Skrin TV di dinding masjid halang khusyuk dalam solat? Ini cara yang boleh dilakukan jemaah
DARI sudut bahasa, Ibn Faris mengatakan: “Khusyuk adalah (terdiri dari tiga huruf dasar) kha`, syin dan ‘ain adalah satu sumber, yang menunjukkan kepada makna tunduk atau merendah.”
Seorang jemaah masjid telah melontarkan satu persoalan kepada Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Terdapat sebahagian masjid dipasang skrin televisyen yang menayangkan jadual kuliah masjid dan tazkirah atau kata-kata manfaat.
“Namun, kadang-kadang skrin TV yang diletakkan di dinding hadapan agak mengganggu untuk khusyuk solat. Mohon pandangan ustaz tentang perkara ini,” soal individu tersebut.
Berkenaan dengan persoalan yang dikemukakan, agamawan tersebut telah menjawab di laman maktabahalbakrinya.
Beliau menjelaskan, khusyuk adalah sesuatu yang dituntut. Bahkan ia dianggap sebagai lubuk dan jantung kepada solat. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Uthman Bin Affan:
Maksudnya: “Bagi seorang Muslim yang mana telah datang padanya solat maktubah (solat fardu), kemudian dia memperelokkan wuduknya, kekhusuyukannya dan rukuknya. Dosanya yang telah lalu akan diampunkan selagi mana dia tidak melakukan dosa yang besar dan diampunkan (dosanya) pada tahun tersebut.”

kHUSYUK adalah sesuatu yang dituntut. Bahkan ia dianggap sebagai lubuk dan jantung kepada solat. -Foto: Canva
“Ini adalah satu amalan yang sangat dituntut khususnya di dalam solat. Kata Sheikh Ubaidullah al-Mubarakfuri: “Iaitu melakukan segala rukun dengan penuh tawaduk dan merendah diri. Serta buat dengan rukun-rukun tersebut dengan zahir, batin iaitu dengan hati dan juga anggota tubuh.”
Berbalik kepada soalan yang diutarakan, pada asasnya disunatkan untuk memandang ke arah tempat sujud. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “Sesungguhnya pernah sekali Rasulullah menunaikan solat sambil matanya diangkat ke langit. Lalu diturunkan ayat: الَّذِينَ هُمْ فِى صَلاَتِهِمْ خَاشِعُونَ. Lalu Baginda menundukkan kepalanya.”
“Perbuatan menundukkan kepala dan memfokuskan mata ke tempat tempat sujud membantu untuk khusyuk di dalam solat. Kata Imam al-Nawawi: “Para ulama berijmak bahawa perlunya ada khusyuk di dalam solat dan harus menundukkan pandangan daripada apa yang melalaikan serta makruh menoleh-noleh di dalam solat.”
BACA JUGA Singgah masjid tapi tak solat tahiyyatul masjid ‘perbuatan kurang baik’
“Makruh hukumnya menoleh dan memandang selain ke arah tempat sujud. Oleh itu, dengan cara menundukkan kepala dan menumpukan mata ke arah tempat sujud dapat fokus dan menumpukan sepenuh perhatian di dalam solat,” katanya.

SEELOKNYA televisyen atau iklan-iklan yang berada di hadapan dimatikan sebaik sahaja iqamat dilaungkan. Ini supaya Jemaah dapat memberi perhatian sepenuhnya ketika solat.
Dibolehkan menutup mata
Tambahnya lagi, antara cara lain untuk khusyuk di dalam solat adalah menutup mata bagi menghalang dari melihat perkara-perkara yang boleh menghalang dari fokus di dalam solat. Inilah pandangan yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.
Kata beliau: “Tidak makruh menutup jika ada dia takut adanya kemudaratan. Ini membolehkannya untuk menggabungkan di antara khusyuk dan tetapnya hati. Ia juga menghalang dari pandangan yang meliar dan menghalang juga dari terganggunya fikiran.”
Di dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah menyatakan: “Disunatkan menutup mata jika di hadapannya ada sesuatu yang boleh menganggunya.”
Tuntasnya, beliau menyimpulkan, sunat kepada kita menundukkan kepala dan menumpukan pandangan kita ke arah tempat sujud. Dan juga diharuskan menutup mata bagi menghalang dari melihat perkara yang boleh merosakkan khusyuk di dalam solat.
Sebagai pesanan dan nasihat kepada pegawai masjid atau surau, seeloknya televisyen atau iklan-iklan yang berada di hadapan dimatikan sebaik sahaja iqamat dilaungkan. Ini supaya Jemaah dapat memberi perhatian sepenuhnya ketika solat tanpa diganggu oleh iklan-iklan atau tazkirah-tazkirah yang muncul di televisyen.