ANAK soleh yang mendedikasikan hidup untuk kebahagiaan ibu bapa semestinya dipilih untuk masuk ke syurga ALLAH. Demikian juga setiap ibu bapa pasti mendambakan zuriat yang mampu membawa mereka ke syurga.
Abu Hurairah RA berkata, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda ” Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain dan anak yang soleh yang berdoa untuknya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Perincian hadis tersebut diungkapkan oleh panel jemputan, Dr Zaizul Ab Rahman, Pensyarah Kanan & Penolong Dekan, Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, pada program istimewa Soal Jawab Agama bersempena Ulang tahun ke-16 akhbar Sinar Harian dan Maal Hijrah. Program 30 minit itu dikendalikan oleh Editor Sinar Islam Plus, Muhd Azman Mohd Nawi.
Menurut Dr Zaizul antara ciri anak soleh dan strategi membina anak soleh, ia perlu bermula daripada pembinaan keluarga lagi. “Untuk menjadikan anak berakhlak mulia ia harus bermula daripada ibu bapa kerana mereka adalah cermin kepada anak-anak,” katanya.
Sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda “Tidaklah lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibubapanya yang menjadikannya beragama Yahudi atau menjadikannya beragama Nasrani atau menjadikannya beragama Majusi”. (Hadis Riwayat Muslim)
Berdasarkan ayat di atas, permulaan mendidik anak yang baik bermula daripada tanggungjawab ibu bapa untuk mengajar anak-anak agar patuh dan mendalami ajaran agama. “Pentingnya ibu bapa mempraktikan setiap ajaran Islam dalam kehidupan seharian sehingga mampu dicontohi oleh anak-anak.
“Justeru, untuk menjadi anak yang disifatkan sebagai ‘penyejuk mata ayahbonda’, mereka perlu konsisten mendoakan dan menabur bakti kepada kedua orang tua. Segala apa yang dihajati mereka, tunaikanlah semampunya demi membalas pengorbanan yang bukan sahaja di dunia, malah ketika mereka telah meninggal dunia.
Sesungguhnya peranan anak soleh amat penting sebagai saham agar pahala terus mengalir kepada ibu bapa,” hujahnya.
Enak melakukan ketaatan
Mengambil perkongsian daripada Dr Sanusi Azmi, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia di laman Facebooknya, ‘anak yang sejuk mata memandang’ adalah mereka yang beriman kepada ALLAH dan melakukan amal soleh.
Mata orang beriman tidak akan tenang melihat anak mereka melakukan amalan yang membawa ke neraka. Bererti, yang dimaksudkan dengan sejuk mata memandang itu adalah anak-anak yang enak dilihat melakukan ketaatan.
Orang Mukmin bukan sekadar senang melihat anak mereka berjaya merangkul dunia, malah tenang melihat anaknya menjadi hamba yang mengikut perintah ALLAH dan Rasul, biarpun mereka tidak mewah.
Dalam al-Quran, ALLAH mendidik orang beriman supaya sentiasa berdoa agar dikurniakan anak yang sejuk mata memandang. Firman ALLAH SWT “(dan sifat hamba ALLAH itu) mereka (sentiasa) berdoa: “Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami isteri-isteri dan zuriat yang sejuk mata memandang.” (Surah al-Furqan ayat 74)
Doa ini sangat elok diamalkan oleh pasangan yang mendambakan keluarga bahagia. Ini kerana, ia bukan sahaja memohon agar pasangan beroleh anak yang menenangkan hati, malah bertujuan agar ibu bapa menjadi teladan terbaik (qudwah hasanah) buat anak-anak.