UCAPAN dan lafaz salam السَّلَامُ عَلَيْكُمْ atau ‘Assalamualaikum’ sememangnya amat digalakkan di dalam Islam bagi memuliakan dan mendoakan kebaikan seseorang.
Ketika memasuki rumah, bersua dengan orang lain atau hendak memulakan ucapan atau perbualan, memberi salam akan menimbulkan lebih rasa mesra dan disukai orang yang mendengarnya.
Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman memberikan pandagannya mengenai ucapan memberi salam yang dilihat semakin dipandang entang oleh sesiapa sahaja walaupun mengetahui terdapat banyak fadilatnya.
Memulakan kalamnya untuk setiap umat Islam sama-sama renungkan betapa besarnya fadilat mengucapkan salam. Mengucapkan salam merupakan di antara sebab yang memungkinkan seseorang itu memasuki syurga Allah yang diimpi-impikan.
Akan tetapi, amat malang sekali apabila kita dapati dewasa ini ramai di antara umat Islam yang memandang remeh tentang ucapan salam ini lantas meringan-ringankannya, sedangkan pahala di sisi ALLAH bagi orang yang mengucapkan salam amatlah besar.
Dari Abdullah bin Salam, Nabi SAW bersabda “Wahai manusia, tebarkanlah ucapan salam, berikanlah makan (kepada orang yang memerlukan), hubungkanlah silaturrahim, solatlah di waktu malam tatkala orang lain sedang tidur, kelak kamu akan masuk syurga dengan sejahtera”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Justeru, janganlah kita tergolong dalam orang yang rugi, sebaliknya sama-samalah kita berusaha untuk merebut peluang yang disediakan oleh ALLAH ini dengan kita mengucapkan salam kepada sesiapa sahaja sama ada kepada orang yang kita kenali atau pun tidak, dan kepada orang kaya mahu pun miskin.
Baca juga Memberi salam kepada non-muslim, apakah hukumnya?
Ucapkanlah salam dengan penuh keikhlasan dan dengan ucapan yang betul agar kita benar-benar dapat mengambil manfaat daripada salam yang diucapkan.
Janganlah kita menjadi seperti sesetengah orang yang juga mengucapkan salam, tetapi sekadar mengucapkannya ibarat melepaskan batuk ditangga iaitu dengan tiada kesungguhan, tiada keikhlasan dan ucapan salam yang tidak betul dan tepat mengikut makhrajnya.
Oleh kerana ingin cepat, ada yang sekadar menyatakan ‘samaikum’, samakum’, ‘haikum’, hakum’ dan sebagainya. Apa ertinya ucapan-ucapan ini yang langsung tidak mengandungi ucapan salam sebagaimana yang dikehendaki oleh syara’.
Ucapan salam pendek
Adakah lafaz salam pendek seperti ini dikira sebagai salam atau hanya diambil kira sebagai salam jika ia ditulis dengan lafaz yang penuh sahaja?
Menurut tokoh agama terkemuka, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri melalui laman webnya Maktabah Al-Bakri, secara umumnya, para ulama telah berbeza pendapat mengenai isu ini.
Sebahagian ulama tidak membenarkannya seperti yang disebutkan oleh Abu al-Hasan al-‘Adawi dalam hasyiahnya bahawa tidak boleh dengan hanya lafaz “السَّلَامُ” sahaja, sama ada ketika memberi salam ataupun menjawabnya kerana ia adalah ibadah.
Manakala sebahagian ulama yang lain pula, mengharuskan lafaz salam diringkaskan hanya kepada “السَّلَامُ” atau “سَلَامٌ” sama ada ketika memberi salam atau menjawabnya.
Bahkah Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin menyebutkan bahawa tidak mengapa memendekkan lafaz salam menjadi “السَّلَامُ” kerana Nabi Ibrahim A.S, ketika menjawab salam para malaikat Baginda menjawabnya dengan lafaz “سَلَامٌ” iaitu dengan makna “عَلَيْكُمْ سَلَامٌ” yang bermaksud “Ke atas kamu kesejahteraan”.
Namun menurut Dr. Zulkifli lagi, yang paling baik (afdal) dan keluar daripada khilaf, adalah memberi salam atau menulisnya dengan menggunakan lafaz yang sempurna, sekurang-kurangnya dengan lafaz, “Assalamualaikum” atau “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ”.