Ingin berubah ke arah lebih baik di tahun baru ini, rajin-rajinlah ke masjid 10 ganjaran ALLAH menanti
SERINGKALI kita mendengar, disaat sedang berperang dengan perasaan untuk berubah atau mencari penyelesaian kepada masalah, carilah di masjid.
Pasti kita akan temui jawapan kepada setiap persoalan hidup. Bukan sahaja ditemukan dengan ketenangan tetapi ditemukan dengan orang-orang yang mahu dekatkan diri kepada ALLAH.
Masjid bukan sahaja tempat untuk mencari ketenangan, namun terdapat banyak ganjaran yang ALLAH janjikan kepada kaki masjid.
Seorang pengguna facebook, dikenali sebagai Nazman salleh berkongsi akan 10 kelebihan ganjaran ALLAH janjikan kepada orang yang hatinya sentiasa terikat pada rumah ALLAH.
1. Tanda orang beriman
ALLAH berfirman: “Sesungguhnya orang yang memeriahkan masjid-masjid ALLAH hanyalah orang yang beriman dengan-NYA dan hari akhirat (al-Tawbah ayat 18)
2. Dihapuskan dosa
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang pergi ke masjid jemaah, maka pada satu langkah dihapuskan dosa, pada langkah lain dicatatkan pahala, baik semasa pergi atau balik.” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibn Majah)
BACA JUGA Kenapa wanita tidak digalakkan solat di masjid sedangkan zaman sekarang wanita bebas ke mana-mana?
3. Disambut ALLAH
Rasulullah bersabda: “Tiada seorang Muslim pun yang sentiasa menghadirkan dirinya ke masjid-masjid untuk solat dan zikir melainkan ALLAH gembira menyambutnya sebagaimana ahli keluarga yang bergembira menyambut saudaranya yang sudah lama menghilang.” (Haids Riwayat Ibn Majah)
4. Dijamin rezeki dan syurga
Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga golongan semuanya dijamin ALLAH; ketika hidup dia diberikan rezeki dan kecukupan, apabila mati dia masuk syurga: Sesiapa yang masuk ke rumahnya dengan memberi salam, maka dia dijamin ALLAH. Sesiapa yang keluar rumah untuk ke masjid, maka dia dijamin ALLAH. Sesiapa yang keluar demi untuk berjuang di jalan ALLAH, maka dia dijamin ALLAH. (Riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad)
5. ALLAH menyebut nama di depan malaikat
Rasulullah bersabda: “Tidak berkumpul suatu kaum di mana-mana rumah ALLAH, mereka membaca kitab ALLAH dan mengkajinya sesama mereka, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan, diliputi rahmat dan malaikat meneduhi mereka dan ALLAH menyebut-nyebut mereka di depan malaikat-malaikat.” (Hadis Riwayat Muslim)
BACA JUGA Ayat seribu dinar; kaedah tawakal atau penyamar tangkal?
6. Mendapat naungan di akhirat
Rasulullah bersabda: “Ada tujuh golongan yang akan dinaungkan ALLAH dengan naungan-NYA pada hari yang tidak ada naungan selain naungan-NYA…seseorang yang hatinya terpaut pada masjid-masjid.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
7. Mendapat cahaya di hari kiamat
Rasulullah bersabda: “Berilah khabar gembira kepada orang yang selalu berjalan kaki dalam kegelapan malam demi menuju ke masjid bahawa untuknya cahaya sempurna pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
8. Dilepaskan daripada api neraka dan munafik
Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang solat berjemaah sempat dengan takbir pertama selama 40 hari kerana ALLAH, dicatatkan untuknya dua pelepasan; pelepasan daripada neraka dan pelepasan daripada sifat munafik.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
9. Mudah melepasi titian sirat
Rasulullah bersabda: “Masjid rumah setiap orang bertakwa. ALLAH telah jamin sesiapa yang masjid menjadi ibarat rumahnya dengan keluasan, kerehatan dan kemudahan melepasi sirat menuju keredaan Tuhan.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)
10. Hidangan di syurga
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpergian pada waktu awal pagi atau petang menuju ke masjid, ALLAH akan menyediakan baginya tempat atau hidangan di dalam syurga setiap kali dia pergi ke masjid pada awal pagi dan petang.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus