BARU sahaja kelmarin Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan lebih 20,000 umat Islam dari dalam dan luar negara itu bakal menunaikan umrah dalam tempoh beberapa hari lagi.
Kebenaran tersebut hanya membabitkan negara-negara yang tidak terikat dengan larangan kemasukan oleh Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam.
Antara negara-negara yang berhadapan dengan larangan terbang ke Arab Saudi ialah India, Pakistan, Indonesia, Mesir, Turki, Argentina, Brazil, Afrika Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Habsyah, Vietnam, Lubnan dan Afghanistan.
Ia ekoran peningkatan kes Covid-19 di negara-negara berkenaan.
Dalam perkembangan terbaharu, portal berita terkemuka Saudi Gazette melaporkan, Arab Saudi memberi peringatan tegas kepada pengembara yang masuk ke negara berkenaan.
Jika mereka didapati dari negara yang terjejas Covid-19 dengan melanggar peraturan pencegahan pandemik wabak berkenaan, pengembara berkenaan bakal berdepan hukuman denda SR500,000 iaitu bersamaan RM562,591!
Baca juga Tidak Perlu Kuarantin, Arab Saudi ‘Buka Pintu Negara’ Mulai Ahad Ini
Ia sebagaimana yang disebut dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Pendakwa Raya di negara berkenaan semalam.
Kenyataan tersebut antara lain menyebut, tindakan akan diambil kepada tiga pihak iaitu pengembara yang tiba dengan penerbangan antarabangsa, syarikat penerbangan dan pengendali perjalanan yang bertanggungjawab mendedahkan maklumat pengembara termasuk sejarah perjalanan.
“Pihak berkenaan perlu mengisytiharkan sama ada pengembara tersebut pernah mengunjungi negara terjejas akibat pandemik atau mana-mana strain yang bermutasi.
“Mereka yang ingkar akan dihukum denda hingga setengah juta riyal. Individu berkenaan dan syarikat penerbangan serta ejen pelancongan akan menanggung segala kerosakan akibat melanggar undang-undang tersebut.
“Jika perlanggaran itu turut disertai dengan perlakuan jenayah, kes akan dirujuk kepada Pendakwa Raya sebelum dibawa ke mahkamah,” kata kenyataan tersebut.
Foto: Unsplash & Saudi Gazette