SETIAP ibu ayah pastinya mahukan terbaik buat anak-anak. Menjadi orang berguna kepada agama dan masyarakat itulah antara impian yang selalu diungkapkan.
Namun berbicara mengenai mendidik anak generasi kini, banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi ibu bapa sehingga ada yang terpaksa mengambil langkah drastik semata-mata untuk mengajar erti didikan sebenar.
Seperti yang tular baru-baru ini, apabila seorang bapa membakar barangan koleksi K-pop anaknya, kononnya atas nama didikan.
Si ibu pula sibuk merakam pengalaman sedih si anak bersama kapsyen: “jadikan sebagai pengajaran” lalu dikongsi ke media sosial.
Dugaan dan jawaban
Besarnya dugaan yang dihadapi oleh remaja itu. Naluri muda dikekang sedangkan dia cuma minat muzik, dan apa salahnya dengan menikmati muzik. Sebenarnya, apa yang patut dilakukan oleh ibu bapa dan remaja berkenaan?
Pendakwah Ustazah Asma Harun meluahkan pandangan berhubung isu tular ini seraya berkongsi beberapa doa yang boleh diamalkan oleh ibu bapa dalam usaha mendidik anak.
“Berat sungguh ujian dan cabaran ibu bapa mendidik anak zaman sekarang. Hiburan melalaikan dihujung jari, ibu bapa seolah tiada kuasa menyekat atau melarang,” ujar beliau di laman Facebooknya.
“Pengaruh rakan sebaya paling dekat di hati, ia lunak dan kena pada jiwa remaja,”
“Keluhan ibu bapa hari ni, dibiar makin menjadi, disekat dan dilarang memberontak ugut nak lari”.
Katanya lagi, hati remaja makin rapuh, hidup tak mahu tempuh susah, semua nak mudah dan indah. Kita tiada pilihan, kena jadi kawan pada anak remaja, bila kawan lebih mudah didengar dan mendengar.
Oleh itu, beliau kongsikan beberapa doa khusus untuk anak-anak agar ibu ayah boleh amalkan dengan bersungguh dan istiqamah.
Boleh amalkan, baca sambil peluk atau usap kepala anak.
1. Surah Ar-Rahman ayat 1-4
{ ٱلرَّحۡمَٰنُ }
(Tuhan) yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya.
{ عَلَّمَ ٱلۡقُرۡءَانَ }
Dialah yang telah mengajarkan al-Quran.
{ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ }
Dialah yang telah menciptakan manusia; –
{ عَلَّمَهُ ٱلۡبَيَانَ }
Dialah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.
2. Dua Doa Nabi Muhammad SAW buat Ibnu Abbas
a.
اللهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ
“Ya ALLAH! Berikanlah kepadanya kefahaman dalam agama serta ajarkanlah kepadanya takwil.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Sumber doa:
Diceritakan oleh Ibnu Abbas RA, daripada Ibnu Abbas, beliau berkata: “Ketika Rasulullah SAW berada di rumah Maimunah, aku meletakkan air wudhu’ untuk Baginda di malam hari. Lalu Maimunah berkata kepada Baginda: Abdullah bin Abbas telah meletakkan (air wudhu’) ini untukmu.”
Kemudian Rasulullah SAW mendoakan Ibnu Abbas dengan doa yang masyhur:
فَقَالَ: اللهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ
Maksudnya “Ya ALLAH! Berikanlah kepadanya (Ibnu Abbas) kefahaman dalam agama serta ajarkanlah kepadanya takwil.” (Hadis Riwayat Ahmad, hadis sahih)
b.
اللَّهُمَّ عَلِّمْهُ الْحِكْمَةَ
Maksudnya: “Daripada Ibnu Abbas RA dia berkata, Rasulullah SAW memelukku lalu Baginda berdoa, “Ya ALLAH, berilah dia hikmah (kebijaksanaan) (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Sumber doa:
Baginda Nabi SAW pernah mendoakan Ibnu Abbas RA sambil memeluk dirinya, “Daripada Ibnu Abbas RA dia berkata, Rasulullah SAW memelukku lalu Baginda berdoa, “Ya ALLAH, berilah dia hikmah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
3. Ya Haafiz ya Muhaimin (ALLAH YANG MAHA MENJAGA dan MAHA MENGAWASI)
4. Doa supaya anak menjadi penyejuk hati
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَٰجِنَا وَذُرِّيَّٰتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَٱجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami sebagai penyejuk hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al-Furqan ayat 74)
5. Doa supaya anak teguh menjaga solat
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya “Wahai Tuhanku, jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.” (Surah Ibrahim ayat 40)
Baca juga 4 waktu terbaik untuk menasihati anak