KEMPEN ‘Masjid Merindui Anda’ sempena sambutan Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) sepanjang bulan Rejab berjaya membangkitkan rasa cinta terhadap solat berjemaah dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata kempen itu bertujuan menyampaikan mesej tentang kepentingan menjaga solat dan menyemarakkan rasa cinta untuk solat berjemaah di masjid berupaya menarik anak-anak muda.
“Kempen ini penting bagi menyemai rasa cinta dengan solat berjemaah. Anak-anak muda mesti berada di saf hadapan. Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan menyemai semangat cintakan masjid sejak dari usia kecil lagi.
“Didiklah hati anak-anak kita sejak kecil lagi agar mereka dekat dengan masjid dan mencintai solat berjemaah. Jangan sampai menginjak di usia tua baru nak berjinak-jinak dengan masjid,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam siri Jelajah BPIS di sekitar Kerteh.
“Mendaki Anak Tangga Masjid”
Seorang pengguna Facebook, Ahmad Faqih Rifa’ie berkongsi akan kehebatan sebenar seorang lelaki adalah apabila dia dekat dengan masjid dan terpaut hatinya dengan rumah ALLAH SWT.
Ujarnya, antara golongan yang disabdakan oleh baginda dan disertakan dengan jaminan mendapat naungan ALLAH di hari yang tiada naungan selain naungan-NYA;
“…وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ”
“Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid”
“Dalam riwayat Malik: “Seseorang yang hatinya terpaut pada masjid sehingga dia kembali kesitu semula.”
BACA JUGA Singgah masjid tapi tak solat tahiyyatul masjid ‘perbuatan kurang baik’
“Ukuran yang menunjukkan hebatnya seorang lelaki itu ialah hatinya. Kerana dengan hati yang baik serta cintakan rumah ALLAH sahaja yang mampu menggerakkan sepasang kaki ke rumah-rumah ALLAH sejauh manapun.
“Sedar kenyataan tubuh badan sendiri dengan hati yang jauh dengan masjid atau rumah-rumah ALLAH sehingga kadangkala kaki seperti lumpuh tidak mampu bergerak untuk menuju masjid.
“Kalau sembang nak melancong, mendaki, bersukan, dan sebagainya bukan main laju kaki-kaki ini bergerak walau jarak perjalanan yang jauh.
“ALLAH Taala nak cuit hati dengan macam-macam cara. Tinggal kita saja macam mana nak respon kepada cuitan tersebut.
“Maka beruntunglah mereka yang mendapat hidayah dan taufik,” katanya.
BACA JUGA Skrin TV di dinding masjid halang khusyuk dalam solat? Ini cara yang boleh dilakukan jemaah
Firman ALLAH SWT dalam surah at-Taubah ayat 18 “Sesungguhnya orang yang memeriahkan masjid-masjid ALLAH hanyalah orang yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat….”
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang pergi ke masjid jemaah, maka pada satu langkah dihapuskan dosa, pada langkah lain dicatatkan pahala, baik semasa pergi atau balik” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibn Majah).
TURUT DISYORKAN Ingin berubah ke arah lebih baik di tahun baru ini, rajin-rajinlah ke masjid 10 ganjaran ALLAH menanti