Browsing Tag

Berjalan kaki

Berjalan kaki
Istimewa Panggilan Baitullah,

Sampai ke Tanah Suci selepas setahun berjalan kaki 8,640 km

Sampai ke Tanah Suci selepas setahun berjalan kaki 8,640 km

SELEPAS setahun, perjalanan seorang lelaki India Muslim dari Kerala, India ke Tanah Suci akhirnya menemui titik noktahnya.

Lelaki bernama Shihab Chottur itu berjaya sampai ke Makkah selepas melalui pengembaraan berjalan kaki melangkaui 8,640 kilometer (km)! Ia sebagaimana yang dilaporkan oleh portal India Today.

Benarlah, usaha itu tangga kejayaan. Apatah lagi ia membuahkan kebugaran yang sukar diungkapkan.

Masakan tidak, beliau bukan sahaja dapat menjejakkan kaki di tanah haram, tetapi juga menjadi tetamu ALLAH untuk menunaikan ibadah haji. Itu sememangnya menjadi impian setiap umat Islam.

Menjejaki misinya itu, ternyata bukan mudah pengembaraan yang ditempuh. Chottur, 31, yang memulakan perjalanannya pada 2 Jun tahun lalu dari Kerala kemudian melintasi India, Pakistan, Iran, Iraq dan Kuwait sebelum tiba di Arab Saudi.

Baca juga Jalan kaki lebih 6,000 km ke Makkah untuk tunaikan haji

Beliau yang juga YouTuber terkenal di India itu tiba ke destinasi yang diidam-idamkan pada 7 Jun iaitu dalam tempoh 12 bulan 5 hari atau secara tepatnya 370 hari.

Berjalan kaki

SHIHAB CHOTTUR tiba di Arab Saudi selepas 370 hari berjalan kaki. -Foto: India Today

“Sesiapa sahaja yang mempunyai niat baik boleh mencapai objektifnya,” demikian responsnya ketika ditemu bual saluran TV Arab Saudi, Al-Ekhbariya.

Meskipun pendekatan yang dipilih Chottur amat tidak popular untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci, anak kelahiran Valancherry di daerah Malappuram, Kerala itu sebenarnya tidak asing lagi dengan cara sebegitu.

Beliau sebenarnya dibesarkan dengan cerita-cerita orang ke Makkah dengan hanya berjalan kaki pada zaman dahulu!

Di sebalik ekspedisi epiknya, rupanya banyak yang terpaksa direntas oleh Chottur.

Jejaka yang mengusahakan sebuah pasar raya di kampung halamannya itu pernah melalui detik-detik sukar apabila dihalang oleh pihak berkuasa Pakistan gara-gara dirinya tidak mempunyai visa.

Baca juga Jalan kaki lebih 6,000 km ke Makkah untuk tunaikan haji

Pada bulan September tahun lalu, beliau sebenarnya sudah tiba di sempadan Wagah, Punjab.

Berjalan kaki

SEPANJANG setahun perjalanan Shihab Chottur di Tanah Suci, ia bukan sesuatu yang mudah dan banyak terpaksa direntasnya demi menjayakan misi murninya itu. -Foto: About Islam

Bagaimanapun, akibat sekatan itu, Chottur terpaksa menunggu visanya diluluskan sehingga bulan Februari lalu sebelum akhirnya memasuki Pakistan dan meneruskan perjalanan ‘sucinya’.

Sepanjang tempoh berkenaan, anak muda itu terpaksa berteduh di Aafiyah Kids School di Punjab.

“Bukan itu sahaja, beliau turut berdepan kesukaran seperti berhadapan ‘haiwan pemangsa dan cuaca sejuk di Iran’,” lapor portal siasat.com.

Selepas memasuki Arab Saudi, Chottur dilaporkan ke Madinah tempat di mana Nabi Muhammad SAW dimakamkan. Beliau menghabiskan 21 hari di kota itu sebelum berangkat ke Makkah.

Menurut portal About Islam, beliau menempuh perjalanan 440 km antara Madinah dan Makkah dalam sembilan hari.

“Beliau akan menunaikan haji selepas ibunya, Zainaba tiba dari Kerala,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal aboutislam.com.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Berjalan kaki
Antarabangsa,

Kempen amal berjalan kaki di Bradford, kumpul dana untuk Pakistan

BERJALAN kaki sambil beramal dari Oldham ke Bradford, England. Demikian kempen mini yang digerakkan oleh seorang lelaki Muslim yang terkenal dengan jolokan ‘Running Man of Oldham’ sepanjang bulan September ini.

Kali ini, Afruz Miah bakal bekerjasama dengan sebuah badan amal, Global Relief Trust (GRT) bagi mengumpul dana untuk usaha bantuan banjir di Pakistan.

Ketika mengumumkan projek terbaharunya baru-baru ini, portal Asian Image melaporkan, lelaki berusia 49 tahun itu menyasarkan untuk mengumpul sebanyak 50,000 Pound British (RM261,400) menerusi perjalanan sejauh 30 batu (48.28 kilometer) yang mengambil masa 12 jam tanpa henti.

Kempen mini yang sudah pun bermula dan tamat pada 25 September ini bakal berakhir dengan pesta diadakan di The Eastern Pavilion.

Jelas Afruz, aktiviti berjalan kaki amal itu yang turut mendapat kerjasama daripada Ashton Hiking Club dijangka akan menarik lebih 3,000 orang untuk menyertai acara kemuncaknya.

“Ada beberapa orang akan menyertai kami dari Ashton, Hyde, Rochdale dan Manchester, malah sehingga ke Birmingham untuk berjalan kaki.

Berjalan kaki

AFRUZ Miah bersama sukarelawan GRT menggerakkan kempen mini untuk membantu rakyat Pakistan yang ditimpa musibah banjir.

“Sekurang-kurangnya seramai 20 hingga 30 orang akan mengambil bahagian. Semua orang dialu-alukan untuk menyertai aktiviti berjalan kaki ini dalam apa jua jarak yang mereka mampu. Sasaran untuk berjalan kaki adalah 10,000 Pound British (RM52,283),” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal berkenaan.

Baca juga Larian amal 150 km sambil berpuasa bantu pelarian Afghanistan

Seruan kemanusiaan

Mengulas lanjut, Afruz menjelaskan, projek amal itu bertujuan untuk membantu penduduk di Pakistan yang sedang diuji musibah banjir.

“Dana yang dikumpul itu boleh digunakan untuk menyediakan makanan dan tempat tinggal sementara seperti khemah.

“Kami menyasarkan untuk menarik orang ramai dari pelbagai bandar dan organisasi untuk menyertai kami dengan melibatkan 4,000 hingga ke 5,000 penderma atau lebih sepanjang kempen ini,” katanya.

Kepada wartawan Asian Image, lelaki berhati waja itu berkata: “Kempen ini bukan tentang diri saya mahupun larian saya. Saya memikirkan pendekatan terbaik yang membolehkan orang lain untuk turut serta.

“Dalam komuniti kami, orang mungkin tidak biasa untuk berlari atau melakukan pendakian gunung. Justeru, aktiviti berjalan kaki difikirkan adalah perkara semula jadi yang berpotensi melibatkan semua orang.

“Seperkara lagi, orang ramai sebenarnya mempunyai dua pilihan sama ada untuk mengambil bahagian secara fizikal dengan berjalan kaki atau bermurah hati dengan menderma.”

Justeru, beliau menyeru dan mengajak sesiapa sahaja untuk menyertai kempen usaha bantuan banjir itu.

Baca juga Lebih 1,000 maut akibat banjir, Pakistan rayu bantuan antarabangsa

“Sama ada mereka orang Bangladesh, Pakistan, waima orang Islam atau bukan Muslim, ketahuilah, ini adalah satu usaha kemanusiaan. Tiada nasionalisme yang terlibat,” ungkapnya sebagaimana dipetik menerusi portal About Islam.

Berjalan kaki

AYUH bersama-sama GRT atau mana-mana pihak yang menyalurkan bantuan kepada Pakistan untuk menghulurkan sumbangan masing-masing bagi mengurangkan beban golongan yang terkesan dengan bencana alam tersebut.

Sejurus kempen berkenaan tamat, Afruz akan ‘terbang’ dengan kos sendiri bersama sukarelawan lain bagi membantu mengagihkan bantuan pada minggu pertama Oktober.

“Tumpuan akan diberikan kepada kawasan yang paling teruk terjejas dan GRT sudah mula bekerja di Pakistan. Malah, beberapa orang sukarelawan GRT kini sudah pun berada di negara berkenaan,” katanya dipetik daripada portal asianimage.co.uk.

Banjir besar melanda di utara dan selatan Pakistan sejak pertengahan Jun lalu akibat hujan monsun lebat luar biasa sehingga menjejaskan sekurang-kurangnya 33 juta orang.

Malah, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterre kehilangan kata-kata apabila menyaksikan sendiri bencana terburuk ketika melawat Pakistan pada Jumaat lalu.

Baca juga Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir

“Saya telah menyaksikan banyak bencana kemanusiaan di seluruh dunia, namun saya tidak pernah melihat korban iklim pada skala sebegini besar.

“Saya kehilangan kata-kata untuk menggambarkan apa yang saya saksikan pada hari ini (ketika lawatan di Pakistan),” katanya sepertimana dipetik menerusi AFP.

Berjalan kaki

BANJIR di Pakistan sejak pertengahan Jun lalu mengorbankan hampir 1,400 orang termasuk kanak-kanak.

Bencana di Pakistan itu menyebabkan hampir 1,400 mangsa maut termasuk kanak-kanak, selain memusnahkan kira-kira dua juta kediaman dan premis perniagaan serta memusnahkan 7,000 kilometer jalan raya dan 500 jambatan.

Foto: Facebook Global Relief Trust, Reuters & Asian Image