ANTARA amalan yang dianjurkan kepada umat Islam ketika Hari Raya Aidiladha adalah ibadah korban bagi mereka yang berkemampuan sebagai tanda syukur kepada ALLAH SWT.
Kebiasaannya, masjid dan rumah sembelihan akan mula menyembelih haiwan korban pada pagi Raya seusai solat sunat Aidiladha didirikan.
Pun begitu, ibadah korban masih boleh dilakukan pada hari-hari berikutan hari Raya Aidiladha yang pertama.
Baca juga Tulang dan sisa daging korban perlu ditanam? Ini penjelasannya
Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan bahawa ibadah korban boleh dijalankan selama empat hari bermula selepas terbit matahari pada Hari Raya Haji, iaitu sekadar sempat menunaikan solat sunat dua rakaat dan dua khutbah.
Waktu itu pula berterusan sehingga terbenamnya matahari atau masuk waktu Maghrib pada hari ketiga Hari Tasyrik, iaitu 13 Zulhijjah, kata Azhar yang memetik kitab Raudhah karya Imam Nawawi.
Oleh itu, jelas beliau, haiwan korban boleh disembelih selama empat hari dari 10 hingga 13 Zulhijjah. Sebaliknya, ibadah korban yang dilakukan di luar waktu tersebut akan dianggap tidak sah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Perkara pertama yang kami mulakan pada hari ini, (hari raya ) ialah kami bersembahyang. Kemudian kami pulang dan menyembelih korban. Oleh itu, sesiapa yang melakukan perkara tersebut maka dia telah melaksanakan sunnah kami.
Dan sesiapa telah menyembelih sebelum itu, maka ia adalah daging untuk ahli keluarganya, bukan untuk ibadat korban sedikit pun.”(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Baca juga Boleh ke buat kenduri kahwin dan jamu tetamu makan daging korban?
Ustaz Azhar menjelaskan beberapa waktu dilarang melaksanakan ibadah korban, “Yang pertama, contohnya, sembelih korban pada malam hari raya atau masuk waktu subuh pagi sebelum naik matahari. Itu tidak sah.
“Ataupun sudah naik matahari, tapi tiada ruang sekurang-kurangnya cukup untuk sembahyang hari raya dan khutbah. Hendaklah tunggu solat hari raya dan dua khutbah selepas terbit matahari (baru boleh melakukan sembelihan),” katanya.
Baca juga Tak sempat sembelih haiwan korban hari ini, boleh ke buat hari lain?
Pun begitu, dalam keadaan seseorang telah bernazar untuk melaksanakan sembelihan tetapi Hari Tasyrik sudah pun berakhir, dia masih boleh melakukan ibadah tersebut kerana korban itu dianggap sebagai qada.
Namun, mana-mana sembelihan yang dilakukan selepas Hari Tasyrik selain kerana nazar, tidak dikira sebagai ibadah korban. Sebaliknya, perbuatan itu sama seperti mendapatkan daging semata-mata.
Foto: Unsplash