Browsing Tag

salam

bagi salam
Gaya Hidup,

Berapa kali salam perlu diberi kepada tuan rumah? Ustaz Don kongsikan solusinya

Berapa kali salam perlu diberi kepada tuan rumah? Ustaz Don kongsikan solusinya…

KERAP kali kita melihat situasi di mana penghantar barang memberi salam berkali-kali yang ada ketikanya seperti nak terkeluar anak tekak, atau boleh didengar selang beberapa rumah.

Namun, tuan rumah masih tidak kelihatan. Sama ada mereka tidak menyedarinya atau memang tiada di rumah ketika itu.

Melihat perkara di atas, kelihatan sudah sebati dalam masyarakat sehingga ada yang memandang remeh perihal salam ini, tidak kira orang yang menghantar barang mahupun tuan rumah sendiri.

Baca Juga Walaupun balik dari kerja, masuk rumah berilah salam

Persoalannya, adakah wajar memberi salam berkali-kali sehingga tuan rumah memunculkan diri atau cukup dengan hanya beberapa kali sahaja?

Menurut ustaz Don Daniyal Don Biyajid, adab memberi salam cukup sekadar tiga kali sahaja. Sekiranya masih tidak berjawab, maka pulanglah. Itu adab yang diajar oleh Islam.

“Ucapan salam itu perlulah tidak berturut-turut. Sebaliknya, selangkanlah beberapa minit sebelum ungkapan salam kedua diberikan”

“Tujuannya untuk memberi waktu kepada tuan rumah mempersiapkan diri sebelum menyambut tetamu. Kita tidak tahu apa yang sedang berlaku di dalam rumah. Mungkin tuan rumah sedang tidur, mandi atau sebagainya.

jenazah

USTAZ DON DANIYAL

“Oleh sebab itu berilah ruang waktu kepada mereka untuk menyambut tetamu. Lebih elok lagi jika salam yang dihulurkan berserta dengan memperkenalkan gerangan yang hadir.

“Ucapan salam sebanyak tiga kali itu juga perlulah berjarak. Seeloknya dalam masa dua hingga tiga minit. Jika salam dengan jarak yang diberikan itu masih tidak mendapat balasan, harus pulang sahaja. Mungkin tuan rumah tidak ada atau tidak bersedia menerima kedatangan tetamu.

“Apa pun jangan sampai membuka pintu tuan rumah atau memasuki rumah seseorang tanpa kebenaran,” katanya menerusi satu hantaran video di laman media sosial.

Artikel Berkaitan 

Hal tersebut amat dilarang oleh Islam sebagaimana firman ALLAH, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin dan memberi salam kepada penduduknya, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan)”. Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin, dan jika dikatakan kepada kamu,“baliklah” maka hendaklah kamu berundur balik, cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu dan (ingatlah) ALLAH MAHA MENGETAHUI akan apa yang kamu lakukan.” (Surah An-Nur ayat 27 dan 28)

Bagaimana dengan nadanya?

Amalan simple dijamin masuk syurga

BERI salam ketika hendak masuk rumah merupakan antara amalan ‘simple’ yang dijamin masuk syurga. – Foto: Freepik

Tambah Ustaz Don lagi, salam pertama yang diberikan kepada tuan rumah perlu dengan nada bersahaja. Kemudiannya menegaskan sedikit suara disertakan dengan memperkenalkan diri kepada tuan rumah. Begitu juga dengan salam ketiga.

“Berlainan pula jika situasi berada di luar rumah. Sebaiknya berilah salam dalam keadaan suara seperti ingin menyapa seseorang. Namun lihat juga kepada situasinya. Jika kedudukan orang tersebut dengan kita jauh maka boleh dengan nada yang sedikit tinggi.

“Bagi seorang wanita pula, apabila ingin memberi dan menjawab salam berpada-padalah mengikut keadaan. Jangan sampai menjerit seperti orang lelaki. Cukup sekadar mimik bibir atau menggunakan bahasa badan sebagai tanda menyambut salam seseorang sekiranya jarak jauh.

Baca Juga Beri salam bila masuk rumah walaupun tak ada orang. Ini sebab-sebabnya…

Turut Disyorkan Wajib jawab salam walaupun duduk dalam kumpulan

“Sekiranya datang ke rumah orang, ikutlah pertimbangan ketika memberi salam. Janganlah sehingga ungkapan salam yang diberi itu dilaungkan berkali-kali dengan nada yang tinggi sehingga mengganggu pula jiran-jiran terdekat dek kerana berang dengan tuan rumah yang masih tidak kelihatan.

“Cukuplah dengan lafaz tiga kali atau ketulah pintu, jika masih tiada orang, bolehlah beransur pergi sesuai dengan perintah ALLAH,” ujarnya.

Nilai kemanusiaan
Gaya Hidup,

2 Amalan Menjadi Manusia Terbaik

SETIAP insan secara fitrahnya begitu menyukai kebaikan biarpun empunya diri tidaklah sebaik mana.

Benar, berbuat kebajikan sememangnya tidaklah sesukar mana. Namun, ia memerlukan mujahadah yang tinggi dan memiliki sifat konsisten tidak berbelah bagi.

Pendakwah Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar menjelaskan, Islam sangat menggalakkan umatnya mengamalkan sifat-sifat mahmudah seperti tolong-menolong, bantu-membantu dan saling menghormati dalam semua keadaan.

WADI ANNUAR

Ketahuilah bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberi makan kepada orang lain dan mengucapkan salam kepada individu dikenali ataupun tidak, ungkapnya.

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru RA. Katanya, ada seseorang yang bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: “Islam manakah yang paling baik?” Baginda SAW menjawab: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

“Bayangkan dengan memberi makan kepada orang lain seperti tetamu, jiran tetangga atau orang yang memerlukan seperti mereka yang terkesan akibat Covid-19 dikategorikan sebagai Muslim yang baik.

“Tidak kiralah individu yang dijamu itu dikenali ataupun tidak, amalan tersebut sebenarnya boleh mengeratkan hubungan dan menunjukkan sifat kemurahan.

Baca juga Kebaikan Kecil Yang ‘Berbuah Manis’, Berikut Penjelasannya 

“Bahkan, orang yang memberi atau bersedekah makanan mahupun dalam bentuk wang ringgit, nescaya ALLAH SWT akan menambah rezekinya sepertimana yang disebutkan dalam hadis masyhur Riwayat Muslim,” katanya dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Satu lagi amalan yang cukup signifikan dan tidak wajar ditinggalkan adalah mengucapkan salam, kata Ustaz Wadi Annuar.
Dengan melazimkan perilaku mulia berkenaan, ia dapat menyebarkan salam (kedamaian) sama ada kepada orang yang dikenali mahupun tidak.

Jadi manusia terbaik

BIASAKAN diri mengucapkan salam tatkala bertemu dengan saudara seagama.

“Malah, sifat sedemikian dapat melahirkan anggota masyarakat yang rahmah (penuh rahmat dan kasih sayang) serta bahagia,” jelasnya.

Dalam hal itu, agamawan tersebut turut memberi peringatan buat umat Islam agar tidak sesekali meremehkan amalan berkenaan.

Ini kerana, jelas beliau, Muslim yang tidak mahu mengucapkan salam setiap kali bertemu dengan saudara seagamanya dianggap sebagai seorang yang bakhil!

Ternyata fakta itu bukanlah omongan kosong semata-mata. Sebaliknya ia dinyatakan secara jelas dalam satu riwayat.

Rasulullah SAW bersabda: “Selemah-lemah manusia adalah orang yang lemah (malas) berdoa kepada ALLAH, dan sebakhil-bakhil manusia adalah orang yang bakhil mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat at-Tabarani dalam Mu’jamul Ausath)

Maka, jalan yang paling baik adalah membiasakan diri melakukan kedua-dua amalan yang dianjurkan tersebut, ungkap beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.

Foto: Freepik