Browsing Tag

Anak

Hamba yang melahirkan tuannya
Gaya Hidup,

Ibarat hamba yang melahirkan tuannya, ibu bapa jangan terlalu manjakan anak

DALAM riwayat masyhur, seorang hamba wanita yang melahirkan tuannya merupakan antara tanda-tanda kiamat.

Hadis yang dimaksudkan itu diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab RA yang mana Malaikat Jibril datang kepada Nabi Muhammad SAW dan para sahabat untuk mengajarkan tentang Islam, iman dan ihsan.

Jibril bertanya: “Khabarkan kepadaku tentang hari kiamat.”

Nabi Muhammad SAW menjawab: “Tidaklah yang ditanya itu lebih mengetahui daripada yang bertanya.”

Maka Jibril bertanya lagi: “Khabarkan kepadaku tentang tanda-tanda kiamat.”

Lantas Rasulullah SAW bersabda: “(Antara tandanya adalah) apaabila seorang hamba wanita melahirkan tuannya…” (Sahih Muslim)

Baca juga ALLAH perihalkan tentang hari kiamat dalam Surah al-Zalzalah. Ini antara inti sari penting perlu kita ketahui

Sebenarnya ada sebab mengapa Sinar Islam Plus membangkitkan perihal seorang hamba yang melahirkan tuannya.

Hamba yang melahirkan tuannya

JANGAN biarkan diri kita menjadi ibu bapa yang melahirkan ‘tuannya’ kerana terlalu memanjakan mereka dan membiarkan cahaya mata masing-masing menerima ‘didikan’ daripada gajet mereka tanpa kawalan sehingga boleh membinasakan masa depan. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Semuanya gara-gara kisah yang dikongsikan oleh individu dikenali sebagai Faisal Rahim menerusi bebenang di platform X miliknya.

Menurut pengguna akaun @acaijawe itu, ketika dirinya berada di sebuah kedai makan, beliau melihat seorang ibu berulang-alik mengambil makanan untuk dua orang anaknya.

Paling menyedihkan, anak-anaknya bukannya kecil lagi, tetapi sudah berumur lingkungan 18 tahun.

“Ulang-alik (ibu) order dan ambilkan air. Kemudian, ambilkan tisu lagi. Anaknya? Main game di telefon.

“Ketika makan, mak cuba berborak. Anaknya jawab sambil mata pandang telefon,” coretnya.

Situasi itu membuatkan Faisal yang juga seorang amil teringat tentang tanda-tanda kiamat tersebut iaitu ‘hamba wanita melahirkan tuannya’.

Masakan tidak, jelas beliau, ibu bapa yang sepatutnya menjadi penguasa, dikuasai oleh anak-anak mereka sendiri.

Baca juga Dunia sekarang, anak tidak takut kecilkan hati ibu bapa, tetapi ibu bapa pula yang takut kecilkan hati anak

“Bahkan, anak-anak jadi tuan kepada ibu mereka.

“Semoga kita semua dapat layan ibu bapa kita dengan penuh kasih sayang,” ungkapnya.

Hamba yang melahirkan tuannya

SEBAGAI ibu bapa, kawallah anak-anak agar tidak terlalu leka dengan gajet sehingga membinasakan nilai-nilai kemanusiaan dalam diri permata hati masing-masing. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Perkongsian beliau dilihat lebih 639,000 tontonan dan diulang kicau 2,074 kali.

Seorang netizen dikenali sebagai @GizlySafiyyah menyifatkan, semua itu ada perkaitannya dengan ibu bapa.

“Salah ibu bapa juga sebab diajar begitu. Apa-apa yang kita biasakan ajar pada anak-anak, sampai ke besar itulah yang dibuatnya. Lebih-lebih lagi anak lelaki yang jenis lambat sedar diri,” tulisnya.

Pengguna platform X, @FaridAuzyddin pula berkata, sebagai pengusaha kedai makan, situasi seperti itu sudah tidak asing lagi.

“Kadang-kadang saya dah menunggu lama untuk dapatkan pesanan, masing-masing sibuk melayan telefon.

Baca juga Perkasakan peranan ibu bapa, usah biarkan gajet kuasai anak-anak

“Tapi tak semua macam itu, ada saja yang ibu bapa tegas. Masalahnya dah susah jumpa yang tegas itu,” coretnya.

Sementara itu, memetik artikel Irsyad Al-Hadith Siri ke-425: Maksud Hadis Hamba Wanita Melahirkan Tuannya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, majoriti ulama mengatakan bahawa ia merupakan antara tanda-tanda kiamat.

Ulama seperti Imam Ibn Hajar al-’Asqalani dan Syeikh Mustofa Dib al-Bugha memahaminya menerusi konteks yang lebih luas.

“Lalu sampai kepada kesimpulan bahawa ia merupakan kiasan akan berleluasanya perbuatan derhaka dan layanan kasar terhadap ibu bapa oleh anak-anak sepertimana layanan kasar tuan terhadap hambanya,” jelasnya.

Ibu bapa
Isu,

Gagalkah ibu bapa jika anak tak ikut acuan Islam?

SERING kali ibu bapa dipersalahkan dan dilabel sebagai gagal andai anak yang dipertanggungjawabkan kepada mereka tidak mengikut acuan Islam dengan sempurna.

Tidak kurang juga ada yang tergamak melabelkan emak dan ayah ‘derhaka’ dan seumpamanya.

Pensyarah di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Kamarul Azmi Jasmi menegaskan, tiada istilah ibu bapa derhaka kepada anak dalam Islam.

Baca juga Elak jadi ibu bapa ‘derhaka’, jauhi sikap seperti ini

Sebaliknya, beliau menjelaskan, kedua-dua orang tua hanya boleh dikatakan tidak melaksanakan amanah dengan sempurna.

DR KAMARUL AZMI

“Jika ibu bapa tidak betul sekalipun, Islam mengajar anak untuk beradab dengan orang tua masing-masing. Antaranya dengan meminta si anak untuk menegur dan menasihati emak atau ayah mereka melalui orang yang sedarjat atau insan lebih tinggi (pangkatnya).

“Bagaimanapun, anak dikira sebagai tidak beradab jika mereka menegur ibu dan ayah masing-masing yang tidak betul,” ungkapnya.

Dr Kamarul Azmi kemudian menyambung hujahnya dengan menyenaraikan tanggungjawab ibu bapa dalam memberi didikan terbaik kepada cahaya hati masing-masing.

Jelas beliau, banyak kajian membuktikan bahawa hampir 70 peratus pengaruh ibu bapa dalam beragama berbanding dengan peranan guru, rakan dan media.

Sebagai orang tua, katanya, menjadi kewajiban utama mereka untuk memberi pendidikan solat dan al-Quran kepada anak-anak.

“Agama yang diamalkan oleh ibu dan ayah hanya sebagai ikutan. Selain itu, kedua-dua orang tua wajib menasihati dan menegur amalan wajib untuk dilaksanakan, sedangkan bagi amalan sunat pula, hanya galakkan si anak lakukannya.

Baca juga Jika kasihkan anak, bimbing dan tegurlah kesilapan mereka

“Andai sudah ditegur, tetapi anak masih tidak mahu mengamalkan Islam, maka tanggungjawab mereka (ibu bapa) sudah selesai,” katanya.

Ibu bapa

KETIKA anak masih kecil, didik dan bimbinglah mereka dengan ilmu agama dan nilai-nilai Islam supaya mereka boleh menerapkannya dalam kehidupannya kelak. -Foto: 123rf

Ini kerana, katanya, setiap anak yang sudah akil baligh perlu bertanggungjawab untuk mengamalkan Islam sekalipun ibu bapa mahupun insan di sekeliling tidak menyokongnya.

Oleh sebab itu, tidak boleh menuding jari sepenuhnya kepada ibu bapa atas kegagalan anak mengamalkan agama suci itu dengan sempurna.

Namun begitu, emak dan ayah mungkin boleh dipersalahkan kerana tidak mengajar tanggungan mereka dengan baik.

“Jika seseorang anaknya mencuri atau membunuh, diri mereka sendiri yang perlu bertanggungjawab atas kesalahan dilakukan. Ibu bapa tidak boleh dipersalahkan mahupun dihukum atas kekhilafan dilakukan oleh keturunan mereka.

“Begitu juga halnya dalam perihal Rukun Islam kedua. Jika anak meninggalkan solat, sedangkan sudah baligh, maka yang berhutang kepada ALLAH kerana meninggalkan kewajiban itu adalah anak tersebut.

Baca juga Ibu bapa tanggung dosa anak-anak tinggalkan solat?

“Ibu bapanya diwajibkan menegur dengan lembut, tetapi mereka tidak boleh dipertanggungjawabkan selepas nasihat diberikan,” ujarnya.

Kelemahan iman

Menyambung hujahnya, Dr Kamarul Azmi menjelaskan, rata-rata umat Islam pada hari ini sudah mengetahui ilmu agama dengan baik secara umumnya.

Ibu bapa

WALAUPUN ramai yang celik ilmu agama, tetapi kelemahan iman menjadi punca mengapa ada yang tidak dapat mengamalkan Islam dalam seluruh kehidupannya. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Bagaimanapun, jelas beliau, mereka tidak mempu mempraktikkannya dengan sempurna kesan daripada kelemahan tahap iman.

“Pada akhir zaman sekarang, untuk mengamalkan Islam sudah tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Ia perlu dilaksanakan secara berkumpulan akibat kelemahan tahap iman.

“Kekuatan iman itu hanya boleh diperoleh melalui susah payah untuk memperjuangkan agama dalam diri dan masyarakat,” ungkapnya.

Ekoran faktor itulah yang menyebabkan emak dan ayah pada hari ini tidak mampu melaksanakan amanah dengan baik.

“Bahkan, ada anak tidak boleh menjadi baik, isteri yang sempurna dan suami atau ayah yang elok,” katanya.-SI+

Kasihkan anak
Isu,

Jika kasihkan anak, bimbing dan tegurlah kesilapan mereka

PERIBAHASA mengatakan kasihkan anak tangan-tangankan. Ia bukanlah bermaksud ibu bapa boleh sewenang-wenangnya memukul anak-anak jika mereka tidak mendengar kata.

Baca juga Merotan Bukan Untuk Menghukum, Sebaliknya Ia Pendekatan Akhir Didik Anak-anak Kita

Sebaliknya, jangan biarkan anak itu dimanjakan hinggakan kita sanggup membutakan mata dan memekakkan telinga andai mereka melakukan kesalahan.

Mengertilah, ibu bapa yang kasihkan zuriat mereka seharusnya membimbing hal-hal ukhrawi dan duniawi dengan sempurna.

Demikian kata Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood ketika ditanya tentang sikap segelintir ibu bapa yang bimbang anak berkecil hati apabila ditegur.

USTAZAH SITI FATAHIYAH

Beliau menjelaskan, andai melihat anak kian alpa atau mulai hanyut dengan dosa, segeralah tegur mereka untuk memperbetulkan kesilapan tersebut.

Baca juga Dunia sekarang, anak tidak takut kecilkan hati ibu bapa, tetapi ibu bapa pula yang takut kecilkan hati anak

“Pada masa sama, ibu bapa harus menunjukkan contoh teladan yang baik dan tidak melanggar perintah agama.

“Jangan pula ibu bapa mengelirukan anak-anak dengan melakukan perkara dilarang Islam, tetapi diri sendiri memarahi mereka berbuat demikian.

“Bagaimanapun, apabila menyentuh perihal ibadah solat pula, emak dan ayah perlu bertegas dan pastikan anak-anak menunaikan solat sebelum habis waktunya,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Kepada mereka yang bergelar anak pula, Ustazah Siti Fatahiyah mengingatkan agar mereka tidak mudah melatah atau berkecil hati dengan teguran ibu bapa.

“Patuhlah kepada didikan emak dan ayah yang menyuruh kepada kebaikan dan elakkan daripada melakukan kemungkaran.

Baca juga Sikap Anak Adalah Cerminan Ibu Bapa. Didik, Tunjukkan Teladan Baik Sejak Mereka Kecil Lagi

“Usah anak pula yang berkasar dengan orang tua apabila kesalahan mereka ditegur.

“Ingatlah, ibu dan ayah cuba membimbing zuriat mereka sebaik mungkin,” katanya.

Kasihkan anak

JANGAN hanya menuturkan ungkapan ‘kasihkan anak’, tetapi langsung tidak diterjemahkan dari segi perlakuan kerana bimbang permata hati masing-masing berkecil hati apabila ditegur. Sebaliknya, nasihatkan dan bimbing mereka ke jalan yang benar. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Menyambung hujahnya, perunding motivasi wanita dan kekeluargaan itu menegaskan, tiada istilah ibu bapa derhaka kepada anak-anak, sebaliknya situasi itu boleh berlaku dalam sesetengah keadaan yang mana orang tua berlaku ‘khianat’ terhadap amanah ALLAH SWT.

Baca juga Elak jadi ibu bapa ‘derhaka’, jauhi sikap seperti ini

Ujar beliau, menjelaskan, perkara itu terjadi apabila kedua-dua mereka tidak melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai orang tua dengan sempurna.

Sebagai contoh, memberi didikan kepada anak-anak sama ada ilmu keagamaan, kepatuhan kepada syariah, pengetahuan tentang akademik atau keduniaan, terangnya.

“Sebagai contoh ibu bapa membiarkan anak-anak tidak solat atau menutup aurat apabila cukup umur ataupun sudah dewasa.

“Sebaliknya, anak-anak dibiarkan menjalani kehidupan yang jauh daripada landasan agama,” katanya.-SI+

Hamba yang melahirkan tuannya
Isu,

Elak jadi ibu bapa ‘derhaka’, jauhi sikap seperti ini

ISTILAH ibu bapa ‘derhaka’ agak canggung pada halwa telinga. Tidak seperti frasa anak derhaka kerana ungkapan sebegitu digunakan sebagai merujuk anak yang bersikap kurang ajar atau biadab terhadap orang tuanya.

Walaupun label itu tidak wajar diberikan kepada insan yang sudah melahir dan membesarkan kita, namun semua pasti mengakui, tiada manusia yang kalis dosa. Hakikatnya, sesiapa pun waima orang tua kita sendiri tidak terlepas daripada melakukan kekhilafan. Namun sebagai anak, tidak boleh sama sekali kita menjadikannya sebagai ‘permit’ untuk tidak berbakti kepada mereka.

Sebaliknya, penyambung keturunan itulah yang lazimnya akan merendahkan ego mereka walaupun adakalanya menerima layanan bertaraf ‘anak angkat’ daripada ibu bapa masing-masing. Semuanya dek kerana ketinggian martabat ibu bapa itu sendiri.

Baca juga Hukum menyakiti hati anak, wujudkah ibu bapa derhaka?

Bagaimana pula jika ada sebilangan orang tua yang tidak mendidik anak-anak dengan baik sehingga mereka ‘naik hantu’? Justeru wujudkah ibu bapa derhaka?

Dosa ibu bapa

Ketika persoalan itu dilontarkan kepada Pensyarah di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Siti Norlina Muhamad, beliau mempunyai perspektifnya sendiri.

DR SITI NORLINA

Dalam nada tegas, ahli akademik itu menjelaskan, kedudukan sebagai ibu atau bapa tidak boleh dijadikan tiket untuk melayan anak-anak sesuka hati tanpa mengambil kira panduan syarak dalam melaksanakan amanah ALLAH SWT.

Ketahuilah bahawa tanpa sedar, ibu dan ayah juga melakukan dosa terhadap anak-anak hingga layak diberikan gelaran ibu bapa derhaka, ungkapnya.

“Antara yang termasuk dalam kelompok itu ialah mereka yang suka menggunakan kata-kata kesat, memanggil anak dengan panggilan buruk atau pilih kasih dalam memberikan layanan terhadap zuriat sendiri.

“Begitu juga dengan ibu bapa yang melepaskan tanggungjawab dalam memberikan didikan terbaik kepada anak-anak sehingga mereka terpinggir dan terabai daripada pendidikan yang sempurna.

Baca juga Jangan abaikan didikan anak-anak, ini tanggungjawab suami isteri

“Mereka dikategorikan sebagai ibu bapa yang melakukan penderhakaan terhadap perintah ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Semua ciri yang disebutkan oleh Dr Siti Norlina itu merupakan inti pati penting daripada satu peristiwa ketika Saidina Umar RA menjadi khalifah.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Ahli Lembaga Pelawat Hospital Psikiatri turut menegur sikap segelintir ibu dan ayah pada hari ini yang mengambil mudah terhadap pendidikan anak-anak.

Jelas beliau, terdapat kelompok yang hanya mengutamakan pencapaian akademik, tetapi mengabaikan aspek bimbingan rohani dan spiritual permata hati mereka.

Ibu bapa derhaka

JANGAN biarkan diri kita menjadi ibu bapa ‘derhaka’ gara-gara membiarkan anak menerima ‘didikan’ daripada gajet mereka tanpa kawalan sehingga boleh membinasakan masa depan penyambung keturunan masing-masing. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

“Malah, anak-anak disediakan kemudahan gajet dengan alasan mereka boleh meneroka dan mempelajari ilmu di hujung jari. Sedangkan banyak impak negatif terutama kepada anak yang belum matang dalam menentukan hala tuju hidup.

Baca juga Perkasakan peranan ibu bapa, usah biarkan gajet kuasai anak-anak

“Mengertilah, zuriat kita mudah terpengaruh dengan pelbagai fahaman yang mengelirukan dan terjebak dengan budaya songsang, ajaran sesat, ekstrem, pergaulan bebas dan seumpamanya,” tegasnya.

Oleh sebab itu, Dr Siti Norlina mengingatkan agar ibu bapa sepatutnya mengambil pedoman melalui kisah Luqman al-Hakim mengenai cara didikan anak-anak.

Sesungguhnya, beliau bukan bercakap kosong ketika menasihatkan anak-anaknya, sebaliknya Luqman al-Hakim menunjukkan teladan yang baik melalui anugerah hikmah kebijaksaan dikurniakan ALLAH SWT kepadanya.

“Ingatlah, teguran dan nasihat tidak akan berguna andai tiada teladan daripada ibu bapa sendiri.

“Maka orang tua sewajarnya mesti menguasai ilmu sebagaimana yang ditonjolkan oleh Luqman al-Hakim jika mengharapkan permata hati mereka menjadi manusia hebat dan bermanfaat kepada masyarakat,” terangnya panjang lebar.

Beliau kemudian mengajak Muslim merefleksi diri dengan merenung peringatan tegas daripada ALLAH SWT berhubung tanggungjawab ibu bapa terhadap keluarga.

ALLAH SWT berfirman yang mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu-bata, penjaganya malaikat yang kasar dan keras yang tidak derhaka kepada ALLAH terhadap apa yang DIA perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Takut anak kecil hati

Ibu bapa derhaka

IBU bapa jangan risau anak berkecil hati apabila mereka ditegur kerana kesilapan yang dilakukan bagi mengelak mudarat yang lebih besar pada masa akan datang. Pada masa sama, ajarkanlah dan terapkan nilai-nilai Islam dalam keluarga. -Foto: 123rf

Ditebak dengan pertanyaan tentang sikap ibu bapa yang dilihat terlalu ‘takut anak kecil hati’, Dr Siti Norlina yang juga pakar psikologi Islam menjelaskan, perbuatan seperti itu sebenarnya boleh memakan diri sendiri dek kerana sifat terlalu bertolak ansur.

Baca juga Dunia sekarang, anak tidak takut kecilkan hati ibu bapa, tetapi ibu bapa pula yang takut kecilkan hati anak

Lantaran itu, beliau mengingatkan supaya, jangan kerana ingin menjaga hati, ibu bapa sanggup memejamkan mata dan tidak menegur kesalahan dilakukan anak-anak!

“Akhirnya, anak-anak ini akan membesar dalam keadaan tidak tahu apa yang dilakukan adalah memberi mudarat kepada diri dan masyarakat.

“Sekalipun ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya, peluang untuk bersama dengan anak-anak tidak sepatutnya digunakan untuk hiburan semata-mata, tetapi perlu diselitkan dengan pengisian yang boleh membentuk jiwa dan akhlak mulia pada diri zuriat mereka.

“Oleh itu, ketegasan ibu bapa penting dalam usaha menerapkan kefahaman dan pengamalan agama anak-anak, mendidik mereka berbudi pekerti dengan akhlak terpuji dan mengikut acuan serta panduan syariat ALLAH SWT,” ujarnya.

Dalam hal itu, beliau menukilkan pandangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami yang menyatakan: “Jika ibu bapa bertakwa kepada ALLAH SWT, nescaya ALLAH SWT akan mengurniakan kebaikan dan mempermudahkan segala urusan zuriat mereka dengan memberi keberkatan serta petunjuk dalam kehidupan zuriat-zuriatnya. Namun sebaliknya, jika ibu bapa mereka tidak melaksanakan perintah ALLAH dan melanggar larangan-NYA, nescaya anak-anak mereka akan berkelakuan sebagaimana kelakuan ibu bapa mereka.”

Ibu bapa derhaka

MENJADI tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan ‘kemenjadian’ anak-anak dari aspek fizikal, mental dan spiritual serta menerapkan nilai agama dalam kehidupan keluarga. Semua itu akan membentuk peribadi anggota keluarga ke arah kebaikan. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Kepada satu soalan, pensyarah itu menjawab: “Antara tanggungjawab ibu bapa adalah memastikan ‘kemenjadian’ anak-anak dari aspek fizikal, mental dan spiritual. Merekalah yang menerapkan nilai agama dalam kehidupan yang akan membentuk peribadi ahli keluarga ke arah kebaikan.

“Untuk membangunkan sebuah keluarga yang diredai ALLAH SWT, ia mesti bermula dari peringkat awal pemilihan jodoh.

“Carilah pasangan yang mempunyai matlamat dan wawasan yang sama dan sanggup berganding bahu membina rumah tangga serta melahirkan zuriat yang bertakwa kepada ALLAH SWT, selain meletakkan syariat-NYA sebagai panduan utama dalam kehidupan berkeluarga.”-SI+

anak-anak
Gaya Hidup,

Dunia sekarang, anak tidak takut kecilkan hati ibu bapa, tetapi ibu bapa pula yang takut kecilkan hati anak

Dunia sekarang, anak tidak takut kecilkan hati ibu bapa, tetapi ibu bapa pula yang takut kecilkan hati anak…

BERBAKTI kepada orang tua sudah menjadi satu tuntutan dalam Islam. Ini kerana sebagai menghargai pengorbanan mereka dalam membesarkan kita menjadi seorang manusia yang berguna.

Perintah berbakti kepada ibu bapa dirakamkan oleh ALLAH di dalam surah al-Isra’ ayat 23 yang bermaksud; “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-NYA semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-dua mereka sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sesekali kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Namun, di kala arus teknologi yang serba canggih kini, peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak juga semakin mencabar kerana pelbagai rintangan yang terpaksa dilalui.

Melihat gaya hidup remaja sekarang yang semakin terdedah dengan teknologi terlalu jauh bezanya dengan kehidupan generasi zaman dahulu.

Pada zaman itu, anak-anak cukup lasak, diajar pelbagai ilmu mempertahankan diri, mengaji al-Quran pada waktu malam, diajar ikhtiar hidup sama ada di sekolah menerusi aktiviti berpersatuan atau di rumah oleh ahli keluarga.

sambut bayi baru lahir

JIKA dididik dengan baik, anak tu nanti akan membuka jalan ke syurga buat ibu bapa.

Dari segi disiplin pula, guru-guru di sekolah memang tegas dan ibu bapa pula tidak ‘mencabar’ tugas guru merotan pelajar nakal, menggunting rambut atau mengenakan denda kepada mereka yang bersalah.

Begitulah cara orang-orang terdahulu mendidik anak sehingga mereka menjadi manusia yang kuat dan tidak ‘lembik’ serta manja berbanding generasi sekarang.

Apabila melihat generasi sekarang pula, sedih dan kecewa dengan perangai ibu bapa yang terlalu memanjakan anak sehingga langsung tidak boleh ditegur atau ‘dijentik’.

Artikel Berkaitan 

Sehinggakan ada anak yang tidak takut kecilkan hati ibu bapa, bahkan orang tua pula yang takut kecilkan hati anak-anak mereka dan berjaga-jaga dalam setiap tindak tanduk perbuatan demi menjaga hati putera dan puteri kesayangan.

Bagaimanapun, dalam perihal mendidik anak ini, ia sebenarnya bermula daripada tanggungjawab kedua ibu bapa itu dalam mencorakkan nilai kehidupan dalam diri mereka.

Berpada-pada dalam mendidik anak-anak

Memetik perkongsian pakar keluarga dan kasih sayang, Dr. Rozieta Shaary, setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri untuk menginterpretasikan kasih sayang terhadap anak mengikut asas didikan dan kepercayaan masing-masing.

ajar kepada anak

SEBAGAI ibu bapa, kita bertanggungjawab memperkenalkan konsep agama dan ALLAH kepada anak-anak. Foto: 123RF

Katanya, jika ibu bapa terlalu berlembut dengan anak ibarat memberi ruang sebesar mungkin untuk mereka melakukan apa saja, tanpa kawalan atau had.

“Lebih membimbangkan, sikap ibu bapa sebeginilah yang mendidik anak menjadi tuan.

“Sekalipun ibu bapa ini nampak begitu lembut dan penuh kasih sayang, namun sebenarnya ia boleh merosakkan peribadi, sikap dan masa depan anak.

Turut Disyorkan Bapa tanggung dosa jika anak perempuan tidak menutup aurat?

Baca Juga Adik Syahril, bukti jasa sang anak hingga akhir nafas seorang ibu

“Terlalu diturutkan semua kemahuan dan diberi kebebasan sepenuhnya, tidak mustahil suatu hari nanti ibu bapa dijadikan ‘alas kaki’ buat si anak.

Manakala anak pula terus menjadi raja hingga dewasa,” tegasnya.

Justeru nasihatnya, sebagai ibu bapa kita perlu mencontohi masyarakat terdahulu dalam mendidik anak-anak, bukan tidak boleh manjakan mereka, tetapi biarlah berpada-pada.

Supaya apabila kita ‘meninggalkan’ mereka suatu hari nanti akan dapat berdikari, berdisiplin dan menjadi insan yang kuat jiwanya.

Mandul
Gaya Hidup,

Ada yang ‘mandul’ walaupun anak ramai

“ORANG tu mandul agaknya, tak ada anak walaupun dah lama kahwin.”

Awas, berhati-hatilah apabila mengungkapkan kata-kata itu. Ia bukan sekadar berkait soal hati dan perasaan orang lain.

Namun, ada satu perkara yang perlu kita tahu. Maksud sebenar mandul dalam Islam bukan merujuk kepada mereka yang tidak memiliki zuriat!

Dalam masyarakat kita, barangkali itulah pemahaman semua orang, tetapi tidak dalam Islam.

Baca juga Ibu ayah amalkan doa ini agar anak terhindar daripada perkara sia-sia

Pendakwah Ustazah Nur Aqidah Mawardi menghuraikan panjang lebar tentang sebuah hadis yang memerihalkan tentangnya.

USTAZAH NUR AQIDAH -Foto: Facebook Nur Aqidah Mawardi

Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat tentang persoalan kalimah berkenaan.

Sabda Baginda SAW: “Apa yang kamu faham tentang mandul?” Sahabat lalu menjawab: “Mandul adalah mereka yang tidak memiliki anak.” Lalu Rasulullah bersabda: “Mandul yang sebenar adalah mereka yang memiliki anak, tapi anaknya tidak memberi manfaat buatnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar Ustazah Nur Aqidah, jelaslah perbezaan antara pertimbangan manusia dengan penilaian ALLAH SWT.

“Rasulullah SAW mendidik sahabat supaya memandang tinggi kepentingan mendidik anak yang soleh.

“Ketahuilah bahawa anak yang ramai belum tentu memberikan manfaat buat ibu bapa terutama di akhirat,” coretnya sepertimana dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya.

Disebabkan itu Baginda SAW begitu tegas dalam soal peranan anak soleh, jelas penceramah tersebut.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Apabila meninggalnya seorang manusia itu, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara; anak yang soleh yang mendoakannya, sedekah jariah serta ilmu yang bermanfaat.” (Sahih Muslim)

Baca juga (VIDEO) Anak soleh aset ibu bapa ke syurga

Mandul

DIDIKLAH zuriat masing-masing menjadi insan yang boleh berbakti kepada agama dan ibu bapa. -Foto: 123rf

Justeru, Ustazah Nur Aqidah mengingatkan agar kita sentiasa berwaspada ketika mengatur bicara dan menyusun kata.

“Berhati-hati untuk mengeluarkan perkataan dengan tuduhan mandul kepada seseorang.

“Anak itukan rezeki. Subur macam mana pun seseorang, tetapi kalau ALLAH belum berikan (rezeki cahaya mata), janganlah kita cop orang itu mandul,” titipnya.

***Foto: Freepik

ajar kepada anak
Gaya Hidup,

Ibu bapa harus ajar 2 bacaan ini kepada anak seawal usia mereka

Ibu bapa harus ajar 2 bacaan ini kepada anak seawal usia mereka

IBU bapa Muslim bertanggungjawab memperkenalkan ALLAH SWT dan agama Islam kepada anak-anak sejak usia mereka kecil lagi.

Sesi pendidikan dan pengajaran itu boleh berlangsung melalui perbualan, teladan dan persekitaran yang kaya dengan nilai agama. Ia secara tidak langsung akan membantu meningkatkan kefahaman anak-anak tentang tauhid di peringkat asas.

Hebatnya pengaruh ibu bapa dalam masa depan anak-anak sehinggakan di dalam al-Quran, ALLAH sendiri mengangkat seorang tokoh bernama Luqman al-Hakim al-Quran untuk dijadikan iktibar bagi kita.

Baca juga 7 pesanan Luqman al-Hakim kepada anaknya yang patut kita amalkan dalam kehidupan seharian

Turut disyorkan Bapa pakai kostum dinosaur demi pupuk anak minat mengaji al-Quran

ajar anak

SEBAGAI ibu bapa, kita bertanggungjawab memperkenalkan konsep agama dan ALLAH kepada anak-anak. Foto: 123RF

Baca juga Hukum menyakiti hati anak, wujudkah ibu bapa derhaka?

Turut disyorkan Merotan Bukan Untuk Menghukum, Sebaliknya Ia Pendekatan Akhir Didik Anak-anak Kita

Insan berkulit hitam itu bukanlah seorang nabi, tetapi ALLAH tetap mengabadikan namanya dan menjadikan Luqman sebagai suri teladan umat Muhammad SAW gara-gara cara didikan beliau terhadap anaknya yang mengutamakan tauhid, iaitu beriman kepada keesaan ALLAH dan tidak ada sekutu bagi-Nya.

Firman ALLAH, “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan ALLAH (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” (Surah Luqman, ayat 13)

Oleh itu, kepercayaan tentang ALLAH sebagai Tuhan Maha Esa perlu menjadi pengajaran pertama bagi seorang kanak-kanak.

ajar anak

KEDUA-dua ibu bapa berperanan dalam membesar dan mendidik anak-anak mereka mengikut acuan Islam. Foto: Unsplash

Ajarlah dua lafaz ini kepada anak

Cendekiawan Islam, Imam Ibnu Ruslam berkata, “Kewajiban pertama bagi manusia ialah mengenal ALLAH dengan penuh keyakinan.”

Maka, bacaan pertama yang mesti diajarkan kepada anak-anak ialah memperkenalkan ALLAH melalui lafaz dua kalimah syahadah.

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ

Asyhadu an lâ ilâha illallâh, wa asyhadu anna muhammadar rasûlullâh

Maksudnya: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH. Dan saya bersaksi bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad adalah Pesuruh ALLAH.”

Selain akidah, ibu bapa juga perlu mengajar anak-anak tentang kesanggupan mereka menerima ALLAH sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, dan Nabi Muhammad sebagai Rasul.

Baca juga Bawa anak kecil solat di masjid. Ini tip elak ganggu jemaah lain

SETIAP orang Islam perlu dididik tentang tauhid sejak dari kecil lagi. Foto: 123RF

Kata tokoh agama, Habib Ali bin Abdurrahman al-Masyhur, satu perkara yang mula-mula diajarkan oleh ulama salaf kepada anak-anak mereka ialah membaca:

رَضِيْتُ بِاللهِ رَبًّا، وِبِالإِسْلَامِ دِيْنًا، وَبِّمُحَمْلَهِ الْمَعْلَهِ وَبِّمُحَمَى وَسَلَّمَ نَبِيًّا وَرَسُوْلًا

Radhītu billāhi rabbā, wa bil islāmi dīnā, wa bi Muhammadin shallallāhu ‘alaihi wa sallama nabiyyan wa rasūlā

Maksudnya: “Aku reda ALLAH itu Tuhan, Islam itu agama, dan Nabi Muhammad SAW adalah Nabi dan Rasul.”

Ikrar ‘radhītu’ tersebut sangat penting kerana kalimat berkenaan merupakan suatu bentuk pengakuan keimanan seseorang.

Baca juga Risau anak merengek lama ketika ibu tengah solat, bolehkah batalkan sembahyang? Ini penjelasannya

Turut disyorkan Bapa biadab paksa anak minum arak

Menerusi lafaz tersebut, seseorang itu benar-benar mengakui kewujudan ALLAH sebagai Tuhan, Islam sebagai agamanya dan Nabi Muhammad sebagai Nabi.

Jika seseorang meyakini ketiga-tiga perkara tersebut wujud, orang itu secara automatik akan mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan baik berkenaan ibadah, halal-haram, hudud, muamalat, munakahat dan sebagainya.

Natijahnya, terdapat dua bacaan yang mesti diajarkan terlebih dahulu oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka iaitu pelajaran membaca dua kalimah syahadah dan radhitu.

Sumber: NU Online

Foto: 123RF & Unsplash

Ibu bapa harus ajar 2 bacaan ini kepada anak seawal usia mereka

Luqman al-Hakim
Gaya Hidup,

7 pesanan Luqman al-Hakim kepada anaknya yang patut kita amalkan dalam kehidupan seharian

SURAH Luqman merupakan surah ke-31 terkandung di dalam al-Quran dan ia terdiri daripada 34 ayat. Kebanyakan ayat di dalam surah tersebut menceritakan tentang pesanan Luqman al-Hakim kepada anaknya tentang perilaku yang sepatutnya diamalkan seorang anak untuk menjadi insan yang cemerlang.

Baca juga 5 pesanan Malaikat Jibril kepada Nabi SAW yang wajib kita ambil tahu

Siapakah Luqman al-Hakim?

Beliau adalah seorang hamba ALLAH yang soleh dan bertakwa yang dikurniakan kebijaksanaan, kefahaman agama yang mendalam serta kedudukan yang tinggi. Beliau hidup di zaman Nabi Daud AS.

Digelar al-Hakim kerana kata-kata hikmat dan kisahnya menjadi teladan kepada manusia. Luqman juga merupakan seorang yang prihatin dan menitikberatkan pendidikan agama dalam mendidik anaknya agar dapat menjalani kehidupan berdasarkan syariat ALLAH.

Kisah tentang Luqman al-Hakim menasihati anaknya berbentuk 14 wasiat ini diterangkan di dalam Surah Luqman dimana ia secara tidak langsung menjadi panduan kepada para ibu bapa dalam mendidik dan memperkukuhkan jati diri seorang anak.

Turut disyorkan Enam penyakit bakal melanda umat akhir zaman, ini pesanan Nabi SAW

Luqman al-Hakim

WALAUPUN nasihat Luqman al-Hakim ini dititipkan ribuan tahun yang lalu, namun ia kekal relevan sehingga ke hari ini.

Baca juga 4 waktu terbaik untuk menasihati anak

Pesanan Luqman kepada anak-anaknya

1. Jangan menyekutukan ALLAH.
Firman ALLAH:“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan ALLAH (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” (Surah Luqman, ayat 13)

2. Berbuat baik kepada ibu bapa.
Firman ALLAH: “Dan KAMI wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-KU dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada AKU-lah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman, ayat 14)

Turut disyorkan Hukum menyakiti hati anak, wujudkah ibu bapa derhaka?

Luqman al-Hakim

BERBUAT baik kepada ibu bapa merupakan antara pesanan Luqman al-Hakim. Foto: 123RF

Baca juga Antara taat pada ibu dan nafkah untuk isteri, jangan sampai suami jadi anak derhaka

3. Menolak dengan baik arahan ibu bapa yang bertentangan dengan Islam.
Firman ALLAH, “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-KU sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-KU (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada AKU-lah tempat kembali kamu semuanya, maka AKU akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.” (Surah Luqman, ayat 15)

4. ALLAH Maha Mengetahui setiap perbuatan kita.
Firman ALLAH: “(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh ALLAH (untuk dihakimi dan dibalas-NYA); kerana sesungguhnya ALLAH Maha Halus Pengetahuan-NYA; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.” (Surah Luqman, ayat 16)

Turut disyorkan Walaupun masalah hubungan intim antara punca penceraian, tetapi sebenarnya 90 peratus rumah tangga berakhir disebabkan pengabaian solat

BEGITU tingginya darjat Luqman al-Hakim di sisi agama sehinggakan namanya diabadikan dalam al-Quran. Foto: 123RF

Baca juga Alangkah indah dapat masuk syurga tanpa dihisab, tapi bagaimana caranya?

5. Solat dan amalkan amar makruf nahi mungkar.
Firman ALLAH: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” (Surah Luqman, ayat 17)

6. Jangan sombong dan bangga diri.
Firman ALLAH “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman, ayat 18)

Turut disyorkan Hati-hati, berdosa mendedahkan aib sendiri

ISLAM mengajar umatnya berbaik sesama sendiri. Foto: 123RF

Baca juga Biar tamak lakukan kebaikan dalam ibadah, jangan haloba urusan dunia

7. Bersederhana dalam sesuatu.
Firman ALLAH: “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Surah Luqman, ayat 19)

Wasiat Luqman terhadap anaknya merupakan kisah tentang seorang ayah yang amat menyayangi anaknya yang mahukan mereka beroleh syurga serta termasuk dalam insan yang dicintai ALLAH..

Walaupun nasihat Luqman al-Hakim ini dititipkan ribuan tahun yang lalu, namun ia kekal relevan sehingga ke hari ini. Inilah buktinya bahawa isi al-Quran tidak lapuk dan sentiasa sesuai sepanjang zaman.

Sumber: Aku Muslim

Foto: 123RF & Pexels

Kehebatan doa seorang emak
Berita Semasa,

Jangan sesekali sakiti ibu, ini 6 kehebatan doa seorang emak

Jangan sesekali sakiti ibu, ini 6 kehebatan doa seorang emak

APA sahaja perkara melibatkan ibu, hati kita akan mudah tersentuh. Maklum sahajalah, mereka ialah insan yang bersusah payah mengandung dan bertarung nyawa melahirkan kita untuk melihat dunia ini.

Maka tidak hairanlah mengapa seorang ibu diberi penghormatan tinggi dan dipandang mulia oleh Islam.

Lihat sahaja hadis yang direkodkan daripada Abu Hurairah RA. Beliau berkata: “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya: “Ya Rasulullah SAW, siapakah orang yang saya lebih berhak menghormati?” Rasulullah menjawab: “Ibumu.” Orang itu bertanya lagi: “Lalu siapa?” Rasulullah menjawab: “Ibumu.” Orang itu bertanya lagi: “Setelah itu siapa?” Rasulullah SAW menjawab: “Ibumu.” Orang itu bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Akhirnya Baginda pun menjawab: “Kemudian ayahmu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Bukan sekadar dihormati, doa seorang ibu juga boleh terus sampai ke ‘langit’ tanpa hijab.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiga doa yang mustajab tanpa syak lagi; doa orang dizalimi, doa orang musafir dan doa bapa kepada anaknya.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Atas asbab itulah peri pentingnya reda dan restu seorang ibu, emak, mama, ummi dan apa jua panggilan seumpamanya dalam kehidupan anak-anak.

Sempena bulan Hari Ibu ini, Sinar Islam Plus kongsikan kelebihan doa ibu yang tiada ‘tapisan’ anugerah ALLAH SWT sebagaimana dipetik daripada portal Islam Itu Indah dan Tazkirah.net.

Berikut perinciannya:

1. Doa ibu membawa husnul khatimah.

Kehebatan doa seorang emak

KASIH ibu membawa ke syurga. Justeru, hargailah insan yang telah mengandung dan melahirkan kita kerana kehebabatan doa seorang emak boleh membawa kepada husnul khatimah. -Foto: 123rf

Ramai yang biasa mendengar kisah yang begitu masyhur tentang seorang lelaki bernama Alqomah. Saat sakaratulmaut menghampirinya, lidahnya kelu untuk mengucapkan kalimah syahadah.

Hakikatnya, beliau digambarkan seorang yang kuat beribadah, soleh, berpuasa dan kerap berinfak. Situasi itu membuatkan sahabat lain hairan.

Namun, Rasulullah SAW mengetahui sebabnya. Ibu beliau tidak reda kepadanya! Wanita tersebut terasa hati atas perbuatan Alqomah suatu masa dulu.

Baca juga Memuliakan ibu, akhlak sebenar Islam

Akhirnya, Nabi Muhammad SAW bermuslihat dengan memerintahkan beberapa orang sahabat membuat persediaan untuk membakar Alqomah.

Melihat longgokan kayu tersebut, hati ibu Alqomah terasa sayu.

Lantas beliau bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, apakah yang hendak engkau lakukan kepada anakku?”

Baginda SAW menjawab: “Aku hendak membakar anakmu kerana dia tidak mungkin meninggal dengan tenang sekiranya engkau tidak mahu mendoakannya.”

Mendengar kata-kata Baginda, ibu Alqomah segera menadah tangan ke langit dan berdoa: “Ya ALLAH, aku bersaksi kepada-MU dan kepada kerasulan Nabi-MU. Sesungguhnya aku ikhlas atas segala perbuatan Alqomah kepadaku. Semoga dia meninggal dunia dalam husnul khatimah.”

Selesai sahaja berdoa, Alqomah akhirnya dapat mengucap kalimah Tauhid dengan lancar dan menemui Sang Pencipta dengan tenang.

Betapa pentingnya berkat doa dan restu ibu agar kita dijemput Ilahi dengan ketenangan.

2. Doa ibu sumber kekuatan dan keyakinan.

Kehebatan doa seorang emak

KEHEBATAN doa seorang emak juga adalah apabila segala apa yang dipohonnya itu mampu menjadi sumber kekuatan dan keyakinan bagi seorang anak. -Foto: 123rf

Ketahuilah bahawa doa ibu menjadi sumber kekuatan dan keyakinan bagi seorang anak.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah peristiwa melibatkan perselisihan di antara Nabi Sulaiman dengan bapanya, Nabi Daud.

Baca juga [VIDEO] Boleh doakan ibu bapa yang bukan Islam, tapi…

Daripada Ibn Abbas, terdapat sekelompok kambing merosakkan tanaman seorang petani. Lalu petani tadi mengadukan kejadian itu kepada Nabi Daud.

Baginda AS memutuskan, kambing-kambing itu perlu diserahkan kepada petani tersebut sebagai menggantikan tanamannya yang rosak.

Begitupun, Nabi Sulaiman pula berpendapat, keputusan itu kurang adil. Baginda mencadangkan supaya semua kambing itu diserahkan sementara kepada petani itu bagi mengambil hasilnya iaitu susu dan bulu. Sementara itu, pemilik kambing perlu menggantikan tanaman yang rosak dengan tanaman baharu. Apabila ia mengeluarkan hasil kelak, barulah pemilik kambing mengambil haiwan ternakannya semula.

Melihat buah fikiran anaknya, Nabi Daud merasakan cadangan anaknya lebih baik daripada keputusannya sendiri, lalu Baginda pun bersetuju dengan anaknya. Nabi Sulaiman berasa gembira dan yakin pada dirinya sendiri apabila Baginda diberikan sokongan moral.

Kehebatan doa seorang emak

HARGAILAH ibu bapa kita selagi mereka masih hidup. Ingatlah doa kedua-dua orang tua pasti akan dikabulkan oleh ALLAH SWT. -Foto: 123rf

3. Doa ibu menolak fitnah.

Ketika Saidatina Aisyah RA diuji dengan ujian fitnah yang menyatakan beliau melakukan perbuatan terkutuk dan dipandang hina, ibunya, Ummu Rumman tidak putus-putus bermunajat. Ibunya juga sentiasa memohon kepada ALLAH SWT agar menyelamatkan anaknya daripada segala fitnah yang menimpanya.

Ternyata fitnah yang dilemparkan itu sebenarnya palsu. ALLAH SWT mengabulkan doa ibu Aisyah dan membebaskan ummul mukminin itu daripada tuduhan keji berkenaan.

Baca juga [VIDEO] Doa ibu angkat mustajab? Ini penjelasannya

Dalam al-Quran, ALLAH SWT merakamkan bahawa fitnah tersebut diada-adakan oleh seorang munafik bernama Ubay bin Salul.

4. Doa ibu membuka pintu rezeki.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ibu menjadi ‘sumber kemudahan dan kebahagiaan’ bagi setiap anak. Masakan tidak, menerusi doa yang dititipkannya buat anak-anak mereka, setiap daripada kita akan memperoleh kejayaan dalam apa jua perkara.

Ya, doa ibu bapa sememangnya tiada hijab. Ia bukan sahaja mampu mengubah kehidupan seorang anak, tetapi juga berupaya membuka pintu rahmat ALLAH.

Justeru, jangan sekali-kali kita melupakan pengorbanan mereka. Sebaiknya, doakanlah orang tua kita sepanjang masa.

Seperkara lagi, jangan melakukan sesuatu yang boleh mengguris hati mereka kerana keradaan ALLAH bergantung kepada keredaan ibu bapa.

Kehebatan doa seorang emak

KEHEBATAN doa seorang emak dan ayah bukan sekadar membuka pintu rezeki kita, tetapi juga banyak perkara kebaikan yang lain buat kehidupan kita. -Foto: 123rf

5. Doa ibu memberi kemuliaan.

Ibu kepada wanita hebat bernama Maryam binti Imran, Hanah binti Faruq tidak pernah lelah berdoa supaya anak yang sedang dikandungkannya kelak menjadi insan yang berbakti kepada ALLAH SWT, mendapat kedudukan mulia dan sentiasa dilindungi-NYA.

Baca juga Hikmah Maryam diperintahkan ALLAH menggoncang pokok tamar selepas bersalin

Berkat doa ibu, Maryam diiktiraf menjadi wanita ulung dalam tamadun Islam. Malah, beliau diiktiraf oleh al-Quran menerusi Surah Maryam dan hadis yang boleh dijadikan suri teladan buat Muslimah.

6. Doa ibu membawa keselamatan.

Rasulullah SAW pernah menceritakan kisah seorang anak yang terselamat daripada menjadi mangsa serigala.

Daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW berkata: “Seorang pengemis datang meminta sedikit makanan daripada seorang wanita yang sedang makan. Apabila wanita itu melihat pengemis itu datang kepadanya, dia tidak jadi menyuapkan makanan ke mulutnya, tetapi memberikan semua makanannya kepada pengemis itu.

“Tidak berapa kemudian, wanita yang memberikan sedekah itu melahirkan seorang anak lelaki. Apabila anaknya sudah boleh berjalan dan keluar bermain-main, tiba-tiba datang seekor serigala menerkam anaknya itu dan melarikan anak itu ke dalam hutan. Wanita itu mengejarnya sambil memohon pertolongan daripada ALLAH, ‘Anakku, anakku, ya ALLAH, selamatkanlah anakku!’

ALLAH segera memerintahkan malaikat menyelamatkan anak wanita itu daripada menjadi habuan serigala. Kemudian malaikat berkata kepada wanita itu: ‘ALLAH menyelamatkan kamu dan ALLAH berkata inilah gantinya makanan yang engkau berikan kepada seorang pengemis dahulu’.”

Lihat betapa besarnya kesan doa ibu. Bahkan, kuasa sedekah yang dilakukan juga membuatkan doanya mudah termakbul.

Sementara hayat masih dikandung badan, berbaktilah kepada kedua orang tua kita dengan sedayanya. Merekalah ‘sumber’ doa kita.

derhaka
Isu,

Hukum menyakiti hati anak, wujudkah ibu bapa derhaka?

ANAK derhaka’, suatu ungkapan yang begitu ditakuti kebanyakan masyarakat. Jika diikutkan, tidak ada sesiapa pun yang mahu dirinya digelar sebagai anak derhaka ataupun si Tanggang.

Mana tidaknya, untuk meraih keredaan ALLAH SWT, seorang anak perlu mendapatkan restu dan reda ibu bapanya terlebih dahulu.

Bahkan Islam menetapkan kewajipan berbakti kepada ibu bapa buat anak kerana kedua-dua insan tersebut yang paling banyak berjasa daripada ketika mengandung, melahirkan dan menjaga sehingga kita sudah besar.

Pun begitu, dalam kebiasaan mendengar istilah ‘anak derhaka’, adakah turut wujud ibu bapa yang derhaka?

Sebagai ibu bapa, mungkin ada perkataan yang terpacul daripada bibir atau apa-apa perkara kita lakukan yang tanpa disedari menyebabkan anak terasa atau bersedih.

Apatah lagi, sudah terpahat dalam adat bahawa anak tidak boleh meninggikan suara mahupun membantah arahan ibu bapa selagi ia tidak bertentangan agama. Maka, akhirnya kesalahan itu sekadar terpadam dalam hati anak-anak tanpa ada peluang untuk diluahkan.

Baca juga Dosa anak, isteri ditanggung bapa dan suami. Ramai yang anggap begitu, hakikatnya…

derhaka

Dosa sakitkan hati anak
Kata pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, gelaran sebagai ibu bapa tidak boleh dijadikan tiket untuk sewenang-wenangnya menyakiti hati anak.

“Boleh atau tidak ibu bapa menyakiti hati anak? (Jawapannya) tidak boleh. Jangan pakai tiket ibu bapa untuk berbuat apa sahaja kepada anak-anak,” katanya dalam sebuah video dikongsikan di laman sosial.

Beliau turut memesan ibu bapa agar jangan memburuk-burukkan mahupun membandingkan anak mereka di hadapan orang lain kerana ia dikira berdosa dalam Islam.

Ucap Azhar, “Sebab itu anak-anak jadi tak suka. Dia (ibu bapa) suka memburuk-burukkan anak-anak. Pergi ke rumah orang lain dan mengumpat tentang anak-anak. Macam (anak) itu bukan manusia (tiada perasaan).

Agamawan itu bagaimanapun memberitahu, hukum ibu bapa menyakiti hati anak sememangnya salah dan berdosa tetapi ia tidak bermaksud ibu bapa tersebut derhaka.

Wujudkan ibu bapa derhaka?
Malah portal Jabatan Mufti Negeri Perlis mengingatkan bahawa kecacatan ibubapa dalam menunaikan tanggungjawab tidak bererti si anak boleh menderhakai mereka dalam perkara yang baik.

Ya, sebagai insan, seorang anak mungkin berkecil hati atas sikap ibu atau ayahnya. Namun, itu adalah urusan antara ibu bapa tersebut dengan ALLAH.

Sebaliknya, titip laman web itu, anak-anak harus kekal melakukan kebaikan seperti diperintahkan ALLAH kerana itu merupakan pahala untuk dirinya sendiri.

Dosa kepada anak yang ibu bapa terlepas pandang
Sebuah artikel daripada liputan6 menyatakan, terdapat tiga jenis dosa ibu bapa dengan anak yang boleh diibaratkan sebagai ‘derhaka’, iaitu:

1. Memaki anak.
Menggunakan kata-kata kesat, memanggil anak dengan nama yang tidak baik serta sering bercakap bukan-bukan terhadap anak daripada mereka kecil sehingga dewasa dikategorikan sebagai memaki anak.

Perkara itu bukan sahaja dilarang Islam, malah ia harus dielakkan kerana ungkapan yang ditutur oleh seorang ibu boleh jadi suatu doa kepada anak-anak.

2. Pilih kasih.
Daripada Nu’man bin Basyir RA bahawasanya ayahku memberikan hadiah kepadaku. Lalu ibuku (‘Amrah binti Rawahah) berkata: “Aku tak meredai dan bersetuju dengan tindakan kau menghadiahi kepadanya sehinggalah kau meminta penyaksian (meminta kebenaran dan sokongan) daripada Rasulullah SAW.”

“Lalu ayahku berjumpa Nabi Muhammad SAW dan menceritakan kes yang berlaku lantas berkata: “Aku memberikan kepada anak lelakiku sebuah hadiah, tetapi isteriku menyuruh agar meminta kepastian daripadamu terlebih dahulu wahai Rasulullah SAW.

“Lalu, baginda SAW melontarkan persoalan: “Adakah anak-anak yang lain kau berikan hadiah yang sama seperti ini?” Bapanya menjawab: “Tidak.” Lalu Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bertakwalah kepada ALLAH dan berlakulah adil terhadap kesemua anakmu.” Kemudian, ayah pulang dan meminta semula hadiah yang telah diberikan.” (Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, ibu bapa tidak harus memilih kasih dalam apa jua hal seperti memberikan harta dan lain-lain lagi. Ia adalah sifat ibu bapa yang dibenci Rasulullah SAW serta dilarang dalam agama.

3. Tidak memberikan pendidikan baik.
Ibu bapa yang tidak memberi pendidikan yang baik kepada anak adalah ibu bapa yang tidak berbuat baik kepada anak.

Bahkan, dalam Islam, anak-anak boleh membelakangi ibu bapa yang memberikan arahan untuk melakukan perkara bertentangan syariat Islam.

Sumber: Ustaz Azhar Idrus, Liputan6, Jabatan Mufti Negeri Perlis

Foto: Pexels