqh ‘Tidak diiktibarkan dengan zhan atau sangkaan yang nyata salahnya’.
Dalam kes ini, selepas diberitahu waktu Maghrib belum masuk, dan ternyata benar, makan zhan atau ghalabat al-zhan yang berlaku sebelum ini iaitu masuk waktu berbuka telah nyata salah dan silapnya.
Maka yang berbuka sebelum waktu hendaklah mengqadakan puasa yang terbatal itu selepas Ramadhan.
4. Imam Malik juga menyatakan di dalam al-Muwatta’,
“Daripada Khalid bin Aslam bahawa Umar Ibn al-Khattab pernah berbuka ketika mendung di petang bulan Ramadhan kerana menyangka saat itu matahari sudah tenggelam. Lalu datanglah seseorang mengkhabarkan bahawa matahari masih ada. Umar pun berkata: ‘Masalah yang mudah. Kita pun hanya berijtihad”’.
Imam Malik menjelaskan pandangannya berkenaan kata-kata Umar iaitu ‘masalah yang mudah’ adalah bermaksud qada.

SESIAPA yang berbuka puasa awal sedangkan matahari belum terbenam, puasanya dikira batal dan wajib diqadakan. Oleh itu, jangan terburu-buru berbuka puasa.
Artikel itu menegaskan bahawa terdapat pelbagai kemudahan teknologi yang wujud seperti jam, takwim dan aplikasi dalam telefon pintar yang menyatakan waktu berbuka.
Oleh itu, masyarakat perlu lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru berbuka puasa sebelum disahkan dengan yakin.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani juga berkata dalam kitab Fath al-Bari:
“Dan para ulama sepakat bahawa waktu berbuka adalah apabila telah dipastikan matahari terbenam, baik dengan cara melihatnya mahupun dengan khabar daripada dua orang yang adil”
Oleh itu, bagi mereka yang menggunakan peranti atau media seperti radio untuk menentukan masa berbuka puasa, sebaik-baiknya tunggu sebentar untuk beberapa minit selepas azan disiarkan sebelum berbuka supaya isu sebegini tidak berlaku.
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Foto: Pexels & Pixabay