SEGALA usaha seorang lelaki tempatan yang nekad berjalan kaki secara solo dari Bidor, Perak untuk ke Mekah telah membuahkan hasil apabila baru-baru ini dia telah sampai ke Tanah Suci.
Konsisten merakam perjalanannya di TikTok, lelaki yang dikenali di sebagai Herry Nizam telah mengejutkan ramai apabila dia telah sampai ke bumi Mekah tidak sampai sebulan selepas menerima bantuan seseorang.
Herry berkongsi cerita kepada pengikutnya, mendedahkan bahawa dia telah menerima sumbangan tiket penerbangan secara percuma dari Bangkok Ke Mekah oleh seorang individu yang berniat mahu memudahkan perjalanannya ke sana.
Baca Juga Pengembaraan epik ikut laluan hijrah Nabi, lelaki ini berjalan 500km dari Mekah Ke Madinah
Pada awalnya, Herry menolak tawaran tersebut tetapi dinasihati rakan untuk menerimanya kerana tidak mahu menghampakan perasaan individu yang membantunya.
Walaupun ada yang mengecam tindakan Herry, ia tidak mematahkan semangatnya dan kini berkongsi bahawa dia telah pun melaksanakan ibadah umrah.
Menerusi perkongsian videonya, dapat dilihat Herry bertahallul dengan menggunting rambutnya selepas selesai melaksanakan rukun umrah di Masjidil Haram.
Dia turut meluahkan rasa terharu kerana tidak menyangka impiannya untuk ke Mekah telah pun termakbul.
“Sepanjang perjalanan saya menitis air mata. Terima kasih sahabat saya kerana mendoakan saya sampai ke tahap ini. Jadi, apa-apa kita nak buat kita kena yakin ALLAH itu Maha Mengetahui segala-galanya,” kata Herry.
Baca Juga Pengembaraan pemuda Muslim Perancis berjalan kaki ke Masjid al-Aqsa Baitulmaqdis
Walaupun tangan kirinya kudung, namun itu bukanlah alasan untuk dia memulakan misi berjalan kaki secara solo dari Malaysia ke Mekah.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut sebak mendengar kata-kata Herry dan memuji keazamannya. Pada masa yang sama, turut mendoakan agar urusannya dipermudahkan.
Benarlah, jika ALLAH berkehendak menetapkan sesuatu, maka ALLAH hanya cukup berkata, “Jadilah, lalu jadilah ia”.
Sejak memulakan perjalanan pada 23 April yang lalu, Herry akan sentiasa melakukan kemaskini mengenai status perjalanannya dan kedudukannya secara berkala hampir setiap hari di platform sosial media tersebut.
Dalam pada itu, terdapat juga beberapa pengguna TiktTok berkongsikan video mereka terserempak dengan lelaki terbabit yang ketika itu masih sedang berada di dalam negara.
Baca Juga Sultan Al Neyadi, angkasawan Arab Muslim pertama ‘berjalan’ di ruang angkasa selama 6 bulan
Sebelum ini, misi sama juga pernah dijalankan seorang lelaki dari United Kingdom, iaitu Adam Muhammad yang menempuh perjalanan sejauh kira-kira 6,500 km dengan berjalan kaki dari rumahnya di Wolverhamppton, England ke Mekah.
Dilaporkan, Adam yang memulakan perjalanannya pada Ogos 2021 mengambil masa selama 11 bulan untuk tiba di Tanah Suci itu.