Ini kadar zakat fitrah setiap negeri pada tahun 2023
DI mana ada Ramadan, di situlah munculnya zakat fitrah. Ya, kedua-duanya sememangnya saling ‘bersahabat’.
Jika ditelusuri pensyariatannya, perintah untuk menunaikan zakat fitrah bermula pada tahun kedua Hijrah. Pada tahun yang sama itu jugalah diwajibkan puasa bulan Ramadan.
Memetik artikel disiarkan dalam laman web Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, tujuan ia disyariatkan adalah untuk mensucikan orang Islam yang berpuasa daripada kata-kata dan perbuatan tidak berguna.
Malah, zakat tersebut juga sebenarnya bertujuan untuk memberi makanan kepada golongan fakir miskin dan mencukupkan keperluan serta permintaan mereka pada Hari Raya Aidilfitri (1 Syawal).
Baca juga 7 Persoalan Tentang Zakat Fitrah Yang Wajib Kita Tahu
Ia merupakan kewajipan ke atas setiap individu Muslim mengikut syarat-syarat wajib ditetapkan iaitu:
1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya daripada keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari.
3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya.
4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadan.
Baca juga Segera bayar zakat fitrah, walau sudah masuk waktu haram. Ikuti penjelasan MAINS
Seorang amil, Faisal Rahim berkongsikan kadar zakat fitrah di Malaysia pada tahun ini di Twitter miliknya baru-baru ini sebagai panduan buat semua.
1. Selangor – RM7, RM14 dan RM21
2. Wilayah Persekutuan – RM7, RM14 dan RM21
3. Johor – RM7 dan RM13
4. Pulau Pinang – RM7, RM13 dan RM20
5. Negeri Sembilan – RM7, RM10 dan RM21
6. Perak – RM7, RM14 dan RM21
7. Pahang – RM7, RM14 dan RM21
8. Kedah – RM6.50, RM7, RM14 dan RM21
9. Melaka – RM7, RM14 dan RM21
10. Terengganu – RM8, RM10 dan RM24
11. Kelantan – RM7
12. Sabah – RM7
13. Sarawak – RM7
14. Perlis – RM7
Baca juga Terlupa bayar zakat fitrah, ini yang perlu kita tahu
Jika dilihat, memang ada perbezaan jumlah zakat fitrah pada setiap negeri berkenaan.
Ujar Faisal, majoriti negeri di Malaysia menggunakan kadar fitrah berbeza mengikut jenis beras yang kita makan.
“(Siapa yang) makan beras Basmati, bayar (zakat) paling maksimum. Hanya yang guna beras biasa saham bayar pada kadar minimum.
“Sebagai contoh di Selangor, zakat fitrah RM7 bagi mereka yang makan beras Super Spesial Tempatan 5%, RM14 (beras putih import, beras perang, beras pulut, beras herba ponni dan beras wangi) dan RM21 (beras merah, Jepun dan Basmati).
“Penentuan harga, ambil (mengikut) harga purata pelbagai jenama dan gred,” katanya sebagainya dipetik menerusi ciapan di Twitter miliknya.
Kepada mereka yang mahu membayarnya, boleh berbuat demikian di negeri masing-masing bekerja.
Paling lambat dilunaskan adalah sebelum solat Hari Raya Aidilfitri ditunaikan.