Browsing Tag

Arab Saudi

Jemaah Haji
Berita Semasa, Dalam Negara,

Bakal jemaah haji positif Covid-19 perlu lalui prosedur

BAKAL jemaah haji perlu menjalani prosedur saringan sebelum menjalani ibadah haji bagi memastikan mereka bebas daripada Covid-19.

Seramai 14,306 jemaah Malaysia akan menunaikan ibadat haji di Arab Saudi pada tahun ini dan mereka dijadualkan tiba di Madinah serta Makkah secara berperingkat.

Terbaharu, penerbangan kumpulan ketujuh (KT07B) melibatkan 297 jemaah haji tempatan telah selamat tiba di Madinah semalam.

Ketika ini dianggarkan 1,172 jemaah haji sudah berada di Tanah Suci sejak penerbangan kumpulan pertama pada Sabtu lalu.

jemaah haji positif

IDRIS AHMAD

Sepanjang proses dijalankan, Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad mengingatkan agar bakal jemaah haji sentiasa mematuhi kawalan kendiri dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, terutamanya ketika mengadakan kenduri doa selamat.

Seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian, beliau berkata demikian susulan tiga jemaah haji dalam kumpulan pertama yang didapati positif penyakit C ovid-19.

“Saya harap bakal jemaah haji lebih berjaga-jaga sewaktu penganjuran kenduri sebelum bertolak. Hendak buat kenduri tidak salah.

Tetapi perlu sentiasa jaga SOP, kita bimbang jadual penerbangan bakal jemaah akan terjejas. Ini kerana saya dimaklumkan terdapat bakal jemaah haji yang positif, disyaki dijangkiti sewaktu kenduri,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Memanah Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama (MESMA) Peringkat Kebangsaan pada Ahad lalu.

Baca juga 6 ciri dalam aplikasi Muslim Pro ini bakal bantu jemaah haji

Tambah Idris, bakal jemaah haji tidak perlu bimbang jika mereka didapati positif Covid-19 kerana masih berpeluang untuk mengerjakan haji pada musim ini memandangkan jadual penerbangan terakhir pada Julai.

“Jika mereka positif, mereka ada masa lagi (untuk mengerjakan haji) kerana penerbangan akhir kita (mungkin) pada 2 atau 3 Julai nanti. Sekiranya sudah sihat Insya-ALLAH mereka boleh terbang (ikut kumpulan lain).

“Tidak akan ada (penerbangan tambahan) kecuali satu kapal terbang positif (Covid-19), boleh buat (penerbangan tambahan). Jika seorang atau dua itu mungkin tidak ada masalah, TH (Lembaga Tabung Haji) boleh uruskan,” jelasnya.

Jemaah haji Covid positif

IBADAH haji tahun ini hanya boleh dilaksanakan oleh 1 juta jemaah seperti yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman pula berkata, bakal jemaah haji yang positif hendaklah segera memaklumkan kepada pihak TH.

Prosedur terbaru Kerajaan Arab Saudi menetapkan bahawa jemaah yang mempunyai ujian PCR negatif sahaja yang dibenarkan untuk menunaikan fardu haji.

Baca juga Kos ibadah haji tahun ini dijangka meningkat

“Ini supaya kita boleh menasihati mereka dan membuat perancangan yang seterusnya supaya dapat membantu mereka juga untuk menunaikan fardu haji pada tahun ini,” ujarnya ketika ditemui media di Pusat Konvensyen Movenpick pada Sabtu lepas.

Selain itu, dalam situasi jemaah berpasangan di mana salah seorang dijangkiti Covid-19, pilihan diberikan sama ada mahu meneruskan secara solo atau menunggu giliran seterusnya untuk pergi bersama.

Sumber: Sinar Harian & Harian Metro

Foto: BERNAMA & Pexels

Steril Masjidil Haram
Antarabangsa, Berita Semasa,

Lebih 4,000 kakitangan steril di dalam Masjidil Haram setiap hari demi keselamatan para jemaah

SUSULAN keputusan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi baru-baru ini, para jemaah yang menunaikan solat di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah tidak lagi mengamalkan penjarakan sosial bermula hari Ahad lalu.

Meksipun arahan berkaitan penjarakan itu sudah pun ditamatkan, tetapi memakai pelitup muka di kawasan tertutup di kedua-dua Masjid Suci berkenaan tetap diwajibkan.

Menurut portal Arab News, kelonggaran itu turut membabitkan permit bagi ziarah dan solat di kedua-dua masjid agung berkenaan.

“Bagaimanapun, bagi permit umrah dan ziarah Raudhah pula, tiada perubahan dilakukan. Ia masih diwajibkan sebagaimana syarat yang tertera dalam aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna.

“Ia juga diperlukan untuk mengurangkan orang ramai dan memastikan perjalanan yang lancar,” katanya sebagaimana dipetik daripada portal berita berpengaruh di Arab Saudi itu.

Steril Masjidil Haram

BERMULA Ahad lalu, tiada penjarakan fizikal dan sosial ketika menunaikan solat di dua buah Masjid Suci.

Baca juga Tiada Lagi Sentuhan Manusia, Robot Pintar Ambil Alih Tugas Edarkan Air Zamzam di Masjidil Haram

Di sebalik berita baik tersebut, ramai yang mungkin kurang sedar bahawa banyak usaha yang dilakukan pihak berkuasa negara berkenaan untuk memastikan kesihatan para jemaah  dan pengunjung diutamakan ketika melakukan ibadah di Tanah Suci.

Portal Saudi Gazette menjelaskan, Presidensi Hal Ehwal Dua Masjid Suci telah mengambil inisiatif membersihkan penghawa dingin di dalam Masjidil Haram sebanyak sembilan kali sehari.

Bukan itu sahaja, menurut laporan portal berkenaan, udara di dalam masjid tersebut juga disteril dengan sinaran ultraungu sebelum ia disebarkan semula melalui alat penyaman udara khas yang membersihkan udara 100 peratus melalui beberapa peringkat.

“Peringkat tersebut termasuklah dengan mengeluarkan udara semula jadi dari bumbung Masjidil Haram melalui kipas sedutan. Alat itu berfungsi untuk mengepam udara ke arah penapis yang dibersihkan pada setiap hari sebelum udara tiba di unit penyejuk.

“Ia merupakan fasa penyejukan awal melalui pertukaran terma yang menggunakan air untuk penyejukan melalui pam air yang sampai ke Masjidil Haram dari kawasan al-Shamiyyah dan Ajyad.

Steril Masjidil Haram

KERJA-KERJA pembersihan dilakukan sebanyak 10 kali sehari di Masjidil Haram, selain udara di dalam kawasan itu turut disteril.

“Udara tersebut kemudian disucikan sebelum mengakses operasi penyejukan melalui tiga penapis lain,” katanya.

Suatu perkara yang menarik perhatian Sinar Islam Plus adalah jumlah kakitangan yang terlibat demi memastikan Masjid Suci berkenaan benar-benar bersih.

Meurut saudigazette.com.sa, terdapat lebih 4,000 kakitangan melakukan sterilisasi di dalam Masjidil Haram. Ia termasuklah di kawasan bumbung, halamannya dan kemudahan yang ada di dalamnya.

“Malah, mereka juga merupakan individu yang bertanggungjawab menyediakan masjid untuk para pengunjung dan jemaah melalui pembersihan 10 kali sehari dengan menggunakan jentera terkini yang disediakan oleh pihak berkuasa.

“Semuanya itu bagi memastikan kesihatan dan keselamatan para jemaah semasa menunaikan solat serta ibadah terpelihara,” katanya.

Foto: @ReasahAlharmain

Wanita pandu kereta api
Jendela Dunia,

Kaum Hawa Bakal Kendalikan Kereta Api Arab Saudi Tidak Lama Lagi

BUAT kali pertamanya di Arab Saudi, kereta api yang selama ini dikendalikan oleh kaum Adam kini bakal dipandu oleh golongan wanita.

Ya, itulah yang bakal direalisasikan tidak lama lagi apabila Politeknik Kereta Api Saudi atau The Saudi Railway Polytechnic (SRP) membuka peluang berkenaan dan dalam proses ke arah itu.

Ketika ini, SRP sudah membuka pendaftaran untuk kaum Hawa menyertai program latihan memandu Kereta Api Berkelajuan Tinggi Haramain yang menghubungkan Kota Suci Makkah dan Madinah.

Pendaftaran bakal ditutup pada 13 Januari ini.

Untuk rekod, kereta api Haramain membawa kira-kira 60 juta penumpang saban tahun. Permintaannya dijangka akan meningkat pada tahun akan datang terutamanya pada musim haji dan umrah.

Memetik laporan portal berpengaruh di Arab Saudi, Arab News, projek yang diperkenalkan pada 2 Januari lalu itu bakal menyaksikan calon berkelayakan diberikan latihan dan bimbingan secara teori serta praktikal di Jedaah bermula 15 Januari ini selama setahun.

Wanita pandu kereta api

SEORANG wanita muda Arab Saudi menjalani latihan dalam program Haramain Express Train Leaders. – Sumber: Video @SRP_KSA

Menariknya, para pelatih akan menikmati beberapa faedah istimewa termasuk insurans perubatan, pendaftaran dalam organisasi am untuk insurans sosial dan bonus bulanan berjumlah SR4,000 (RM4,455) sepanjang tempoh latihan.

Malah, program berkenaan turut menawarkan graduannya dengan jawatan yang terjamin dengan Renfe KSA, salah sebuah syarikat yang mengendalikan projek kereta api berkelajuan tinggi.

Graduan wanita yang lulus bakal bekerja dengan Kereta Api Arab Saudi dengan pendapatan bulanan sehingga SR8,000 (RM8,910).

Pengarah Kejuruteraan SRP, Abdulaziz Alsogair menjelaskan, pelatih terpilih berdasarkan beberapa kelayakan yang ditetapkan termasuk ujian bahasa Inggeris iaitu Sistem Pengujian Bahasa Inggeris Antarabangsa (IELTS).

Baca juga Arab Saudi Denda Hingga Setengah Juta Riyal Kepada Pengembara Langgar Peraturan Covid-19

“Ini kerana sistem operasi pengangkutan di seluruh dunia bergantung kepada pengetahuan bahasa yang baik. Oleh itu, mereka yang bakal menyertai program ini memerlukan markah sekurang-kurangnya 3.5 dalam IELTS.

“Pemohon yang mempunyai tahap bahasa yang lebih baik akan diberikan keutamaan untuk menyertai skim latihan ini,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal Arab News.

Wanita pandu kereta api

KERETA API Berkelajuan Tinggi Haramain membawa kira-kira 60 juta penumpang pada setiap tahun.

Sepanjang tempoh bimbingan, beliau menambah, para pelatih akan diajar menggunakan simulator kereta api sebagai daripada kursus praktikal mereka.

“Bukan itu sahaja, mereka juga berpeluang memandu kereta api yang sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Abdulaziz menjangkakan pihaknya bakal melatih 50 wanita dalam tempoh kohort pertama ini dan jumlah itu dijangka akan meningkat pada tahun-tahun akan datang.

Baca juga Arab Saudi Beri Kebenaran Pegawai Tentera Wanita Jaga Dua Kota Suci Buat Kali Pertama

Seiring dengan penambahan pemandu itu, katanya, SRP juga menyasarkan untuk membawa 1.5 bilion penumpang Islam dengan kapasiti operasi penuh pada masa akan datang.

“Dengan permintaan yang tinggi untuk pemandu kereta api baik lelaki mahupun wanita, maka lebih banyak peluang pekerjaan bakal diisi oleh anak watan kita,” katanya.

Foto: Arab News & Reuters

Asharq Al-awsat
Jendela Dunia,

Arab Saudi Tangguh Sesi Pembelajaran Sekolah Rendah

no comment

HANYA dua minggu saja lagi jika mengikut perancangan awal, sesi pembelajaraan pelajar sekolah rendah di seluruh Arab Saudi akan bermula.

Namun, Kementerian Pendidikan negara itu telah mengumumkan bahawa mereka akan meneruskan sesi pembelajaran dari jarak jauh sehingga diberitahu lebih lanjut, menurut laporan Saudi Press Agency, semalam.

Cadangan pembukaan sekolah yang sepatutnya bermula 31 Oktober untuk pengajaran secara langsung telah ditunda atas alasan keselamatan.

Kata kementerian itu, pihak mereka memerlukan data epidemiologi lebih lengkap mengenai situasi Covid-19 daripada kerajaan bagi menilai risiko sebelum keputusan dapat dibuat mengenai pembukaan sekolah secara langsung bagi kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.

“Kementerian akan meneruskan usaha untuk menawarkan pembelajaran secara maya kepada golongan usia melalui ‘Madrasati’ (platform dalam talian) untuk peringkat sekolah rendah dan ‘Rawdaty’ untuk peringkat prasekolah,” katanya.

Kerajaan menawarkan pembelajaran secara maya kepada golongan kanak-kanak melalui ‘Madrasati’. Gambar: Zawya

Kementerian Kesihatan dan Pendidikan telah bekerjasama bagi memastikan keputusan untuk membuka sesi persekolahan bagi sekolah rendah dan menengah di buat dengan betul-betul bersedia tanpa sebarang risiko.

Pada Ogos lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa, mengikut peraturan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, pelajar yang divaksinasi sepenuhnya pada usia 12 tahun ke atas akan kembali ke sekolah.

Mereka yang tidak diberi vaksin sepenuhnya akan terus belajar dari jarak jauh, dengan tugasan kelas akan dimuat ke platform Madrasati yang diperkenalkan oleh kementerian.

Pada 12 Oktober, Kementerian Pendidikan mengeluarkan arahan yang mendesak pihak berkuasa pendidikan di seluruh negara untuk memastikan semua pelajar diberi vaksin sepenuhnya dan tiada yang terkecuali untuk belajar dari rumah. Pelajar diberi masa dua minggu dari awal semester untuk menyelesaikan proses vaksinasi.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Arab Saudi, semalam melaporkan sebanyak 49 kes baharu Covid-19 dicatatkan dan dua kematian akibat wabak itu.

Angka itu menjadikan jumlah setakat ini dicatatkan sebanyak 548,018 kes dan jumlah kematian keseluruhan iaitu 8,767 orang.

Pegawai kesihatan mengatakan pada masa ini terdapat 2,214 kes aktif, di mana 90 orang pesakit berada dalam keadaan serius dan kritikal.

Di antara kes yang baharu dilaporkan, iaitu Riyadh (16 kes), Jeddah (9), Jubail (3), dan Al-Darb serta Makkah masing-masing dua kes.

Kementerian juga mengumumkan bahawa 38 pesakit telah pulih dengan jumlah keseluruhan setakat semalam iaitu sebanyak 537,037 kes.

Sebanyak 45,275 ujian tindak balas rantai polimerase telah dilakukan dalam 24 jam terakhir, yang bermaksud bahawa hingga kini lebih dari 29.8 juta pemeriksaan PCR telah dilakukan di negara itu.

Sementara itu, sebanyak 44.8 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan sejak kempen imunisasi Kerajaan dimulai dan lebih 20.8 juta orang kini telah lengkap divaksinasi sepenuhnya.

 

Sumber: Arab News

2847201-688008300
Jendela Dunia,

Kes Kematian Penggembara di Gurun Nafud Diatasi Dengan Sinar Laser

no comment

PELANCONG yang berhadapan dengan situasi sukar ketika menggembara di padang pasir khususnya gurun yang gersang, cubaan untuk mencari tanah dan sumber air boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk bagi mereka.

Situasi itu kini tidak lagi sesukar dahulu apabila inisiatif kerajaan Arab Saudi membina suar dan tempat selamat bagi penggembara yang sesat di gurun pasir.

Gurun Nafud yang luas di utara negara itu sebenarnya terkenal dengan sumber airnya yang tidak kering. Orang luar sama ada yang berpengalaman atau tidak boleh kehilangan jalan di kawasan gurun yang gersang dan besar. Walaupun dengan kemahiran bertahan hidup yang kuat, ia masih boleh menjadi tempat yang sejuk dan berbahaya.

Kerja-kerja pemasangan suar laser sedang dilakukan.

Aktivitis dan Penjelajah Alam Sekitar, Mohammad Fohaid Al-Sohaiman Al-Rammali, mendapat idea untuk meletakkan suar cahaya laser berdekatan sumber air setelah melalui beberapa pengalaman misi menyelamat penggembara yang sesat di daerah Utara Hail.

“Ramai orang kehilangan nyawa di padang pasir kerana mereka tidak tahu bahawa sumber air ada berdekatan,” katanya.

Tambah Mohammad Fohaid, idea itu muncul apabila merasai sendiri pengalaman terkandas.
Oleh itu, dengan bantuan syarikat di bawah pengawasan Kementerian Alam Sekitar, Pertanian dan Air, Arab Saudi telah berjaya membina suar laser pertama daripada 11 suar yang dirancang dengan menggunakan tenaga solar pada minggu lalu dan suar selebihnya akan dinyalakan dalam masa terdekat ini.

“Suar laser yang berfungsi pada waktu malam boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang tersesat di padang pasir, mereka akan dapat melihat cahaya pada waktu malam dan mengetahui di mana hendak mencari air,” katanya yang turut mendapat perhatian ahli perniagaan terkemuka untuk melabur dana bagi membina 100 suar antara Hail dan Jouf pada masa akan datang.

Arab Saudi memilik landskap alam semula jadi luas terdiri daripada pelbagai habitat seperti gunung dan lembah yang kebanyakan terletak di padang pasir berpasir.
Negara itu juga mempunyai tiga gurun yang terkenal iaitu, The Empty Quarter antara terbesar di semenanjung iaitu seluas sebahagian besar wilayah tenggara dan selatan dan dianggarkan meliputi 650,000 km persegi.

Al-Nafud, yang dikenali sebagai Nafud Besar, meliputi sekitar 64,000 km persegi di wilayah utara Kerajaan.

Pihak mencari dan menyelamat telah melakukan misi yang tak terhitung jumlahnya di padang pasir Arab Saudi selama bertahun-tahun. Mereka yang bernasib baik berjaya diselamatkan dalam masa 24 jam setelah tersesat, manakala yang lain telah kehilangan nyawa kerana percubaan gagal mencari air.

Perancangan memasang 100 suar laser  lagi akan dilakukan tidak lama lagi.

Kisah Al-Ajaleen adalah satu daripada beratus kes kematian.

Julai lalu, Dhuwaihi Hamoud Al-Ajaleen hilang di Wadi Al-Dawasir, selatan ibu kota Riyadh. Setelah tiga hari mencari, dia ditemui mati dalam keadaan sujud beberapa meter dari traknya.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Enjad, pasukan sukarelawan mencari dan menyelamat, sehingga tahun lalu terdapat lebih 13,000 kenderaan yang dilaporkan terdampar di padang pasir. Sebanyak 7,395 daripadanya di wilayah Riyadh, 2,098 di Qassim, 1,335 di Provinsi Timur, 637 di Hail dan 20 di Jouf.

Jumlah orang yang hilang dan terdampar di padang pasir seramai 142 orang. Sebanyak 28 orang kehilangan nyawa, 14 orang masih belum dijumpai sementara 100 yang lain kini berada dalam keadaan baik.

Timbalan Menteri Air di Kementerian Lingkungan, Air, dan Pertanian, Dr Abdulaziz Alshaibani , berkata, sumber air telah ditandai sedemikian rupa untuk mencapai tujuan mewujudkan dan mengkoordinasikan pembahagian sumber.

Dia menambah bahawa kementerian berusaha untuk memastikan bahawa suar dibina di kawasan terpencil yang sangat memerlukannya. Kementerian komited untuk memastikan bahawa mereka beroperasi dengan betul dan dijaga.

Sumber: Arab News

2790541-736943619
Jendela Dunia,

Kumpulan Pertama Tentera Wanita Saudi Lulus

no comment

KUMPULAN pertama tentera wanita Arab Saudi lulus menjalani latihan di Pusat Latihan Kader Wanita Angkatan Bersenjata, semalam. Kumpulan itu telah tamat latihan asas selama 14 minggu yang bermula pada 30 Mei lalu.

Kumpulan pertama tentera wanita lulus untuk berkhidmat. Gambar: Commonwealth Union.

Ketua Kuasa Pendidikan dan Latihan Angkatan Bersenjata, Jeneral Adel Al-Balawi, ketika menyampaikan amanat mengatakan, pusat itu memiliki misi penting untuk fokus kepada penyediaan program dan latihan kurikulum yang sangat baik dan persekitaran pembelajaran yang ideal.

“Ini dilakukan sejajar dengan standard kualiti antarabangsa yang memenuhi keperluan (rekrut wanita). Ini bertujuan untuk meningkatkan prestasi keseluruhan yang akan membantu mencapai objektif kementerian pada masa depan,”katanya.

Majlis graduasi itu disempurnakan Ketua Staf Jeneral Fayyad bin Hamed Al-Ruwaili.

Selepas mendapat ucapan tahniah daripada Pemangku Ketua Pusat latihan Wanita, Ketua Sarjan Suleiman Al-Maliki, Penolong Komandannya, Ketua Sarjan Hadi Al-Anezi, mengetuai istiadat angkat sumpah bersama graduan tentera.

Majlis graduasi itu disempurnakan Ketua Staf Jeneral Fayyad bin Hamed Al-Ruwaili. Hadir sama, Pengarah Kakitangan Bersama Angkatan Bersenjata, Mejar Jeneral Hamid Al-Omari dan Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan.

Arab Saudi membuka pengambilan tentera wanita sejak Februari tahun ini.

Kumpulan wanita itu kini boleh bersama dengan angkatan bersenjata Arab Saudi, berikutan keputusan Kementerian Pertahanan Arab Saudi yang membuka jalan bagi golongan wanita mendaftar melalui portal kementerian itu awal tahun lalu.

Tentera wanita dijanjikan pangkat ketenteraan daripada askar hingga sarjan bagi mengisi unit Pertahanan Udara Diraja Saudi, Tentera Laut Diraja Arab Saudi, Pasukan Peluru berpandu Strategik Arab Saudi dan Perkhidmatan Perubatan Angkatan Bersenjata.

Semua pemohon mesti lulus prosedur kemasukan mengikut syarat yang ditentukan, mempunyai rekod yang bersih dan sesuai untuk perkhidmatan. Tetapi beberapa kriteria lain telah ditambah untuk pemohon wanita.

Majlis graduasi dilakukan mengikut protokal ketenteraan.

Pemohonan wanita Saudi mestilah berumur antara 21 hingga 40 tahun dengan ketinggian 155 sentimeter (cm) atau lebih tinggi dan tidak boleh menjadi pegawai kerajaan.

Permohonan wanita juga mesti mempunyai kad pengenalan kebangsaan yang bebas dan sekurang-kurangnya mempunyai pendidikan sekolah menengah. Pemohon yang berkahwin dengan warganegara bukan Saudi tidak akan diterima.

Pakar Sistem Operasi, Halah Al-Ynabawi, mengatakan negara-negara Arab yang membenarkan wanita dalam ketenteraan menjadi topik kontroversi sejak 30 tahun yang lalu.

“Tetapi hari ini, dengan visi Raja Salman, dia telah memainkan peranan besar dengan memasukan wanita dalam semua sektor kerajaan termasuklah ketenteraan,” katanya kepada Arab News.

Pakar Teknologi Maklumat, Rahma Al-Khayri turut berkongsi pandangan bahawa sangat penting bagi wanita untuk berada dalam tentera, di mana mereka dapat berperanan aktif dalam masyarakat konservatif hari ini.

“Sepanjang sejarah, kami belum pernah mendengar tentang seorang wanita yang datang ke lapangan dan berjuang. Kami selalu mendengar tentang wanita yang merawat orang atau mungkin memantau bekalan di pentadbiran dan unit kawalan. Manakala lelaki adalah orang yang tempatnya berjuang di lapangan,” katanya.

Sumber: Arab News.

2778471-690217138
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Arab Saudi Tamatkan Larangan Masuk Ekspatriat Dari 20 Negara

no comment

SEMALAM Arab Saudi telah menamatkan larangan masuk kepada ekspatriat dari 20 negara yang pernah dibuat sejak Februari lalu untuk mengekang penyebaran Covid-19.

Agensi Kementerian Luar Negeri untuk urusan konsular mengatakan keputusan itu hanya bagi ekspatriat yang sudah diberikan vaksin sepenuhnya di Arab Saudi sebelum mereka berangkat ke negara asal.

Larangan tersebut dikecualikan kepada warga Saudi, diplomat asing, pengamal kesihatan dan keluarga mereka yang ingin keluar dan masuk ke Arab Saudi.

Pelancong asing yang lengkap dos vaksin juga diberi kebenaran memasuki Arab Saudi. Gambar: Gulf News

Pengumuman itu dibuat ketika Arab Saudi mencatatkan tujuh kematian berkaitan COVID-19 baharu semalam dengan peningkatan jumlah kematian sebanyak 8,497 orang.

Ekspatriat yang ingin kembali ke Arab Saudi harus menjalani semua prosedur kesihatan untuk memastikan mereka bebas daripada jangkitan, kata Agensi itu.

Larangan masuk sebelum ini dikenakan kerana lonjakan global dalam kes yang berkaitan dengan varian yang dikesan di England, Afrika Selatan dan Brazil. Ia berikutan kebimbangan disebabkan pemberian vaksin yang diedarkan ke seluruh dunia mungkin kurang berkesan terhadapnya.

Antara negara yang ditamatkan larangan itu seperti UAE, Mesir, Lubnan, Turki, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Perancis, Itali, Ireland, Portugal, Switzerland, Sweden, Brazil, Argentina, Afrika Selatan, India, Indonesia, Pakistan dan Jepun.

Penamatan larangan itu juga berlaku untuk pelancong yang telah melalui 20 negara dalam 14 hari sebelum kunjungan ke negara itu.

Para pegawai kesihatan Arab Saudi juga memperingatkan bahawa langkah-langkah yang lebih ketat akan dilaksanakan untuk mengekang penyebaran virus tersebut jika masyarakat terus melanggar peraturan mengenai jarak sosial dan larangan mengadakan perjumpaan besar.

Penerbangan masuk dan keluar negara itu dilaksanakan kali pertama sejak 14 Mac 2020, dua minggu setelah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa coronavirus adalah wabak yang merbahaya.

Kementerian Kesihatan mengesahkan 353 kes baharu yang dilaporkan kepada kerajaan dalam tempoh 24 jam sebelumnya menjadikan kes keseluruhan sebanyak 542,707 orang kini dijangkiti wabak itu.

Daripada jumlah kes tersebut, 4,377 masih aktif dan 1,108 dalam keadaan kritikal.

Menurut kementerian, jumlah kes tertinggi dicatat di ibu kota Riyadh dengan 72 kes, diikuti Makkah dengan 66, Provinsi Timur dengan 41, Jazan 34 dan Asir 30 kes.

Kementerian kesihatan juga mengumumkan bahawa 456 pesakit telah pulih daripada Covid-19, menjadikan jumlah pemulihan negara itu sebanyak 529,833 kes.

Lebih daripada 34.46 juta dos vaksin coronavirus telah diberikan Arab Saudi hingga kini melalui 587 pusat pemberian vaksin.

Kementerian menyeru kepada masyarakat untuk mendaftar dengan aplikasi Sehhaty untuk menerima vaksin dan mematuhi langkah-langkah dan mematuhi arahan.

Sementara itu, sekitar 40 orang ditangkap di Hail kerana melanggar tindakan pencegahan yang menetapkan tidak lebih daripada 20 orang dapat berkumpul pada satu masa. Tindakan undang-undang telah diambil terhadap mereka.

Wabak itu telah menjangkiti lebih 213 juta orang di seluruh dunia dan jumlah kematian mencapai sekitar 4.45 juta orang.

Sumber: Arab News

2775031-1929506542
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Al-Bazan Stesen Minuman dan Wuduk Moden Dilancar di Jeddah

no comment

EMPAT stesen air minumam dan berwuduk yang mengambil inspirasi kaedah penyediaan air bersejarah di bandar itu dilancarkan Wakaf Raja Abdul Aziz Ain Al-Aziziah, semalam.

Stesen air Al-Bazan diterjemahkan sebagai tangki air, berdasarkan sistem pengedaran air Jeddah sebelumnya.

Stesen air itu disediakan di bandar Jeddah untuk sumber bekalan air utama bagi penduduk Jeddah.

Al-Bazan lengkapi ciri moden dengan kaedah penyahgaraman air laut.

Sebelum Al-Bazen yang dibina daripada dana wakaf, penduduk Jeddah menerima air mereka daripada seorang lelaki yang disebut ‘saggah’ (lelaki air) yang mengambilnya dari luar kota dan mengedarnya ke setiap daerah di Jeddah.

Ketua Hubungan Masyarakat, Wakaf Raja Abdul Aziz Ain Al-Aziziah, Sakhr Al-Asmari, berkata idea utama di sebalik projek ini adalah membekalkan air kepada masyarakat dan mengingatkan mereka akan transformasi luar biasa yang telah dilalui kota itu.

“Wakaf itu mengutamakan beberapa tempat penting di Jeddah termasuklah di tepi laut dan akan ada lebih banyak lagi stesen air akan dibina di masa akan datang.

“Al-Bazan dengan ciri moden berada di kawasan berlainan yang akan menyediakan air bersih untuk minuman dan berwuduk kepada orang ramai. Ia dibina dengan ciri moden bertujuan memperindahkan kawasan kemudahan awam yang menyerupai saluran paip utama dari lembah.

“Wakaf tersebut berperanan untuk menyediakan air minum percuma dan bersih kepada penduduk Jeddah. Infrastrukturnya dilengkapi dengan ciri moden bagi penyahgaraman air laut sebagai sumber utama untuk dibekalkan ke beberapa wilayah di Arab Saudi.

“Wakaf ini juga dibina secara menyeluruh dengan melalui beberapa proses, ia seperti mencari stesen penyiraman daripada sumber air untuk penyahgaraman dan akan melalui ke desa-desa terpencil di seluruh wilayah. Ia dilaksanakan untuk mencapai tujuan bagi memenuhi salah satu komponen Wawasan 2030 yang dihasratkan oleh pengasasnya, Raja Abdul Aziz,” kata, Al-Asmari.

 

Sumber: Arab News

 

Arab Saudi
Berita Semasa,

Arab Saudi Denda Hingga Setengah Juta Riyal Kepada Pengembara Langgar Peraturan Covid-19

no comment

BARU sahaja kelmarin Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan lebih 20,000 umat Islam dari dalam dan luar negara itu bakal menunaikan umrah dalam tempoh beberapa hari lagi.

Kebenaran tersebut hanya membabitkan negara-negara yang tidak terikat dengan larangan kemasukan oleh Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam.

Antara negara-negara yang berhadapan dengan larangan terbang ke Arab Saudi ialah India, Pakistan, Indonesia, Mesir, Turki, Argentina, Brazil, Afrika Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Habsyah, Vietnam, Lubnan dan Afghanistan.

Ia ekoran peningkatan kes Covid-19 di negara-negara berkenaan.

Dalam perkembangan terbaharu, portal berita terkemuka Saudi Gazette melaporkan, Arab Saudi memberi peringatan tegas kepada pengembara yang masuk ke negara berkenaan.

Jika mereka didapati dari negara yang terjejas Covid-19 dengan melanggar peraturan pencegahan pandemik wabak berkenaan, pengembara berkenaan bakal berdepan hukuman denda SR500,000 iaitu bersamaan RM562,591!

Baca juga Tidak Perlu Kuarantin, Arab Saudi ‘Buka Pintu Negara’ Mulai Ahad Ini

Ia sebagaimana yang disebut dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Pendakwa Raya di negara berkenaan semalam.

Arab Saudi

LEBIH 20,000 bakal jemaah umrah dibenarkan menunaikan ibadah berkenaan beberapa hari lagi.

Kenyataan tersebut antara lain menyebut, tindakan akan diambil kepada tiga pihak iaitu pengembara yang tiba dengan penerbangan antarabangsa, syarikat penerbangan dan pengendali perjalanan yang bertanggungjawab mendedahkan maklumat pengembara termasuk sejarah perjalanan.

“Pihak berkenaan perlu mengisytiharkan sama ada pengembara tersebut pernah mengunjungi negara terjejas akibat pandemik atau mana-mana strain yang bermutasi.

“Mereka yang ingkar akan dihukum denda hingga setengah juta riyal. Individu berkenaan dan syarikat penerbangan serta ejen pelancongan akan menanggung segala kerosakan akibat melanggar undang-undang tersebut.

“Jika perlanggaran itu turut disertai dengan perlakuan jenayah, kes akan dirujuk kepada Pendakwa Raya sebelum dibawa ke mahkamah,” kata kenyataan tersebut.

Foto: Unsplash & Saudi Gazette

Berita Semasa, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Tidak Perlu Kuarantin, Arab Saudi ‘Buka Pintu Negara’ Mulai Ahad Ini

no comment

Pelancong dari pelbagai negara yang telah divaksinasi sepenuhnya dibenarkan untuk memasuki Arab Saudi tanpa perlu dikuarantin.

Mereka hanya perlu menunjukkan sijil vaksinasi yang lengkap ketika tiba di pintu masuk negara itu kepada pihak berkuasa sempadan berkuatkuasa mulai 1 Ogos ini (Ahad)

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi, mereka yang telah divaksinasi sepenuhnya adalah mereka yang telah menerima dua dos vaksin yang dipersetujui buat masa ini oleh kerajaan iaitu Pfizer, AstraZeneca, Moderna atau Johnson & Johnson.

Pelancong hanya perlu menunjukkan bukti telah divaksin untuk masuk ke Arab Saudi. Gambar: Times of India

Pelancong diminta untuk mengisi data berkaitan dengan dos vaksinasi di portal elektronik. Data itu akan disimpan melalui aplikasi ‘Tawakkalna’ dan harus ditunjukkan untuk memasuki tempat awam.

“Kami mengalu-alukan kedatangan pelancong dan kami sangat gembira menerima tetamu kerajaan setelah dihalang seketika akibat wabak coronavirus,” kata Menteri Pelancongan, Ahmed Al-Khatib.

“Kami mahu fokus semula pada usaha kami sebelum ini yang terhenti kembali bekerjasama dengan rakan dalam semua sektor. Ia bagi memastikan tetamu kerajaan berasa selamat dan selesa menikmati percutian mereka ke negara ini.

“Pelancongan umpama ‘harta karun’ nikmatilah penjelajahan ke pelbagai destinasi penting yang ada di negara ini seperti mercu tanda, pengalaman pelancongan yang unik dan belajar tentang budaya kemurahan hati serta keramahan yang menjadi ciri masyarakat Saudi, ”tambahnya.

Arab Saudi nantikan kunjungan 100 juta pelancong menjelang 2030. Gambar: Travel Daily

Riyadh telah menghabiskan berbilion-bilion dana untuk membangun industri pelancongan dari awal, sebagai usaha untuk mempelbagaikan ekonomi yang selama ini hanya bergantung kepada sektor minyak.

Kerajaan Arab Saudi mula mengeluarkan visa pelancong untuk pertama kalinya pada tahun 2019, sebahagian daripada usaha untuk memperbaiki imej globalnya dan menarik pengunjung.

Pandemik Covid-19 juga telah mengganggu urusan haji dan umrah yang biasanya menyumbang pendapatan utama kerajaan melebihi USD12 bilion dolar setiap tahun.

Pada ketika ini hanya pengunjung yang sudah divaksinasi sepenuhnya dan tinggal di Arab Saudi sahaja dibenarkan melaksanakan ibadah umrah.

Kerajaan telah mempercepatkan proses vaksinasi ke seluruh negara untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan dan berhasrat untuk menjadi tuan rumah untuk pelbagai acara seperti sukan dan hiburan.

Sumber: Arab News