SYURGA itu apa, di mana dan nikmat apa yang bakal diperoleh buat penghuninya adalah antara persoalan yang kerap kali timbul di minda manusia. Walaupun ia adalah perkara ghaib, namun ALLAH telah memberi banyak gambaran mengenai menerusi kitab suci al-Quran.
Tujuannya adalah sebagai salah satu motivasi kepada kita semua untuk terus berbuat kebaikan dan mengikut perintah-NYA.
Bayangkan, anak kecil yang dijanjikan dengan upah yang lumayan jika mampu berjaya dalam peperiksaan atau seorang pekerja yang akan diberi bonus besar sekiranya berhasil melariskan produk jualan.
Begitulah juga dengan gambaran syurga yang menjadi motivasi bagi manusia untuk berusaha sepenuh agar dapat mencapai apa yang dijanjikan.
Ketahuilah, untuk menggapai syurga bukanlah mudah, namun tidak mustahil. Bahkan, ada diceritakan juga dalam beberapa hadis yang menyebut mengenai golongan yang berjaya memasuki syurga tanpa dihisab.
Sabda Rasulullah SAW “Tujuh puluh ribu dari umatku akan masuk syurga tanpa hisab.” Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang tidak minta diruqyah (dengan ruqyah yang syirik), tidak mengamalkan tatayyur (tilik nasib), tidak menggunakan perbuatan dengan besi (yang dilarang) dan mereka selalu bertawakal kepada TUHAN-nya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Maksud hadis
Berdasarkan hadis berkenaan, ulama menyebut bahawa di akhirat kelak, akan ada tiga golongan yang masuk syurga, iaitu; yang masuk syurga tanpa hisab, dimasukkan syurga selepas dihisab dan yang akan masuk syurga selepas dikeluarkan dari neraka.
Untuk golongan pertama ini, ada ulama berpendapat bahawa akan ada 70,000 umat manusia berjaya memasukinya tanpa hisab. Manakala, ada sebahagian agamawan lain berbahas dengan menyebut jumlahnya seramai 700,000 orang.
Mereka adalah dalam kalangan yang mempunyai tauhid yang kuat terhadap ALLAH dan sentiasa bertawakkal kepada-NYA dengan sepenuhnya.
Golongan ini diceritakan sebagai orang yang tidak syirik kepada ALLAH seperti tidak melakukan perbuatan tilik nasib.
Kata ilmuwan Islam, Ibnu Qayyim, “Sifat utama dari 70,000 orang tersebut terkumpul pada sifat tawakal. Kerana tawakal mereka sempurna; iaitu mereka tidak meminta diruqyah, tidak menggunakan perbuatan dengan besi (yang dilarang) dan tidak beranggapan sial.” (Rujuk Miftah Dar al-Sa’adah, 3/1483)
Justeru, hadis tersebut memberi panduan kepada kita bahawa sekiranya memenuhi kriteria yang disebutkan, maka seseorang itu akan memasuki syurga tanpa dihisab.