Browsing Tag

sambut bayi baru lahir

sambut bayi baru lahir
Gaya Hidup,

Selain azan, ibu bapa juga perlu lakukan perkara berikut ketika sambut bayi baru lahir

SELAIN azan, ibu bapa juga perlu lakukan perkara berikut ketika sambut bayi baru lahir…

Bagi mana-mana pasangan suami isteri, semestinya antara waktu paling indah adalah ketika dikurniakan cahaya mata dalam hidup mereka.

Gara-gara terlalu teruja, pastinya pelbagai persiapan yang telah dilakukan seperti memilih hospital untuk bersalin, membeli kelengkapan bayi dan sebagainya. Itu dari segi kelengkapan asas.

Dari sudut persediaan rohani pula, sang bapa sudah bersiap untuk melafazkan azan di telinga sebaik tibanya si cilik itu. Namun, tahukah anda bahawa terdapat beberapa sunnah lain bagi sambut bayi baru lahir, selain melaungkan azan?

Baca juga (VIDEO) Anak soleh aset ibu bapa ke syurga

Sinar Islam Plus menyenaraikan antara adab menyambut kelahiran bayi seperti yang digariskan oleh agama:

1. Mengazankan bayi.
Cara azan bayi baru lahir adalah pada telinga kanan bayi lelaki dan perempuan dengan laungan sederhana. Antara manfaat azan adalah menanamkan benih keimanan dalam hati bayi sejak kecil lagi.

Portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan; sebahagian ulama berpendapat bahawa hadis melafazkan azan di telinga anak sejurus kelahirannya adalah lemah. Pun begitu, amalan ini tetap disunatkan dalam mazhab Syafie untuk mengusir syaitan yang ada bersama bayi.

Baca juga Kenapa uri bayi perlu ditanam dan tak boleh dibuang sesuka hati? Baca penjelasan ini

2. Berdoa kepada ALLAH untuk perlindungannya.
Setelah anak dilahirkan, berdoalah kepada ALLAH agar bayi itu dilindungi sebagaimana yang pernah dilakukan oleh isteri Imran saat melahirkan Maryam, dalam surah Ali Imran ayat 36.

Firman ALLAH: “Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai TUHANku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki); dan ALLAH memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu; dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam dan aku melindungi dia dengan peliharaanMU, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang direjam.”” (Surah Ali Imran, ayat 36)

Baca juga Nak anak bakal lahir cantik dan bijak, betul ke ibu kena baca surah tertentu?

sambut bayi baru lahir

ANAK kecil yang baru dilahirkan ibarat kain putih. Bagaimana corak kain akan terbentuk terserah kepada ibu bapa yang menjaganya.

3. Mentahnik.
Mentahnik adalah perbuatan meletakkan kurma yang telah dikunyahkan dan digosokkan ke lelangit bayi baru lahir. Jika tiada kurma, anda boleh menggantikan dengan makanan manis yang lain seperti madu.

Dari Abu Musa Al-Asy’ari, ia berkata.

Anak lelakiku baru saja lahir, lantas aku membawanya kepada Rasulullah SAW. Sesampainya di hadapannya, baginda memberinya nama Ibrahim, lalu mentahniknya dengan kurma dan memohonkan keberkatan baginya, setelah itu menyerahkan kembali bayi itu kepadaku.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baca juga Amalkan dodoi anak cara Islam

4. Menamakan bayi pada hari pertama atau ke-7.

Selain itu, sunat menamakan anak yang baru lahir dengan nama yang elok dan mempunyai makna baik. Ini kerana nama itu yang akan dipanggil di hari akhirat kelak.

Nama yang dianjurkan bagi bayi termasuk nama malaikat, nama para nabi serta nama-nama mudah yang tidak mengelirukan. Elakkan memberi nama dengan ejaan yang kompleks kerana mungkin menyusahkan kehidupan anak pada masa hadapan, terutamanya dalam urusan rasmi.

Baca juga 8 cara pilih nama anak menurut Islam yang anda perlu tahu

sambut bayi baru lahir

SUNAT membawa bayi yang baru lahir menemui orang yang soleh dan bertakwa untuk diminta bertahnik dan mendoakan supaya anak kecil itu beroleh kebajikan dan keberkatan.

5. Mencukur rambut.
Mencukur rambut bukan sahaja menjadi tanda permulaan kehidupan sebagai manusia dan hamba ALLAH, malah ia dapat membersihkan saki baki kotoran pada kepada bayi semasa di dalam rahim.

Biasanya majlis mencukur rambut yang orang kita panggil ‘cukur jambul’ akan diadakan bersama majlis kenduri aqiqah. Perlu diingat, perbuatan sunaah adalah mencukur keseluruhan rambut dan bukanlah menggunting sedikit rambutnya.

Dalam masa sama, elakkan melakukan amalan adat seperti menggunakan buah kelapa, garam, beras dan bunga semasa mencukur rambut anak yang menyerupai budaya Hindu.

Baca juga 5 Bayi Yang Boleh Bercakap Menurut Al-Quran dan Hadis

6. Melaksanakan aqiqah.

Aqiqah adalah ibadah menyembelih haiwan sebagai tanda syukur kepada ALLAH atas bayi yang baru lahir. Hukumnya adalah sunat muakkad.

Bagi yang mampu, ibadah ini boleh dilakukan buat bayi mereka dengan menyembelihkan dua ekor kambing bagi bayi lelaki dan seekor ekor kambing bagi bayi perempuan. Ini selari dengan sabda Rasulullah SAW:

Barangsiapa diantara kalian yang ingin menyembelih (kambing) kerana kelahiran bayi maka hendaklah ia lakukan untuk laki-laki dua kambing yang sama dan untuk perempuan satu kambing.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Tetapi jika ibu bapa tidak mampu melakukan aqiqah tersebut dalam masa terdekat, ia boleh dilakukan sebelum aqil baligh si anak.

Baca juga Ibadah korban masih boleh dilakukan selepas Hari Raya Aidiladha

sambut bayi baru lahir

SEBAIK-baiknya laksanakan ibadah aqiqah sebagai tanda berterima kasih kepada ALLAH SWT kerana mengurniakan rezeki cahaya mata.

7. Berkhatan.

Terdapat banyak kebaikan bersunat dari segi kesihatan untuk lelaki mahupun perempuan. Antaranya adalah mencegah penyakit berjangkit yang berkaitan dengan organ genital dan melindungi syahwat.

Ada beberapa hadis Nabi SAW dan pandangan ulama tentang usia yang sesuai untuk mengkhatankan anak lelaki. Ada sebahagian besar ulama juga berpendapat, khatan wajar dilakukan semasa anak lelaki meningkat umur baligh dan ada juga yang menganjurkan seawal kelahiran. Contohnya:

Dari Saidatina Aisyah berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW telah mengkhatankan Hasan dan Husin pada hari ketujuh kelahiran mereka berdua.” (Hadis Riwayat Baihaqi dan Hakim)

Bagi bayi perempuan pula, kebanyakan doktor berpendapat umur seawal mungkin adalah yang lebih sesuai. Selalunya, pasangan akan membawa bayi mereka untuk disunatkan selepas selesai 40 hari tempoh si ibu berpantang.

Tajuk: Selain azan, ibu bapa juga perlu lakukan perkara berikut ketika sambut bayi baru lahir…

Baca juga [VIDEO] Anak sindrom down juga wajib berkhatan. Ibu ayah kena ambil tahu perkara ini…

Sumber: 7 Sunnah Menyambut Kelahiran Bayi Dalam Islam & Selain Azan & Iqamat, Ibu Bapa Harus Lakukan 5 Perkara Ini Ketika Anak Baru Lahir. Perlu Waspada Penyakit Ain’.

Foto: Pexels, Unsplash & Google