PAKISTAN merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk tampil membantu negara itu yang ditimpa bencana banjir.
Rayuan dibuat Panglima Tentera, Jeneral Qamar Javed Bajwa selepas beliau melawat kawasan yang dilanda banjir di wilayah selatan Sindh, seperti yang dilaporkan Sinar Harian.
“Negara-negara mesra dengan Pakistan juga akan tampil untuk membantu dalam masa yang memerlukan ini.
“Saya juga merayu bagi pihak kerajaan Pakistan, bagi pihak rakyat Pakistan, kepada ekspatriat kami dan rakan-rakan kami di luar negara, untuk tampil membantu mereka ini.
“Mereka yang berada dalam keadaan yang sangat-sangat sukar. Saya yakin ekspatriat kami seperti biasa tidak akan mengecewakan saudara-saudara mereka di Pakistan,” katanya.
Baca juga Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir
Sebelum ini , Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif termasuk Menteri Perubahan Iklim Sherry Rehman turut membuat rayuan yang sama bagi menghadapi malapetaka itu.
Menurut Sherry, negara berkenaan telah menyaksikan kitaran hujan lebat sebanyak lapan kali sewaktu musim tengkujuh kali ini berbanding tiga hingga empat kali pada kebiasaannya.
Antara barangan diperlukan bagi penduduk yang terjejas dengan banjir termasuk khemah, kelambu dan kain terpal.
Baca juga Musibah banjir tanda peringatan buat manusia
Sementara itu, banjir yang berlaku sejak pertengahan Jun lalu telah menjejas lebih 33 juta orang dan meragut lebih 1,000 nyawa di Pakistan.
Agensi kerajaan tempatan turut melaporkan hampir sejuta rumah rosak dan lebih daripada 2 juta ekar tanaman musnah dan 149 jambatan dibawa arus.
Kerajaan juga telah mengerahkan tentera untuk membantu pihak berkuasa awam dalam operasi menyelamat dan memberikan bantuan di seluruh negara.
Sehubungan itu, tentera dan pekerja penyelamat dalam proses memindahkan penduduk yang terkandas ke kem bantuan dan menyediakan makanan kepada beribu-ribu rakyat Pakistan yang dipindahkan.
Foto: Xinhua & AFP