SEBAGAI langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19, Masjidil Haram di Makkah menggunakan kemudahan robot pintar bagi mengedarkan botol air zamzam kepada jemaah haji dan umrah.
Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Ketua Jabatan Pengairan Zamzam bagi hal ehwal lapangan dan perkhidmatan, Badr Al-Luqmani.
Jelas beliau sebagaimana dipetik menerusi portal berita Arab News, teknologi tersebut membolehkan proses pengagihannya dilakukan tanpa campur tangan manusia selaras protokol kesihatan.
Robot tersebut berkeupayaan mengedarkan sebanyak 30 botol air pada satu pusingan yang berlangsung sekitar 10 minit, terangnya.
“Ia akan beroperasi selama lapan jam pada satu masa dan mengambil masa 20 saat untuk memuatkan botol berkenaan.
“Paling penting, robot ini tidak akan berlanggar atau menghalang orang lain,” katanya sambil memberitahu bahawa ‘mesin automatik’ itu menerima beberapa kelulusan termasuk spesifikasi pensijilan (CS) dari Eropah.
Al-Luqmani menambah, pihaknya sedang dalam proses untuk merealisasikan rancangan mengendalikan robot dalam skala yang besar.
Baca juga Al-Quran Digital Braille Di Masjidil Haram Untuk Kemudahan OKU Penglihatan
“Bukan sekadar robot mengedarkan botol air zamzam, tetapi juga dalam urusan mengendalikan beg dan silinder mudah alih.
“Kami sentiasa berusaha menyediakan tahap keselamatan dan kualiti tertinggi kepada pengunjung masjid suci ini,” ujarnya.
Untuk rekod, operasi kemudahan teknologi tanpa tenaga manusia itu merupakan sebahagian daripada program ‘Bagaimana untuk menjadi contoh teladan dalam dunia digital’ (How to be a role model in the digital world), bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan mengajar penggunaan teknologi maklumat serta komunikasi yang optimum.
Pada bulan Oktober tahun lalu, Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi baru sahaja mengaktifkan semula 155 tangki marmar yang mengalirkan air zamzam.
Pada masa sama, sebanyak 20,000 tong air zamzam mudah alih turut ditempatkan di masjid agung berkenaan.
Keputusan menyambung semula agihan itu diambil selepas pihaknya mendapati, kadar peningkatan penerima vaksin dalam kalangan warga tempatan dan asing di Arab Saudi, di samping komitmen tidak berbelah bagi yang ditonjolkan oleh pengunjung Masjidil Haram.
Sebelum ini, operasi penyediaan air zamzam pernah dihentikan berikutan kebimbangan penularan jangkitan coronavirus dalam kalangan jemaah haji dan umrah di kedua-dua masjid tersebut serta digantikan dengan penggunaan robot pintar.
Foto: Arab News